KORBAN: Harga sebuah Cinta dan Revolusi

ROL Lee

Oleh Lee Slimshady

Senja 19 September aku duduk mengopi di Restoran Yassen Jalan Tuanku Abdul Rahman sambil memerhati rakan-rakan wilayah cinta sedang melayani dan menyantuni anak-anak jalanan di hadapan Alka Ria.

Tetapi kali ini aku tidak menyertai rakan-rakan yang lain dalam menyebar cinta di jalanan buat anak-anak warga miskin kota.

Mungkin memberi peluang kepada “pecinta – pecinta” lain mencurahkan kasih buat anak-anak jalanan ini. Dalam seketika teringat pula kepada seorang rakan berkepala botak yang menggunakan nama pena Sang Pencinta.

Aku mengenali Sang Pencinta yang berkepala botak ketika sama-sama meneroka ruang demokratik dalam #OccupyDataran tapi sayangnya tidak mengenali secara dekat dan mengapa dia menggelarkan dirinya sebagai Sang Pencinta aku sendiri pun tidak tahu.

Sambil menghirup kopi panas aku memerhati anak-anak kecil ini belajar dan sedikit demi sedikit fikiran ku mula menerawang jauh dalam sejarah cinta umat manusia beribu-ribu tahun lamanya.

Dalam simpanan kotak sejarah yang aku ada, hanya satu nama sahaja yang mengaitkan Cinta dalam catatan sejarah tidak kiralah ia dari kitab suci, manuskrip papyrus mahupun catatan hieroglif purba di Babylon mahupun di Mesir.

Paling tepat sosok inilah yang telah mengorbankan cintanya demi wahyu yang telah dikirim dari langit ke-7 yang terselit mesej rahsia buat seluruh umat manusia.

Justeru aku tidak berniat untuk meminggirkan para atheist dalam  coretan populis ini hanya sekadar mahu berkongsi semangat revolusi dan fahaman tentang cinta buat seluruh insan di setiap pelosok jagat raya.

Tidak semestinya pandangan dan pendapat aku ini betul dan janganlah sampai diakui keabsahannya sebelum dicabar dan disiasat kebenarannya.

Kisah Ibrahim Alaihissalam

Oleh itu bagi aku satu-satunya individu pertama yang aku rujuk terlebih dahulu sebelum Paderi Saint Valentinus adalah Nabi Ibrahim alaihis salam.

Ibrahim HajarKerana ketika Ibrahim meninggalkan bayi comel dan isteri tersayang di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang tak mungkin aku dapat membayangkan perasaan hiba yang lahir dari naluri seorang ayah.

Perasaan yang amat pilu tatkala anak yang dinantikan zuriatnya sendiri setelah bertahun lamanya akhirnya terpaksa ditinggalkan begitu sahaja di bawah panas terik mentari.

Hati ayah mana yang tidak emosi apabila saat-saat manis membelai bayi comel dari darah keturunan sendiri terpaksa dilupakan demi menurut perintah dari langit ke-7.

Andai aku berada di tempat Ibrahim secara jujurnya mustahil aku dapat melaksanakan perintah tersebut kerana naluri kebapaan mencengkam kuat dalam jiwa sebaik menatap bayi comel lebih-lebih lagi zuriatku sendiri.

Sedikit demi sedikit wajah isteri yang tercinta hilang di tengah-tengah padang pasir kontang. Hatinya mula resah, jiwanya mula gelisah dan kini naluri bapanya berkecamuk.

Demi cinta kepada isteri, dan kasihnya kepada bayi Ismail yang comel, ditadah kedua belah tangannya lalu dijulang ke langit lantas mengemis Cinta dari Sang Pencipta menagih simpati buat kasih insani.

Ibrahim sedar hamba hina sepertinya tidak layak mengemis Cinta yang Maha Esa meski sang Jibrail yang setia tanpa sempadan pun belum mampu memiliki kasih Sang Pencipta.

Di kala itu berlari-lari kecillah Siti Hajar mendaki menuruni bukit Marwa dan Safa mengejar bayangan fatamorgana yang disangka lautan tatkala bayi Ismail meraung mendahagakan air sedangkan susu dari tubuhnya telah kering.

Mujur Sang Pencipta itu punya nama yang Maha Mengasihani.

