Kristian Evangelikal di Malaysia

[Ulangsiar makalah yang telah diterbitkan pada pertama kali pada 23 Oktober 2012]

Crucifix

Banyak kontroversi telah muncul sejak beberapa tahun lepas tentang ancaman Kristianisasi di Malaysia.

Dengan semangat dialog yang muhibbah, ke arah meraih pemahaman yang lebih jelas, Projek Dialog menemui Chris Chong untuk membincangkan isu ini dengan lebih mendalam dari sudut pandangnya sebagai seorang sarjana dan penggerak Kristian Evangelikal yang kritis.

Chris Chong, seorang pensyarah di sebuah IPTS, memegang ijazah PhD dalam sains politik dari Universiti Sains Malaysia.

Tesis doktoratnya, yang bertajuk “Modernity, State-led Islamisation and the non-Muslim response”, [Moderniti, Islamisasi negara dan respon dari kelompok bukan-Muslim] mengkaji reaksi sosio-politik penganut Kristian di Malaysia terhadap penerapan Islamisasi di Negara ini.

Beliau adalah ahli Komuniti Gereja Wesleyan dan Friends in Conversation, sebuah forum Kristian yang “bertekad untuk membuka ruang bagi refleksi dan pertukaran idea yang konstruktif tentang kepercayaan, kerohanian, komuniti dan masyarakat.”

Kristian Evangelikal di Malaysia

S: Temubual ini barangkali akan menarik ramai pembaca Muslim, jadi supaya kita semua jelas, bolehkah saudara terangkan dengan istilah yang mudah apakah Kristian Evangelikal sebenarnya dan bagaimana ia berbeza dengan kelompok-kelompok Kristian yang lain?

J: Kristian Evangelikal adalah suatu fenomena yang kompleks. Terdapat hampir beratus, jika bukan beribu gereja yang boleh diklasifikasikan sebagai Evangelikal. Tetapi apa pun kami berkongsi beberapa ciri yang umum:

Pertamanya, Kristian Evangelikal merupakan fenomena yang baru dalam tradisi Kristian. Jadi gereja Evangelikal tidak mempunyai tradisi dan sejarah gereja yang kaya berbanding dengan gereja-gereja Katolik, Lutheran atau Methodis.

Sebagai suatu gerakan, gereja Evangelikal hanya muncul sekitar kurun ke 18 di Amerika dan Britain di mana mereka akhirnya meraih jumlah pengikut yang cukup kuat untuk bertapak sebagai gerakan sosial dan politik global yang kuat dan jelas kelihatan pada hari ini.

Justeru itu, gereja-gereja Evangelikal di Malaysia lebih mirip kepada gereja-gereja Evangelikal di Amerika dalam kerangka teologi, mesej dan pendekatan mereka.

Kami juga mempunyai lebih autonomi. Tidak seperti gereja-gereja tradisional, gereja Evangelikal tidak harus dijaga oleh mana-mana badan induk. Contohnya, kita tidak punyai biskop.

Jadi kami berkembang dengan lebih organik dan lebih terakar kepada komuniti dalam cara yang lebih khusus.

Kristian Evangelikal juga percaya dengan interpretasi yang lebih literal terhadap kitab Bible, jauh lebih harfiah dari gereja-gereja tradisional yang bergantung kepada sejarah penafsiran atau autoriti gereja untuk mendapatkan bimbingan.

Akhirnya, Evangelikal menyebar. Kami percaya dengan penyebaran Gospel kepada lingkungan penganut yang seluas mungkin.

S: Hari ini tidak kurang dari 60% gereja-gereja di Malaysia adalah Evangelikal, yang telah menyusul dengan pesat di Semenanjung selepas gereja-gereja lain yang sering dianggap lebih terkemuka.

Ini menghairankan memandangkan bahawa Kristian Evangelikal di Malaysia hanya baru bermula pada tahun 1970an. Apa yang mendorong kebangkitannya yang pantas?

J: Kristian Evangelikal cuma jauh lebih bertekad untuk mencebur keluar dan menarik pemeluk baru. Daya untuk menyebar agama di kalangan gereja-gereja yang lebih tua dan tradisional, adalah lebih lemah pada hari ini.

Golongan Kristian Evangelikal juga lebih moden dalam pendekatan mereka, yang lebih bersandar kepada renungan teliti tentang kehidupan masyarakat kontemporari.

Sekiranya anda berkunjung ke gereja-gereja mereka pada hari Ahad, anda akan lihat bahawa khutbah mereka kerap bertumpu kepada perkara harian yang praktikal.

