Mengenali Teologi Queer: Suatu wawancara bersama Joseph Goh

Artikel ini merupakan terjemahan mengenai teologi queer di antara saudara Fuad Rahmat dan juga Ahli Akademik dari Monash University, Joseph Goh. (Kedua-dua nama dipendekkan menjadi FR dan juga JG untuk seluruh sesi temuramah)

 

FR:

Selamat datang!

 

JG:

Terima kasih kerana menjemput saya.

 

FR:

Saya sebenarnya agak teruja dengan kehadiran kamu di sini kerana kita telah berhubung selama beberapa tahun yang lepas bagi menjemput kamu ke sini dan saya faham kamu sedang menyiapkan kedoktoran pada waktu itu. Saya cuba menghabiskan sesi ini secepat yang mungkin dan saya lega dengan kehadiran kamu di sini.

 

JG:

Terima kasih. Saya menghargai jemputan kamu dan ayuh kita teruskan.

 

FR:

Sudah tentu! Jadi, kamu adalah seorang pakar teologi atau teolog ‘queer’. Dan itu semestinya gabungan terma yang menarik, kerana jarang benar kita dengar gabungan terma seperti itu. Mungkin kita boleh mula dengan itu – bukan sahaja makna kedua-dua terma tersebut, tetapi bagaimana kamu menggabungkan kedua-duanya. Apakah yang menggerakkan kamu ke dalam wacana sebegini?

 

JG:

Sedang saya jalankan kuliah pasca sarjana di Amerika Syarikat, saya memberi banyak fokus kepada bentuk-bentuk tradisional teologi. Secara asasnya, teologi yang kudus dan liturgi yang dikirakan penting di dalam sistem Roman Katolik tentang elemen-elemen ibadat dan bagaimana manusia mengaitkan diri mereka kepada Tuhan secara material. Kemudian saya mulai sedar, sewaktu semua kerja yang bagus sedang berlangsung, masih banyak golongan yang dipinggirkan dan diketepikan kerana dilihat sebagai tidak sah dari kerangka teologi. Golongan ini merangkumi komuniti LGBT, jadi kita berbincang mengenai lesbian, homoseksual, transgender, biseksual dan golongan queer yang lain. Mereka mempunyai dua pilihan: sama ada mereka meninggalkan gereja dan mempraktikkan ‘gaya kehidupan’ mereka seperti mana yang mereka inginkan dan meninggalkan iman mereka, ataupun jika mereka boleh, insaf dan menjalani sesi kaunseling, kemudian menjadi penganut Kristian yang soleh. Pendekatan ini begitu kuat di dalam gereja Roman Katolik dan di dalam gereja arus perdana yang lain, dan apa yang saya rasakan menarik adalah terdapat ramai ahli akademik yang tidak melihat seksualiti dan wacana mengenai Tuhan sebagai sesuatu yang terasing dan entiti yang mendatangkan mudarat. Dan berdasarkan apa yang disarankan oleh mereka adalah mustahil untuk menjalani kehidupan LGBT sambil mempunyai hubungan yang kukuh dengan Tuhan. Dan saya dengarnya pada tahun 2008 ataupun 2009 dan pada waktu sukar untuk saya mempercayainya; saya melihatnya sebagai suatu kesilapan dan tidak mustahil. Tetapi semakin saya membacanya semakin saya sedar akan teologi queer, mengangkat idea bahawa ianya mustahil untuk menjadi selesa dengan diri sendiri dan menghubungkan diri dengan Tuhan sebagai diri sendiri seadanya.

 

FR:

Jadi, saya membayangkan ini adalah suatu tindakan yang sukar untuk dilakukan kerana sebelum berlangsungnya perbincangan untuk menjadi inklusif terhadap golongan minoriti yang berbeza dari segi seksualiti, bukankah masih wujudnya perbincangan mengenai penyediaan ruang yang inklusif untuk wanita? Jadi dengan pergi sebegini jauh, saya rasa ianya merupakan perjalanan yang mencabar bagi kamu.