Korban emosi, kasih dan sayang hamba Ibrahim itu dibalas bawah hentakan kudus tumit bayi Ismail a.s lalu terpancurlah kejernihan sumur air ditengah-tengah padang pasir tandus yang menghapuskan segala kedahagaan.

Ternyata Cinta yang Maha Esa adalah Cinta yang Teragung. Tanpa Rasul utusan itu sedar, kasih Maha Pencipta itu mengatasi segala-galanya. Cahaya CintaNya merentasi kebencian, kegelapan dan bisikan kejahatan.

Maka berkumpullah seluruh bangsa jurhum demi berkongsi Cinta dari sebuah telaga hasil kurnia ilahi berkat hentakan kudus dari tumit kaki bayi Ismail.

Kisah Cinta Ibrahim ini bermula dari hanya seketil rasa kasih dan akhirnya terbina sebuah kota di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang.

Cinta Seni & Pemburuan Makna

Lalu diabadikan cinta Ibrahim, Siti Hajar dan bayi Ismail itu dalam bait-bait puitis yang dicoret oleh bapa kesusasteraan Melayu moden Hamzah Fansuri.

Hamzah Fansuri
Hamzah Fansuri

Malah diadaptasi pula bait-bait puitis itu dalam sebuah lagu gubahan penyanyi dan komposer tersohor M. Nasir  bertajuk “Raikan Cinta” yang pernah menduduki carta teratas lagu popular tanah air suatu ketika dahulu.

Aku juga turut mengalunkan bait-bait lirik lagu tersebut sambil memetik gitar milik rakan serumah tanpa menghayati dengan tepat makna dan maksud yang cuba disampaikan dalam lirik lagu berkenaan.

Namun dalam pada masa yang sama aku mula mengesyaki ada maksud mendalam dalam bait-bait puitis ini, jika tidak takkanlah lirik tersebut dipetik dari karya tersohor Bapa Kesusateraan Melayu Moden seperti Hamzah Fansuri.

Bermula dari saat itu aku mula memburu jawapan kepada setiap persoalan.

Secara perlahan-lahan aku mula menyiasat segala naratif yang ada di sekeliling hidup aku dan mencungkil kebenaran serta kesahihan setiap naratif tersebut.

Nak, jiwamu mula memberontak dan mindamu sedang melalui proses evolusi” kata seorang pakcik tua yang aku temui di perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam.

Terkejut dengan perubahan tanpa sedar itu, sebenarnya bukan sahaja dilalui oleh aku seorang malah rakan-rakan lain yang mula melakukan pemburuan terhadap kesahihan naratif.

Cinta, Revolusi & Pengorbanan

Revolusi pada awalnya adalah satu istilah yang amat asing tetapi hebat bagi aku. Setiap kali menyebutnya membuat aku rasa teruja tanpa mengerti lebih mendalam bentuk fiziknya.

Mencari kesempurnaan dan menghapuskan pembodohan juga perlukan cinta untuk membina sebuah masyarakat yang progresif. Namun tanpa revolusi sebagai kaedahnya, maka cinta itu hanyalah sia-sia.

Cinta kepada perubahan dan kebebasan untuk membina dunia baru, tanpa menggerakan perubahan itu secara drastik maka kekallah cinta itu sekadar ilusi maya.

Sebab itu ia bukanlah hanya kisah lagenda antara Romeo dan Juliet atau kisah cinta tragik antara Uda dan Dara, maka secara fiziknya ia menuntut suatu pengorbanan.

Lantas ia menjadi satu perkara yang menghantui minda para reformis.

Banyak antara kita cukup petah dan lantang bila memperkatakan tentang perubahan, tetapi apabila diajukan persoalan tentang pengorbanan maka ramai yang mula memberi alasan untuk melarikan diri.

Penyair terkenal W.S Rendra pernah mengungkapkan;

Andai takut pada risiko usah bicara pasal perjuangan

Maka risiko itu adalah pengorbanan yang akan dituntut dalam suatu gerakan perubahan. Kerana itu seringkali para revolusioner mengibarkan warna merah sebagai tanda menjadi korban dalam kebangkitan.

Pengorbanan Helah & Pengorbanan Sebenar

Tapi usah disamakan warna merah ini dengan himpunan baju merah tempoh hari kerana bagi aku himpunan itu bukan satu kebangkitan tetapi sekadar mengampu pemerintah.

