Minoriti perlu berani

Kelas bimbingan bahasa diadakan di Rumah Kavyan.
Kelas bimbingan bahasa diadakan di Rumah Kavyan.

Di seluruh dunia, golongan minoriti sering diberikan perlindungan khas. Bagaimanapun, hakikat yang amat nyata di Malaysia adalah bahawa golongan minoriti atau marginal sering dipinggirkan, diabaikan, tidak diberikan hak untuk bersuara serta terus-menerus dizalimi.

Memanglah ada kes-kes terpencil di mana individu daripada kumpulan minoriti tertentu diberikan peluang dan dijulang tinggi. Bagaimanapun, biasanya individu minoriti terbabit seringkali sudah meninggalkan kumpulan asal (minoriti) dan sudah menjadi penyokong atau pengikut kumpulan teras (majoriti).

Sementara itu, kumpulan minoriti masih meneruskan perjuangan menuntut apa yang menjadi hak yang sah di sisi undang-undang. Namun begitu, selalu pula pelbagai alasan diketengahkan oleh kumpulan majoriti untuk terus menindas kumpulan minoriti.

Antara alasan yang sering digunakan untuk menakut-nakutkan golongan minoriti adalah perkara-perkara kecil yang sebenarnya tidak menghadkan hak dan peluang sah yang sepatutnya menjadi hak minoriti. Misalnya alasan bahawa tuntutan minoriti akan menjejaskan hak majoriti.

Antara golongan minoriti yang dimaksudkan dalam konteks ini termasuk (tetapi tidak terhad kepada) golongan Bukan Islam, bukan mazhab Syafi’i, Bukan Melayu, bukan penutur asli bahasa Melayu serta golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Termasuk dalam kumpulan ini adalah Orang Asal (Orang Asli) dan Bumiputera Bukan Islam di Sabah dan Sarawak. Sesiapa yang bukan ahli atau penyokong (pengampu) Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) juga sering dilayan seperti golongan minoriti.

Kumpulan minoriti perlu memperkasakan diri demi mempertahankan hak.
Kumpulan minoriti perlu memperkasakan diri
demi mempertahankan hak.

Kita yang tidak termasuk dalam kumpulan rasis, etnosentrik, pelampau, ultra kiasu dan fanatik dalam soal agama, bahasa, kaum dan politik juga sering dianggap minoriti. Apatah lagi jika kita berfikiran terbuka, plural dan moderat. Begitu juga aktivis dan nasionalis di Sabah dan Sarawak yang menuntut hak.

Walau dalam kategori minoriti mana pun kita dimasukkan, ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian bagi memperkasa diri. Hal ini penting bagi memastikan kita dapat mempertahankan hak serta tidak lagi diperlekeh, dihina, diperkotak-katik dan dizalimi kelompok majoriti, kuasawan dan politikus.

Tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani mengetengahkan kebenaran. Demikian antara kata-kata Mahatma Gandhi yang boleh dijadikan pemberi semangat.

Kita sebagai golongan minoriti perlu berani tampil bersuara. Daripada pengalaman dan pemerhatian saya, ramai yang suka bising-bising dan menjerit-jerit di laman rangkaian sosial seperti Facebook. Akan tetapi, apabila diminta memberikan pandangan bagi tujuan penerbitan dalam makalah, mereka terus kecut dan membisu.

Jadilah perubahan yang mahu anda saksikan

Sekiranya kita memang berani untuk memperjuangkan hak-hak sah golongan minoriti, maka kita perlu berani bersuara lantang. Manfaatkan Facebook, Twitter, blog dan sebagainya.

Beranilah mengirimkan surat pembaca, komen atau pandangan untuk disiarkan di media konvensional dan media alternatif. Keluarkan kenyataan dalam bentuk kenyataan media dan paparan status di Facebook.

Apabila bersuara, jangan berselindung di belakang nama samaran atau identiti yang tidak boleh dikenali. Itu adalah tindakan golongan pengecut. Jika kita memang berani bersuara mewakili golongan minoriti, maka lakukan secara berani dan terbuka. Usah berselindung di sebalik identiti yang samar.

Kumpulan minoriti perlu memperkasakan diri demi mempertahankan hak.
Kumpulan minoriti perlu memperkasakan diri
demi mempertahankan hak.

Jadilah perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini. Demikian satu lagi pandangan Gandhi yang menjadi semacam penyuntik semangat kepada saya untuk berani bertindak walaupun apa yang dilakukan mungkin tidak menyenangkan pelbagai pihak.

Sekiranya golongan minoriti tidak memulakan langkah, maka perubahan yang diharapkan itu tidak mungkin menjadi kenyataan. Kita sebagai minoriti jangan mengharapkan kumpulan majoriti tampil membantu membawa perubahan yang kita harapkan.

