Mengapa Umat Islam Menyambut Perayaan Yahudi

Muslim Jew

Terjemahan makalah “Why Muslims Celebrate A Jewish Holiday“, tulisan Haroon Moghul, diterbitkan di CNN pada 22 Oktober 2015. Diterjemahkan oleh Yana Rizal.

Asyura – Sejarah Terkongsi Antara Islam dan Yahudi

Umat Islam akan berpuasa Jumaat ini. Sempena Hari Ashura, hari ke-10 bulan pertama dalam kalendar Islam.

Tradisi Islam mengatakan bahawa Nabi Muhammad bersua dengan beberapa orang Yahudi yang berpuasa pada hari ini, dan diberitahu bahawa ia menandakan pembebasan kaum Ibrani dari Mesir.

Lantas baginda memutuskan untuk menyertai mereka.

Walaupun tradisi Islam mengajarkan bahawa peristiwa Exodus tersebut berlaku pada Yom Kippur (dalam kepercayaan Yahudi, hari penebusan), masyarakat Yahudi sebenarnya memperingati pembebasan kaum Ibrani pada hari Paskah.

Jika anda berasa hairan mengapa umat Islam menyambut perayaan Yahudi, ia kerana Muhammad dan umat Islam terawal tidak menganggap diri mereka sebagai komuniti agama yang baru.

Mereka satu permulaan semula, pengembalian tauhid kepada sifat asalnya. Muhammad sebagai pengakhir susur-galur kenabian yang bermula dari Adam di Taman Firdaus dan kemudiannya Nuh dan Ibrahim.

Termasuk juga Musa dan Isa: Malah, mereka lebih kerap disebut dalam al-Quran berbanding dengan Muhammad.

Asyura juga mempunyai makna yang lebih suram buat umat Islam: ia menandakan hari cucu Nabi Muhammad dibunuh setelah kebangkitan yang gagal terhadap khalifah yang korup.

Bagi umat Islam Sunnah Wal Jamaah, peristiwa itu suatu tragedi. Bagi umat Islam Syiah, ia lebih berat: Keluarga Rasulullah telah dinafikan haknya untuk memimpin, namun kali ini di bawah pedang dan pertumpahan darah.

Maka bagi semua umat Islam, Jumaat ini menandakan hari pembelaan dan perkabungan, pembebasan dan kezaliman.

Setelah kewafatan Nabi Muhammad SAW pada tahun 632, sahabat-sahabat Baginda bergelut untuk mengekalkan keamanan masyarakatnya.

Ada yang mempercayai bahawa sepupu Rasulullah, Ali telah ditetapkan sebagai pewaris pemerintahan (dan di situ bermulanya “syiah” yang bermaksud pengikut, yakni kepada Ali).

Manakala majoriti memilih bapa mertua Nabi, iaitu Abu Bakar sebagai pemerintah.

Pertikaian ini tidak menjejaskan perkembangan pesat Islam sehinggakan pengikut-pengikut lama bingung dengan pertambahan penganut baru, semuanya atas sebab-sebab berlainan. Ketakwaan, mungkin. Namun juga kerana prestij dan kekuasaan.

Karbala

 

Pengorbanan Hussain

Empat puluh tahun selepas kewafatan Muhammad, seorang raja memerintah di atas samaran Khalifah, merangkul kekuasaan yang seakan firaun ke atas dirinya. (Tiada simbol kezaliman yang lebih besar dalam Quran selain musuh Musa.)

Daripada sebuah pemerintahan yang egalitarian, seperti di zaman Nabi dan sahabat-sahabatnya yang masih segar di ingatan masyarakat, khalifah kelima ini, Muawiyah, membina istana dan mengasingkan dirinya dari rakyat.

Menambahkan lagi penghinaan ini, beliau melantik anaknya sendiri, Yazid, untuk mewarisi pemerintahan setelah kematiannya.

Hussain menyaksikan legasi atuknya hampir terburai, maka berangkat ke selatan Iraq, di mana beliau bertemu dengan pengikutnya untuk mencabar tuntutan kekuasaan Yazid.

Hussain adalah Daud. Manakala tentera Yazid adalah Jalut. Namun, kisah ini tidak berakhir dengan lastikan maut daripada Daud. Laut tidak terbelah.

Pada hari yang sama Muhammad memerintahkan umat Islam memperingati Tuhan yang menyelamatkan nenek moyang mereka daripada Firaun, tentera Khalifah tersebut menghancurkan pemberontakan cucu Rasulullah.

Sekaligus menjamin dinasti keturunannya selama beberapa dekad.

Muhasabah – Keadaan Umat Islam Sekarang

Di dunia yang begitu taksub dengan kisah “kita” melawan “mereka,” pertempuran tamadun dan permusuhan kuasa-kuasa besar, yang membahagikan kita dalam kategori yang berasingan – Islam dengan Barat, Selatan atau Utara –

Sejarah gelap Asyura ini bukan sahaja penting. Ia suatu titik penentuan.

