Muzium dan Pengisian: Di mana Akar Kita?

muzium

 

Oleh Zaidi Musa

Kelihatan beberapa pengunjung memotret foto bersama unta yang dipamer di depan bangunan muzium Negeri Kelantan sempena berlangsungnya Pameran Pendidikan Perdana; Tok Janggut Pahlawan Melayu Kelantan, Sultan Muhammad Al Fateh Penakluk Konstantinopel dan Misteri Firaun Musuh Para Nabi, 20 Oktober 2015 – 31 Januari 2016.

Mungkin temanya berkenaan Konstantinopel dan Firaun.

Barangkali juga pihak penganjur berfikir, Tok Janggut pernah menuntut di Mekah, jadi unta patut dijadi barang pameran untuk menarik pengunjung, biar nampak ala-ala padang pasir.

Muzium adalah satu tempat dokumentasi bahan-bahan sejarah; bertulis, foto, audio, video, manuskrip dan sebagainya.

Maksud sejarah; asal-usul, salasiah, peristiwa yang berlaku pada waktu lampau, kisah, riwayat, tawarikh.

Agak janggal apabila Sultan Muhammad Al Fateh dan Firaun dipamerkan dalam pameran bersama dengan Tok Janggut.

Sultan Muhammad Al Fateh; kejayaannya semasa era Kerajaan Uthmaniyah di Turki dan Firaun di Mesir; terkenal dengan maha kejahatan dan kezaliman.

Amat melucukan apabila bersama pameran ini dipamerkan unta dan orang ramai boleh melihat, bergambar dan menunggang unta!

Sedangkan kalau menyelusuri sedikit sejarah Kelantan, binatang yang sinonim adalah kijang.

Diriwayatkan semasa pemerintahan Che Siti Wan Kembang (pemerintahan oleh raja perempuan tahun 1610) dia memelihara kijang kerana dikatakan haiwan ini bijak dan jinak.

Di Bandar Kota Bharu  sekitar 90an, di bulatan Jalan Hamzah ada binaan berbentuk kijang-kijang yang mengeluarkan air tapi sekarang di bulatan Jam Besar Kota Bharu ditanam pokok-pokok kurma.

Apa sebab dan tujuannya saya kurang arif,  yang pasti setiap kali bulan Ramadhan buah kurma masih perlu dibeli oleh orang ramai.

33PB194012

Menempatkan sejarah Tok Janggut dan penjajahan Jepun

Lihat pula sejarah Tok Janggut atau nama sebenarnya Haji Muhammad Hasan bin Panglima Munas (1850-1915).

Setelah perjanjian Kelantan-Great Britain 1910, Kelantan menerima perlantikan Penasihat British.

Beliau menentang imperialis British dengan kebangkitan Pasir Puteh pada 1915 kerana melibatkan perubahan pentadbiran Kelantan dan peraturan baru mengenai cukai tanah.

Tidak dinafikan Kerajaan Uthmaniyah menentang British antara faktor yang mempengaruhi kebangkitan Tok Janggut.

Ini kerana semasa itu ramai lepasan sekolah pondok di Kelantan menyambung pengajian ke Mekah. Khabar berita mengenai penentangan Turki Uthamaniyyah turut sampai sehingga Kelantan.

Boleh dikatakan semua perjuangan didorong oleh kebangkitan dan sejarah yang telah berlaku.

Dengan tema utama pameran, iaitu pendidikan perdana, gambaran saya mengaitkan antara sejarah perjuangan rakyat Kelantan, kejayaan dan kejahatan.

Tapi kita harus faham didikan harus diberikan mengenai sejarah-sejarah tempatan dahulu, sebelum kita pergi dengan perkara-perkara yang lebih jauh.

Penyampaian sejarah supaya lebih terasa dan mencintainya, harus dimulakan dengan cara yang mudah.

Masyarakat akan terasa bila sesuatu kejadian dan peristiwa dilingkungan kita ditekankan pada pameran ini.

Pengisiannya tidak sampai sepenuhnya, sebagaimana subjek sejarah di sekolah amat membosankan; mengingati tarikh, tempat, peristiwa (proses menghafal).