 

JG:

Oh ya. Jadi saya rasa pada waktu itulah aktivisme yang berteraskan teologi mulai membuak dan saya sedar yang teologi hanya menyediakan zon-zon yang selamat; hanya melayani individu yang dihormati, yang baik dan yang bersesuaian. Tetapi kemudian, praktik teologi yang telah saya jalani menyatakan bahawa teologi seperti apa yang diberitahu oleh Stephen Bevans adalah berdasarkan konteks. Tidak ada teologi yang objektif. Tidak ada teologi sebagai sesuatu yang asas dan rasmi. Jika kita amati sejarah Kristianiti, ianya selalu berdasarkan konteks. Ia bermula dengan tukang kayu dari Nazareth, jadi Kristianiti pada awalnya bersandarkan konteks komuniti Yahudi, yang kemudiannya berkembang kepada dunia Yunani-Romawi dan menjadi entiti yang menggambarkan kehidupan, hikmah dan ilmu bagi penduduk Yunani-Romawi. Setelah itu, setelah berlangsung lamanya ia berkembang ke seluruh pelusuk dunia dan kini kita mempunyai pelbagai bentuk teologi yang berdasarkan konteks: Teologi Orang Berkulit Hitam, Teologi Orang Asia dan juga Teologi Alam Sekitar. Eko-Teologi merupakan hal yang besar pada waktu ini dan juga Teologi Feminis, dan kini Teologi Queer. Apa yang kita fahami pada waktu ini adalah idea bahawa Teologi Queer adalah salah satu perbincangan yang sedang berlangsung di dalam perbincangan teologi.

 

FR:

Pada suatu masa, saya dididik melalui pembelajaran Jesuit dan salah satu benda yang saya hargai mengenai tradisi Katolik adalah kayanya legasi wacananya – sebuah wacana intelektual yang menyerap masuk soalan-soalan yang telah wujud dari dunia Islam Timur Tengah. Saya mendapati ianya sesuatu hal yang menyegarkan tetapi saya seringkali terfikir, “kenapa masih berada dalam kerangka yang sama, kenapa tidak pergi kepada wacana Anglika yang nampaknya mulai membicarakan hal yang inklusif?’ Jawapan yang sering saya dapat adalah wujudnya perikatan kepada tradisi itu sendiri. Idea bahawa sejarah menyebabkan penjelajahan itu menjadi lebih meluas, bukan? Ini menjadikannya ia berbeza dengan mencari sebuah gereja yang sudah inklusif – dan mungkin sahaja tidak berakar di dalam wacana sebegitu. Betapa pentingkah tradisi di dalam perjalanan kamu dan idea bahawa kamu adalah sebahagian daripada persoalan sejarah yang telah bermula dari awal lagi?

 

JG:

Saya lega dengan soalan yang dikemukakan oleh kamu. Saya ingin mula membalas jawapan kamu dengan memetik kenyataan Gayatri Spivak sewaktu beliau di sini di Universiti Malaya. Ada suatu kenyataan yang disebutnya, yang masih terpahat dalam pemikiran saya. Dia memulainya dengan mengatakan, “kamu perlu memikirkan apa yang dipertaruhkan bagi semua pihak yang terlibat.” Saya rasa mungkin sahaja bagi gereja-gereja arus perdana seperti gereja Roman Katolik, ada banyak yang dipertaruhkan dan kamu menyebut satu elemen yang benar-benar penting, iaitu tradisi. Banyak gereja arus perdana mencuba sedaya upaya untuk memelihara apa yang mereka rasakan sebagai hal yang berkanun, wacana murni mengenai Tuhan yang telah kita warisi melalui berzaman-zaman. Mungkin sahaja untuk memahami idea teologi dengan lebih mendalam, saya rasa ianya merupakan suatu hal yang penting untuk pergi ke hal-hal yang asas dan ianya adalah idea bahawa teologi secara umumnya mempunyai empat rujukan utama. Rujukan pertama adalah teks suci atau Alkitab, kedua adalah tradisi, ketiga adalah akal dan keempat adalah pengalaman manusia. Jadi ini yang kami sebutkan sebagai rujukan empat sisi untuk berteologi. Masalahnya adalah, keempat-empat elemen ini, komponen-komponen teologi ini, seringkali dilihat sebagai sesuatu hal yang statik. Teolog latin, Orlando Espin mengingatkan kita bahawa tidak ada pun hal yang disebut sebagai tradisi. Apa yang kita ada adalah idea mentradisikan sesuatu. Tradisi adalah hal yang berevolusi. Ianya merupakan proses dan perjalanan yang bermula dari satu titik pada satu masa dan tidak pernah berakhir. Apabila tradisi mulai maju, ianya penting untuk melihat bagaimana ia memberi impak kepada kehidupan manusia. Jika tradisi mulai menindas rakyat, maka idea untuk mentradisikan haruslah diluaskan dan ruang untuk berfikir perlu disediakan. Kamu tahu mengenai idea bahawa kita ingin memelihara tradisi. “Ianya adalah tradisi Kristian, itu yang kami selalu laksanakan”, tetapi idea bahawa ianya adalah hal yang selalu dilaksanakan adalah salah.

