Memorandum mengenai Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA)

Kami daripada badan-badan dan parti-parti bukan kerajaan yang disenarai dibawah berasa amat khuartir akan kesan-kesan Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) ini terhadap Malaysia.

Banyak surat tentang kesan-kesan TPPA telah dikarangkan dan diposkan ke pejabat pihak tuan dan kementerian-kementerian kabinet tuan sebelum Pilihanraya ke-13 kemarin. Kebanyakkan keraguan dan pertanyaan juga telah diutarakan secara lisan kepada menteri-menteri dan pengawai-pegawai kementerian untuk membincangkan isu TPPA dalam  setiap peluang yang kami dapati dengan mereka. Terdapat juga beberapa ‘rundingan’ dan ‘taklimat’ antara pihak kementerian, masyarakat sivil, persatuan-persatuan perdagangan dan ahli-ahli perniagaan.

Namun begitu, perundingan-perundingan dan taklimat-taklimat tersebut lazimnya merupakan prosedur dan majlis yang bersifat satu hala.  Bagi rakyat yang meyuarakan kebimbangan mereka, pihak berkuasa hanya memberi jaminan bahawa segala langkah akan diambil kira dalam menangani isu tersebut. Secara keseluruhannya, isu dan persoalan berkenaan TPPA masih dijawab atau ditangani secara acuh tidak acuh. Demikian itu, terdapat jurang diantara persoalan dan isu yang dibangkitkan oleh masyarakat, dan jawapan yang kurang meyakinkan yang dikeluarkan oleh pegawai-pegawai kementerian.

Bagi menekankan dan menengahkan potensi kesan bahaya TPPA terhadap negara Malaysia, kami ingin menyatakan semula  beberapa isu dan kebimbangan utama kami dibawah:

Harga ubat-ubatan

Organisasi-organisasi kesihatan bukan sahaja dari Malaysia, bahkan juga dari sekitar Asia Pasifik dan kawasan-kawasan lain telah memberi amaran tentang beberapa tindakan berkenaan harta intelektual (IP) yang dicadangkan di dalam TPPA. Ia bertujuan untuk memastikan keuntungan yang besar bagi syarikat-syarikat multinasional, walhal menyebabkan harga menjadi lebih mahal untuk rakyat biasa mendapatkan kepubat-ubatan dan sumber-sumber pendidikan yang berharga berpatutan.

Di dalam sebuah negara dimana ubat-ubatan generik yang disyorkan oleh pakar-pakar farmasi meliputi 84.7% daripada permintaan preskripsi, tindakan tersebut akan menghalang – jika tidak melambatkan – kemasukan ubat-ubatan generik ke dalam pasaran. Hal ini bermakna perbezaan diantara kehidupan yang sihat dan sempurna serta kehidupan yang seksa dan sakit bagi sesetengah orang, adalah sesuatu perbezaan diantara hidup dan mati bagi yang lain.

Hak sumber ilmu

Tindakan-tindakan yang dicadangkan dalam bab harta intelek TPPA juga akan menimbulkan beberapa risiko bahaya: dari menyekatkan “salinan penampan” (“buffer copies”) kecil yang dihasilkan oleh komputer-komputer semasa proses memindahkan data maklumat, malah juga menghalang pengunaan sah bagi sumber digital yang ‘dilindungi’ dan menghadkan akses awam kepada pendidikan, penyelidikan dan pengetahuan budaya yang di-digitalkan, hinggakan ke jenayah pelanggaran hak cipta kecil-kecilan.

Orang awam masih belum mendapat jaminan kepastian bahawa TPPA akan melibatkan had-had dan pengecualian bagi harta intelek yang diperlukan bagi mengimbangi kepentingan pengguna dan pemilik hak cipta. Dalam erti kata lain, cadangan-cadangan yang dikemukakan pada masa ini tidak mencerminkan keseimbangan yang sering dilaung oleh penyokong hak-hak harta intelek – antara melindungi sumber-sumber IP dan sebagai ganjaran kreativiti dan inovasi bagi pemilik-pemilik harta intelek, secara umumnya, dan memastikan masyarakat dapat mengakses pengetahuan dan maklumat tersebut berdasarkan faedah dan kegunaannya.

