Muslim seharusnya mempertimbangan penyembelihan haiwan ketika Raya

Penterjemahan Should Muslims Reconsider Animal Slaughter on Eid? oleh Anila Muhammad ke Bahasa Malaysia oleh Hamizah Hanan. Sekadar perkongsian renungan. 

 

Hari Raya Aidiladha disambut bagi memperingati kisah kerelaan Nabi Ibrahim untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail, sebagai hari perayaan bagi masyarakat Muslim seluruh dunia.*

Namun, bagi berjuta-juta haiwan ianya bukanlah hari kegembiraan kerana ianya menandakan permulaan upacara penyembelihan haiwan.

Semakin bertambah muslim di dunia yang berpendirian sama ada enggan untuk mengambil bahagian dalam ibadah ini ataupun lantang bersuara dan meminta untuk menamatkan pengorbanan haiwan-haiwan.

Antaranya adalah pencinta haiwan yang diketahui umum seperti Amira Hassan dari Tunisia, Secil Araci dari Turki and Amina Abaza pengasas Persatuan Perlindungan Hak Haiwan di Mesir.

Dan bukannya pencinta haiwan ini sahaja yang ingin melihat berakhirnya ritual ini. Malah kebanyakan Muslim yang mula menilai semula adakah ritual ini sebenarnya sebahagian daripada tradisi berbelas kasihan dan rahmat seperti yang ditekankan di dalam Al-Quran dan tauladan daripada kehidupan Nabi Muhammad.

Kisah Nabi Ibrahim

Shahid ‘Ali Muttaqi ada menulis tulisannya yang mantap dan diedarkan secara meluas berkenaan ketidak tepatan pentafsiran agama dan sejarah yang berkaitan dengan korban Hari Raya itu. Tulisannya menunjukkan bahawa faktor terbesar yang menyumbang kepada penyebab upacara ini berterusan adalah salah tafsir kisah Nabi Ibrahim.

Dalam kisah asal Nabi Ibrahim, berdasarkan mimpinya, percaya bahawa tuhan mengarahkan beliau untuk mengorbankan anaknya, Ismail.

Seperti yang diceritakan, apabila Nabi Ibrahim mula untuk melakukan pengorbanan tersebut, Tuhan menyelamatkan nyawa Nabi Ismail dengan menggantikan seekor kambing di tempat beliau.

Jika kita membuka al-Quran [ayat 37:102] untuk membaca cerita sebenar ternyata tafsirannya agak berbeza:

Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.

Setelah keduanya berserah (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami),

Serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim!

“Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.

Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata.

Dan Kami tebus anaknya itu dengan pengorbanan yang penuh bermakna.

Al-Quran menyatakan bahawa Nabi Ibrahim telah bermimpi di mana beliau mempercayai bahawa Tuhan telah mengarahkannya untuk mengorbankan anaknya.

Apa yang jelas, namun kita terlepas pandang, adalah tiada bukti yang menyatakan bahawa mimpi itu dari Allah atau Tuhan menuntut pengorbanan ini.

Ini merupakan perbezaan penting yang perlu difikirkan untuk menilai amalan korban haiwan itu adakah berdasarkan tanggapan bahawa mimpi Nabi Ibrahim itu datang dari Allah dan Tuhan mengarahkan Nabi Ibrahim untuk mengorbankan anaknya. Namun, perlu dilihat, Tuhan campur tangan untuk menghentikan perbuatan Nabi Ibrahim daripada mengorbankan anaknya.

Perbezaan seterusnya adalah berkaitan dengan pentafsiran ayat yang terakhir: “Dan Kami tebus anaknya itu dengan pengorbanan yang penuh bermakna.”

Terdapat tafsir al-Quran yang telah mengantikan istilah “pengorbanan yang penuh bermakna” dengan “binatang sembelihan yang besar”.

Nampaknya ada beberapa perdebatan dalam kalangan ulama mengenai ayat terahkir ini, tetapi perlu diingat pentafsiran ayat ini amat penting.