 

FR:

Jadi menurut kamu tradisi bukanlah suatu hal yang statik; ianya adalah suatu hal yang kerap dijumpai semula, difahami semula, nyahkod semula, dan memberi jawapan kepada cabaran kontemporari.

 

JG:

Benar. Jadi apa yang orang katakan pada waktu ini? Bagaimana teologi berhubung dengan orang ramai, kepada kehidupan manusia dan apakah yang ingin dinyatakan oleh kehidupan manusia terhadap teologi? Pastinya ianya merupakan perbincangan yang terus menerus; harus mempunyai tindakan mentradisi yang berterusan.

 

FR:

Kini saya ingin bertanya mengenai bagaimana persoalan ini dikaitkan dengan wacana yang lebih meluas. Adakah ini hanyalah cabang akademik? Saya faham wacana Katolik banyak mengutamakan penggunaan akal dan agak skolastik, jadi adakah ianya masih dalam kerangka sebegini atau ianya sudah dipraktikkan ke dalam kehidupan sebenar?

 

JG:

Apabila kamu menyebut ‘Katolik’, saya rasa bagi kebanyakan orang, terutama kepada pendengar kita, idea ‘Katolik’ secara automatiknya diterjemahkan kepada Roman Katolik. Terdapat pelbagai bentuk Katolikisme. Kebanyakan daripada kita kenal dengan Kristian Ortodoks, mungkin juga Katolikisme Ortodoks dan juga Katolikisme Anglika. Pada waktu ini, terdapatnya perkembangan gerakan Katolik Lama. Saya tergolong dalam Gerakan Katolik Lama, dan ianya merupakan gerakan gereja yang berpaut kuat pada tradisi Katolik tetapi tidak menyatakan kesetiaan kepada Rom. Mereka tidak terlibat dengan institusi Rom sejak abad ke-19.

Apabila kita membicarakan hal teologi queer, benar ianya sesuatu yang berteraskan akal dan ianya berkisar kepada hal-hal yang akademik dan banyak buku-buku awal membicarakan teologi queer dari sudut pandang akademik. Untuk memahami teologi queer, kita perlu ingat bahawa ianya bukanlah sesuatu yang terus jatuh dari syurga ke riba kita. Ia adalah pertembungan pelbagai idea dan teologi. Pemikiran Foucalt banyak memainkan peranan di dalam Teologi Queer – iaitu idea mengenai kegiatan subversif dan memahaminya secara halus, dan juga saya ingin tambah, penstrukturan semula. Teologi Feminis turut memainkan peranan yang besar, tidak lupa juga Teologi Pembebasan dan juga Teologi Lesbian, Gay dan juga Biseksual.

Bagi kebanyakan orang, Teologi Queer bersamaan dengan Teologi Lesbian dan Gay. Itu adalah suatu hal yang tidak tepat. Teologi Lesbian dan Gay bermula pada tahun 70an dengan gerakan pembebasan gay di Amerika Serikat, yang lebih memberi fokus kepada pendekatan yang apologetik terhadap teologi, dengan menegaskan bahawa golongan gay dan lesbian mempunyai peranan di dalam ekonomi golongan Kristian – di mana mereka bernilai bagi ekonomi golongan Kristian. Kebanyakannya adalah untuk menjustifikasikan keberadaan golongan gay dan lesbian yang berbeza secara seksualiti dan aktif beriman pada masa yang sama.

Masalahnya gerakan ini kemudiannya memberi idea bahawa wujudnya dunia gay dan lesbian yang tersendiri. Orang mulai bertanya, “bagaimana dengan golongan transgender? Golongan biseksual? Bagaimana pula dengan praktik yang tidak tergolong di dalam bentuk kepelbagaian seksual seperti polyamory dan BDSM?”, dan “kenapa bentuk ekspresi seksual ini dilihat sebagai lemah dibandingkan dengan bentuk yang lebih dihormati?”. Beberapa teolog queer seperti Marcella Althaus-Reid dan Robert E. Shore-Goss mulai menjauhkan diri daripada Teologi Lesbian dan Gay yang ekslusif dan mulai berteologi ke dalam kerangka queer yang lebih transgresif,  lebih inklusif dan membuka ruang di dalam dunia teologi terhadap fakta bahawa wujudnya rujukan yang sebelum ini sering diketepikan.

