“Mak Bapak Tak Bagi, Apa Nak Buat?” : Ulasan Forum & Beberapa Persoalan

Oleh Johan Zolhaidi

 

Keluarga kita secara alaminya dilihat sebagai golongan penguasa yang pertama. Kita yang dilahirkan membesar dengan mengikut telunjuk ibu bapa. Memahami keadaan dunia melalui penerangan mereka, dan sedikit sebanyak berbicara mengenai keadaan semasa melalui pergelutan pendapat bersama mereka.

Dan pastinya, perjalanan kehidupan kita sebaik-baiknya lancar jika tiada silap faham di antara kita dan golongan ibu bapa.

Tetapi bagaimana pula dengan anak-anak yang sejak kecil, merasakan bahawa wujudnya suatu percanggahan yang nyata dengan makna dunia yang diberikan oleh ibu bapa mereka?

Bagaimanakah kedamaian boleh dicapai jika sesuatu yang benar-benar sensitif dan tabu ini diutarakan?

Begitulah antara persoalan-persoalan yang dinyatakan sewaktu berlangsungnya forum anjuran kerjasama Projek Dialog dan Dialog Jalanan dengan tajuk: “Mak Bapak Tak Bagi, Apa Nak Buat??”.

Ya, forum ini menekankan aspek hak asasi anak-anak yang bercanggah pendapat dengan ibu bapa mereka. Sesuatu isu yang bercanggah itu berbeza mengikut individu – ada yang bercanggah dari isu agama, politik, seksualiti, pilihan pasangan/gaya hidup, dan lain-lain lagi.

Seringkali kita berbicara mengenai ruang hak asasi yang berkait rapat dengan ruang awam. Tetapi bagaimana pula dengan ruang peribadi keluarga? Bukankah di dalam ruang peribadi secara alaminya wujud hairaki yang tidak dapat disangkal?

Bapa/Ibu sebagai ketua dan berada di ruang yang sama, kesedaran akan rasa hormat telah ditetapkan sejak kecil. Dan bermula dari ruang peribadi keluargalah, kesedaran untuk menentang daya kekuasaan/pemaksaan itu bermula. Harus diingatkan terlebih dahulu, artikel ini tidak dihasilkan untuk menyatakan apa yang benar dan mutlak secara didaktik.

Tetapi artikel ini mengenal pasti dan mengakui kewujudan sesuatu landasan sebagai proses dialog yang diperlukan.

Untuk apa ianya dilakukan? Untuk kewujudan empati, pengakuan akan keberadaan dan sudut pandang kewujudan manusia yang lain, dan mungkin sahaja pada akhirnya adalah pengakuan akan kedinamikan kehidupan yang tidak pernah jumud.

Sesi Dialog Jalanan pada kali ini disertai oleh Suri Kempe dari United Nations Development Programme (UNDP) dan juga Terry Nuriman, seorang aktivis muda sebagai panelis. Kedua-duanya mewakili sudut pandang peribadi untuk berkongsi pengalaman akan percanggahan pendapat dengan golongan yang membesarkan kita.

Adakah ianya sesuatu isu yang remeh? Ya jika ia bersangkutan dengan isu pilihan warna baju pada hari perayaan dan tidak jika ianya bersangkutan dengan isu agama dan hal-hal sudut pandang dunia yang mewakili realiti setiap individu yang menjalani kehidupannya sendiri.

 

12377630_790694557707823_6747067685022827560_o

 

Sikap keterbukaan dalam proses mendidik anak-anak

 

Soalan pertama yang diutarakan adalah kepada Suri Kempe, sebagai seorang ibu yang berkerjaya menghadapi persoalan-persoalan besar sebagai hal keagamaan dan isu seksual. Beliau menyatakan dengan jelas bahawa anak-anak secara pastinya tidak mengikut arahan dan seperti biasa arahan yang dilaksanakan adalah salah satu cara bagi mereka menyesuaikan diri mereka untuk hidup bermasyarakat.

Beliau mengingatkan para pendengar akan tanggungjawab golongan ibu bapa untuk turut terlibat dengan anak-anak mereka terhadap persoalan-persoalan seperti ini.

Dan keberanian menggalas tanggungjawab menghadap risiko terhadap pilihan-pilihan yang bakal dibuat oleh penerus baka mereka.

Keterbukaan seperti ini menurut saya, hanyalah pendekatan yang sebaik-baiknya diambil oleh golongan ibu-bapa dan tidak semestinya mencerminkan nilai-nilai yang wujud melalui mereka, baik yang konservatif ataupun progresif.

