Kisah Anak Bangsa Malaysia

Minggu lepas mungkin bukan minggu terbaik untuk kita kenang sebagai warga Malaysia. Bermula dengan penghukuman penjara terhadap terhadap pemimpin utama parti Pembangkang, seakan-akan memperlihatkan tanda yang kabur buat rakyat Malaysia yang mahukan situasi politik yang lebih seimbang pada masa akan datang. Ini diikuti pula penghukuman terhadap wakil rakyat Bukit Gelugor, Karpal Singh atas dakwaan bersalah di bawah Akta Hasutan, walaupun beliau tetap mempertahankan kenyataannya sebagai membela Perlembagaan Persekutuan Negara.

Kedua-dua perkara ini berlaku pada masa masyarakat Malaysia masih berduka dan tertanya-tanya akan kehilangan pesawat MH370 bersama 39 warganegara Malaysia dan krew penerbangan, segala usaha pencarian masih menuju jalan buntu.

Keadaan cuaca pula yang amat mendahagakan akibat hujan masih keberatan untuk turun. Keadaan berjerebu di sesetengah bandar menambah rasa lelah, kepenatan dan kehampaan. Ini semua berlaku kepada masyarakat kita di Malaysia yang sudahlah sebelum ini terus bercakaran sesama sendiri, terjebak dengan pelbagai permasalahan hubungan antara kaum dan agama, ditambah dengan bebanan ekonomi yang sering menjadi keluhan majoriti rakyat Malaysia.

Hinggakan ada yang mungkin mempersoalkan apa lagi yang tinggal dengan gagasan Bangsa Malaysia yang dapat kita jadikan tiang pengharapan sebuah identiti bangsa berjaya, seperti yang dicita-citakan generasi sebelum kita, dan yang amat diperlukan generasi terkemudian? Apakah masih ada saki-baki pengharapan terhadap aspirasi perpaduan ini di kala satu-persatu cabaran melanda yang mengundang pergaduhan, persengketaan dan perpecahan?

Aktiviti Anak Bangsa MalaysiaPersoalan ini yang bermain di minda Saya ketika memenuhi jemputan sebagai wakil Projek Dialog ke satu bengkel perpaduan bertema “Saya Anak Bangsa Malaysia” anjuran koalisi NGO, Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) di Broga penghujung minggu yang lalu. Tiba di lokasi program di pedalaman, terasing daripada hiruk-pikuk kesebokan kota, lolos daripada dibelenggu asap jerebu yang menyesakkan dan terasa bebas daripada sengketa polemik di ruang media Malaysia. Nafas segar cukup membuka minda, dengan harapan mendapat pemahaman baru erti seorang warganegara.

Para peserta tiba lalu berkumpul bersama membentuk satu bulatan. Selepas ucapan pembukaan ringkas, pengerusi program mengajak para peserta untuk diam bertafakur selama satu minit, memperingati dan berdoa untuk MH370.

Rata-rata peserta dengan menutup mata, wajah tersugul membisu. Satu minit ini dirasakan amat bermakna. Walaupun disegenap ruang dewan kecil itu diam kaku, yang hidup dan menyemarak hanyalah jiwa-jiwa yang masih menyimpan harapan kepada yang Maha Kuasa untuk mengembalikan suatu kehilangan.

Mungkin bukan sekadar kehilangan satu penerbangan, tetapi juga kehilangan semangat dan cita-cita satu bangsa yang berjaya. Satu minit berlalu tanpa sedar, mata dibuka, dirasakan azam dan semangat baru menjelma.

Kesedihan dan kehilangan ini perlu diketepikan buat sementara demi meneruskan pencarian dan perjuangan yang harus dihadapi. Tidak semena-mena, hujan turun mengundang senyuman para peserta yang ternyata merindukan titisan air turun dari langit. Mungkin ini tanda restu Tuhan terhadap usaha perpaduan dan penyatuan ini.