Apa yang kita punyai sekarang adalah idea bahawa Tuhan wujud di tempat yang jarang kita kenali dan jarang kita hormati dan itu bukanlah sesuatu yang baru, kerana jika kita lihat pada kehidupan Yesus Kristus sendiri, di mana dia menemui Tuhan? Di mana dia berdakwah mengenaiNya? Dia melaksanakan di tempat-tempat yang dilihat sebagai tidak bermoral dan tidak dihormati. Teologi Queer sebenarnya adalah pendekatan teologi yang berbalik kepada asas-asas dan memahami Yesus Kristus sebagai individu yang secara radikalnya seorang yang inklusif.

FR:

Sebentar tadi kami membincangkan bagaimana sesuatu teori itu dikaitkan dengan praktis. Apakah pendapat kamu mengenai hubung kaitan ini sebelum kita beransur ke komponen yang lebih teoretikal?

 

JG:

Pada bahagian pertama telah-pun saya sebut mengenai idea empat sisi – sebagai sumber teologi – dan salah satu sumber yang penting adalah kehidupan manusia itu sendiri ataupun pengalaman manusia, tetapi selama ini pengalaman itu diterjemahkan sebagai kehidupan heteroseksual dan heteronormatif. Kini apa yang ingin dilakukan melalui Teologi Queer adalah untuk merangkumi kehidupan golongan queer dan juga LGBT, dan melihat bagaimana mereka bukan sahaja melangsungkan kehidupan sekadar itu sahaja, tetapi kehidupan yang berhubungan dengan Tuhan. Teolog Queer seperti Nancy Wilson dan juga Marcella Althaus-Reid sentiasa menyatakan bahawa kita tidak perlu bermula daripada asas falsafah untuk berteologi, tetapi perlu bermula dari kehidupan manusia, pengalaman, ilmu dan keadaan yang sebenar. Itu adalah penting. Jadi itu menjadi premis asas bagi teologi queer disebabkan ianya berasal dari manusia dan kembali kepada manusia.

Kini, saya mengaku teologi queer memang sudah jauh dan ia memaparkan pelbagai idea yang menarik untuk kita menghiraukannya. Apa yang kebanyakan orang sedang lakukan sekarang, lebih-lebih lagi gereja-gereja queer di seluruh dunia adalah untuk menjadikan penteologian queer – turut juga sesuai bagi komuniti Kristian LGBT dan juga umat Kristian yang heteroseksual. Telah dilakukan kerja seperti ini di beberapa gereja seperti Free Community Church di Singapura dan mungkin juga Blessed Minority Christian Fellowship di Hong Kong. Queer Theology Academy di Hong Kong juga sedang mencuba menjadikan Teologi Queer lebih senang dipraktikkan. Kebanyakan orang mendapatkan inspirasi dari buku ‘Radical Love’ yang ditulis oleh Patrick S. Cheng, yang dikirakan sebagai penting dan memaparkan butiran-butiran penting bagi pengenalan terhadap Teologi Queer.

 

FR:

Bagi saya, hal-hal seperti ini kelihatan menarik kerana adanya persepsi bahawa teori queer tidak bersentuhan dengan teologi disebabkan antinormatif dan secara tidak langsung cenderung ke anti sosial bukan? Jadi salah satu perkara yang saya ingin benar tahu adalah bagaimana kamu menggunakan teori queer di dalam kes seperti ini. Bukankah komuniti itu juga merupakan suatu hal yang penting? Kerana itulah anggapan terhadap kegunaan teori sebenarnya.

Jadi mari kita ke arah persoalan mengenai teori dan perbincangan: Apakah yang dimaksudkan dengan menjadi antinormatif, untuk menjadi transgresif dalam kes ini? Maksud saya, pada suatu sudut adanya penerimaan. Kamu membawa golongan yang terpinggir untuk dikenali dan diterima masyarakat, kemudian itu pula dilihat sebagai normatif kerana mereka dirangkum sekali di dalam ‘kumpulan’. Jadi dimanakah terletaknya antinormativiti di dalam projek ini?

 

JG:

Itu merupakan soalan yang penting. Saya rasa kebanyakan daripada kita sudah pun didedahkan dengan konsep homonormativiti di mana golongan gay dan lesbian, transgender, biseksual dan juga golongan queer yang ingin menyesuaikan diri mereka ke dalam kehidupan yang biasa. Saya tak rasa itu adalah sesuatu yang buruk. Saya fikir semua orang perlu hidup. Dengan menggunakan perspektif Judith Butler, kebanyakan orang merasakan diri mereka hina kerana mereka tidak tergolong di dalam lingkungan keadaan kehidupan yang dianggap sebagai ‘normal’.

