Malaysia Memihak Warga Palestin tetapi Berdagang dengan Israel

Malaysia Israel

Terjemahan makalah “Malaysia Favors Palestinians but Buys from Israel” terbitan Times of Israel pada 14 Sept 2014. Diterjemah oleh Hamizah Hanan.

Hubungan dalam Diam

Pada musim sejuk tahun 2013, Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak melangkah merentasi sempadan Mesir di Rafah untuk melawat Gaza di bawah pemerintahan Hamas, lawatan luar biasa oleh seorang ketua negara.

Beliau, yang negaranya tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, memberitahu wartawan: “Kami mempercayai perjuangan rakyat Palestin. Mereka telah disekat dan ditindas sejak sekian lama.”

Ianya jelas beliau berpihak kepada siapa. Namun pada masa yang sama, negaranya mengimport semakin banyak barangan Israel – namun tidak diperkatakan banyak tentangnya, terutama sekali semasa di Gaza.

Data rasmi yang diterbitkan oleh Israeli Central Bureau of Statistics (CBS) menggambarkan hubungan perdagangan antara dua negara ini berkembang pesat, tetapi secara senyap, walaupun Perdana Menteri di Jerusalem mengancam keganasan dan kerajaan pimpinan Najib di Kuala Lumpur jelasnya Islamis dan pro-Palestin.

Jumlah perdagangan antara kedua-dua negara pada tahun 2013 mencecah $1.529 billion, hampir dua kali ganda jumlah tahun 2012, menurut CBS. Angka tersebut kebanyakannya terdiri daripada eksport Israel, iaitu sebanyak $1.457 billion.

Kadar perdagangan terus meningkat: dari Januari hingga Julai tahun ini sahaja, eksport Israel ke Malaysia melonjak kepada $884.7 million, iaitu peningkatan sebanyak 27% daripada tempoh yang sama tahun lepas.

Sebaliknya, statistik perdagangan luar negara Malaysia tidak menyebut nama Israel sama sekali. Dalam data tahunan bagi 2012 misalnya, perdagangan dengan Israel dimasukkan ke dalam kategori “Negara-negara lain”.

Intel Israel

Mengapa Israel?

Sebahagian besar penyumbang kepada perdagangan ini adalah dari Kiryat Gat di dataran pasir selatan Israel, di mana syarikat gergasi global Intel mempunyai kilang cip komputer. Ia dieksport ke kilang pemasangan kedua di Malaysia.

Setiap penghantaran direkodkan dalam perangkaan perdagangan luar Israel tetapi sengaja diabaikan oleh Malaysia.

Intel sebuah syarikat yang berpusat di Amerika Syarikat, namun kerajaan Israel menjanjikan 5% pelaburan bersama di kilang Kiryat Gat itu, yang dianggarkan berjumlah mencecah satu billion shekel ($290 million).

Selain perdagangan barangan secara rasmi ini, terdapat juga perdagangan pesat di bawah tanah, yang nilainya sukar dianggarkan.

Para pengeksport Israel dan pembeli yang bersungguh di Malaysia dan juga negara jiran Indonesia – negara yang paling ramai penduduk Islam di dunia – dengan beraninya menentang arus politik demi perniagaan – sebahagian besarnya melalui negara ketiga seperti Singapura.

Kedutaan Israel di sana mengatakan bahawa kebanyakan perdagangan dilakukan dengan cara ini, dan dalam kes Indonesia, dengan bantuan keduataan.

Jumlah dagangan anatara Israel dan Indonesia, termasuk melalui negara ketiga, dianggarkan bernilai $250 juta pada tahun lalu, 10 kali ganda dagangan secara langsung sebanyak $24.9 juta yang diperincikan dalam perangkaan rasmi negara.

Saudi Israel

Bukan Perkara Baru, Bukan Terpencil

Perdagangan sulit antara Israel dengan negara-negara bermusuhan telah berlangsung selama beberapa dekad, melalui saluran seperti Cyprus, Turki dan Jordan.

Malah, sesetengah perdagangan secara langsung juga telah direkodkan kepada negara-negara di luar jangkaan seperti Arab Saudi dan Yamen.

Seperti dalam kes Asia Tenggara, tarikan eksport berteknologi tinggi dari Israel melebihi konflik politik pada ahli perniagaan di negara-negara ini.

Israel melihat perdagangan sebagai batu loncatan yang boleh membawa kepada lebih kerjasama dengan negara-negara bermusuhan.

Jurucakap Kementerian Luar Negara, Paul Hirschson menganggap jumlah perdagangan bersama Malaysia suatu “kejutan baikmanakala Indonesia “menngecewakan kerana rendah

“Israel banyak berdagang dengan negara yang tiada hubungan diplomatik dengannya dan kami cukup gembira dengan ini,” katanya.

