Melawan kebencian kolektif

Di dalam novel saya yang berjudul Bedar Sukma Bisu saya telah bertanya sebanyak dua kali menerusi watak Wefada; ‘Apakah yang lebih penting, kemakmuran (keperluan perut) atau kebebasan (keperluan benak)?

Jika makanan adalah keperluan atau alas perut dari kelaparan, apakah makanan akal atau alas benak dari kejahilan?

Agama adalah keperluan yang penting. Oleh kerana itu, dalam sesebuah negara demokratik, kerajaan sebagai bapa akan menjaga keperluan akal ini secara saksama dan tanpa diskriminasi. Hal ini menjadi lebih sulit kerana kerajaan juga perlu melindungi penganut agama minor.

Sebelum memahami apakah itu minoriti agama, wajar difahami apakah yang dimaksudkan dengan agama menurut standard antarabangsa. Definisi agama sangat luas meliputi kepercayaan, panduan baik dan buruk atau moral, yang turut merangkumi kepercayaan yang bertuhan (theistic), yang tidak bertuhan (non-theistic) dan tiada kepercayaan (atheistic) .

State, atau sesebuah kerajaan perlu mengiktiraf kemerdekaan agama dan kepercayaan. Sekiranya atas sesuatu alasan keagamaan atau ideologi, sesebuah kerajaan enggan mengiktiraf sesuatu ajaran itu sebagai agama, kerajaan masih bertanggungjawab untuk mengiktirafnya sebagai satu kepercayaan (belief).

Sesebuah minoriti agama itu terikat oleh solidariti sesama mereka untuk mempertahankan budaya, tradisi, agama atau bahasa. Oleh demikian objektif bersifat politik dan militari tidak termasuk dalam hal ini.

Pada sesi United Nations yang ke-25 lalu, Profesor Dr Heiner Bielefeidt, Special Rapporteur on freedom of religion or belief, telah memberi beberapa saranan yang menarik untuk diikuti oleh kerajaan.

Pada 11 Mac 2014, beliau membentangkan laporan dengan tema ‘collective religious hatred’. Dr Bielefeidt menegaskan kebencian terhadap agama secara kolektif bukan sesuatu yang alamiah tetapi adalah sesuatu yang boleh dielakkan.

Kebencian terhadap agama secara kolektif berlaku kerana adanya ketakutan atau kebimbangan. Perasaan tersebut adalah lawan kepada kasih sayang. Berdasarkan pemerhatian terhadap laporan dan rungutan berkaitan kemerdekaan beragama dari negara-negara anggota United Nations, beliau menyatakan kebencian terhadap agama secara kolektif terjadi kerana situasi politik.

Kebencian kolektif

Terdapat tiga punca kebencian terhadap agama secara kolektif berleluasa;

1. Wabak korupsi merupakan punca utama berlakunya kebencian terhadap agama secara kolektif.

Di dalam sesebuah negara, institusi awam milik kerajaan wajar membantu masyarakat dan agama. Akan tetapi, oleh kerana rasuah atau korupsi berakar, institusi awam gagal memainkan peranan dan fungsi sebenarnya.

Oleh sebab itu masyarakat lebih gemar bergantung kepada komuniti agama mereka. Ini menyebabkan komunikasi yang sepatutnya berjalan antara institusi dan masyarakat terganggu.

2. Iklim politik yang bersifat autoritatif menyebabkan kebencian terhadap agama secara kolektif merebak.

Iklim politik yang tidak sihat dan kurang memberikan ruang untuk berdialog mengakibatkan penutupan ruang interaksi. Ekoran dari itu juga menyebabkan kontra hujah dan respon balas tidak berlaku. Dalam iklim politik autoritatif, kerajaan akan menyalahkan minoriti untuk sesuatu, atau dalam erti kata lain minoriti agama mengalami pelabelan, paranoia dan dikambinghitamkan.

3. Politik identiti yang sempit juga menjadi salah satu punca kepada kebencian terhadap agama secara kolektif.

Terdapat kerajaan yang menggunakan agama untuk membentuk atau menegaskan satu acuan identiti nasional. Dalam hal ini agama tertentu dibajai sebagai unsur perpaduan nasional, atau dijadikan definisi untuk satu budaya atau identiti tunggal.

Akibatnya, kaum minoriti yang terkeluar dari agama tertentu tersebut akan mengalami pengasingan, menggugat perpaduan dan kestabilan, pengkhianat, tidak setia dan musuh negara.