Jikalau kamu bukan heteroseksual dan tidak mengikuti garisan heteronormatif, dan tidak sesuai dengan masyarakat maka secara tidak langsung kamu dipinggirkan. Kamu mempunyai peluang yang kurang untuk berkembang dan untuk makmur dibandingkan dengan golongan heteroseksual ataupun heteronormatif. Jadi ia tidak semestinya sesuatu hal yang buruk.

Di suatu sudut pula, saya rasakan idea antinormatif menjangkaui isu LGBT dan turut juga termasuk di dalam lingkungan komuniti keluarga heteroseksual juga. Jadi cuba kita lihat dari sudut begini: Berapa banyak keluarga heteroseksual yang hidup berdasarkan garisan normal heteronormatif? Boleh saja kita sekalikan dua keluarga dan ketara bahawa kedua-duanya menjalani kehidupan yang berbeza.

Keluarga pertama, mungkin saja bapanya suka memakai pakaian perempuan pada waktu malam dan tiada siapa yang berbicara mengenainya dan keluarga kedua pula secara sedar membuat pilihan untuk tidak mempunyai anak. Jadi ada sahaja keluarga heteroseksual tetapi masih antinormatif, maka idea yang menentang heteronormativiti ataupun terhadap pelbagai bentuk normativiti bukan sahaja untuk golongan LGBT. Ianya untuk semua orang. Iaitu kita mempunyai hak untuk menjalani kehidupan sebagaimana kita inginkan, selagi kita tidak menyakiti diri sendiri ataupun orang lain.

 

FR:

Benar. Kadang-kadang kita menggunakan istilah ‘normal’ itu sendiri seakan kita tahu apa maksudnya yang sebenar. Apabila kita cuba mendalaminya dengan lebih lanjut, sebenarnya sikit sahaja yang sesuai dengan istilah ‘normal’ kerana ada sahaja sisi kita yang tidak semestinya bersesuaian dengan sisi normal kita.

Wujudnya sisi kita yang berlangsung secara tidak sedar, yang sedang kita jalankan dan itu adalah sesuatu hal yang tidak boleh dikenali dengan senang.

Jadi kita kembali kepada akar gerakan intelektual pula. Kamu nyatakan bahawa ianya bermula pada tahun 70-an. Apakah teks pada waktu itu yang menggerakkan para teolog queer untuk terus menjalankan projek ini? Kamu ada sebut tentang Foucault, boleh jelaskan hal ini dengan lebih lanjut?

 

JG:

Ada beberapa teks yang berpengaruh. Ia bukannya suatu hal yang timbul di fikiran saya pada waktu ini tetapi boleh sahaja saya nyatakan sebentar lagi. Mungkin untuk fokus pada satu atau dua benda, disebabkan kita ada sebut mengenai Foucault. Saya rasa salah satu pemikir yang mempengaruhi penteologian queer adalah Michel Foucault. Beliau menyatakan bahawa kekuasaan wujud di dalam wacana, tetapi kekuasaan menyerapi setiap aspek, setiap sudut di dalam kehidupan manusia dan mencetuskan tentangan.

Visinya mengenai keadaan subversif yang radikal dan visinya mengenai dekonstruksi telah menjadi utama di dalam penteologian queer kerana ia mencabar idea-idea teologi Kristian iaitu ‘kita telah menjalankan apa yang selama ini kita jalankan’ dan itu bukanlah hal yang sebenarnya berlaku. Apabila kamu bertindak secara subversif dan membongkar semula, kamu akan mulai melihat bahawa wujudnya rekahan di dalam Teologi Queer dan kamu sedar bahawa ianya bukanlah pakej yang sempurna diwarisi dari satu generasi ke generasi selepasnya. Wujudnya belahan, wujudnya gangguan, dan ada banyak keadaan di mana teologi mengalami pergolakan untuk mencapai di tahap yang ia wujud pada waktu ini.

