Maaf kepada Evelyn Beatrice Hall atau #JeSuisCharlie

Penterjemahan With apologies to Evelyn Beatrice Hall or #JeSuisCharlie  makalah oleh Umapagan Ampikaipakan dan Ezra Zaid. Penterjemah: Johan Zolhaidi

 

Rabu lepas kita dipaksa oleh samseng-samseng yang bersenjata untuk berdiam diri.

Mereka dipacu oleh nafsu amarah, ideologi dan ketiadaan nilai-nilai agung yang ada di dalam setiap budaya dan tamadun manusia, mereka membunuh atas alasan ianya adalah sesuatu yang benar-benar soleh.

Seperti biasa, keadaan yang berlaku selepasnya adalah pujian-pujian terhadap kebebasan ataupun hak kita untuk menyatakan pendapat kita dengan terbuka. Kerana di kala berlakunya tragedi, adalah penting bagi kita untuk menyatakan semula tentang apa yang ketara di dalam kehidupan kita.

Ianya merupakan sesuatu yang fundamental. Setiap pencapaian spesis manusia terlahir daripada kebebasan bersuara. Dan ianya juga jelas bahawa untuk melindunginya memerlukan keberanian yang hebat dan komitmen yang benar-benar utuh.

Sudah lama kita semua dipupuk dan diajar untuk menjaga dengan penuh kasih dan teliti, untuk melihat apa yang kita lakukan, tulis, cakap ataupun lukis.

Kita diajar untuk sedar bahawa ujaran yang tidak membawa apa-apa bala juga boleh dikirakan sebagai sesuatu yang meyinggungkan – walaupun benda itu adalah lukisan biasa ataupun pernyataan yang tidak langsung berbisa. Kita sudah dibersihkan dengan tuturan politikal yang dibenarkan dan dimandulkan dengan ketakutan hukuman.

Secara tidak langsung, penyederhanaan itu disalah ertikan dan kita gagal untuk menyuarakan pendapat sebagai diri kita sendiri, dan apa yang kita inginkan di dalam masyarakat kita.

Dan walaupun kita memetik pernyataan Voltaire, ianya dilakukan atas sesuatu yang sia-sia. “Saya melindungi hak kamu walaupun saya tidak bersetuju dengan kamu. Saya melindungi hak kamu walaupun kesalahan kamu jelas.

Saya melindungi hak kamu, tapi …, saya melindungi hak kamu hanya kerana pembunuhan lebih teruk daripada perlekehan.”

Disitu terletaknya ketidakikhlasan terhadap sokongan kita yang penuh rasa ragu terhadap kebebasan bersuara.

Dengan apa yang terjadi di Paris, menyalahkan kartunis dan karya mereka adalah sama seperti menyalahkan mangsa rogol dengan pakaian yang mereka pakai.

Kenyataan bahawa kartun yang diterbitkan oleh Charlie Hebdo adalah xenofobik dan rasis adalah suatu percubaan untuk mengalihkan perhatian kita daripada wacana bahawa satira bukan hanya harus dilindungi, tetapi ianya harus dipertahankan.

Kenyataan xenofobik dan rasis itu lahir daripada kurangnya pemahaman kita terhadap fungsi dan bentuk satira.

Jika benar kebebasan bersuara itu adalah sesuatu yang fundamental, maka satira adalah kayu ukur yang utama. Satira yang hebat membawa peranan seakan cermin. Ianya mempunyai pengetahuan yang intim tentang subjeknya dan pemahaman yang mendalam tentang motivasi disebaliknya.

Satira, lebih daripada bentuk ekspresi yang lain, jelas bersandarkan fakta dengan realiti. Hanya satira merupakan bentuk yang lebih ekstrem. Ianya sesuatu yang berlebihan dan dilakukan dengan penuh ghairah. Dan kerana itulah satira adalah sesuatu daya yang hebat dan meyakinkan. Ianya sebahagian daripada proses yang harus dan sihat untuk mendamaikan diri kita dengan sesuatu yang dahulunya dikira sebagai tabu.

Dan bagaimana jika kita adalah penerima kepada kritikan tersebut? Melewati perasaan yang tidak selesa itu – selalunya hati yang terguris dan tidak yakin – wujudnya satu proses katarsis yang membolehkan kita untuk menjangkaui dan menghadapi ketakutan-ketakutan yang wujud selama ini.

Satira memang akan menghasilkan rasa yang tidak selesa. Ianya dihasilkan untuk membangkitkan kemarahan. Ianya memang digunakan untuk menyakitkan hati. Ianya dihasilkan untuk melampaui batasan yang ada. Untuk mengambil sesuatu yang suci dan mempersoalkannya.

Untuk mencela tingkah laku kita, untuk menyerlahkan segala sikap buruk pada setiap individu – ketidakadilan kita, kebodohan kita, salah guna dan kelemahan kita. Tanggungjawab satira adalah untuk mengingatkan kita bahawa tiada apa yang suci. Ianya dihasilkan untuk mempersoalkan setiap kepercayaan kita, untuk memberi keutamaan kepada kerapuhan kita, kepada prejudis kita, dan juga kepada keinginan dan pemikiran kita yang paling dalam dan paling gelap.

Untuk membawa kesemuanya keluar melalui cara yang agresif dan memaksa kita untuk menghadapinya. Bukan untuk menghiburkan kita, tapi untuk membuat kita fikir.

Jika benar kebebasan bersuara itu adalah sesuatu yang fundamental, maka satira adalah kayu ukur yang utama. Sejak kebelakangan ini, kita melihat satira melalui susunan bingkai kartun dan juga di dalam melalui medium filem di Hollywood. Tidak semua satira itu elegan. Banyak juga karya satira di luar sana yang tidak ditulis dengan sindiran yang cerdik dan pandai seperti yang selayaknya dilakukan.

Dan kepada karya mereka, kamu boleh mengkritik, meleter ataupun mencela. Tetapi kritikan kamu harus berhenti di tahap mengarahkan agar karya mereka ditapis. Kerana walaupun kartun-kartun itu jauh daripada ideal yang sepatutnya, dan sebanyak mana kita tidak bersetuju dengannya, satira harus dipelihara.

Kerana, di penghujung hari, bukan kata-kata dan gambar-gambar yang tidak bermoral. Kerana kebebasan bersuara bukannya suatu pembunuhan, dan pembunuhan bukannya kritik yang bermakna.