Mengapa Santo George Wira Rakyat Palestin?

St George Painting

Penterjemahan tidak rasmi “Why St George is a Palestinian Hero” oleh Yolande Knell, terbitan www.bbc.com. Diterjemah oleh Megat Hanis.

St George di Palestin

Tatkala England sedang menyambut santo-pelindung mereka, rakyat Palestin juga tidak melepaskan peluang merancang perayaan tersendiri menyambut tokoh tersebut yang mereka juga anggap sebagai wira.

St George FlagKibaran bendera yang sama kelihatan di atas gereja rakyat Palestin di kampung Al-Khadr di Tebing Barat.

Palang Merah yang dilatari hamparan putih di bendera tersebut dikaitkan dengan Santo George sejak Perang Salib.

Itulah bendera negara England yang juga digunakan sebagai bendera rasmi negara-negara dan bandar-bandar lain yang mengambil Santo George sebagai santo-pelindung.

Walaubagaimanapun, rakyat Palestin mempunyai sebab tersendiri mempamerkan simbol tersebut dan rasa hormat terhadap syahid Kristian itu. Bagi mereka, beliaulah wira tempatan yang melawan penindasan terhadap orang-orang Kristian di Tanah Suci itu.

“Kami percaya bahawa dia seorang syahid yang hebat dengan kepercayaannya dalam mempertahankan ajaran dan nilai-nilai Kristian” kata Atallah Hanna, seorang  ketua biskop Ortodoks Yunani.

“Dengan pengorbanan demi kepercayaannya dia berupaya mengalahkan kejahatan. Kami mengangkat George sebagai pelindung bagi rakyat yang hidup di sini – dan disebabkan beliau dilahirkan di Palestin yang bersejarah, kami berdoa kepadanya demi mengingati kami dan tanah suci ini.”

Siapakah St George?

Santo George merupakan seorang  askar Rum sewaktu kurun ke 3 AD, saat Emperor Diocletian di puncak kuasa. Dikatakan bahawa beliau pernah tinggal di al-Khadr berdekatan Bethlehem, di tanah yang dimiliki keluarga ibunya.

Walaupun ayah santo itu selalunya dikatakan berasal dari Cappadocia, sebuah kawasan di Turki moden, ibunya pula dipercayai merupakan seorang Palestin dari Lydda iaitu Lod, Israel kini.

Santo itu diingati kerana menyumbangkan harta miliknya dan tetap teguh dengan imannya ketika beliau dipenjara dan diseksa sebelum akhirnya dijatuhkan hukuman bunuh.

Terdapat banyak gereja di Tebing Barat dan Israel yang membawa nama Santo George – di al-Khadr, Lod dan di sekitar Galilee, misalnya.

Hari St George

Di barat, Hari Santo George jatuh pada  23 April, walhal di kawasan Palestin, ianya jatuh pada 6 May, berdasarkan kalendar yang digunakan oleh Eropah Timur.

Festival dibuat untuk Santo itu di al-Khadr, dengan membawa penganut-penganut dari kawasan Bethlehem untuk menyalakan lilin dan menyempurnakan doa. Sewaktu perayaan, roti istimewa dibuat yang menggambarkan aksi santo tersebut sebagai pembunuh naga.

St George DepictionsImej-imej tersebut antara ciri-ciri utama yang banyak terdapat di rumah orang Palestin Kristian dan di bangunan-bangunan awam. Ini mengingatkan mereka bahawa santo itu membawa perlindungan.

“Dia adalah santo tempatan yang telah membawa banyak keajaiban. Kami sangat menghormatinya”. Jelas pengukir arca, Akram Anastas.

“Dia ditonjolkan sebagai pahlawan yang penuh keamanan dan kasih sayang, menunggang kudanya dan selalu melawan kejahatan, iaitu simboliknya naga itu. Kami tulis di bawahnya dalam bahasa Arab, “Tuhan berkati rumah kami”.

Anastas telah pun mengukir ribuan arca santo itu sepanjang kerjayanya, menjualnya kepada rakyat Palestin dan pembeli luar negara.

“Saya sangat sukakan beliau. Dia teman baik saya dan saya telah berjumpa dengannya banyak kali dalam hidup. Beliau malaikat penjaga saya,” katanya lagi.

