Kesilapan Berbahaya Tentang ISIS & Islam

ISIS
Gambar: ABC News

[Terjemahan What The Atlantic Gets Dangerously Wrong About ISIS And Islam, terbitan Think Progress pada 18 Februari 2015. Diterjemahkan oleh Yana Rizal]

Teologi Asas ISIS

Pada hari Isnin, The Atlantic menerbitkan rencana baru tulisan Graeme Wood yang bertajuk “Apa ISIS Mahu Sebenarnya.”

Ia kononnya mendedahkan teologi asas kumpulan pengganas ISIS, juga dikenali sebagai Negara Islam (IS), yang telah melancarkan kempen keganasan di Iraq, Syria dan Libya sejak tahun lalu.

Artikel ini hasil sebuah kajian, yang membentangkan pemerhatian tentang idea-idea keagamaan asas yang mendorong ISIS.

Yakni, suatu teologi gelap yang mendahagakan darah, dan berkisar tentang naratif akhir zaman di mana tentera hitam ISIS mempercayai mereka memainkan peranan penting.

Kemudian, Peter Bergen dari CNN menerbitkan artikel yang senada pada hari berikutnya, memperincikan obsesi ISIS dengan akhir zaman, dan mengangkat Wood sebagai sumber baik, sambil mengaminkan petikan dari artikel tersebut.

Pun begitu, artikel Wood telah mengundang kritikan hebat oleh sarjana dan umat Islam.

Setelah artikel itu disiarkan, laman-laman Facebook dan listserve bertemakan Islam dibanjiri komen para intelektual yang menghentam artikel tersebut sebagai “mengejutkan.”

Di Mana Silapnya?

Isu terasnya, menurut mereka, adalah bahawa Wood seolah-olah menjadi mangsa kepada retorik yang berleluasa di dunia Barat.

Iaitu bahawa ISIS adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam Islam, terutamanya kerana al-Quran dan kitab-kitab Islam mengandungi ayat-ayat yang mendorong keganasan sebegitu.

Dalam artikelnya, Wood mengakui bahawa kebanyakan orang Islam tidak menyokong ISIS, kerana terlalu banyak kelompok Islam yang menolak kumpulan pengganas itu dan mengisytiharkannya bukan Islamik.

Namun, dia berkali-kali mengiaskan bahawa hujah menentang kumpulan pengganas tersebut berdasarkan bacaan Islam yang bukan literal adalah sia-sia, kerana justifikasi untuk keganasan terdapat di dalam teks-teks suci Islam.

“… hanya dengan mengecam IS sebagai bukan Islamik sebenarnya tidak produktif, terutamanya apabila ada yang telah membaca ayat-ayat suci tersebut dan melihat sokongan terhadap amalan IS jelas tertulis di dalamnya.” kata Wood.

“Umat Islam boleh mengatakan bahawa perhambaan sekarang tidak sah, dan penyaliban adalah salah di zaman kini. Ramai yang akan mengatakan ini.

Namun mereka tidak dapat mengecam perhambaan atau penyaliban tanpa menentang secara terang-terangan ayat al-Quran dan sunnah Nabi.”

Walaupun Wood juga mengakui secara ringkas bahawa terdapat kepelbagaian teologi dalam Islam, sarjana Islam mendakwa bahawa dia telah mengabaikan salah satu aspek terpenting dalam mana-mana tradisi keagamaan: iaitu tafsiran.

Kepelbagaian Tafsiran

Mengabaikan Kepelbagaian Tafsiran

Jerusha Tanner Lamptey, Profesor Islam dan Institusi Keagamaan di Union Theological Seminary di New York, mengatakan bahawa hujah Wood memperkasakan idea palsu bahawa Islam adalah tradisi harfiah, di mana ayat-ayat tentang keganasan difahamkan secara literal.

“Ini sangat bermasalah untuk sesiapa yang telah mendalami kepelbagaian tafsiran teks,” kata Lamptey.

“Kitab-kitab ini tidak pernah ditafsirkan hanya secara literal. Ia sentiasa ditafsirkan dengan pelbagai cara – dan itu bukan satu perkembangan kronologi, ia bermula sejak dari awalnya…

[Komen Wood] mewujudkan [tanggapan] bahawa Islam adalah literal, jumud, dan sejenis fahaman kolot yang sukar difahami, namun kita telah maju daripada naratif sebegitu.”

Lamptey juga berkata bahawa hujah Wood mengabaikan ayat al-Quran lain, yang jika diambil secara literal, akan menyanggah tindakan ISIS kerana “ia menggalakkan kesaksamaan, toleransi.”

Beliau merujuk kepada ayat dari surah 22: 39-40 di dalam Al-Quran, yang mewajibkan perlindungan rumah-rumah ibadat agama lain sekalipun apabila dibenarkan berperang – sesuatu yang jelas diabaikan oleh ISIS, yang telah memusnahkan beberapa gereja Kristian.

