Konvoi Rumah Ibadat di Shah Alam

Sebagai usaha memupuk persefahaman dan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dengan kerjasama Projek Dialog menganjurkan siri Konvoi Rumah Ibadat ke masjid, kuil, gereja, tokong, wat dan gurdwara sejak 2010.

Pada 24 November 2013 (Ahad), konvoi akan berkunjung ke Arulmigu Maha Mariamman Thirukkovil di Seksyen 23, Shah Alam. Kuil ini pernah mendapat perhatian ramai pada tahun 2009 berikutan insiden perarakan kepala lembu oleh pihak tertentu.

Penyertaan konvoi ini terbuka kepada umum sebagai usaha murni membantu meningkatkan persefahaman, perpaduan, tolak ansur dan nilai persaudaraan dalam kalangan Bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik, budaya, adat dan agama.

Semasa empat konvoi sebelum ini, peserta hanya berpeluang meluangkan masa sekitar 45 minit di setiap rumah ibadat yang dikunjungi. Maka, pada kali ini, penganjur memilih sebuah sahaja rumah ibadat supaya peserta dapat menggunakan masa sekitar dua jam untuk mengenali sejarah, seni bina, ritual, budaya, adat dan keunikan rumah ibadat yang dilawati.

Kesemua peserta dalam rombongan ini tidak mempunyai apa-apa agenda politik. Sebaliknya ikhlas dalam memupuk perpaduan serta perasaan saling memahami dan menghormati.

Penganjur memohon jasa baik para peserta supaya berpakaian sopan serta mematuhi peraturan dan norma di rumah-rumah ibadat yang dikunjungi dalam siri Konvoi Rumah Ibadat.

Selepas berkunjung ke kuil pada bulan ini, penganjur akan mengaturkan pula konvoi ke rumah-rumah ibadat seperti masjid, gereja, gurdwara, wat dan tokong pada bulan-bulan akan datang.

Kavyan berjaya menganjurkan Konvoi Rumah Ibadat melibatkan enam rumah ibadat pelbagai agama di Kuala Lumpur pada 2 Oktober 2010 dan 2 Mei 2011. Pada 17 Februari 2013, konvoi berlangsung di Seremban dengan kerjasama Hidayah Centre Negeri Sembilan.

Konvoi pada 12 Oktober 2013 dijalankan di Kuala Lumpur dengan kerjasama Projek Dialog dan mendapat liputan media antarabangsa. Konvoi sama sedang dirancang di Melaka pada Disember 2013 dan di Georgetown, Pulau Pinang pada Februari 2014.

Semasa konvoi ke Arulmigu Maha Mariamman Thirukkovil pada 24 November 2013, peserta akan dapat melihat sendiri suasana, seni bina dan aktiviti melibatkan kanak-kanak, remaja dan orang dewasa di kuil berkenaan.

Peserta juga akan berkongsi pengalaman menerusi perbualan dan dialog santai. Perbincangan tidak hanya mengenai kuil dan agama Hindu, tetapi juga mengenai rumah-rumah ibadat dan agama-agama lain. Dialog ini selaras motif “raikan kepelbagaian, tolak perkauman”.

Orang ramai yang berminat menyertai konvoi ini boleh melayari www.kavyan.blogspot.com untuk maklumat lanjut. Mana-mana pihak yang berminat hadir sebagai “pemantau” dan “pemerhati” juga dialu-alukan; dengan syarat mengisi borang penyertaan yang disediakan di blog.