Mereka sebagai pemimpin di dalam ruang peribadi keluarga, seharusnya mengenali dan memahami kedinamikan sudut pandang anak-anak mereka, lebih-lebih lagi jika lingkungan yang wujud di keliling mereka menjangkaui hegemoni kebudayaan yang ada.

Jadi menurut Suri Kempe ada dua jenis golongan ibu bapa, pertama yang menghormati kepelbagaian pendapat anak-anaknya dan kedua adalah golongan ibu bapa yang ingin anak-anaknya membawa nilai-nilai dan sudut pandang dunia yang sama seperti mereka.

Secara biasa begitulah yang seringkali dihadapi oleh kita sewaktu berhadapan dengan ibu-bapa. Kita yang mewakili kesinambungan genetik mereka, dibesarkan oleh nilai-nilai yang difahami mereka secara tidak langsung diharuskan untuk meneruskan sudut pandang yang telah ada.

Dan jika berlakunya percanggahan pendapat, seperti yang biasa berlaku, di situlah timbulnya persoalan-persoalan akan pendekatan yang sebaiknya diambil.

Kemudian persoalan kedua diutarakan kepada Terry Nuriman mengenai keputusan beliau untuk menyatakan orientasi seksualitinya kepada kedua golongan ibu bapanya dan apakah faktor-faktor utama yang menentukan waktu bagi beliau menyatakan seksualitinya.

Beliau yang dibesarkan oleh ibu-bapa yang kuat beragama dari dua mazhab yang berlainan, disertakan dengan pendidikan keagamaan yang cukup bagi membentuk suatu perwatakan yang soleh tidak dapat menafikan orientasi seksualitinya dan keresahan itu telah memakan dirinya selama beberapa tahun, sehingga pergelutan peribadinya mendorong kepada keadaan kemurungan yang sukar dibendung.

Beliau seperti golongan muslim yang lain turut menjalani ibadah Haji, dengan harapan agar “sumpahan” yang dilaknat ini berakhir secepat mungkin dan tidak lagi ingin berselindung dengan kesedaran akan masyarakat yang tidak dapat menerima golongan sepertinya.

Tetapi mujurlah, dengan keadaan ibu-bapanya yang mampu menerima orientasinya, berupaya untuk terlibat di dalam perdebatan mengenai isu-isu seperti ini dengan penuh hormat, penuh terbuka dan tidak mempraktikkan penghinaan terhadap sesama sendiri.

Sama dengan pendekatan yang disyorkan oleh Suri Kempe, kedua-duanya menekankan aspek keterbukaan sebagai dorongan perbicaraan yang mampu membawa ke keadaan emosi yang lebih stabil.

Dan sekali lagi, sikap keterbukaan tidak bererti mendukung sesuatu ideologi yang spesifik sahaja.

Secara amnya sikap keterbukaan ini merupakan sesuatu alat yang diperlukan bagi anak-anak kita untuk menilai semula kepercayaan yang diterapkan kepada mereka sewaktu mereka membesar.

Suri Kempe memberi satu contoh di mana seorang anak yang telah memahami suatu konsep keagamaan yang dipegangnya, dipersoalkan semula oleh bapanya.

Bapanya menggunakan sikap keterbukaan yang ada bagi menilai semula apa yang dipercayai anaknya, sebagai alat yang mampu menguatkan lagi keinginannya untuk mempelajari konsep keagamaannya dengan lebih mendalam dan secara tidak langsung turut memahami konsep-konsep utama di dalam agama-agama yang lain, dengan harapan agar anaknya mampu berhujah, berbicara dan berbincang mengenai persoalan agama dengan pendekatan yang penuh hormat, jauh daripada pendekatan reaksioner yang seringkali mendorong ke arah ekstremisme yang melampau.

Dialog ini diteruskan dengan perkongsian oleh para pendengar yang hadir. Mereka meluahkan pengalaman peribadi mereka mengenai perselisihan pendapat akan persoalan-persoalan yang besar.

Salah satu daripada pendengar yang hadir pernah menerima ugutan mati, hanya kerana beliau dengan penuh keberanian mengakui akan konsep keagamaan yang jelas bercanggah dan berlainan dengan keluarganya yang lain, sehinggakan sokongan kewangan untuk meneruskan pelajaran juga turut ditarik balik.

Dan sinilah, pada akhirnya yang dipersoalkan adalah pendekatan keluarga terhadap percanggahan pendapat di dalam sesuatu hal.