Mereka mengupas tentang bagaimana menangani tekanan kerja, bagaimana menjaga keseimbangan kerja-keluarga, membesarkan anak dalam batas yang beragama tetapi moden dan sebagainya.

Saya mengetahui satu gereja mega yang aktif memberi ruang keprihatinan terhadap anak muda yang bekerja.

Jadi sebulan sekali mereka akan menganjurkan perjumpaan komuniti untuk berkongsi fikiran dan membincangkan isu-isu bersama, atau mengadakan pertemuan bagi pasangan muda yang baru berkahwin di mana mereka akan mengundang kaunselor untuk bercakap tentang bagaimana mendisiplinkan anak.

Fokus terhadap keperluan harian yang praktikal adalah sesuatu yang kurang diketengahkan oleh gereja-gereja tradisional. Jadi tidak mengejutkan bahawa tarikan Kristian Evangelical semakin meningkat, dan bukan hanya di Malaysia.

S: Tetapi contoh yang anda berikan hanya menggambarkan strategi dan pendekatan mereka. Mesti ada sesuatu yang lebih dari itu.

Apa yang mendorong tarikan yang meluas di belakang perkembangan Kristian Evangelikal dari segi rohani dan falsafah?

J: Pendekatan tafsiran literalisme yang umum dalam gereja Evangelikal, di samping ketiadaaan sebarang ikatan kepada tradisi menawarkan seseorang individu itu hubungan yang lebih langsung dengan Jesus.

Natijahnya, perhubungan dengan Jesus sama sekali tidak diperantara oleh mana-mana autoriti atau hierarki. Ini juga menyebabkan Kristian Evangelical tidak terikat dengan banyak amalan ritual.

Konteks kepercayaan Kristian Evangelical juga adalah lebih kontemporari dan bersifat individualistik, berbanding dengan gereja Ortodoks atau Katolik di mana anda akan lebih terikat kepada Gereja sebagai komuniti global yang bersifat transnasional dengan sejarah yang panjang.

Ini membuka ruang luas buat kelompok Kristian Evangelikal untuk mendukung trend-trend moden. Sebagai contoh, muzik rock Kristian sudah menjadi suatu fenomena global kerana hemah budaya fleksibel yang ditawarkan Kristian Evangelikal.

Jadi ceramah-ceramah gerejanya lebih menarik, segar dan mampu membahas kerangka isu yang luas dan lebih relevan dengan kehidupan moden.

S: Adakah gereja-gereja Evangelikal di Malaysia dibangun sebagai pakatan yang padu, atau adakah mereka kebanyakannya terhubung dalam jaringan yang longgar?

J: Jaringan yang longgar. Adalah penting untuk mengingatkan bahawa kelompok Kristian Evangelikal bukan suatu blok monolitik. Terdapat kepelbagaian dan perbezaan yang serius dan mendalam di kalangan mereka.

Tetapi apa pun ada wujudnya kesamaan keluarga: teologi mereka, seperti yang saya ungkapkan tadi, adalah berdasarkan telogi Anglo-Saxon.

Ahli mereka secara amnya terdiri dari kelas pertengahan bandar, dan majoritinya dalam lingkungan usia akhir 20an dan awal 30an, kebanyakannya dari kelompok cendekiawan yang profesional.

Majoriti dari mereka juga adalah Kristian generasi pertama. Dengan erti kata lain, mereka adalah orang yang memeluk Kristian dari agama lain.

Bagi kebanyakan Evangelikal Malaysia kontemporari, Kristian Evangelikal adalah pendedahan mereka yang pertama dan sebenar terhadap agama Kristian.

Kristian Evangelikal dan Politik

S: Kenyataan bahawa golongan Evangelikal lebih bertekad untuk menyebar agama menunjukkan bahawa mereka bukan dari jenis kelompok yang tidak politikal.

J: Untuk ini anda harus melihat perkembangan setelah 2008. Pra-2008 anda akan mendapati bahawa gereja Evangelikal secara amnya konservatif dan anti politik. Mereka tidak hiraukan tentang politik atau isu-isu kerajaan.

Pasca-2008, anda boleh melihat perubahan. Mereka lebih berminat dengan hal ehwal semasa.

Kebanyakan mereka sekarang, terutamanya gereja-gereja Evangelikal yang besar, akan menyediakan senarai pengundi dalam gereja dan akan menjemput pendakwah untuk berceramah di atas mimbar tentang politik Malaysia.

Paderi-paderi malah menganjurkan halaqah doa untuk berdoa tentang situasi politik di Malaysia. Ini luar biasa. Sebelum 2008, untuk membincangkan hal politik di gereja adalah aneh.

S: Adakah semuanya digerakkan oleh politik partisan?