Apa Matlamatnya?

Apabila ditanya sama ada wujudnya rancangan untuk dialog rasmi, beliau menjawab:

“Ianya bukanlah rahsia yang bahawa kami berdialog secara berkala dengan negara-negara ini. Kami mengalu-alukan kewujudan hubungan diplomatik dan pejabat perwakilan.”

Buat masa ini, memulakan hubungan peribadi dalam kancah politik berbahaya ini sudahpun suatu kejayaan dalam sendirinya.

“Semasa saya di sana dan bertemu dengan ahli perniagaan swasta, ia seperti biasa,” kata Ron Doron, ahli perniagaan Israel yang berpengalaman di Malaysia. “Orang hanya menakuti pihak atasan.”

Sentimen rasmi anti-Israel disuburkan setiap kali warga Malaysia membuka passport mereka, semuanya dicetak dengan kenyataan jelas bahawa “Pasport ini sah untuk semua negara kecuali Israel.”

Namun, ini tidak menghindari perdagangan. Bahan kimia, alatan perubatan dan farmaseutikal adalah antara barangan permintaan tinggi.

Permainan Persepsi 

Mereka yang berpengetahuan tentang perdagangan ini mengatakan semua produk dibuang lambang yang mampu mendedahkan tempat penghasilannya.

Ini bagi mengelakkan tercetusnya kemarahan seperti yang berlaku di Kuwait pada Januari lalu apabila khabar angin tersebar luas yang mengatakan kentang Israel dijual di pasaraya tempatan.

Perahsiaan adalah penting, kerana potensi kerosakan reputasi dan kewangan kepada syarikat-syarikat yang berurusan dengan Israel akan ada selagi wujudnya konflik Arab-Israel.

Menurut Emanuel Shahaf, naib pengerusi Israel-Indonesia Chamber of Commerce,

“Ada dua trend yang bercanggah. Trend pro adalah Indonesia menuntut barangan yang lebih berteknologi tinggi… Trend negatif adalah keadaan situasi politik yang semakin parah (berkenaan Israel).”

Walaupun begitu, menurut Shahaf, ia tidak semestinya menyekat perdagangan. “Kadangkala di Indonesia… yang dilarang itulah yang semakin menguja.”

Israel Indonesia

Antara Politik dan Perniagaan

Perkembangan politik terbaru nampaknya tidak cerah, namun barangkali kemerosotan perdagangan masih tidak akan berlaku meskipun runtuhnya rundingan damai yang diterajui AS antara Israel-Palestin pada bulan April dan permusuhan dengan Hamas diperbaharui.

Buktinya, perdagangan terus berkembang maju selepas kekecohan terakhir di Gaza pada tahun 2012.

Ketegangan politik menjadikan hubungan peribadi begitu penting dalam menjalinkan hubungan baru dan mencapai persetujuan dalam perniagaan.

“Syarikat-syarikat Israel selalunya tidak mempunyai kesabaran tinggi untuk jangka masa yang panjang,” kata Doron.

“Itu salah satu masalah syarikat-syarikat Israel. Di Asia, anda perlu melihat jangka panjang. Anda tidak boleh melakukan perniagaan jangka masa pendek. Ia mengambil masa untuk membina hubungan dan keyakinan.”

Hubungan peribadi ini sedikit sebanyak telah membina asas bagi keterbukaan rakyat Indonesia kepada Israel.

Steve Stein, yang telah menyelaras program-program kemanusiaan dan pembangunan di sana sejak awal 90-an, mengatakan bahawa rakyat Indonesia melihat Israel “secara positif” dan “ingin mengembangkan perdagangan dan pelaburan.”

Ia mungkin merangkumi “program khas jangka panjang Indonesia untuk memperkembangkan kerjasama akademik, pertanian demi keselamatan makanan dan perubatan,” kata Stein.

“Ini akan mendedahkan generasi muda Indonesia kepada Israel dan rakyatnya, komuniti akademik dan perniagaannya,” tulis beliau dalam email.

November lepas, Menteri Ekonomi dan Perdagangan, Naftali Bennett membuat lawatan ke pulau peranginan Bali di Indonesia, di mana beliau berucap pada sidang kemuncak Pertubuhan Perdagangan Dunia (World Trade Organisation).

Ia merupakan lawatan pertama seorang menteri Israel ke negara yang mempunyai penduduk Islam teramai di dunia selama 13 tahun. Walau bagaimanapun, ia difahamkan bahawa beliau tidak bertemu dengan mana-mana wakil kerajaan Indonesia.