Ulama al-Quran seperti Muhammad Asad telah melanjutkan pentafsiran ini dengan membaca isitilah “besar” adalah merujuk kepada Nabi Ibrahim sendiri bukannya kambing yang dikorbankan.

Malah pengorbanan Nabi Ibrahim tidak mempunyai kaitan dengan perbuatan fizikal penyembelihan itu.

Pengorbanan Nabi Ibrahim adalah mengenai kesediannya melepaskan perkara yang paling penting dalam hidupnya, untuk memenuhi apa yang dilihatnya sebagai kehendak pencipta Ilahi.

Bagi memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim ini, adalah amat penting untuk kita bertanya diri sendiri adakah kita bersedia untuk melepaskan sesuatu yang amat bernilai apabila kita korban atau menyembelih haiwan tersebut.

Adakah kita benar-benar melakukan pengorbanan emosi dan mental yang sama seperti yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim? Jika tidak, maka bagaimana sebenarnya untuk kita meningkatkan pembangunan rohani kita dengan meneruskan tradisi ini?

Kebimbangan untuk pihak yang kurang bernasib baik.

Sebab seterusnya dalam pengamalan korban haiwan ini adalah berkaitan dengan pengunaan daging haiwan ini untuk diberkan kepada orang yang kurang bernasib baik.

Ya, benar bahawa sebahagian daripada daging haiwan yang dikorban akan diberikan kepada orang miskin.

Walau bagaimanapun, kita perlu bertanya kepada diri sendiri- adakah kita hanya bimbang untuk memberi makanan kepada mereka untuk hanya beberapa hari atau mengekalkan mesej keadilan sosial yang ditekankan dalam al-Quran?

Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang yang memerlukan dan musafir dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; [2:177]

Terdapat banyak ayat yang menekankan keadilan sosial dalam al-Quran. Ayat ini telah ditafsirkan oleh ulama yang bermakna bahawa pengamatan rohani yang bersifat holistic adalah merangkumi pemahaman dan reaksi kepada keadaan orang-orang yang kurang bernasib baik yang terdapat dalam masyarakat kita.

Pengagihan ‘harta kekayaan’ tidak hanya bermaksud pemberian wang sahaja tetapi merangkumi masa, penglibatan dan komitmen jangka panjang untuk membantu memperbaiki keadaan mereka.

Dan pemantauan pihak beragama hanya dilakukan hanya untuk pengekalan tradisi, seperti dalam kes korban haiwan ini, ianya mempunyai skop yang terhad untuk membantu mengubah keadaan.

Jika kita prihatin dengan keadilan sosial dan ingin mewujudkan perubahan yang bermakna, jangka panjang, maka kita umat Islam perlu menimbang semula penyaluran wang kita daripada pengorbanan ini kepada membuat pelaburan lain dalam komuniti untuk membantu yang kurang bernasib baik.

Mungkin pelaburan boleh dilakukan kepada organisasi yang bergiat aktif di peringkat akar umbi. Organisasi tersebut melibatkan secara langsung dengan masyarakat yang diperjuangkan.

Mereka memberi kuasa kepada pengundi untuk menentukan apa yang mereka perlukan (pendidikan, latihan vokasional, penjagaan kesihatan) dan bukannya menganggap bahawa mereka perlukan (daging), dengan itu “membantu mengubah keadaan sesuatu kaum” [Quran 13:11] untuk jangka masa panjang.

Layanan dan syarat-syarat haiwan

Ia tidak mungkin untuk dibincangkan isu ini tanpa pengiktirafan kepada makhluk yang dijadikan korban untuk pengekalan tradisi ini –haiwan.

Terdapat tradisi yang kuat diamalkan dalam Islam untuk berlaku adil dan berperikemanusiaan kepada haiwan dan terutamanya kepada yang akan disembelih.

Nabi Muhammad, yang merupakan seorang pencinta haiwan dan sangat sensitive kepada penderitaan mereka, menasihatkan pengikutnya “Takutlah kepada Allah dalam hal haiwan-haiwan ini yang tidak boleh bercakap kehendak mereka.”

Al-Hafiz B.A Masri, salah seorang ulama Islam terkemuka yang menulis berkenaan kebajikan haiwan.