Janganlah juga disamakan dengan  demonstrasi depan Masjid Ubudiah dan Istana Bukit Chandan Kuala Kangsar ketika rampasan kuasa negeri Perak melalui pintu belakang istana suatu masa dahulu.

Ramai telah ditangkap manakala pada sebelah malamnya pula diadakan ceramah di rumah Menteri Besar dan diceritakan betapa mereka yang ditangkap ini adalah wira rakyat dan kutipan derma dibuat untuk wira-wira ini.

Diumumkan malam itu jumlah kutipan derma untuk menjamin semua para tahanan adalah sebanyak RM13 ribu. Tapi sampai hari ini duit tu tak sampai ke tangan para tahanan sebagai wang jaminan.

Ahmad BoestamamKasihan buat rakan-rakan yang telah dijadikan sebagai mangsa ihsan orang ramai untuk mengaut keuntungan maka berhati-hati agar tidak dijadikan alat kepentingan politik orang lain untuk mengaut keuntungan.

Tidak ada makna pengorbanan malah jauh sekali maksud perubahan di situ kerana keseluruhan ia sekadar helah ahli politik untuk mengekalkan kekuasaan dan mengaut keuntungan atas kesengsaraan orang lain.

Sebab itu dalam sejarah kita lihat sendiri dalam merealisasikan cinta maka banyak jiwa yang telah terkorban. Secara psikologinya ia bukanlah satu perkara yang kita ingini namun itulah realiti yang perlu dihadapi.

Justeru bergerak dari kebangkitan revolusi maka korban adalah perkara subjektif bagi para revolusioner.

Maka tidak hairan jika kita lihat pendukung perjuangan radikal progresif seperti Ahmad Boestamam meletakan slogan “merdeka dengan darah” sebagai konsep perjuangan Angkatan Pemuda Insaf (API).

Maka akan datang suara-suara sumbang memperlekehkan dasar perjuangan tersebut lantas mengaitkannya sebagai satu perkara yang ditegah oleh agama.

Larangan Agamawan & Revolusi Murni

Lalu ujian untuk menulenkan lagi cinta Ibrahim tidak terhenti di situ sahaja kerana perjalanan dan proses baru sahaja bergerak pada fasa pertama. Mesej Tuhan belum lagi jelas untuk diungkapkan meskipun dalam kiasan.

Maka Ibrahim a.s diseru sekali lagi untuk  membuktikan kesetiaan kepada Maha Pencipta yang mana ia menuntut satu lagi pengorbanan yang amat besar dalam hidupnya.

Kali ini zuriatnya diperintahkan agar disembelih sebagai korban. Buat kali kedua nalurinya sebagai seorang bapa diuji sepenuhnya.

Tatkala perintah dari langit ke-7 mahu dilaksanakan maka muncul suara-suara sumbang Sang Azazel (Iblis) yang telah dilaknat lantas mengaitkan perintah itu dengan percanggahan dalam ajaran agama.

Hajar IsmailMaka mempersetankan suara-suara kurang siuman yang mengaitkan suatu usaha murni itu dengan percanggahan dalam ajaran agama bukanlah suatu yang janggal kerana Siti Hajar sendiri melakukan dengan jayanya.

Malah Ibrahim a.s sendiri merejam suara-suara “sial” itu dengan batu sehingga ia kekal ke hari ini sebagai ritual ibadah haji yang wajib dijalani setiap muslim yang mengerjakan haji.

Tetapi malangnya ritual ini gagal dimaknai dalam realiti kehidupan sebenar.

Sebab itu sering aku persoalkan dalam menggerakkan perubahan mengapa harus mempedulikan suara-suara sumbang yang mengaitkan segala usaha murni dalam membuat perubahan dengan penegahan dalam agama.

Sebab itu ketika aku menyoal seorang rakan yang mahu menyertai demonstrasi #Bersih4 tentang kenyataan seorang agamawan yang mengatakan bahawa  himpunan itu haram di sisi agama maka jawabnya;

Kalau semuanya salah di sisi agama macam tu tak payahlah Nabi Ibrahim nak turut perintah Tuhan untuk sembelih Nabi Ismail

Kenapa pula? ” Soalku yang inginkan kepastian.

Sebab kata Iblis apa yang dilakukan oleh Ibrahim a.s tidak pernah diajar oleh mana-mana agama di dunia ini ” Jelas sahabatku dengan jawapan yang mampu buat aku tersenyum.