ISDS: ‘Altenatif kepada perundangan dan sistem penghakiman nasional’ 

Peruntukan Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negeri atau ‘Investor-State Dispute Settlement (ISDS) provisions’ yang dicadangkan untuk TPPA membolehkan pelabur-pelabur asing untuk mencabar tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia – walaupun tindakan itu adalah satu keputusan undang-undang, peraturan atau mahkamah yang dilakukan demi kepentingan awam seperti kesihatan atau isu-isu alam sekitar – denagan alasan bahawa tindakan sedemikian telah atau akan menjejaskan pelaburan atau keuntungan mereka. Cabaran undang-undang tersebut adalah dibuat di tribunal timbangtara antarabangsa, sekali gus membolehkan kepentingan asing memintas sistem perundangan dan kehakiman domestik bagi negara-negara yang telah mereka melabur masuk.

Pada hakikatnya, peruntukan ISDS seperti yang terkandung dalam cadangan untuk bab pelaburan TPPA berkesan memberi kuasa kepada syarikat-syarikat asing untuk mengabaikan dan mengatasi sistem kehakiman, undang-undang dan parlimen tempatan Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan pembahagian kuasa bagi persekutuan-negeri yang unik dan bersejarah dimana ia telah berkembang di Malaysia sejak beberapa dekad lalu. Keputusan yang dibuat di tribunal timbangtara antarabangsa berfungsi di bawah sistem ISDS telah, pada hakikatnya, menyaksikan para pelabur asing diberikan hak yang lebih besar daripada yang diberikan kepada syarikat-syarikat dan pelabur-pelabur tempatan di bawah perlembagaan negara, undang-undang dan sistem mahkamah negara-negara TPPA.

Hak dan tenaga buruh

Peruntukan yang dicadangkan dalam TPPA boleh melarang kerajaan-kerajaan daripada membuat undang-undang baru bagi memberi perlindungan yang lebih besar kepada pekerja-pekerja di Malaysia berbanding dengan peruntukan sedia ada. Ia berlaku melalui larangan kepada kerajaan Malaysia daripada mewajibkan latihan dan pengambilan pekerjaan bagi rakyat Malaysia di dalam syarikat korporat asing.

TPPA boleh menghalang kerajaan Malaysia dari mengukuhkan undang-undang buruh, seperti menginstitusikan atau meningkatkan gaji minimum atau memperkenalkan undang-undang baru bagi pekerja-pekerja seperti peraturan kesihatan dan keselamatan baru atau bersalin atau faedah dan kelayakan yang lain.

Alam sekitar 

Tuntutan-tuntutan sedang dibuat ke atas negara-negara TPPA untuk bersetuju dengan keseragaman struktur dan set prosedur bagi pembuatan- keputusan dan dasar secara domestik yang memihak kepada dasar pasaran bebas, “kurang membebankan” dan kawalan kendiri bagi industri. TPPA juga menggalakkan lebih banyak aktiviti pembalakkan, pembersihan hutan dan perlombongan dengan menghapuskan cukai eksport dan melarang syarat-syarat yang mewajibkan syarikat korporat asing untuk ‘menambah nilai’ kepada sumber-sumber mentah dengan menghasilkan produk-produk daripada sumber-sumber tersebut di dalam Malaysia. Bukan sahaja ini akan mengakibatkan lebih banyak kemusnahan alam sekitar, malah insentif dan sokongan bagi industri tempatan dan domestik juga akan berkurangan.

Kesimpulan

Di samping isu-isu yang dinyatakan atas, terdapat banyak hal-hal lain yang dicadangkan dalam TPPA yang menjelaskan siapa pihak-pihak yang bakal mengaut keuntungan jika perjanjian tersebut ditandatangani oleh 12 negara-negara TPPA, dimana mereka dijadualkan bertemu di pusingan ke-18 rundingan perdagangan di Sabah, Malaysia.

Bab-bab berkenaan peraturan-peraturan mengenai kesepaduan dan ketelusan, misalnya, akan mengekangkan kuasa kerajaan daripada membuat keputusan dan peraturan dengan mengenakan kekangan yang bersepadu terhadap hak membuat keputusan berkenaan dasar dan undang-undang. Pada masa yang sama, ia memaksa kerajaan menunduk kepada tuntutan pihak pelabur korporat asing dan negera.

Secara rumusan, tanggungjawab yang diletakkan di bawah TPPA ini adalah bermatlamat untuk memastikan syarikat korporat asing boleh mengaut keuntungan yang dijanjikan dengan pembukaan rasmi akses  pasaran, dan – sementara mengenakan peraturan-peraturan ke atas kerajaan-kerajaan seperti Malaysia – ia bebas daripada apa-apa tanggungjawab sosial, ekonomi mahupun hak-hak asasi manusia kepada negara-negara yang  mereka beroperasi.