J: Tidak secara langsung tetapi bayangannya pro Pakatan Rakyat. Mereka tidak akan mengatakan keluar dan pangkah calon si polan itu atau ini, namun mereka akan berkata: keluar dan undi, jadilah rakyat yang aktif dan bertanggungjawab.

S: Jadi semua itu dilakar setelah 2008, tetapi apa yang berlaku sebelum 2008? Mengapa kelompok Kristian Evangelikal tidak seaktif dalam politik sebelumnya?

J: Masyarakat Kristian Malaysia secara umumnya tidak terlibat dalam politik dengan aktif sebelum 2008.

Apa yang berlaku pada 08 adalah reaksi untuk berhadapan dengan percubaan panjang gerakan polisi Islamisasi negara yang bermula pada 1980an dan kian menghakis hak-hak Kristian.

Sebagai contoh, permit mendirikan gereja boleh mengambil sehingga 20 tahun untuk diluluskan.

S: Kenapa? Apakah alasan yang mereka berikan?

J: Tidak ada penjelasan. Kita kemukakan permohonan dan lepas itu tunggulah dan bersabar dengan penangguhan.

S: Dan ini masalah eksklusif Kristian, atau adakah komuniti kepercayaan lain juga berhadapan dengan hadangan yang sama?

J: Ini bukan hanya masalah Kristian. Agama lain juga turut menghadapi kesulitan.

S: Apakah isu-isu lain yang berbangkit?

J: Kawasan perkuburan: masalah tanah perkuburan yang tidak mencukupi untuk masyarakat Kristian. Sekolah misionari: tiada sekolah misionari baru yang didirikan selain apa yang telah diwarisi dari peninggalan kolonial.

Bukan sahaja itu, wujud juga masalah tentang autonomi. Bangunan sekolah yang dikuasai oleh gereja namun Kementerian Pelajaran mengaturkan siapa yang akan mengajar di sana.

Selalu juga berlaku senario di mana Kementerian Pelajaran (MOE) tidak memahami falsafah sekolah berkenaan dan melantik guru besar yang mungkin tidak memahami semangat sekolah tersebut dan membawa perubahan yang menghakis identiti sekolah.

Terdapat juga faktor ketandusan kewangan untuk menyelenggarakan sekolah. Jadi jika terdapat sesuatu yang perlu diperbaiki sekolah sendiri yang terpaksa menampung biayaannya.

S: Tidak pernahkah timbul isu tentang murtad sebelum ini?

J: Tentunya ada. Ia hanya tidak dipolitikkan sehingga baru-baru ini.

Dalam pergelutan tersebut kita telah melihat kenyataan yang semakin ekstrim dan melampau dikeluarkan mengenai Islam [dari segelintir kelompok Melayu-Muslim], yang secara langsungnya menambah kekhuatiran orang-orang bukan Islam terhadap hak-hak mereka sebagai rakyat Malaysia.

Jadi lama-kelamaan timbul ketakutan di kalangan masyarakat Kristian yang diiringi pula tanggapan bahawa polisi dan perundangan agama negara memberi kesan yang serius kepada kehidupan mereka.

S: Bagaimanakah pemimpin-pemimpin gereja menyatakan kerisauan mereka?

J: Mereka akan mengatur pertemuan dan mengadakan perbincangan dengan pemerintah.

Tetapi masalah yang sering ditempuh bukan dengan kelompok elit di tahap atas, yang biasanya akan bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin gereja, namun dari kalangan birokrat di bawah dan peringkat akar umbi.

S: Mengapa pemimpin-pemimpin gereja tidak tampil kepada Najib tentang masalah dengan birokrat-birokrat tersebut?

J: Itu berlaku setiap tahun. Tetapi persatuan Kristian di Malaysia tidak mempunyai kuasa. Mereka hanya boleh menasihat.

Jadi setelah menemui beberapa kebuntuan, masyarakat Kristian secara keseluruhannya merasakan mereka tidak mempunyai pilihan selain dari menuntut hak mereka di arena politik.

S: Jadi apakah jenis perubahan yang dicari gerakan Evangelikal keseluruhannya?

J: Ia hanya ke tahap status-quo sebenarnya. Keghairahan terhadap perubahan hanyalah minimal.

Mereka mahukan kerajaan yang bersih, mereka galakkan ahlinya supaya kerap menyumbang kepada kebajikan, tetapi mereka tidak menangani struktur atau sistem sosio-ekonomi yang menindas atau apa saja yang mendalam seperti itu.