Dan akhirnya Suri Kempe memberi suatu contoh yang baik. Beliau mengaitkan sikap keterbukaan dan proses berdialog dengan memberi contoh di mana suatu organisasi yang melaksanakan pendidikan seks di kalangan anak-anak kecil menggunakan pendekatan dialog di kalangan ibu bapa dan ini dilaksanakan di Afghanistan.

Mereka membuat kaji selidik akan hal-hal seksual yang ingin diketahui oleh anak-anak kecil. Terkejut dengan hasil-hasil kata kunci yang diberi anak-anak kecil tersebut, mereka mulai melaksanakan dialog dengan golongan ibu-bapa yang pada awalnya menolak pendidikan seks kepada anak-anak.

Dengan berlangsungnya dialog yang mengambil masa yang lama, mereka bekerjasama untuk menggunakan pendekatan berteraskan kesepakatan sesama mereka mengenai cara-cara untuk menjawab persoalan-persoalan seksual yang semestinya lambat laun akan dipersoalkan oleh anak-anak mereka.

Berdasarkan proses dialog seperti inilah, penekanan akan sikap keterbukaan merupakan sesuatu yang perlu diterapkan, meskipun dihalangi dan dicabar oleh golongan-golongan reaksioner.

 

12313937_788073877969891_1511467657929420536_n

 

Persoalan-persoalan yang timbul

 

Jika dinilai semula akan dialog yang diadakan ini, apakah persoalan-persoalan ataupun kritikan yang timbul?

Pertama menurut saya, mampukah perkongsian pengalaman seperti ini, secara konkritnya mampu membawa kepada perbincangan yang lebih substantif seperti isu-isu teknikal ataupun kewujudan beberapa tokoh-tokoh besar yang sedang kuat menentang wacana yang hegemoni, konservatif dan mengongkong polisi-polisi tempatan, ataupun mampu membawa perbincangan seperti ini ke tahap yang lebih luas?

Mungkin sahaja disebabkan tajuk forum yang melibatkan golongan ibu bapa dan perselisihan pendapat di dalam ruang peribadi secara tidak langsung membawa tanggapan yang agak subjektif, jauh daripada topik-topik hangat yang diutarakan oleh golongan-golongan aktivis.

Kedua bagaimanakah sikap keterbukaan yang ditekankan oleh para panelis dapat dilaksanakan secara sistematik di sini? Salah satu kekurangan yang terdapat di dalam dialog ini adalah kurangnya pendekatan-pendekatan yang berlandaskan program yang jitu.

Ini memberi tanggapan kepada saya bahawa hasil perkongsian peribadi ini agak terbatas dan tidak mampu menjangkaui ke tahap yang seterusnya.

Ketiga, bagaimana pula dengan golongan-golongan minoriti yang tidak dibesarkan dengan sikap keterbukaan akan persoalan-persoalan yang sensitif, yang seringkali dibelenggu oleh keadaan kemiskinan yang melampau?

Bukankah pendekatan yang ditekankan ini semestinya berlainan perlaksanaannya? Kekurangan contoh dari golongan miskin yang menghadapi percanggahan pendapat seperti inilah yang seharusnya ditekankan, kerana pastinya tahap keterbukaan turut dipengaruhi oleh keadaan sosioekonomi seseorang.

Pengalaman-pengalaman merekalah yang seringkali dipinggirkan apabila dialog-dialog seperti ini dibuka untuk perbincangan ramai.

 

Sumber gambar: Reddit
Sumber gambar: Reddit

 

Kesimpulan

 

Akhir kata, sikap keterbukaan merupakan sesuatu yang mampu dipraktikkan dengan pendekatan yang menekankan proses sebagai sesuatu yang penting. Hasil daripada sesuatu proses adalah sesuatu yang bakal berlangsung di dalam jangka masa lama.

Maka tidak dapat tidak proses akan perbincangan seperti hal-hal ini (di dalam sesi dialog ini adalah isu perselisihan pendapat di dalam ruang peribadi) adalah sesuatu yang harus dihargai, dan pada masa yang sama mengakui akan kurangnya landasan bagi sesuatu isu yang sensitif seperti ini di kalangan penduduk tempatan.

Proses seperti ini memberi peluang kepada para pendengar untuk turut mengakui akan keberadaan golongan minoriti yang masih bergelut dengan realiti yang dibentuk oleh mereka.

Realiti yang semestinya disertai dengan cemuhan, permusuhan dan penindasan dalam pelbagai bentuk, dari ruang publik hinggalah ke ruang peribadi.

Ruang perbincangan kritis seperti ini, sama seperti ruang-ruang yang lain adalah permulaan yang dengan penuh harapan, dapat dilaksanakan dengan konsisten.