Merintis Jalan Penyelesaian Mahasiswa Kelaparan

Oleh Lee SlimShady

Makanan adalah hak asasi, namun dikala tekanan ekonomi yang semakin menghimpit, harga makanan lebih tinggi dari nilai wang dalam saku warga malaysia khususnya golongan marhaen.

Ini menandakan bahawa inflasi yang  melanda ekonomi rakyat sedang naik melambung.

Sebelum ini suara keluhan yang menghimpit warga marhaen yang biasa kita dengar adalah dari warga miskin kota.

Namun kali ini ia bukan sekadar keluhan tetapi satu masalah yang amat kronik bukan sahaja kepada warga miskin kota tetapi kini warga kampus di ibukota pula yang menerima bahana.

Terpampang di media massa, portal berita mahupun media sosial tersebar luas kisah tentang mahasiswa yang mengikat perut kerana tidak punya wang untuk makan.

Namun ia bukan polemik politik yang berlegar disekitar kita kerana ia adalah realiti kehidupan insan marhaen di universiti yang bergelut dengan kelaparan demi segulung ijazah mahupun diploma.

Maka terpapar di dada akhbar dan portal-portal berita kisah mahasiswa yang menahan lapar sehingga ada yang pengsan dalam kerana tidak menjamah makanan selama dua hari.

Malah ada pula yang terpaksa mencuri wang dari tabung masjid hanya kerana mahu membeli makananan demi mengalas perut kosong yang semakin pedih hingga ke hulu hati.

Tak kurang pula yang lebih rela berkurung dalam masjid membaca Al-quran untuk mengalihkan pandangan mata dari melihat rakan-rakan menjamah nasi.

Namun apakan daya wang saku yang tinggal dalam poket semakin kering.

Keajaiban khutbah para agamawan dimimbar masjid takkan mampu menghapuskan rasa pedih perut yang dihimpit kelaparan yang amat sangat.

Kini nasib siswa dan siswi hampir sama keadaannya dengan gelandangan dan warga miskin kota cuma bezanya mereka adalah warga mahasiswa dalam universiti.

Rata-rata dari warga kampus yang kurang bernasib baik ini datang dari latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan dari segi kewangan lantas kerana memahami beban keluarga.

Jadi tidak perlu kita terus menghambat kemarahan kepada pihak yang bertanggungjawab sedangkan kita sedar mereka sememangnya tidak boleh diharap.

Dari terus menuding jari dan melemparkan kata-kata kesat maka ada baik kita berbincang untuk merintis jalan penyelesaian tidak kira untuk jangka masa pendek atau jangka masa panjang.

Justeru rakan-rakan dikampus di kala ini sedang menggerakan usaha dan inisiatif untuk membantu warga kampus yang kurang bernasib baik.

Di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Malaya (UM) melalui ahli-ahli Majlis Pimpinan Pelajar telah mengusahakan kupon makanan tergantung.

Lebih dikenali sebagai “Suspended Meal”, kupon yang ditampal dipapan kenyataan yang boleh ditukarkan dengan makanan di kafetaria.

Manakala di Universiti Kebangsaan Malaysia pula, terdapat program Makanan Untuk Mahasiswa (FFM).

Melalui program ini, mahasiswa menggerakkan usaha mengedarkan makanan percuma buat warga kampus yang kurang berkemampuan tiga kali seminggu.

Satu pujian harus diberikan biarpun usaha tersebut bukanlah satu jalan penyelesaian yang drastik.

Namun ia adalah satu permulaan yang baik dalam merintis jalan keluar untuk membela nasib mahasiswa yang semakin terhimpit oleh tekanan ekonomi.

Satu tinjauan Pertubuhan Sukarelawan Muslim Malaysia (MVM) mendapati 57 peratus mahasiswa hanya memperuntukkan RM5 sehari untuk makanan.

Kajian yang melibatkan 25,632 mahasiswa di enam universiti awam mendapati 41 peratus hanya makan mi segera, manakala 44 peratus hanya makan “nasi bujang.”

Ramai yang melihat bahawa kisah mahasiswa di kampus yang berlapar selama berhari-hari adalah satu fenomena baru.

Namun ia bukan suatu hal yang pelik kerana beberapa tahun sebelum ini hal yang sama pernah berlaku cuma keadaannya tidak kronik seperti hari ini.