“Jika haiwan telah tertakluk kepada kekejaman mereka dalam pembikan, pengangkutan, penyembelihan atau kebajikan umum, dagingnya dianggap tidak suci dan dilarang untuk dimakan (Haram). Isi haiwan yang dibunuh dengan kaedah yang kejam (Al-Muthiah) adalah bangkai (Al- Mujaththamah). Walaupun haiwan ini telah disembelih dengan cara Islam yang rapi , jika kekejaman diperlakukan kepada mereka, daging haiwan tersebut dilaramg untuk dimakan (Haram).”

Namun idea tentang layanan berperikemanusiaan terhadap haiwan dalam islam adalah amat bertentangan dengan realiti bagaimana haiwan dilayan.

Haiwan-haiwan hidup dieksport dari negara seperti Australia dan New Zealand ke negara-negara Muslim, kebanyakkannya untuk dijadikan korban sempena Hari Raya.

Kini terdapat bukti tertulis yang tidak dapat dinafikan lagi, dari kedua-dua penyiasat Muslim dan bukan Muslim, memperincikan tentang tahap kekejaman terhadap binatang ini, yang boleh menyebabkan Rasullullah menangis.

Haiwan hidup yang dieksport secara rutin dibungkus padat ke dalam bekas pengangkutan untuk perjalanan yang memakan masa sehingga bermingu-mingu. Pada masa itu haiwan tersebut tidak disediakan makanan, air, dirantai berdiri dan tidak mampu bergerak serta bergelumang dengan air kencing sendiri dan najis mereka.

Banyak haiwan mati disebabkan kekurangan air (dehidrasi) dan kekurangan zat makanan. Banyak biri-biri dan lembu yang mengandung melahirkan bayi mereka dalam keadaan ini, hanya mampu melihat mereka mati dengan perlahan, kematian yang menyedihkan.

Walaupun kita lupa sejenak bagaimana haiwan-haiwan ini tiba di destinasi mereka. Pertimbangkan bahawa semasa musim Haji, lebih daripada dua juta haiwan dikorbankan dalam satu hari.

Ia benar-benar mustahil untuk menyembelih haiwan sebanyak ini, dengan hanya menggunakan beberapa jam dan memikirkan ianya dilakukan dengan cara yang berperikemanusiaan.

Dalam kebanyakkan negara Muslim penjual daging kini mengakui bahawa permintaan untuk mengorbankan haiwan dengan mengunakan kaedah berperikemanusiaan yang disarankan oleh Islam, dengan itu menjadikan penyembelihan tersebut adalah bertentangan dengan Islam dan daging menjadi tidak halal (tidak sesuai untuk dimakan oleh umat Islam).

Jika ini bukan alasan yang cukup untuk melepaskan pengorbanan haiwan ketika hari raya, fikirkan bahawa industri ternakan adalah penyumbang utama ke arah pencemaran tanah, udara, air dan kemerosotan ekosistem kita.

Pertimbangkan bahawa perbuatan melibatkan diri kita dalam ritual pengorbanan haiwan telah menyebabkan bumi kita dalam bahaya. Sebagai umat islam, pada hari raya dan sepanjang tahun, kita harus fikirkan adakah penerusan tradisi tersebut selari dengan tanggungjawab kita sebagai penjaga/ pentadbir bumi ini.

Ramai muslim secara peribadinya mempertimbangkan perkara ini dan telah memutuskan bahawa tradisi ini tidak lagi memberikan pemahaman terhadap Islam.

Anda boleh menemui beberapa pemikiran dan komen mereka di thecompassionatemuslim.com.

Kami menjemput semua Muslim progresif, sederhana, konservatif, ateis atau agnostik untuk menyertai kami dan menyuarakan suara anda, dan memberi inspirasi kepada orang lain, mengubah tradisi pengorbanan haiwan untuk rahmat dan belas kasihan.

*Nota: Memandangkan makalah tersebut disiarkan pada 2012, penyunting menggubal pembuka kata untuk disesuaikan untuk konteks sekarang.