Kalau bukan kita yang memulakannya, siap lagi? Apatah lagi dalam isu-isu melibatkan hak golongan minoriti yang tentu sahaja sedaya upaya cuba dipinggirkan golongan majoriti tertentu yang mahu terus berada di atas dan terus-menerus menafikan hak golongan minoriti.

Dalam memperjuangkan hak yang sah, golongan minoriti tertindas tidak boleh mengharapkan sokongan dan liputan media arus perdana; media cetak dan media elektronik.

Sekadar contoh, golongan Orang Asal tidak boleh mengharapkan Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV3, Utusan Malaysia dan Berita Harian untuk memberikan liputan yang menyeluruh, objektif dan mendedahkan masalah sebenar yang dialami golongan minoriti itu. Kalau laporan secara permukaan (surface) yang menjadikan golongan Orang Asal sebagai komoditi tarikan pelancongan, maka bolehlah diharapkan.

Walau bagaimanapun, golongan minoriti tidak perlu bimbang kerana capaian media alternatif adalah lebih meluas berbanding media konvensional. Paparan di portal berita dalam talian dan blog juga boleh diakses orang ramai di seluruh dunia. Malah, lebih mudah dikongsikan menerusi Facebook dan Twitter.

Senjata utama: Bahasa Malaysia

Sejak beberapa bulan lalu, saya mengendalikan kelas bimbingan Bahasa Malaysia bagi sekumpulan aktivis yang disegani dan lantang bersuara. Mereka bukan calang-calang orang kerana mendapat pengiktirafan pada peringkat antarabangsa.

Namun, mereka memilih untuk mengikuti kelas bimbingan Bahasa Malaysia kerana menyedari kepentingan bahasa kebangsaan sebagai medium paling penting untuk melakukan perjuangan pada peringkat akar-umbi.

Semangat yang ditunjukkan sekumpulan aktivis ini amat membanggakan dan mengharukan saya. Mereka sedar bahawa tiada gunanya jika Bahasa Inggeris sahaja digunakan untuk mengetengahkan masalah dan perjuangan golongan minoriti di negara ini.

Golongan minoriti yang mahu bersuara demi memperjuangkan hak perlu menyedari kepentingan menguasai Bahasa Malaysia; selain bahasa-bahasa lain. Kalaulah kita tidak mampu bersuara menggunakan Bahasa Malaysia, apalah gunanya kita menggelarkan diri kita sebagai warganegara Malaysia

Datuk Ambiga sedia belajar semula untuk menguasai Bahasa Malaysia.
Datuk Ambiga sedia belajar semula untuk
menguasai Bahasa Malaysia.

Janganlah kita menjadi seperti majoriti politikus, menteri dan timbalan menteri yang tidak mencintai serta tidak menguasai Bahasa Malaysia. Sebagaimana kita mentertawakan, memperkecilkan dan mengabaikan politikus terbabit, begitulah juga orang ramai akan memandang kita jika kita tidak mampu berkomunikasi menggunakan bahasa kebangsaan.

Golongan minoriti juga perlu bersatu. Walaupun pelbagai kelompok minoriti berdepan dengan masalah, hambatan, kezaliman dan penindasan yang berbeza daripada kelompok majoriti yang berbeza, aspek bersatu dan bergabung perlu diutamakan.

Contohnya, golongan minoriti Orang Asal serta penduduk asal Sabah dan Sarawak wajar bergabung bagi mempertahankan hak yang sah di sisi undang-undang. Minoriti Kristian dan minoriti Hindu yang sering dituduh menyebarkan ajaran agama menerusi bahan bacaan Bahasa Malaysia boleh bersatu memperjuangkan hak menggunakan bahasa kebangsaan.

Bagi mengukuhkan kesatuan, satu-satu kelompok minoriti perlu juga tampil membantu dan bersolidariti dengan kelompok minoriti lain. Misalnya minoriti yang sering ditindas kerana identiti jantina boleh bersolidariti dengan minoriti yang ditindas kerana perbezaan mazhab atau jantina.

Percayalah, jika para minoriti yang memperjuangkan hak daripada ditindas mampu bergabung tenaga dan suara, maka minoriti akan dapat mengatasi kuasa majoriti yang sudah terlalu lama melakukan penindasan. Lihat sahaja bagaimana Sisters in Islam (SIS) mampu bergabung tenaga dengan pelbagai kumpulan minoriti lain untuk sama-sama berjuang demi hak yang sah.

Ketidaksatuan antara kumpulan minoriti sebenarnya dijadikan salah satu senjata oleh kumpulan majoriti untuk meneruskan penindasan dan ketidakadilan secara sedar atau tidak sedar, secara terancang atau tidak terancang.

Jadilah perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini. Tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani mengetengahkan kebenaran. Minoriti perlu memperkasakan diri untuk mencapai hasrat itu.

unnamed