Sebelum ini kita biasa dengar pelajar dikampus hanya makan mi meggi sebelum  ke kelas atau dewan kuliah. Tetapi kini perencah mi segera itu pula yang menjadi kuah yang di makan bersama nasi.

Justeru masalah kelaparan di kampus-kampus tempatan makin serius. Ramai pelajar dilaporkan tidak makan kerana masalah kewangan.

Bayangkan Di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), 300 bungkus makanan percuma boleh habis dalam masa 10 minit.

Oleh itu kita memerlukan kaedah yang lebih baik berbanding kupon makanan tergantung dan makanan percuma.

Masalahnya disini kedua-dua kaedah tersebut seperti kupon makanan tergantung hanya mampu memberi makan kepada pelajar kampus sehari sekali.

Manakala makanan untuk mahasiswa di UKM hanya tiga hari dari Selasa hingga Khamis mulai 8 malam kecuali hujung semester, selama lima hari bekerja.

Pastinya persoalan paling penting ialah kaedah tersebut tidak memastikan pelajar kenyang untuk sepanjang hari.

Mungkin di tanahair masalah pelajar kampus ketiadaan wang untuk makan mungkin dilihat sebagai satu fenomena baru.

Tetapi tidak bagi pelajar kampus di negara maju seperti Amerika Syarikat kerana mereka sudah terlebih dahulu mengalami betapa perit dan azabnya menahan kelaparan.

C__Data_Users_DefApps_AppData_INTERNETEXPLORER_Temp_Saved Images_BN-HR193_PANTRY_P_20150331134249

Mahasiswa di Amerika juga hadapi masalah yang sama

Di Amerika masalah serius ini telah pun melanda pelajar kampus di negara Uncle Sam tersebut lebih awal daripada apa yang terjadi di Malaysia. Bukanlah berniat untuk membuat perbezaan atau persamaan tetapi sekadar meneladani kaedah yang mungkin berkesan untuk di laksanakan disini.

Di Amerika ada dikalangan pelajar kampus bukan sahaja ketiadaan wang untuk makan malah ketiadaan tempat tinggal untuk meneruskan pengajian di Universiti.

Masalah ini mula mendapat perhatian pentadbir Universiti apabila melihat lebih ramai pelajar yang kelaparan, terutama yang datang dari keluarga berpendapatan rendah

Karen Gerlach naib presiden hal ehwal pelajar di Trinity Washington University memberitahu semakin ramai pelajar di Amerika yang datang dari latarbelakang isi rumah berpendapatan rendah.

Malah ada juga terpaksa membantu keluarga yang hidup dalam kemiskinan.

Kadangkala para pelajar menjadi serba salah hingga terpaksa memilih antara mahu membeli buku untuk pengajian mereka atau membantu keluarga yang daif.

Jelas disini masalah yang dihadapi  mahasiswa di Amerika tidak jauh beza dengan masalah yang dihadapi oleh pelajar kampus di tanahair. Oleh itu jalan penyelesaianya pula pasti tidak jauh beza.

Washington Post pernah melaporkan bagaimana pelajar-pelajar di Michigan State University berhimpun dan berbincang untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah pelajar kampus yang kelaparan serta tidak punya wang untuk makan.

Pada tahun 2008, pelajar di George Mason University (GMU) memulakan program baucar yang mirip kepada kupon makanan tergantung yang dipraktik oleh UIA.

Mereka menggunakan sumbangan daripada perkhidmatan makanan kampus dan lain-lain sumber untuk menyediakan kupon makanan kepada pelajar yang memerlukan.

Dalam tahun yang sama Feeding America sebuah badan amal yang memberi bantuan makanan buat pertama kali dalam empat tahun membuat tinjauan terhadap bilangan pelajar kampus yang memohon bantuan makanan di Universiti.

Di sini wujud kelemahan dalam kaedah pemberian baucar atau kupon makanan yang mana wujud stigma atau perasaan malu andai rakan-rakan lain tahu yang pelajar ini tiada wang untuk makan.

Stigma ini wujud dalam perasaan diri pelajar itu sendiri biarpun dalam masa yang sama orang lain tak ambil kisah pun.

Selain stigma baucar atau kupon makanan tidak menjamin seseorang pelajar akan dapat makan lagi dalam tempoh sehari kerana mereka hanya dapat makan sekali sahaja.

