Larangan kalimah Allah: Suatu renungan

Setelah beberapa ketika isu kalimah Allah di gembar-gembur di media dan mahkamah, timbul pula isu mengenai titah baginda Sultan Selangor baru-baru ini bahawa semua rakyat negeri itu, tanpa mengira agama dan keturunan, perlu akur dan mematuhi larangan penggunaan Kalimah Allah untuk mereka yang bukan beragama Islam.

Sebab Larangan dibuat

Perkara itu ditetapkan setelah berbinang dengan Dewan diRaja Selangor yang bersidang pada 11 November lalu seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 9 Bahagian 1 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Dikalangan Orang Islam) 1988. Enakmen tersebut terpakai kepada semua orang sama ada Islam atau bukan Islam dalam negeri Selangor.

Sebab yang lain adalah untuk mengelakkan kekeliruan umat Islam di negeri ini dengan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain dalam agama mereka, kerana kalimah Allah bagi umat Islam adalah merujuk kepada Tuhan Yang Satu seperti yang terdapat dalam surah Al-Ikhlas sebagaimana titah baginda.

Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 (En. 1/88)

Ramai penduduk Selangor yang bukan Islam tertanya-tanya adakah hak kebebasan beragama dilindungi atau dikawal?

Kewujudan enakmen ini adalah salah satu bentuk intimidasi ke atas mereka. Setelah diselidik enakmen ini, dilampirkan satu jadual iaitu Jadual 1 (Sekysen 9) Bahagian 1 yang terkandung perkataan-perkataan (35) dan luahan yang tidak boleh digunakan atau dikaitkan dengan orang bukan Islam.

Kaitan dengan Perlembagaan Persekutuan

Perkara 11 (4) ada menyebut: “Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.”

Menurut Perkara 3 perlembagaan negara, Islam merupakan agama rasmi persekutuan. Namun agama-agama lain bebas diamalkan di mana-mana bahagian persekutuan tanpa boleh disekat. Ini bermakna kebebasan beragama sebagai sebahagian hak asasi manusia dijamin di sisi perlembagaan negara.

Namun berbanding agama-agama lain Islam mendapat keistimewaan dan perlindungan di bawah undang-undang .

Kesan Perlaksanaan

Artikel ini bukan untuk mengajak pembaca untuk mengutuk mahupun akur terhadap peruntukkan undang-undang yang dilihat seakan-akan meminggir penganut bukan Islam di Malaysia.

Ianya lebih kepada kesedaran mengenai implikasinya ke atas penganut bukan Islam. Pertama, jikalau kesemua enakmen diwartakan dan dilaksanakan serta-merta, akan ramai penganut bukan Islam dihukum melaluinya dengan pelbagai kesalahan.

Dari sudut penganut bukan Islam, mereka tidak boleh mengamalkan agama mereka secara terang-terangan kerana khuatir dikenakan tindakan. Kedua, artikel-artikel, penulisan, akhbar, kitab suci serta buku-buku keagamaan mungkin akan ditapis, disekat dan dipaksa untuk suntingan semula.

Ketiga, ianya telah melanggar kontrak sosial sebagaimana dalam Perjanjian 18/20 Perkara Sarawak dan Sabah pada 1963. Sabah dan Sarawak telah dijanjikan Perkara 1: Agama bahawa apa-apa perundangan dalam Perlembagaan Persekutuan tidak terpakai kerana di Sabah dan Sarawak tiada agama rasmi. Rata-rata ada juga penduduk Sabah dan Sarawak tinggal di Semenanjung Malaysia atas tuntutan nafkah hidup. Adakah mereka juga dikenakan tindakan menurut enakmen itu jika disabit kesalahan?

Apa yang harus diperbuat?

Apa yang ingin penulis katakan di sini ialah bahawa keadaan kepelbagaian dan keharmonian agama dilihat seakan-akan telur dihujung tanduk. Terlalu banyak kerosakan telah terjadi sehingga usaha untuk menyatupadukan penduduk berbilang kaum dan agama kelihatan sukar dilaksanakan.

Antara cadangan yang boleh dikemukakan disini adalah, semak semula semua undang-undang yang ada di negara Malaysia ini termasuk Perlembagaan Persekutan, Undang-undang Negeri dan Undang-undang Syariah. Adakah ianya menepati kontrak sosial Persekutuan Malaysia yang termeterai pada 16 September 1963? Jika bercanggah, perlunya satu usul dibawa di Parlimen bagi pindaan yang sesuai secara adil dan saksama.

Kedua, tukar mentaliti kita sebagai rakyat Malaysia. Kita ada Rukun Negara, gagasan 1Malaysia dan Wawasan 2020. Semua pihak, dari pemerintah sehingga kakitangan swasta dan kerajaan sewajarnya dibentuk dan diasah untuk berfikiran matang dan terbuka dalam pelbagai perkara dalam kehidupan seharian kita.

Akhir kalam, dialog merupakan salah satu kunci untuk mampu mematangkan toleransi antara kaum dan agama didunia ini. Manusia sememang hidup dalam kolompok berbeza-beza dalam pemikiran mahupun cara hidupnya. Namun demikian, demi keamanan wajarlah kita berusaha untuk mencapai ke arah itu.

 

 

 

unnamed