Idea untuk bertindak secara subversif dan pembongkaran semula menyarankan bahawa tidak ada titik ketibaan bagi teologi. Awalnya saya ada sebut mengenai idea Orlando Espin iaitu pentradisian. Jadi apabila saya membicarakan tentang Teologi Queer, saya juga sedang fikir mengenai penteologian queer iaitu suatu proses yang tidak akan henti kerana ianya secara konsisten melalui proses pembongkaran semula. Ianya sentiasa menjalani proses yang subversif dan proses-proses ini berlaku kerana ianya merupakan kehidupan manusia yang menyesuaikan dan menghidupi proses penteologian. Malah apabila kita berbicara mengenai penteologian queer lebih sesuai kita menyebutnya sebagai proses ‘menteologikan’ queer, kerana ada banyak cara untuk melakukannya. Bagi saya, apa yang penting adalah pemberian ruang yang secukupnya untuk kehidupan yang sebenar, ianya perlu menyerap kehidupan yang sebenar ke dalam wacana yang ada.

 

FR:

Jadi ini menarik bagi saya kerana dua perkara: pemahaman mengenai dosa. Apa yang sudah jadi dengannya? Sekarang saya tahu kita sudah menjangkaui pemahaman konvensional, jadi saya mulai fikir, apa sudah jadi dengan pemahaman mengenai dosa iaitu pemahaman lama mengenai dosa kerana dosa juga sentiasa diperbaharui dan berubah tetapi ia masih terikat dengan ketaqwaan kita. Adanya idea bahawa kita tidak ingin menjadi pendosa, jadi apa yang berlaku dengan pemahaman seperti itu? Dan kedua, berkaitan dengan hal di atas, apa yang terjadi dengan badan fizikal kita? Kerana apabila membicarakan tentang realiti yang dihidupi, kita adalah makhluk yang berbadan tetapi pada masa yang sama, mengikut konteks agama monoteisme, wujudnya sesuatu yang lain.

Ianya sesuatu hal yang kabur apabila ianya berkaitan dengan badan. Ada juga yang ingin mengasingkannya terus. Ada yang ingin menerimanya dan ada juga yang menolaknnya secara penuh; dan ini adalah hubungan percanggahan yang sedang dihadapi oleh kebanyakan orang. Apakah hubung kaitan wacana ini dengan persoalan badan dan dosa? Malah untuk hal yang begitu lama, hal dosa dan badan berkait rapat – tujuh dosa utama dikaitkan dengan badan. Jadi apa yang berlaku dengan persoalan seperti ini?

 

JG:

Tepat. Kamu tahu, para teolog queer telah menunjukkan betapa ironinya setiap kali seseorang berbicara mengenai dosa, ianya pasti berkait dengan badan ataupun seks. Idea etika telah menjadi persoalan etika seksual; idea moral menjadi kemoralan seksual. Persoalan seks di dalam Kristianiti menjadi terlalu tabu tetapi pada masa yang sama ia timbul di tempat-tempat yang lain. Ianya seperti apa yang dinyatakan oleh Foucault, jika kita menganiaya seksualiti pada suatu ruang, ia akan terus hidup dan timbul di ruang yang lain. Jadi ini adalah sesuatu yang biasa bagi manusia tapi kita sering melupainya.

Jadi ya, bagi idea dosa seksual, kita perlu merujuk kepada teolog yang lama seperti Santo Agustinus dan Santo Thomas Aquinas. Agustinus, seorang uskup pada abad ke 4 pada masa yang lama bergelut dengan idea dosa seksual. Sebelum ini dia merupakan seorang individu yang tidak terlalu alim. Dia menjalani kehidupan yang penuh seksual dan mendapat anak di luar nikah. Bagi beliau, seksualiti dan seks adalah kejahatan yang perlu sehingga mengatakan bahawa dosa itu telah dijustifikasikan; kerana walaupun ianya dilihat sebagai dosa, lelaki dan wanita masih perlu menjalani hubungan seks kerana perlu menghasilkan anak. Aquinas, beberapa abad selepasnya turut mengambil idea tersebut dan merasakan bahawa jika lelaki dan wanita bersetubuh, mereka pasti melakukannya untuk menghasilkan anak. Jadi ianya merupakan sesuatu yang bagus, tetapi ianya mengambil masa yang sama sebelum gereja arus perdana sedar bahawa persetubuhan di antara suami isteri, perbuatan tersebut adalah sesuatu hal yang baik sifatnya.