Acap kali umat Islam menuntut supaya Barat memperakui kesalahannya. Mereka menginginkan sekolah-sekolah Barat, institusi dan pemimpin mereka untuk mengiktiraf sejarah gelapnya. Penjajahan, imperialisme, kolonialisme.

Namun aku tertanya, sama ada kita mampu melakukan muhasabah yang sama dalam masjid-masjid dan madrasah kita. Begitu mudah untuk kita berbicara sebagai mangsa. Namun lebih sukar untuk kita berbicara tentang kesalahan kita.

Senang sahaja untuk menyebut apa yang orang lain telah lakukan ke atas kita. Namun lebih susah untuk mengatakan apa yang kita telah lakukan ke atas orang lain. Apa yang dilakukan di atas nama kami.

Sewaktu muda, Islam diajarkan kepada aku sebagai satu katalog pertempuran dan penaklukan, peraturan dan ritual. Terlalu jarang terdapat perbincangan etika yang serius, apatah lagi tentang hala tuju budaya dan makna kerohanian.

Sebahagiannya kerana ramai umat Islam telah mengelirukan agama dan bangsa, maka menggunakan kitab sebagai mitos nasionalis. Sesetengah gerakan Islam telah menyeliratkan Islam sebagai program politik dan menginginkannya begitu.

Namun ia juga kerana lebih mudah untuk kita melihat yang jernih sahaja.

Khalifah pertama, Abu Bakar, meninggal atas sebab-sebab semula jadi. Beliau bertuah: Khalifah kedua, Umar, telah dibunuh. Yang ketiga, Uthman, dibunuh juga, namun kali ini di bawah tangan tenteranya sendiri.

Yang keempat, bapa Hussain, yakni Ali, telah dibunuh oleh Islam radikal – suku Khawarij, yang membenih ISIS – ketika bersolat. Dan kemudiannya Hussain.

Namun siapa yang ingin meneliti sejarah ini?

Sunni Syiah

Pengajaran Dari Sejarah Yang Gelap

Lupakan saja perang tamadun. Pertempuran yang lebih besar adalah di antara pendirian kita dan apa yang kita benar-benar lakukan, antara nilai yang dilaungkan dan realiti yang dizahirkan.

Di saat ini, rakyat Syria dibunuh dalam ribuan, diserang oleh rejim Ba’ath yang disokong tanpa keberatan oleh Republik Islam Iran.

Revolusi yang dahulunya bangkit ke tampuk kekuasaan dengan mencemuh pemerintahan kuku besi Shah sebagai kejam, kini memulakan rejim pertumpahan darah yang lebih zalim daripada itu.

Iran, dengan sekutunya Presiden Syria Bashar al-Assad dan Hizbullah, telah membunuh dan menyeksa lebih daripada ISIS. Dan juga seperti ISIS, ia dilakukan di atas nama agamaku.

Ia seperti Yazid menentang Yazid, namun kedua-duanya berpura-pura sebagai Hussain, pahlawan-pahlawan yang kononnya benar untuk keadilan.

Kelemahan utama di zaman kita bukanlah pertentangan antara berlainan agama dan bangsa, namun di dalamnya, di antara diri mereka sendiri.

Namun sebelum ini dibaca sebagai alasan untuk mempersalahkan lagi dunia Islam, ingatlah bahawa pengajaran ini sama untuk semua manusia dan tempat. Termasuklah diri kita.

Wujudnya Hussain di dalam Edward Snowden, yang memecah rahsia penting demi keadilan awam. Adanya Hussain di dalam dalam Occupy Wall Street, yang menyeru kita mempertimbangkan ke mana hilangnya nilai-nilai keadilan dan kesaksamaan.

Terdapat Hussain di dalam #BlackLivesMatter, yang memaksa kita berhadapan dengan realiti perkauman yang masih wujud namun selama ini diketepikan.

Terdapat Hussain di kalangan belia Israel yang enggan berkhidmat dalam rejim penjajahan. Terdapat Hussain di kalangan warga Palestin yang enggan menyerahkan hak-hak mereka.

Dan kesemua Hussain ini? Mungkin mereka akan kalah. Mungkin mereka tidak dapat melihat hasil perjuangan mereka. Sekurang-kurangnya bukan sekarang.

Ada firaun yang akan hanyut di lautan, sementara yang lain meninggal di istana, secara aman.

Seperti nabi-nabi dan pendakwah sebelumnya, Muhammad mengajar bahawa mereka yang doanya tidak terjawab dalam hidup ini akan ditebusi di akhirat. Keadilan mungkin ditangguhkan, namun tidak akan dinafikan.