Sesi pengharapanPara peserta masih duduk dalam bulatan. Kebanyakannya anak-anak muda sekitar awal 20-an, daripada pelbagai latarbelakang kaum, agama dan asal tempat tinggal. Semasa sesi perkenalan, bangun seorang anak muda yang bersemangat sekali dengan penampilan yang agak berbeza, berbaju batik dan entah apa kelengkapan kepala diperbuat daripada buluh yang kelihatan amat asing. Nama anak muda itu Dendi, dari perkampungan Orang Asli Temiar jauh di pendalaman sekitar Gua Musang, Kelantan. Selain beliau, ada lagi 5 orang mewakili komuniti Orang Asli dari kawasan berbeza, selain peserta mewakili komuniti Melayu, Cina, India, Dusun, Kadazan, Iban dari serata pelusuk Malaysia, menonjolkan kekayaan kepelbagaian warisan dan budaya masyarakat Negara ini.

Bengkel perpaduan ini mengambil masa dua hari, dengan pelbagai aktiviti menarik dijalankan bertema perpaduan nasional tanpa diskriminasi di bawah kelolaan fasilitator-aktivis berpengalaman Fahmi Reza dan Lena Hendry.

Turut dimuatkan wacana ilmiah berkenaan Deklarasi Sejagat Hak-hak Asasi Manusia dan Perlembagaan Malaysia dimana pakar dalam kedua-dua dokumen penting ini member penerangan disusuli diskusi interaktif bersama para peserta.

Namun, apa yang paling berguna kepada para peserta ialah aktiviti-aktiviti kreatif dan kritikal yang telah menambah tahap penghargaan dan pemahaman akan konsep Negara serta kepelbagaian komuniti dalam masyarakat Malaysia.

Satu aktiviti yang menarik telah menilai kembali peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah yang telah banyak mempengaruhi reality semasa di Malaysia ketika ini. Peristiwa-peristiwa ini termasuklah tertubuhnya Kesultanan Melayu Melaka, peristiwa zaman penjajahan, proses mencapai kemerdekaan, 13 Mei, sehinggalah pilihanraya ke-13 tahun lalu.

Setiap peristiwa ini dibincangkan bersama-sama, bagaimana ianya menjadi penyebab dan membentuk keadaan semasa sekarang. Penilaian ini ternyata membuka mata dan fikiran para peserta, bahawa terdapat perbezaan bagi setiap peristiwa yang berlaku sebenarnya difahami melalui sudut pandang individu dan komuniti yang berlainan.

Aktiviti Penilaian SejarahAktiviti lain yang turut digemari peserta ialah sesi debat dimana beberapa kumpulan dengan ahli pelbagai latarbelakang kaum dibentuk. Setiap kumpulan telah ditentukan untuk sama ada menyokong atau membantah usul ini, membuatkan peserta perlu kreatif dan kritikal terhadap isu yang dibangkitkan walaupun mungkin berbeza daripada pendirian peribadi sebenar. Aktiviti debat ini membolehkan peserta meletakkan kedudukan mereka dalam perspektif pihak yang berlainan dan perlu memahami dan berhujah walaupun mungkin berbeza dengan pendirian peribadi. Yang pastinya debat ini telah dapat melontarkan pelbagai hujah daripada perspektif yang pelbagai untuk kita fahami isu ini, sama ada bersetuju atau tidak.

Namun, pengalaman yang tentunya paling berharga ialah peluang berinteraksi sesama peserta, berkongsi pengalaman peribadi dan bergaul mesra.

Dalam satu perbualan bersama Dendi, anak muda Orang Asli berumur 21 tahun, beliau menceritakan pengalaman dan cabaran yang dihadapi dirinya sendiri dan umumnya komuniti Orang Asli untuk memainkan peranan dalam masyarakat Malaysia.

Beliau mengakui permasalahan yang dialami Orang Asli khususnya dalam hal perkembangan ekonomi dan pendidikan menyebabkan peranan mereka terbatas dan sering dilihat tidak penting dalam pembangunan Negara.

Tetapi pada masa yang sama, banyak pihak termasuk pemimpin masyarakat dan agensi kerajaan sebenarnya tidak jujur dan tidak cukup bersungguh memajukan komuniti Orang Asli serta membantu proses integrasi dalam masyarakat Malaysia yang lebih luas.