“ISIS akan mengenyahkan ayat-ayat ini dalam tafsiran mereka, saya pasti, tetapi itulah asasnya,” kata beliau.

“Ia bukan tentang satu perspektif yang literal, atau tafsiran yang sah, atau pengabaian … ia mengenai kepelbagaian tafsiran.

Namun tafsiran alternatif barangkali tidak mampu berdiri dengan retorik hitam putih begini. Ia benar-benar mencabar keabsahannya.”

Dari Mana Benihnya Idea Ini?

Wood, sudah tentu, tidak kebetulan mereka idea bahawa ayat-ayat berbaur keganasan dalam teks-teks Islam menjadikannya cenderung kepada keganasan.

Ataupun bahawa kononnya ciri-ciri keIslaman ISIS merupakan bukti kepada isu-isu yang lebih mendalam dalam tradisi Islam.

Konsep-konsep ini telahpun wujud sebelum ini, namun semakin popular di kalangan dua kumpulan yang selalunya bertentangan dari segi ideologi.

Yakni, kumpulan konservatif bersayap kanan dan juga kelompok yang dikenali sebagai “Ateis Baru,” iaitu subset kepada ateisme di Barat.

Pemimpin kedua-dua belah pihak ini telah menyalahkan petikan keganasan di dalam al-Quran sebagai bukti bahawa Islam adalah bom yang sedang berdetik.

Paderi Franklin Graham, anak kepada mubaligh terkenal Billy Graham, telah kerap menyerang Islam menggunakan logik ini.

Baru-baru ini beliau menjawab soalan mengenai al-Quran di Fox News dengan mengatakan bahawa Islam “bukan agama keamanan” namun satu “agama yang ganas.”

Begitu juga, pengacara dan ateis lantang Bill Maher pernah berdebat dengan Charlie Rose September lalu mengenai ISIS.

Beliau mengatakan bahawa mereka yang mengecam kumpulan itu sebagai tidak Islamik sebenarnya mengabaikan “urat penghubung” antara ISIS dan Islam.

Beliau menambah bahawa “Al-Quran tentu sekali mengandungi perkara-perkara dahsyat pada setiap halamannya tentang cara layanan terhadap orang-orang kafir.”

Mungkin kerana inilah Fox News dan beberapa saluran konservatif lain begitu tertarik dengan artikel Wood setelah ia telah diterbitkan, seperti juga “Ateis Baru” terkenal Sam Harris dan Richard Dawkins.

Gambar: Richard Grenell

Apakah Ini Yang ISIS Mahu?

Namun walaupun pendirian sebegini meluas, Lamptey menyatakan bahawa ia juga berbahaya kerana ia serasi dengan rancangan ISIS.

Dengan mengutarakan bahawa Islam akhirnya terpasak kepada bacaan literal kitab-kitabnya, Lamptey mendakwa Wood dan penganalisis politik lain secara tidak langsung mengesahkan suara ISIS.

“[Pendirian Wood] mengesahkan tanggapan yang ingin disebarkan ISIS kepada orang ramai, iaitu bahawa mereka adalah satu-satunya pandangan sah,” katanya.

“Ia mengekori retorik tersebut 100%. Ya, itu yang dikatakan ISIS tentang diri mereka, namun ia berbeza apabila kita yang mengatakan ‘Ya, itu benar tentang tradisi Islam dan umat Islam.”

Nihad Awad, pengarah eksekutif Majlis Hubungan Amerika-Islam, melahirkan sentimen yang sama dalam temu bual dengan Raw Story pada hari Selasa.

Beliau berhujah bahawa selain daripada “kepadatan kesilapan fakta” dalam artikel Wood, penyokongan de facto terhadap tafsiran literal al-Quran adalah sama seperti pengiklanan teologi ngeri ISIS.

“Sarjana yang mendalami Islam, dan penguasa perundangan Islam, kedua-duanya memberitahu ISIS bahawa mereka adalah salah, namun Encik Wood nampaknya lebih tahu daripada mereka, dan dia mengatakan bahawa ISIS adalah Islamik?” soal Awad.

“Saya tidak rasa Encik Wood mempunyai latar belakang mahupun kelayakan untuk membuat kenyataan berbahaya seperti itu, yang menyimpang dari sejarah.

Secara tidak langsung, saya fikir, dia dengan tidak sengaja telah mempromosikan ISIS kepada awam.”

Awad juga menimbulkan bahawa Wood menggunakan “jihad” dan “keganasan” secara silih berganti, yang secara tersirat menyokong hujah ISIS bahawa tindakan keganasan mereka adalah kewajipan berlandaskan agama (jihad).

Di samping itu, terdapat satu isu utama dengan rujukan ringkas Wood tentang pemimpin ISIS Abu Bakr al-Baghdadi sebagai “khalifah pertama dalam beberapa generasi”.

Walaupun khilafah boleh ditubuhkan secara paksa, seorang khalifah, mengikut definisinya, seolah-olah meraih sokongan majoriti umat Islam (walaupun realitinya tidak).