Bagaimana ingin menyampaikan sejarah dalam bentuk yang mudah supaya pelajar serta masyarakat merasa lebih dekat?

Seharusnya kita mulai dengan sejarah-sejarah tempatan dengan cara pameran sebegini.

Bersama pameran Tok janggut boleh kita masukkan mengenai penjajahan Jepun pada 8 Disember 1941.

Bukankah sejarah ini lebih dekat dengan masyarakat setempat berbanding kejahatan maha agung Firaun di Mesir.

Tanyalah periwayat-periwayat tua tentang kejahatan Jepun; minum air sabun, panjat pokok kelapa, pedang samurai, anak dara terpaksa disorok dan pelbagai kekejaman lagi.

Di Tanah Melayu negeri pertama penjajah Jepun masuk adalah Pantai Sabak, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.

Jika ditanya pada orang ramai sekarang, apa yang mereka tahu dan faham tentang sejarah penjajahan Jepun?

Umumnya  mengingati“Ya, Jepun mendarat di Kota Bharu”, dialog P.Ramlee dalam filem Sarjan Hassan.

Kalau dilihat secara ringkas, Jepun menjadikan Kelantan sebagai tempat pendaratan dalam rangka untuk menguasai Semenanjung Tanah Melayu.

Menurut kajian, Kota Bharu dibanjiri warga Jepun enam bulan sebelum meletusnya perang, mereka membuka perniagaan kedai kopi, jurugambar, kedai runcit dan pelbagai aktiviti perniagaan lain.

8 Disember pertempuran dengan Jepun dan tentera British selama dua jam memaksa pihak British berundur ke Kuala Krai dan Ulu Kelantan.

Pada 11 Disember Jepun mara dari Kota Bharu ke Ulu Kelantan, sehinggakan pihak British meletupkan Jambatan Keretapi Kusial (dikatakan jambatan keretapi terpanjang di Asia semasa zaman itu) untuk menghalang kemaraan tentera Jepun.

Akhirnya British terpaksa berundur ke Selatan tanah air sehinggalah 15 Februari 1943 di Singapura, British menyerah kalah.

Tokoh tempatan lain yang harus diketahui umum

Sumber gambar: "The Art of Preserving History", WordPress.
Sumber gambar: “The Art of Preserving History”, WordPress.

Selain Tok Janggut, antara tokoh patut diangkat pihak muzium adalah Asad Shukri Haji Muda.

Jika menyelusuri secara ringkas mengenai Asad Sukri Haji Muda (25 Februari 1905 – 25 Januari 1971) dilahirkan di Kampung Masjid, Kota Bharu.

Beliau menubuhkan Putera Kelab (1 oktober 1929), pertubuhan pemuda yang inginkan sikap serta pemikiran baru dalam masyarakat, dengan majalahnya Putera dan akhirnya diharamkan.

Beliau kemudiannya menerbitkan majalah Kenchana (April 1930), yang bersifat sejarah, persoalan agama, sosio-ekenomi, masalah kaum muda dan kaum tua, masalah kemajuan wanita sehinggakan menjadi polemik dan perdebatan.

Selepas penjajahan Jepun beliau dan kawan-kawannya diarahkan oleh Jepun menerbitkan majalah Matahari (1941).

Beliau turut aktif menubuhkan pelbagai pertubuhan. Contohnya Dewan Penggawa (1930), Persekutuan Setiawan Belia (1931); kelab seni, sastera dan ilmiah.

Beliau terlibat menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (KMM) di Kelantan. Selepas penjajahan Jepun, beliau ditahan oleh British.

Selepas dibebaskan, beliau mengalami banyak kekangan dan berhijrah ke Singapura selama 3 bulan.

Pada 1947, beliau memasuki Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan dipilih sebagai Yang Dipertua cawangan Kelantan, dan ahli Pusat Tenaga Rakyat di Kelantan.

Pada Februari 1950 beliau berhijrah semula ke Singapura, menjalankan perniagaan dan akhirnya berkerja penolong pembantu perubatan serta aktif dalam bidang kesenian dan kebudayaan Kelantan.