Namun ini bukanlah satu kritikan supaya kaedah baucar atau kupon ini mesti dihentikan.

Harus faham dengan jelas bahawa apa yang diterangkan disini adalah ia hanya sekadar kelemahan sedangkan kaedah ini harus terus diamalkan sebagai bantuan makanan sampingan kepada mahasiswa di kampus.

C__Data_Users_DefApps_AppData_INTERNETEXPLORER_Temp_Saved Images_BN-HS517_pantry_P_20150403101810

Bank simpanan makanan dan bilik pantri di fakulti

Pada tahun yang sama mahasiswa di Michigan State University menemui kaedah terbaik untuk menangani masalah mahasiswa yang kelaparan dengan menubuhkan Bank Simpanan Makanan (BSM).

BSM bertindak menyalurkan stok makanan kepada bilik pantri yang diwujudkan di setiap fakulti yang ada dalam sesuatu Universiti.

Manakala setiap bilik pantri pula harus memiliki peralatan dapur yang lengkap untuk membolehkan pelajar memasak dan juga stor penyimpanan makanan.

Setiap makanan di bahagikan kepada kepada 3 jenis bahan makanan.

1. Makanan yang sedia untuk dimakan (RTE) seperti biskut, coklat atau makanan yang boleh disimpan lama dan boleh dimakan dalam jarak masa satu bulan.

Makanan seperti ini tidak tertakluk kepada makanan kering dan makanan yang di pek sahaja malah makanan sejuk beku yang dipanaskan dalam ketuhar gelombang mikro seperti kuih muih juga boleh di kelaskan sebagai makanan yang sedia untuk dimakan.

2. Makanan yang sedia untuk dimasak (RTC) contohnya seperti makanan dalam tin yang perlu dimasak dahulu seperti sardin atau sotong yang ditinkan atau makanan siap masak seperti kari daging atau kari ayam jenama Brahim’s yang perlu dimasak dalam ketuhar gelombang mikro.

Makanan seperti ini mudah untuk dimasak terutama sekali kari ayam Brahim’s yang perlu di panaskan dalam ketuhar gelombang mikro atau perlukan masakan yang lengkap seperti sambal sardin.

3. Makanan mentah (RF) seperti beras, ayam, ikan dan sayur-sayuran. Selalunya makanan sebegini harus disimpan dalam peti sejuk beku yang makanan seperti ini terdiri dari makanan basah dan rencah makanan seperti garam, kicap ataupun sos cili.

Dengan kaedah ini Mahasiswa boleh memilih untuk memasak atau menikmati makanan yang sedia untuk di makan.

Maka fakulti tempat dimana mereka menghadiri kuliah bakal menjadi ‘rumah ke-2’ berbanding kolej kediaman kerana pasti pelajar akan datang ke fakulti bukan sekadar untuk belajar atau menyiapkan tugasan malah untuk makan bersama rakan-rakan.

Disini kita akan lihat akan wujud satu budaya baru yang mana pelajar akan hadir awal ke kelas untuk bersarapan pagi di bilik pantri, yang pasti sesuatu fakulti itu akan berfungsi lebih dari sekadar tempat untuk belajar dan menyiapkan tugasan.

Melalui kewujudan pantri di semua fakulti dalam Universiti menjamin kekerapan pelajar untuk makan dan memastikan setiap pelajar tidak akan lapar dalam menjalani rutin seharian di kampus.

Namun kaedah kupon makanan tergantung harus diteruskan sebagai makanan alternatif untuk melengkapkan diet seharian mahasiswa di kampus.

C__Data_Users_DefApps_AppData_INTERNETEXPLORER_Temp_Saved Images_untitled

Bagaimana memperoleh bekalan makanan

Sekali imbas dalam mewujudkan bank makanan ianya persis kepada konsep baitulmal pada awal ianya di kuatkuasakan sebagai tanggungjawab wajib keatas semua umat islam yang memiliki kekayaan.

Maka disini ia bagaikan satu idea yang bernas bagaimana mahasiswa boleh mendapatkan bekalan makanan untuk mengisi stor simpanan bank makanan selain mendapatkan bantuan dana dari sumbangan dari masyarakat umum, ahli koprat mahupun orang perseorangan.

Andai badan pertubuhan islam di malaysia ini mampu membeli simulator permainan golf jadi takkan lah tidak boleh menyumbang sedikit buat warga kampus yang memerlukan.