Penjelasan yang dibuat sahabatku ini menunjukan andai usaha untuk membersihkan kekotoran itu ditegah kononnya atas nama agama maka haram untuk kita untuk menuruti larangan tersebut.

Maka Tuhan pada awalnya telah mensyari’atkan keatas kita untuk mempersetankan apa sahaja larangan agamawan keatas usaha yang murni dan bersih.

Justeru Imam Al-Ghazali telah mengingatkan  dalam Ihya Ulumudin bahawa setiap agamawan yang menjejakkan kakinya ke dalam istana maka akan hilanglah cahayanya.

Maka setiap kebangkitan revolusi itu tidak terlepas dari asosiasi pembohongan agama kerana para agamawan itu telah di rantai lehernya oleh kuasa-kuasa politik kecuali mereka yang cekal untuk bangkit menentangnya.

 

Pengorbanan Untuk Menegakkan Keadilan

Maka bangkit perlawanan untuk menegakan keadilan, kebebasan dan menuntut hak. Paling penting sekali adalah membina sebuah ketamadunan yang bebas dari parasit pembodohan.

Sudah pasti ia pertarungan yang amat sengit yang akan mengorbankan banyak jiwa. Banyak lulusan agama tempatan enggan mengakui keabsahan naratif ini sebab motif pengorbanan Ibrahim a.s gagal difahami dengan jelas.

Bagi aku ia tidak pelik kerana sang Jibrail juga mempertikaikan hal yang sama khususnya tentang pergorbanan dan pertumpahan darah.

Namun begitu apabila aku meneliti babak akhir kisah korban Ibrahim dan Ismail maka pasti ramai yang akan mendakwa berlaku satu keajaiban.

Di saat yang sepatutnya Ismail a.s dikorbankan, diturunkan seekor kibas lantas Ismail bukanlah korban yang sebenar kerana bagi aku itu bukan satu keajaiban tetapi anugerah.

Ibrahim Qurban

Lantas di sebalik korban itu maka Tuhan mengajarkan hamba bahawa di dalam hidup ini korban adalah suatu perkara yang subjektif dalam menggembleng sebuah perjuangan.

Tertumpahnya darah merah itu ke bumi demi menuntut sebuah keadilan dan perubahan, biarpun ia perit untuk diterima. Sesetengah bangsa di dunia melihat pengorbanan itu satu kemuliaan.

Ia seperti ibarat membelah dan mengupas sebiji durian yang memiliki kulit berduri tajam. Sudah pasti duri-duri itu melukai tangan yang mengupasnya.

Tetapi andai kulitnya yang berduri tajam berjaya dikupas maka akan kita menikmati betapa lembut dan manisnya isi durian tersebut.

Pengorbanan

Penghayatan Maksud Korban Yang Hilang

Maka sebelum kemanisan itu dikecapi ia harus melalui proses yang amat perit. Paling pasti ia menuntut nilai korban yang besar sebagai sebuah ganjaran yang harus  dibayar untuk sebuah kejayaan.

Maka korban itu perlu untuk meraih kejayaan dalam suatu kebangkitan atau perjuangan. Tanpa pengorbanan takkan ada apa-apa kejayaaan.

Korban adalah harga sebuah revolusi. Korban menjadi pertukaran penting untuk sebuah perubahan dalam hidup.

Apa yang aku kesalkan ialah ibadah korban ini hanya sekadar syarat ritual sebagai muslim setiap kali tiba Aidil Adha tanpa setiap dari kita mengerti dan mempraktikkan maksud korban dalam revolusi hidup sebenar.

Maka mesej Tuhan dalam kisah pengorbanan Ibrahim dan Ismail gagal diterjemahkan dalam hidup manusia

Setiap kali itu juga aku sering teringat kata-kata Sam Witwicky (lakonan Shia Saide LaBeouf) dalam filem Transformers mengungkapkan slogan moyangnya Kapten Archibald Witwicky iaitu;

No Sacrifice, No Victory” (Tiada kejayaan tanpa pengorbanan)

Salam Aidil Adha buat semua, aku menyusun sepuluh jari memohon ampun maaf zahir dan batin.

 

*Lee SlimShady adalah bekas aktivis #OccupyDataran yang beriman kepada perjuangan radikal progresif jalanraya.