Pada 1957, dengan pengalaman yang ada beliau ditawarkan bekerja sebagai Pegawai Penyelidikan Luar di Dewan Bahasa dan Pustaka Johor Bahru serta turut berpindah ke Kuala Lumpur sehingga 1959.

Pada tahun 1960-an, beliau sudah tidak aktif dalam bidang politik dan banyak menghabiskan masa dalam penyusunan kamus, kurang lebih hampir 20 kamus dihasilkan yang pernah diterbit dan belum diterbitkan, dimulai pada 1930an-1960an.

Antaranya, kamus mengenai bahasa, istilah senjata, kata-kata perubatan, mata wang, politik, seni budaya.

Jelas jika dilihat banyak tulisan-tulisan beliau yang disiarkan di majalah-majalah mahu pun akhbar, merangkumi pelbagai bidang; agama, politik, ekonomi, emansispasi wanita, sejarah, bahasa dan sastera.

Beliau  pernah menghasilkan beberapa novel sejak 1930an, termasuk cerpen dan drama.

Beliau akhirnya meninggal di Mekah, dan amat rugi sekiranya kita tidak mengangkat tokoh sebegini dijadikan tema Pendidikan Perdana untuk masyarakat umum dan generasi sekarang.

Selain itu, ramai lagi tokoh-tokoh tempatan yang harus diperkenalkan pada masyarakat umum.

Sebahagiannya; Abdul Kadir Adabi (sasterawan, ahli politik), Asri Muda (tokoh API Kelantan, ahli politik), Abdullah Nakula (penulis sejarah dan seni budaya Kelantan). Fatimah Busu (penulis sastera), Khadijah Awang (Mak Yong), Abdullah Baju Merah (wayang kulit), Seman Wau Bulan (dikir barat).

Selain tokoh-tokoh, kita boleh masukkan peristiwa-peristiwa sejarah di Kelantan dan bangunan-bangunan lama yang sekarang semakin berkurangan kerana faktor pembangunan terutamanya sekitar Kota Bharu;

(Pasar MPKB dirobohkan dan dibina apartmen studio), nama tempat asal-usulnya, nama jalan-jalan, ada jalan yang sudah ditukar namanya (Jalan Pengkalan Chepa ditukarkan dengan Jalan Tok Guru)

Selain itu, perkara-perkara ini boleh dibukukan untuk dokumentasi bagi generasi akan datang serta menjadi aset yang tidak dapat dinilai.

Apa yang terjadi sekarang ramai generasi tempatan sendiri tidak mengenali dan mengetahui lebih mendalam mengenai perkara-perkara berkaitan sejarah Kelantan.

Dasar kemajuan kita seolah-olah terletak pada pembaharuan kemodenan semata, tanpa mengkaji asal-usul setempat dan sejarahnya.

Seolah kita lupa dengan akar asal muasal kita, banyak menekankan mengenai budaya luar, kebelakangan ini kalau dilihat, banyak bangunan sekitar Kota Bharu senibinanya berbentuk kubah.

Mungkin cuba untuk bercirikan budaya Arab, sedangkan budaya binaan di Kelantan asalnya banyak dipengaruhi binaan dari Patani seperti bentuk atap perabung lima, atap senggoro, papan meleh yang kebanyakkan bermotifkan tumbuhan, itukan asal dan budaya kita.

Kebanyakkan cerita-cerita lama saya bersumberkan cerita lisan periwayat-periwayat tua,  saya tidak pasti sejarah nama-nama jalan, tempat dan bangunan-bangunan di Kelantan didokumentasikan dalam bentuk buku atau tidak.

Sekiranya fakta-fakta yang diberikan ini tidak benar, diharapkan mereka yang lebih arif dapat membantu dan memperbetulkan.

Ia menjadi tanggungjawab kita bersama sebagai warganegara untuk mengekalkan sejarah, sentiasa kekal dengan akar di mana bermulanya kita kerana penghapusan nilai-nilai sejarah adalah satu pengkhianatan yang tidak dapat dimaafkan oleh sejarah akan datang.