Perubahan yang dipinta masih dalam kerangka penyertaan dalam pilihanraya. Terdapat retorik yang jelas tentang aktivisme tetapi akhirnya politik tertumpu dalam rangkuman isu-isu kelas pertengahan.

S: Apakah isu-isu tentang Malaysia atau polisi yang sering diangkat dalam diskusi?

J: Yang paling utama adalah isu tentang kebebasan agama. Ini hampir sama di kalangan semua gereja. Isu rasuah juga diketengahkan.

Benar, wacana utama berkisar membawa perubahan yang selari dengan nilai-nilai Kristian supaya rakyat Kristian di Malaysia menjadi warga yang baik.

Namun, tentunya tiada barisan Kristian yang padu di luar sana, hanya kecenderungan untuk membincangkan politik jelas terjelma sebagai satu trend yang luas.

S: Apakah aspek kebebasan agama yang paling ditekan?

J: Kepentingan menghormati batas perlembagaan, yakni artikel 11.

Sejak tahun-tahun akhir ini, seperti yang kita tahu, beberapa kontroversi timbul dan ramai Kristian, bukan hanya Evangelikal, merasakan bahawa kerajaan telah menceroboh beberapa had kuasanya.

Jadi masyarakat Kristian Malaysia berminat untuk mendirikan satu Malaysia yang lebih inklusif.

S: Tetapi adakah tuntutan yang lebih konkrit diketengahkan, contohnya kebebasan untuk berkhutbah di media massa, atau perlindungan ke atas mereka yang berpindah agama? Bolehkah saudara mengemukakan contoh-contoh khusus.

J: Tidak banyak yang dituntut dalam terma yang konkrit atau khusus.

S: Kerana khuatir terhadap kesannya jika tuntutan yang lebih konkrit dibuat?

J: Ya, jadi tuntutannya masih umum, kekal dalam kerangka kebebasan agama yang telah digariskan dalam perlembagaan.

S: Jadi apa yang membuatkan PAS sebagai pakatan yang lebih dipercayai dalam usaha saudara mengejar kebebasan agama?

Tokoh-tokoh seperti Mat Sabu and Dzulkefly Ahmad pernah bercakap di gereja dan itu banyak membantu menghilangkan ketakutan.

S: Najib pun ada pernah cuba untuk beramah dengan komuniti Kristian bukan?

Masalahnya bukan Najib tetapi BN. Rakyat telah mual selepas 55 tahun. Tambahan pula, tidak kira apa yang anda katakan, PAS lebih bersih, paling kurang secara relatif.

Apa yang penting adalah anda tidak boleh melihat pempolitikan rakyat Kristian Malaysia sebagai satu aliran yang terpisah daripada trend perubahan politik Malaysia dewasa ini.

Penyertaan Kristian dalam politik merupakan sebahagian dari arus sentimen yang lebih besar yang telah letih dengan pemerintahan BN.

S: Bagaimana dengan keseluruhan kontroversi Hudud?

J: Menyentuh tentang Hudud, saya secara peribadi fikir itu semua retorik pada tahap ini. Kita harus berpegang kepada perlembagaan.

Saya amat hormati Islam sebagai agama persekutuan tetapi perlaksanaan Hudud menuntut perubahan minda yang drastik di kalangan golongan bukan-Islam, dan ini saya lihat tidak akan berlaku.

Tentang perpindahan agama

S: Kaum Melayu bimbang. Prasangka umum menjangka bahawa golongan yang bertanggungjawab memurtadkan orang Islam bukan penganut agama Buddha atau Hindu, namun agama Kristian.

Dan sekiranya mereka perhati lebih dekat mereka akan mendapati bahawa yang aktif menjalankan usaha pemurtadan bukan kelompok Katholik atau Lutheran tetapi kelompok Evangelikal. Adakah prasangka ini betul?

J: Kristian Evangelikal tidak memurtadkan orang Melayu. Mereka tidak akan mencapai kepada kelompok Melayu.

Saya tidak dapat bercakap tentang kumpulan Evangelikal kecilan atau pinggiran, tetapi dalam rangka yang besar, secara keseluruhannya, ia tidak berlaku.

Evangelikal Kristian mengiktiraf bahawa majoriti di negara ini adalah Melayu-Islam. Jadi kita terima bahawa penyebaran agama hanya boleh berlaku di kalangan bukan-Melayu.

Saya tidak pernah ke gereja di Malaysia ini dimana saya akan bertemu dengan individiu Melayu. Tentu seseorang dapat menunjuk kepada Lina Joy sebagai contoh, tetapi ini benar-benar satu kes yang amat jarang dan terkecuali.

S: Tetapi jika itu benar mengapa terdapat begitu banyak protes terhadap pengharaman penggunaan kalimah “Allah” dalam Bahasa?

