Mamak, Kaaka dan Tulukan

Penterjemahan tidak rasmi Mamak, Kaaka dan Tulukan dari laman blog Sharmalan Theva. Diterjemah oleh Megat Hanis.

Generasi orang India Malaysia (kebanyakannya Tamil) hari ini, menggunakan terma bahasa Inggeris apabila memanggil orang tua seperti ibu bapa kepada rakan mereka. Kita selalu mendengar dialog seperti berikut :

“Hello Uncle, saptacha?” (Hello Pakcik, dah makan?)

“Hi Aunty! Sundar irukara?” (Hi Makcik! Sundar ada?)

Sewaktu dahulu, sekurangnya sebelum 1980-an, masyarakat lebih kerap berkomunikasi dalam Tamil. Oleh sebab itu, terma keturunan Tamil seperti Mama (abang kepada ibu) dan Athai (Isteri kepada Abang (Mama)) digunakan tidak kira sama ada mereka mempunyai apa-apa pertalian keluarga.

Ibu saya masih memanggil jirannya dahulu sebagai Athai dan Mama walaupun tiada pertalian darah.

Seperti yang kita sedia maklum, kebanyakan bistro yang kita lihat hari ini dimiliki oleh India Muslim. Sebelumnya, ia hanya dikenali sebagai “Kedai Mamak”

Ia bermula dengan kosong. Tiada pendingin hawa, tiada internet tanpa wayar, tiada nama-nama yang gah dan tentunya lebih murah. Hanya beberapa buah meja dan kerusi. Sekarang pun kita boleh lihat kedai sebegini. Semuanya berubah apabila iklan-iklan di dalam televisyen seperti Kelab Bola Sepak Dunhill sentiasa berlatar belakangkan “Kedai Mamak”.

Kenapa kita sebut sebagai Mamak?

Seperti yang saya kata sebelumnya, kita tak pernah guna “Uncle” atau “Aunty” macam zaman dulu. Pemilik gerai dipanggil dengan nama Mama.

“Mama! Oru mee goreng podungga” (Pakcik! mee goreng satu!)

“Mama ! oru tea sollungga” (Pakcik, teh satu)

Begitulah akhirnya Mama melekat dan menjadi perbualan masyarakat sebagai Mamak kerana orang bukan India pun menggunakannya. Sama juga jika Anna (abang ), disebut sebagai Anney, dan Macha (abang ipar) seperti yang digunakan sekarang.

Perkataan lain yang digunakan untuk India Muslim ialah Kaaka dan Tulukan. Kaaka ini maknanya sama seperti Mamak cuma ia digunakan untuk pemilik gerai Muslim Malayalee. Bukan Muslim Tamil.

Bagaimana dengan Tulukan?

Ratusan tahun dahulu, orang Turki memerintah sebahagian besar India. Adanya satu dinasti dikenali sebagai Tughlaks atau Tughluks. Mereka ini Turki Muslim.

India Muslim yang ada keturunan Turki (atau tiada) digelar sebagai Tulukan. Yang perempuan dipanggil sebagai Tulukachi. Di Malayalam, bahasa Turki dikenali sebagai Tuluk Basha.

Inilah asal usul perkataan Mamak,Kaaka dan Tulukan. Hari ini, semua India Muslim di Malaysia dipanggil sebagai Mamak.

Saya sebut pada awalnya perkataan Athai. Kata lain bagi Athai ialah Mami. Perkataan ini selalu digunakan oleh orang Tamil Ceylon dan orang Tamil Thanjavur.

Inilah sebabnya di Malaysia, anak-anak perempuan India Melayu-Muslim dipanggil sebagai Anak Mami yang sebenarnya bermaksud Athai Ponnu (Anak perempuan Makcik Saudara)