Tetapi apa yang benar-benar keterlaluan adalah hakikat bahawa walaupun betapa dalam dan besarnya potensi impak TPPA terhadap 29 juta rakyat Malaysia dan masa depan mereka, rundingan TPPA dan teks yang dirundingkan masih dijalankan secara tertutup. Bahkan mereka takuti orang ramai akan berkumpul dan membantah rundingan seperti ini untuk menunjukkan tentangan mereka terhadap TPPA, maka kerajaan mengadakan pusingan rundingan ini jauh nun di Kota Kinabalu, Sabah!

Perkara ini – dan pelbagai isu yang disebut dalam memorandum tersebut – menjadikan ia jelas bahawa kerajaan-kerajaan dibawah rundingan TPPA seperti Malaysia tidak pernah mahu – dan tidak akan mahu – memaklumkan rakyat Malaysia berkenaan TPPA dan tidak mengendah lansung akan perasaan rakyat Malaysia terhadap isu TPPA.

Kepada kerajaan Barack Obama, Presiden Amerika Syarikat: kami menyeru kepada anda untuk berhenti menyalahgunakan kebebasan anda dengan merampas kebebasan dan hak-hak orang lain di bumi ini.

Kepada Kerajaan Malaysia, kami menuntut supaya ia menggantungkan penglibatannya di dalam perjanjian TPPA, sehingga:

  • Menghentikan semua perundingan sehingga cadangan dan kedudukan Malaysia terhadap kesemua bab-bab di dalam cadangan teks perundingan TPPA dibentangkan kepada rakyat dan parlimen.
  • Kesemua teks, kedudukan dan maklumat yang dirundingi mestilah dibentangkan dan dibahaskan di dalam parlimen. Ia bukan satu perjanjian perdagangan yang hanya diputuskan oleh kabinet. Hal ini akan memberi kesan terhadap semua lapisan masyarakat Malaysia.
  • Menjalankan Analisis Kos dan Faedah TPPA yang lengkap kepada rakyat Malaysia, dan menyiarkan hasil penemuan tersebut kepada rakyat jelata.
  • Menjelaskan bagaimana hak-hak rakyat Malaysia untuk kesihatan, makanan dan kehidupan akan dilindungi dibawah TPPA.

Ditandatangani oleh:

Malaysian Treatment Access and Advocacy Group

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)

PT Foundation

JKOASM- Jaringan Orang Asli Semananjung Malaysia

Jaringan Rakyat Tertindas

Gindol Initiative for Civil Society Borneo

Malaysia Trade Union Congress (MTUC)

UK-based Borneo Rights International ( BRI)

National Union of Bank Employees

Saya Anak Bangsa Malaysia

Parti Sosialis Malaysia

Malaysia Youth & Student Democratic Movement(DEMA)

Pemuda Sosialis Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)

Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM)

Gerakan Mahasiswa Pantai Timur (GEMPUR)

Mahasiswa KEADILAN Malaysia

Independant Student Front(INSTUF)

Parti Rakyat Malaysia

Community Development Centre

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu MTEM

ALIRAN

Malaysian Aids Council (MAC)

Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM)

MADPET (Malaysians Against Death Penalty and Torture)

Persatuan Sahabat Wanita Selangor

Center for Orang Asli Concerns

Pergerakan Penyelidikan dan Pembangunan komuniti (KOMUNITI)

Pertubuhan Aktivis Pengupayaan Insan (API)

Pertubuhan Menangani Gejala Sosial Malaysia (UNGGAS Malaysia)

Persatuan Ulamak Malaysia cawangan P.Pinang (PUMPP)

Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Jaringan Nelayan Pantai Semenanjung (JARING)

Pertubuhan Muafakat Warga Desa Negeri Kedah (Rural Citizens

Badan Bertindak Petani Bantah TPPA

Pertubuhan Kebajikan Sosial dan Kesihatin Prihatin Malaysia (PRIHATIN)

National Indian Rights Action Team (NIAT)

Islamic Renaisance Front

Projek Dialog

Monitoring Sustainability of Globalization (MSN)

myPLUS 2

Persatuan Sahabat HIV Malaysia

Malaysian Positive Network

Pertubuhan Kebajikan & Kesihatan Awam

Community Action Network

Dignity International