J: Kontroversi ini sebenarnya lebih sensitif bagi Kristian di Sabah dan Sarawak yang memakai Bahasa Malaysia dalam ceramah dan servis mereka.

Malah, terdapat konsensus yang kuat di kalangan Kristian di Semenanjung yang menyatakan bahawa ada ruang untuk bertolak ansur dalam hal ini.

Ramai Kristian di Semenanjung merasakan bahawa Allah bukan kalimah yang penting untuk mereka.

Bagaimanapun, Kristian yang mempertahankan penggunaan kalimah Allah berhujah bahawa apa jua pun, Bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan dan memandangkan kita rakyat Malaysia, mengapa tidak digunakan saja perkataan ini?

Allah telah digunapakai oleh Kristian Arab sejak zaman yang panjang tanpa menimbul apa-apa kemusykilan, jadi apa masalahnya? Bahasa sepatutnya menjadi medium komunikasi kebangsaan, tetapi mengapa terdapat kawalan yang ketat terhadapnya?

S: Jadi jika Evangelikal tidak memurtadkan rumpun Melayu mereka pasti mendakyahkan penginjilan kepada komuniti lain. Adakah terdapat ketegangan antara gereja sebagai hasilnya.

J: Ya, terdapat ketegangan yang jelas tetapi ia tidak mendatangkan permusuhan.

S: Saya bayangkan kelompok Katolik mungkin merasa kecewa. Proses penganutan agama mereka adalah jauh lebih kompleks dari proses penganutan agama Kristian Evangelikal.

Ia adalah seakan Katholik akan ketinggalan dalam meraih capaian penganut baru.

J: Ya, tetapi saya akan menyatakan ini: gereja yang lebih tua makin lama makin lebih berunsur Evangelikal dalam teologi dan pendekatannya.

S: Seperti DUMC (Gereja Methodis Damansara Utama)?

J: Seperti DUMC. Jadi anda temui gereja yang lebih terkemuka, mereka akan mengapungkan metod yang lebih moden. Mereka menggunakan muzik kontemporari, menangani isu harian yang praktikal dan menumpukan lebih kepada Evangelisme juga.

Tetapi kerana mereka gereja yang tradisional yang berakar kepada suatu sejarah dan hierarki yang tertentu mereka tidak dapat tangkas mara dengan proses modenisasi selancar kelompok Kristian Evangelikal.

Jadi memang ada persengketaan antara gereja, ia tidak mengakibatkan krisis di dalam komuniti Kristian.

Tetapi pertembungan yang paling besar adalah antara umat Kristian dengan penduduk bukan Islam bukan Melayu di Malaysia, terutamanya Hindu.

Ketidakpuasan terhadap kelompok Kristian Evangelikal disuarakan dengan jelas dalam komuniti Hindu, bahkan lebih dari komuniti Buddha.

S: Apa yang anda rasa mencetuskan kontroversi DUMC?

J: Dari apa yang saya tahu acara yang diserbu bukan acara yang dirancang DUMC. Ia digerakkan oleh organisasi yang berbeza yang hanya menggunakan ruang gereja.

Jadi saya fikir kontroversi ini telah tersasar haluan dan tersilap dalam banyak hal.

Tetapi, adalah malang sekiranya benar-benar terdapat bukti pemurtadan. Kadangkala beberapa Evangelikal terlampau ghairah sampai terlupa kontrak sosial yang membentuk masyarakat Malaysia.

Bagaimanapun, ia tidak mencerminkan komuniti Kristian secara keseluruhan seperti yang saya katakan tadi.

S: Apakah pesanan anda kepada kaum Melayu dan Muslim?

J: Fahami tradisi Kristian. Tragedinya adalah golongan Muslim dan Kristian telah menempuh jalan yang berlainan dan tidak lagi berinteraksi.

Logik saya adalah kebanyakan Muslim cenderung mengaitkan Kristian Malaysia dengan Kristian dari Barat.

Namun mereka harus faham bahawa walaupun kepercayaan kita bertembung, sebagai rakyat Malaysia, kita mempunyai naratif sejarah dan pengalaman hidup yang sama.

Golongan Kristian di Malaysia adalah lebih sensitif, prihatin dan bertimbang rasa dari apa yang biasa ditanggapi orang Melayu.

Kita faham bagaimana negara ini dilakar dan dibangunkan. Kita tidak cuba memurtadkan orang Islam. Kita iktiraf sejarah bangsa dan perlambagaan negara.

Akan selalu terdapat kumpulan pelampau, tetapi sedihnya ekstremisme memuntahkan ekstremisme.