Jadi saya rasa kini kebanyakan gereja akan setuju bahawa persetubuhan dan penghasilan generasi seterusnya adalah kurnia dari Tuhan. Meskipun begitu, penting untuk kita fahami bahawa hal yang telah diperakui tidak semestinya dengan mudah dapat diterjemahkan kepada cara manusia menjalani kehidupan mereka. Di pelbagai pelusuk dunia, idea mengenai tubuh masih menjadi suatu hal yang negatif. Badan dilihat sebagai kenderaan bagi terhasilnya dosa; permulaan bagi ketidaksamaan dan juga dosa seksual.

Kamu tahu kan, kita semua pernah melalui beberapa fasa, sama ada Kristian ataupun tidak, kita diberitahu bahawa kita perlu menjaga dengan elok bagaimana kita menggunakan tubuh badan kita kerana ia boleh membawa ke arah kebinasaan dan Tuhan tidak akan gembira mengenainya. Apa yang ingin dibuat melalui Teologi Queer adalah untuk memahami bagaimana badan itu berfungsi dan secara asasnya melihatnya sebagai sesuatu yang bersifat baik – iaitu hal yang seksual dan erotik adalah kurnia Tuhan. Dan jika ini disalurkan ke arah jalan yang konstruktif, tak kira heteroseksual atau homoseksual, ia masih berperanan sebagai saluran di antara manusia dan hal yang kudus.

Teologi Queer telah menghasilkan pelbagai bentuk sub teologi seperti teologi badan, teologi badan dan juga teologi seksual. Di dalam teologi erotiklah secara khususnya kita temukan pemikiran lesbian. Teolog-teolog feminis dan queer seperti Carter Heyward, Mary Hunt dan juga teman sekerja saya dari Hong Kong, Lai-shan Yip dan juga Rose Wu, pernah membincangkan bagaimana badan dapat menjadi saluran yang kuat ke arah Tuhan.

 

FR:

Kamu tahu, hal yang disebutkan kamu ada pengajarannya yang tersendiri; berpotensi ataupun tidak kepada sikap golongan bukan alim dan sikap mereka terhadap badan itu sendiri. Lauren Berlant menyatakan seperti berikut: beliau banyak menggunakan perkataan ‘erotophobia’ dan ini adalah pendekatan yang turut diambil oleh golongan liberal sama ada mereka sedar mengenainya ataupun tidak, iaitu walaupun badan kita telah disekularkan, tidak semestinya ianya cenderung untuk merasakan nikmat yang sebenar, lebih-lebih lagi di dalam konteks erotik.

Di dalam dunia liberalisme, setelah Sex and the City, wujudnya idea bahawa ia hanyalah seks dan wujudnya reduksi terhadap hal tersebut. “Ia hanyalah hal yang biologikal, ia hanya pilihan kamu.” Tetapi nampaknya wujudnya pandangan lain melalui wacana kamu yang menyatakan “bukan hanya itu.”. Dalam pelbagai cara ia cuba untuk menyelamatkan badan daripada reduksi liberalisme yang hanya melihatnya sebagai reaksi kimia dan sinapsis di dalam otak dan juga wacana di dalam agama yang melihatnya sebagai sesuatu yang bermasalah. Jadi ia menyatakan bahawa, “tidak, wujudnya pelbagai misteri di sini, wujudnya keindahan di sini dan adanya suatu bentuk hubungan yang sedang berlangsung.”

 

JG:

Betul. Saya rasa itulah teologi queer, dalam pelbagai bentuknya sedang lakukan. Mungkin cuba untuk mendemokrasikan badan dan membiarnya dihargai sebagaimana adanya, sama ada ianya adalah badan heteroseksual ataupun badan queer. Ia mengambil bentuk penghargaan yang tidak jumud dan itulah bukanlah sesuatu hal yang baru sebenarnya. Ia adalah penjumpaan semula sesuatu yang telah lama ada di situ. Jika kita membaca buku Genesis, apa yang ia beritahu? Ia adalah sebuah cerita yang metaforikal, tentang bagaimana wujudnya manusia. Jadi kita berbicara mengenai Tuhan, Sang Pencipta yang memilih untuk menyatakan cinta secara material. Jadi bermula dari awal, materialiti adalah sesuatu hal yang bagus. Lalu apabila berbicara mengenai asal-usul badan dari sudut pandang teologi dan bagaimana Tuhan melihatnya sebagai sesuatu yang baik, ini secara tidak langsung membenarkan manusia untuk melihat badan mereka dengan seadanya. Badan mereka dengan ekpresinya yang tersendiri, dengan ciri-ciri yang khusus dan kita katakan bahawa ianya adalah sesuatu hal yang baik sifatnya.