Jika di Amerika khususnya di Universiti Michigan mahupun Universiti Oregon para pelajar di kampus tersebut menggerakan kempen Mahasiswa bantu mahasiswa.

Lebih dikenali sebagai “Student help Student, mereka saling mengumpul dana mahupun bahan makanan untuk bank makanan mereka.

Malah mereka juga mengamalkan budaya berkongsi makanan secara ‘potluck’ yang dikumpulkan secara beramai-ramai.

Mekanisme terbaik pantau kesihatan mahasiswa

Selain menangani masalah pelajar yang tidak punya wang untuk makan pantri juga mampu berfungsi sebagai pemantau kesihatan pelajar melalui kempen pemakanan sihat.

Membekalkan makanan dengan nutrisi terbaik melalui bank makanan dan pantri mampu menyimpan data kesihatan pelajar mengikut fakulti.

Sebelum ini ada Universiti yang menjalankan kempen pemakanan sihat tetapi gagal dilaksanakan kerana tiada kaedah paling baik.

Tetapi kini bank makanan dan bilik pantri di setiap fakulti telah punya kaedah yang terbaik. Contohnya pada tahun 2009 ketika wabak selsema burung kembali melanda dunia.

Bank makanan diseluruh universiti di Amerika bertindak menghentikan pemakanan yang berasaskan daging dan menggantikan dengan sayuran dan hasil tenusu.

Setiap pagi bilik pantri akan mengedarkan kepada semua pelajar “power bar” sejenis makanan dari campuran buah-buahan kekacang yang dimampatkan.

Ia sebagai salah satu usaha untuk menyekat wabak berkenaan dari menjangkiti para pelajar.

C__Data_Users_DefApps_AppData_INTERNETEXPLORER_Temp_Saved Images_BN-HR191_PANTRY_P_20150331133846

Rangkaian kerjasama bank makanan

Apabila sistem bank makanan di kampus dilihat sebagai satu kaedah paling berjaya menangani masalah mahasiswa yang tidak punya wang untuk makan, kini seluruh kolej dan universiti di Amerika menubuhkan bank makanan di kampus masing-masing.

Jawatankuasa bank makanan dibentuk dan mereka melantik pengarah untuk melicinkan lagi operasi organisasi tersebut.

Setelah semua universiti diseluruh Amerika membentuk organisasi bank makanan yang lengkap dengan pengurusannya sendiri maka satu jalinan rangkaian bank makanan di seluruh amerika yang saling berkerjasama dalam membela nasib mahasiswa yang kelaparan.

Jalinan rangkaian kerjasama ini dinamakan Perikatan Bank Makanan Kolej dan Universiti atau CUFBA. Malah kini CUFBA yang memiliki dana yang kukuh menjalankan berbagai program termasuk melatih mana-mana organisasi yang mahu menubuhkan bank makanan.

Bank makanan dan pantri harus dilaksanakan di malaysia

Sebagai salah ikhtiar kepada jalan penyelesaian, mahasiswa di kampus tanahair harus cuba melakukan ekspremintasi dalam menangani masalah yang sama di malaysia.

Situasi mahasiswa kini yang berlaku di Amerika dan malaysia adalah sama dan kini ahli MPP dan bahagian hal ehwal pelajar harus menilai cadangan ini sebagai satu solusi.

Visi mewujudkan bilik pantri dan bank makanan jelas untuk mengurangkan halangan dan cabaran yang berkaitan dengan kekurangan makanan dan kelaparan supaya pelajar kolej dan universiti boleh kekal di kampus dan akhirnya mendapatkan ijazah mereka.

Kewujudannya sebagai akses kepada makanan yang mencukupi dan berkhasiat adalah hak asasi manusia dan bahawa kehadiran mahasiswa yang tidak punya wang untuk makan di kolej atau universiti tidak bermakna bahawa hak ini akan hilang.

Justeru warga kampus di Universiti seluruh malaysia harus menilai cadangan ini sebagai salah satu jalan penyelesaian  terhadap masalah mahasiswa yang semakin kronik.

Biarpun cadangan tidak sempurna dan pasti ada kekurangan tetapi kita harus berani dalam membuat ekperimentasi. Bak kata pepatah Melayu, “Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.”

*Lee SlimShady adalah bekas aktivis #OccupyDataran yang percaya perubahan hanya melalui proses revolusi.