Nama “George” telah pun menjadi kebiasaan di sekitar kawasan rakyat Palestin kerana kaitan nama tersebut dengan semangat, keberanian dan kehormatan yang tinggi.

Nama lainnnya ialah Khadr (perkataan arab bermaksud “yang hijau”) dan Jerries.

Di sebuah kedai kopi di Bethlehem yang dikenali sebagai “Abu George” (Bapa George), saya duduk bersama ahli keluarga Thalgieh, yang semuanya dinamakan “George”.

“Mungkin sekarang kita ada 10 orang bernama George. Akan datang mungkin bilangannya mencecah 100 orang” kata George Elias Saba Thalgieh.

“Di Bethlehem ini, bukan keluarga kami sahaja, tetapi kami semua percaya Santo George akan membantu kami ketika kami memerlukannya. Jika kamu menghadapi kemalangan dan perkataan pertama kamu sebut, “Ya Khadr”- itu bermaksud kami memanggil Santo George untuk membantu kami”.

“Saya suka nama itu. Datuk kami George, saya George jadi anak-anak saya akan namakan anak mereka George,” tambah anak saudara lelaki tua itu, George Nabil George Thalgieh, penyanyi yang terkenal.

St George Slayer

Ritual Perayaan St George

Menunggu ketibaan Hari Santo George tahun ini, dua generasi itu berhimpun sekali menyanyikan sebuah lagu traditional.

“Oh Santo George, kami berdoa di al-Khadr”, menurut lirik tersebut, “Kamilah Kristian dengan lilin di tangan kami.”

Terdapat beberapa tradisi yang dikaitkan dengan Santo tersebut.

Kadangkala Paderi Ortodoks Yunani diminta untuk memasukkan sebentuk kunci ke dalam mulut kanak-kanak yang mempunyai kesukaran bertutur, untuk “membuka” ikatan lidah mereka.

Ada satu ritual di mana pengunjung meletakkan rantai di sekeliling leher mereka, melalui tubuh mereka dan kemudian menciumnya sebanyak tiga kali. Ini dikatakan dapat membuang penyakit.

Surat-surat meminta Santo George menyelesaikan masalah keluarga pula disimpan di dalam kaca yang melindungi ikonnya.

Rakyat yang meminta pertolongan paderi itu turut memberikan kambing kepada gereja supaya dagingnya dapat diagihkan kepada rakyat miskin.

St George pada Muslim Palestin

Sesetengah rakyat Muslim Palestin, terutama yang datang dari al-Khadr, juga mengamalkannya.

“Bukan sahaja penganut Kristian menghargai beliau, Muslim juga merasakan kekuatan dan keajaiban Santo George,” kata Paderi Ananias.

“Ketika gereja itu dibina [era Byzantine] kejiranannya penganut Kristian. Saya tidak tahu bila rakyat tempatan menjadi Muslim, tetapi dibawah Empayar Turki Uthmaniyah, mereka melindungi gereja tersebut dan mereka menjadi sangat rapat.”

Seorang wanita tua memakai baju traditional labuh dan hijab Islam memberitahu saya: “Kami semua percaya kepada al-Khadr, termasuk suami saya. Saya telah berjanji untuk nyalakan lilin di gereja al-Khadr”

Ramai sarjana Muslim menganggap pesuruh Tuhan yang disebut di dalam Al-Quran sebagai pembantu Nabi Musa merujuk kepada ikon al-Khadr, yakni Santo George.

Setelah 1,700 tahun sejak kematian beliau, Santo itu telah dikaitkan dengan bermacam-macam tokoh lain sama ada yang bersejarah atau mitos.

Legenda yang menyebut bahawa beliau menyelematkan seorang anak dara dengan membunuh naga mungkin datang dari era Zaman Pertengahan.

Walaupun banyak butiran mengenai kehidupan beliau tidak jelas, rakyat Palestin memandang beliau sebagai taudalan hebat bagi membantu yang memerlukan dan berdiri teguh mempertahankan keyakinan seseorang.

Reputasi inilah yang menyebabkan beliau popular di seluruh dunia.