Saranan Bielfield

Profesor Dr Heiner Bielefeidt selaku Special Rapporteur on freedom of religion or belief seterusnya menggariskan beberapa pendekatan untuk mengatasi kebencian terhadap agama secara kolektif.

Pertama, beliau menyeru supaya setiap orang menghormati setiap orang yang lain mempunyai hak untuk kemerdekaan beragama. Di peringkat kerajaan, rasa percaya yang kukuh perlu dibina. Ini memerlukan infrastruktur yang asasnya adalah ‘hormat’, kata kunci utama dalam hak asasi manusia. Sesebuah negara berhak mempunyai satu agama rasmi akan tetapi ruang untuk diskriminasi mesti tidak dibenarkan.

Kedua, beliau juga menegaskan rasa percaya yang kukuh hanya boleh berlaku antara kerajaan dengan minoriti agama dengan syarat berlakunya komunikasi yang pesat. Dalam hal ini komunikasi tersebut adalah i) antara semua kelompok agama inter dan intra; ii) usaha mendekati minoriti agama oleh kerajaan secara berterusan; iii) membenarkan debat awam tentang isu-isu agama, yang tidak sepihak, berjalan secara lancar malah disuburkan.

Ini bermaksud jika kelompok ahlus sunnah wal jamaah diizinkan melakukan kempen, jelajah, dan siri seminar bahaya Syiah; minoriti agama ini juga perlu diberdayakan dan diberi ruang untuk memberi jawapan balas secara setara (setanding). Dalam hal ini pihak kerajaan hanya perlu mengawasi situasi debat awam itu supaya tidak menjejaskan kestabilan.

Lensa hak asasi manusia tidak menerima alasan ‘menjejaskan keselamatan negara’ secara sewenang-wenang sebagai alasan menutup dialog kerana komunikasi yang dimaksudkan adalah komunikasi dua arah yang mana agensi kerajaan mempunyai akses cukup untuk berhubungan dengan minoriti agama apabila berlakunya bibit krisis ekoran dari kebencian terhadap agama secara kolektif berleluasa; dan minoriti agama tahu siapakah yang boleh mereka hubungi dan menjadi tempat bergantung di saat kebencian terhadap agama secara kolektif berleluasa bertukar menjadi bibit-bibit bencana.

Peranan kerajaan

Dalam hal ini, kerajaan memainkan peranan ibu bapa yang mendamai, mengurus dan bersikap objektif apabila anak-anak bertingkah tentang hak masing-masing.

Kerajaan juga tidak dapat menjadikan ‘menjejaskan keselamatan awam’ sebagai alasan untuk mengelak berlakunya komunikasi sihat antara kerajaan dan minoriti agama kerana kebencian terhadap agama secara kolektif mempunyai gejala-gejala yang jelas kelihatan. Satu kriteria yang jelas sebagai gejala pada gerakan mempromosi kebencian terhadap agama secara kolektif adalah ‘ia diiklankan secara terbuka oleh mereka yang melakukannya’.

Justeru kerajaan perlu menutup jurang antara amaran awal dengan tindakan segera tanpa perlu berlengah; ‘government need to close the gap between early warning and ealy action’.

Komunikasi di atas, hanya boleh berlaku apabila terdapatnya budaya wacana yang sihat, ‘culture of free public discourse’. Dalam hak asasi manusia, tindakan pencegahan dibenarkan, akan tetapi, komunikasi yang lancar dan berterus-terang mesti masih boleh berjalan. Tindakan pencegahan mestilah didefinisikan dan diketahui umum dan ditegakkan tanpa sebarang hasrat untuk diskriminasi atau boleh menyebabkan berlakunya diskriminasi.

Dalam masa yang sama dialog mesti dirancakkan dengan syarat kelompok agama tidak memperaga dan menonjolkan identiti keagamaan mereka. Institusi pendidikan pula mesti berperanan untuk menyediakan komunikasi di atas.

Terdapat suara skeptikal dan sinis apakah saranan-saranan Heiner Bielefeidt selaku Special Rapporteur on freedom of religion or belief ini boleh dan realistik untuk dilaksanakan. Sukacita untuk disebutkan Sierra Leone telah melakukannya dan melakukannya dengan berjaya.

Namun demikian satu wacana atau makalah yang lain diperlukan untuk mengenengahkan kejayaan Sierra Leone dalam hal kemerdekaan beragama ini.

Agama dan kemerdekaannya adalah keperluan untuk akal. Manusia yang bebas memilih dan kenyang secara akliah akan bertindak lebih waras dan sihat untuk memenuhi keperluan perut.

 

 

 

 

unnamed