Dan khilafah juga mengikut sejarah sebelum ini telah menghormati tradisi agama lain (yang tentunya bukan seperti ISIS).

Bagaimana Dengan Majoriti Umat Islam?

Lamptey menambah bahawa pendirian Wood seolah-olah menghina, kerana ia mengenepikan teologi majoriti umat Islam yang menyanggah keganasan.

Antara lain, Wood kerap kali memetik kata-kata Bernard Haykel, seorang sarjana di Princeton, yang mendakwa bahawa pemimpin Islam yang mengatakan ISIS tidak Islamik sebenarnya “berasa malu dan cuba berdiplomasi, dengan pandangan berpelangi tentang agama mereka sendiri.”

Ini berbeza sama sekali dengan kelantangan para sarjana Islam yang dihormati di seluruh dunia dalam mencabar dakwaan ISIS yang kononnya Islamik.

Lamptey berkata komen sebegitu mungkin dibaca oleh ramai umat Islam sebagai keraguan tentang pegangan agama mereka yang aman oleh orang-orang yang mempercayai bahawa mereka hanya “melepas pandang.”

“[Wood dan yang lain menganggap Muslim moderat] adalah bukan Muslim ‘sebenar’, tetapi hanya ‘separa’ Islam, ataupun murtad,” katanya.

“Majoriti [umat Islam] tidak sehaluan dengan pandangan [ISIS] tentang agama.

Namun mereka mempercayai kecontohan Nabi Muhammad, pegangan kitab, dan penerusan tradisi, tetapi mempunyai pandangan berbeza tentang cara penzahirannya.”

“Muslim-muslim begini bukanlah ‘sejenis Muslim.’ Merekalah Muslim yang teguh mencontohi sunnah nabi mengikut teks dan al-Quran,” katanya.

Gambar: Stopwar.org.uk
Gambar: Stopwar.org.uk

Apa Kesannya Tanggapan Begini?

Sarjana-sarjana Islam lain mengatakan naratif ini menimbulkan syak wasangka terhadap umat Islam keseluruhannya.

Mohammad Fadel, Profesor Madya & Pengerusi Penyelidikan Toronto mengenai Undang-Undang dan Ekonomi Undang-Undang Islam di Universiti Toronto, mengatakan hujah-hujah sebegini menanggapi bahawa umat Islam hanya perlu bacaan literal untuk terus menjadi pengganas.

“Latar belakangnya sudah dibina… yang menekankan idea bahawa umat Islam berbohong tentang apa yang mereka percayai,” Fadel memberitahu ThinkProgress.

“Bahawa mereka sebenar-benarnya menyimpan cita-cita gelap, namun mereka hanya menyembunyikannya kerana tujuan strategik demi penaklukan.

Mereka berpura-pura menjadi baik. Mereka berpura-pura bersimpati dengan nilai-nilai liberal, namun sebaik sahaja mereka mendapat peluang, mereka akan memperhambakan kita semua.

Ideanya adalah bahawa mereka semua berpotensi menjadi pengikut ISIS.”

“Bacaan kali pertama [artikel Wood] mencadangkan seolah-olah seorang Muslim yang taat seharusnya bersimpati dengan ISIS, dan sebarang percanggahan hanya disebabkan oleh kejahilan atau penipuan,” katanya.

“Itu tidak membantu, dan kesannya mungkin berpotensi menjadi sangat bahaya.”

Menanggapi ISIS

Walaupun begitu, Fadel dan Lamptey bersetuju bahawa perbincangan mengenai teologi akhir zaman ISIS adalah penting, namun keberatan untuk menamakan Haykel seorang.

Namun mereka sangat bimbang dengan populariti pemikiran Wood, dan mencabar kenyataannya bahawa ISIS adalah institusi yang “amat Islamik” dan kononnya mewakili masyarakat Islam global.

“Ya, [ISIS] Islamik dengan erti kata mereka menggunakan sumber-sumber Islam untuk mewajarkan segala tindakan mereka,” kata Fadel.

“Namun bagi saya persoalan yang merunsingkan ramai umat Islam adalah idea bahawa hanya kerana seseorang mengatakan mereka adalah Muslim atau perbuatan mereka mencerminkan Islam, tidak menjadikan ia benar.

Hanya kerana satu kumpulan boleh mempergunakan sumber-sumber Islam dan simbol-simbol Islam, dan kemudian melakukan pelbagai perkara buruk, tidak bermakna mereka seharusnya menjadi orang-orang yang menentukan makna Islam buat dunia.”

“Muslim yang menolak ISIS bukan melakukannya kerana mereka Muslim yang kurang sempurna. Mereka hanya mempunyai versi Islam yang mereka fikirkan adalah lebih baik.”

Sila lihat temu bual kami dengan Bernard Haykel, pakar sama yang dirujuk dalam artikel The Atlantic di bawah ini, untuk mengetahui apa lagi yang ditinggalkan dari makalah Graeme Wood.