Dan sesuatu hal yang baik itu mempunyai sifat Ketuhanan dan berhubung denganNya. Jadi saya rasa penteologian queer mempunyai peranan yang penting di dalam menolong orang, hetero ataupun tidak, untuk menghargai badan mereka seadanya dan hidup seperti mana mereka ingin hidup di dalam kehidupan seharian mereka dan hubungan mereka dengan Tuhan.

 

FR:

Okay jadi saya ada soalan terakhir dan kemudian kita boleh habiskan sesi ini. Saya ingin tahu apa yang telah terjadi terhadap kategori tradisional seperti rasa bersalah, dosa dan juga keaiban. Saya tidak ingin bertindak seakan-akan kita perlu membuangnya secara penuh kerana saya rasa ianya boleh digunakan dengan elok. Maksud saya, jika saya tidak kitar semula saya patut malu dengan diri saya ataupun jika saya membuang sampah merata-rata, saya patut rasa bersalah. Adanya sesuatu mengenai kesedaran kita yang dapat kita nyatakan dengan jelas dan mengaitkannya secara sihat. Dan juga wujudnya cara yang dapat menghancurkan kita apabila kita merasa beban yang melampau disebabkan rasa malu atau rasa benci terhadap diri sendiri. Jadi apa yang terjadi dengan kategori yang tradisional seperti ini?

 

JG:

Teologi Queer telah mengubah dan membaca semula pemahaman sejarah mengenai dosa dan rasa bersalah. Patrick S. Cheng di dalam bukunya ‘From Sin to Amazing Grace’ berbicara mengenainya dengan lebih lanjut. Beliau mengatakan bahawa untuk golongan LGBT, dosa tidak ada kaitan dengan menjadi LGBT tetapi lebih kepada penafian kepada diri sendiri. Dengan ini dia lebih menekankan idea tradisional mengenai kewujudan di mana manusia dicipta oleh Tuhan melalui gender dan ekspresi seksual yang khusus. Maka dia berbicara mengenai homofobia dan transfobia dalaman sebagai dosa. Dia berbicara mengenai kegagalan seseorang untuk mengenai nilai seseorang sebagai dosa. Jadi sudah ada pemahaman sebegitu rupa dan saya berkata hal ini selaku seorang teolog queer. Apakah tujuan perasaan bersalah apabila kita berbicara mengenainya? Perasaan bersalah adalah seperti ketukan di pintu untuk berkata, “Hey, ada sesuatu yang tidak kena, boleh tak kita tidak perlu berubah arah tetapi sebaliknya, daripada melihat perasaan bersalah sesuatu yang mengikat kita dan membuat kita merasa teruk kepada sesuatu yang menolong kita menjadi lebih bertanggungjawab?” Untuk masa yang lama, saya telah pun membuat keputusan bahawa dalam kehidupan, perasaan bersalah tidak mempunyai apa-apa tujuan selain membantu saya untuk tidak lagi membuat kesilapan yang sama pada masa yang akan datang. Jadi perasaan bersalah merupakan suatu fasa dan ianya tidak perlu ada di dalam diri kita buat masa yang lama. Ia hanya perlu wujud untuk mengingatkan kita bahawa kita tidak menjalani kehidupan yang konstruktif dan apa yang telah kita lakukan tidak membuahkan bentuk kehidupan yang bagus, dan bergerak dari situ. Saya rasa menteologikan queer dapat membantu kita untuk sedar bahawa kita melakukan kesilapan di dalam kehidupan, lebih-lebih lagi berkaitan dengan badan kita, tetapi ianya tidak akan kekal lama.

 

FR:

Baik sebelum kita menamatkan perbualan ini bolehkah Joseph cadangkan buku, artikel ataupun filem yang kamu rasa sesuai bagi pembaca untuk terus membincangkan hal ini.

 

JG:

Saya rasa buku Patrick S. Cheng yang bertajuk ‘Radical Love: An Introduction to Queer Theology’ adalah pengenalan yang sesuai bagi Teologi Queer. Selain itu bagi sesiapa yang ingin berkenalan dengan wacana ini boleh melawat laman web Gereja Metropolitan Community dan lihat rujukan-rujukan yang memberi bimbingan kepada ibu bapa tentang bagaimana untuk memahami anak LGBT.

Buat masa ini saya sedang menyiapkan buku saya yang bertajuk ‘Living Out Sexuality and Faith’, jadi saya harap ia akan dikeluarkan tak lama lagi. Saya gembira jika para pendengar ingin emel saya untuk beberapa cadangan buku.