Ramai sebenarnya dikalangan anak muda Orang Asli yang telah mencuba untuk berhijrah ke bandar, berkerja dan bermasyarakat. Tetapi, sering kali diskriminasi berlaku sama ada secara sedar atau tidak sedar oleh ‘orang bandar’ khususnya berkaitan perbezaan budaya dan taraf pendidikan. Beliau sendiri pernah cuba menetap dan berkerja selama 3 tahun di kota raya Kuala Lumpur, hakikatnya sukar sekali untuk menyesuaikan diri dan bermuhibah bersama ‘orang bandar’.

Selain itu, faktor tekanan ekonomi dan kos kehidupan yang terlalu tinggi hinggakan hampir mustahil untuk golongan muda seperti beliau, dengan latarbelakang serba kekurangan untuk bersaing dan memenuhi keperluan hidup di kota raya.

Di sebalik bermacam-macam kesusahan ini, Dendi tetap menyatakan harapan masa depan Malaysia perlu dibangunkan tanpa diskriminasi kepada mana-mana golongan. Masyarakat Malaysia perlu membebaskan diri daripada masalah sentimen perkauman dengan tumpuan harus diberi kepada kepentingan Negara supaya faedah dapat dikecapi oleh semua warga Malaysia.

Menyentuh tentang ahli politik dan pemimpin Negara, Dendi menyuarakan kekecewaannya, “Ahli politik dan orang atasan selalu dengan mudah menggunakan sentimen perkauman dan agama untuk kepentingan pihak sendiri, tanpa mengambilkira kesan terhadap perkembangan perpaduan Negara. Mereka juga sering tidak bersungguh dan tidak ikhlas dalam membantu dan membangun masyarakat yang memerlukan. Ini amatlah dikesalkan.”

Kata-kata ini boleh saja amat menginsafkan buat kita bila difikirkan pelbagai usaha dan pengorbanan sama ada kecil atau besar yang telah dilakukan sebilangan rakyat Malaysia biasa di waktu ini atau zaman sebelumnya untuk mengecapi perpaduan dan penyatuan Bangsa Malaysia.

Usaha-usaha ini termasuklah dua hari berharga yang diluangkan para peserta bengkel perpaduan ini, kebanyakannya merupakan pelajar kolej atau universiti dengan pelbagai tugasan yang perlu diselesaikan. Begitu juga dikalangan profesional muda yang sudah berkerjaya mengenepikan waktu rehat atau peluang menambah pendapatan demi membina semula cita-cita Bangsa Malaysia.

Lebih besar lagi pengorbanan peserta daripada komuniti Orang Asli seperti Dendi, yang menempuh perjalanan selama 10 jam, termasuk 3 jam melalui ‘jalan hutan’ untuk tiba ke Gua Musang dari kampung mereka di pendalaman, sebelum menaiki bas ekspress ke Kuala Lumpur.

Perjalanan pergi-balik menelan belanja sekitar RM200-300, merupakan nilai yang sama mereka dapat kumpulkan untuk hasil pendapatan selama satu bulan menorah getah dan mencari hasil hutan. Bagi mereka, ini tetap satu usaha yang berbaloi demi masa depan Negara.

Penulis bersama Dendi
Penulis (kanan) dengan Dendi, anak muda Orang Asli yang berwawasan.

Di penghujung program bengkel “Saya Anak Bangsa Malaysia” ini, sekali lagi para peserta dikumpulkan membentuk bulatan untuk berkongsikan harapan setiap peserta akan masa hadapan Malaysia. Tiba giliran Saya, sedang hujan rahmat masih bercucuran, harapanku ringkas “Semoga suatu hari nanti, Dendi akan jadi Perdana Menteri”. Harapan ini mungkin kedengaran sinikal, tapi jika difikirkan sebenarnya logikal. Orang Asli seperti Dendi menjadi pemimpin Negara, mengapa tidak? Datang daripada komuniti tradisi asal yang mula-mula menabur budi di tanah air ini, menempuh pelbagai cabaran kehidupan sama ada di kota raya, pendalaman, mahupun di hutan belantara, namun tetap komited memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan bersama buat semua rakyat Malaysia. Bagaimana lagi dapat kita nafikan, dengan semangat, pengorbanan dan perjuangan sebegini, merekalah yang paling layaknya berkata “Aku Anak Bangsa Malaysia”.

 

 

 

 

 

 

 

unnamed