Muslim menggadaikan nyawanya untuk Kristian di Mosul

Laman web ankawa.com mengisahkan seorang profesor universiti yang telah mati dibunuh kerana menentang penganiayaan anti-Kristian. Sementara itu, ISIS telah menetapkan jizyah sebanyak 450 dolar:

Beliau enggan berdiam diri tentang keganasan yang dihadapi oleh penganut Kristian di Mosul, yang terpaksa memilih samaada untuk memeluk Islam, membayar jizyah (cukai Islam untuk warga bukan Islam) atau melarikan diri. Profesor Mahmoud Al ‘Asali, seorang profesor perundangan dan pensyarah bidang pedagogi di Universiti Mosul, telah berani membantah ugutan kejam ini yang beliau percayai adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Tetapi beliau telah membayar harga pendirian ini dengan nyawa: beliau dibunuh oleh militan ISIS di Mosul semalam.

Ankawa.com – antara sumber berita terpantas mengenai bencana yang dihadapi penganut Kristian di Iraq – telah menyiarkan kisah tersebut. Di tengah pergolakan tragedi yang sedang berlaku di negara ini, laman web tersebut tidak mahu kisah keberanian ini terlepas dari pandangan awam tanpa disedari. Profesor Ali ‘Asali cukup sedar apakah risiko yang dihadapinya: semua di Mosul mengetahui bahawa di Raqqa – sebuah kota di Syria yang telah ditakluki ISIL pada tahun lepas – ramai aktivis hak asasi manusia telahpun berkorban nyama menentang kekerasan ISIS. Namun Al ‘Asali tidak mampu hanya berdiam diri.

Begitu juga ramai umat Islam yang lain, yang telah melancarkan kempen “Saya warga Iraq, Saya Kristian” sebagai tindak balas kepada tanda huruf “Nun” yang tertulis pada dinding rumah-rumah Kristian di Mosul. Semalam, sebahagian daripada mereka hadir di luar Gereja St. George di Baghdad, bersama panji yang tertera dengan cogan kata tersebut dan menyiarkan gambarnya di Facebook.

Tetapi tindakan-tindakan penentangan ini tidak mampu menghentikan kegilaan fundamentalis ISIS. Pada hari ini, pembersihan etnik kian berterusan, dengan penguatkuasaan jizyah – cukai “perlindungan” Islam yang perlu dibayar oleh semua orang bukan Islam yang ingin kekal atau kembali ke Mosul. Jumlah bulanan yang perlu dibayar ialah 450 dolar, iaitu suatu jumlah yang mustahil bagi sesiapa yang menetap di Utara Iraq. Hari ini, sebuah lagi lokasi bersejarah Kristian telah jatuh ke tangan ISIS: bangunan biara Syro-Katolik Mar Benham, berhampiran dengan Qaraqosh, iaitu bandar Kristian di dataran Nineveh yang merupakan pusat pelarian bagi majoriti penganut Kristian. Biarawan-biarawan telah menduduki Mar Benham sejak abad ke-4 lagi. “Mereka menghalau tiga biarawan dan beberapa keluarga yang tinggal di biara tersebut dan memaksa mereka meninggalkan kuncinya,” ujar Yohanna Petros Moshe, biskop Syro-Katolik Mosul, kepada agensi berita Fides. Blog Bagdadhope melaporkan bahawa biara tersebut dibaik pulih pada tahun 1986 dan telah menjadi destinasi penziarahan bagi penganut agama Kristian dan juga Islam.

 


Makalah asal oleh Giorgio Bernardelli, disiar di vatican insider 07/21/2014. Penterjemahan oleh Yana Rizal.

 

unnamed