Obama Sendiri Mengaku TPPA Penjajahan Era Baru

oleh Maryam Lee

TPP Countries

Menghalusi Matlamat Sebenar TPPA

Mimpi buruk orang kebanyakan menjadi nyata pada tanggal 5 Oktober lalu apabila persetujuan untuk penglulusan TPPA di 12 negara terlibat diumumkan.

Selama lima tahun, rakyat dibiarkan dengan banyak persoalan yang tidak terjawab, manakan bisa dijawab jika perjanjian dibuat dalam rahsia?

Penyokong perjanjian ini sering mengatakan pembantahan dibuat atas sentimen anti-penjajahan, mereka memperlekehkan kebimbangan orang ramai akan imperalisme abad baru yang tidak datang dalam bentuk bom dan senjata.

Perlu diingatkan kepada mereka yang berkata begini bahawa perdagangan bebas tidak pernah bersifat anti-sejarah seperti mereka.

Sejarah ekonomi dunia sejak 40 tahun yang lepas perlu diambil kira dalam pertimbangan baik buruk untuk perdagangan bebas.

Bagi menutup segala keraguan berkenaan agenda imperialis Amerika Syarikat melalui perjanjian TPPA, apa kata kita baca ucapan Barack Obama sendiri?

“Beberapa orang kata kita (Amerika Syarikat) patut menarik diri… saya tidak bersetuju,” kata Obama.

“Kita perlu memastikan Amerika yang menentukan peraturan-peraturan dalam ekonomi global, dan kita perlu menentukannya sekarang.

Jika kita tidak menentukan peraturan perdagangan dunia… cuba teka siapa yang akan tentukan?

Pastinya China. Dan China akan memastikan perniagaan dan pekerja mereka mempunyai kelebihan dalam perdagangan, dan menumpaskan barangan buatan Amerika.”

Obama menyampaikan ucapan ini di ibu pejabat Nike di Portland, Oregon pada 8 Mei 2015 (baca di sini).

Dalam ucapan tersebut, Obama jelas sekali menyatakan tujuan sebenar perjanjian TPPA, iaitu untuk memastikan dominasi ekonomi mereka di kawasan Asia Pasifik.

Beliau menyatakan berkali-kali tentang perlindungan syarikat-syarikat Amerika yang bakal melabur di 12 negara terlibat, yakni perlindungan terhadap undang-undang di negara-negara yang menandatangani perjanjian, melalui investor-state dispute settlement (ISDS).

Alangkah bagusnya jika kita melindungi manusia dan alam sekitar sebagaimana kita melindungi syarikat korporat, kan?

TPP Imperialism

Apa Lagi Kapitalis Mahu

Soalan utama yang tidak terjawab langsung setakat ini: MENGAPA kita perlukan TPPA?

Ini bukan persoalan sama ada kita memerlukan pembebasan perdagangan ataupun tidak, ini persoalan mengapa kita memerlukan TPPA itu juga?

Bukankah kita telah mempunyai banyak perjanjian perdagangan dengan Amerika, Australia dan sebagainya, dan juga Akta Persaingan 2010 yang memastikan polisi tanpa-diskriminasi untuk syarikat-syarikat di dalam dan luar negara?

Jadi TPPA ini sebenar-benarnya untuk apa?

Hakikatnya, merendahkan tarif dan membuka perdagangan kita kepada pasaran dunia bukanlah tujuan sebenar TPPA.

Sudah terlalu banyak artikel yang membincangkan bagaimana TPPA bukanlah tentang perdagangan, tetapi tentang perlindungan.

Contohnya berkenaan hak milik intelektual (intellectual property rights, IPR). Dalam TPPA, penindasan sebenar berlaku dengan penguatkuasaan IPR di dalam dunia perdagangan , hal ini dilakukan melalui hak ke atas paten.

Paten inilah yang akan menyebabkan harga ubat biasa menjadi mahal, sepertimana barang-barang lain penyelamat nyawa manusia yang sama waktu dengannya.

Oleh itu, TPPA terang-terangan menguatkuasakan perlindungan – soalnya, perlindungan siapa?

Melalui dokumen-dokumen yang telah didedahkan, dan sejarah perdagangan bebas berpuluh tahun yang telah tertulis, perlindungan syarikat-syarikat Amerika di negara terlibat yang diberi keutamaan dan dipastikan kemenangan.

TPP Corporate Coup

Ironi Ahlul Libertarian

Protaganis TPPA sering menjual keberpihakan mereka kepada TPPA atas alasan bahawa TPPA adalah sebuah perjanjian untuk perdagangan bebas. Namun, apakah bukti kukuh bahawa TPPA mematuhi piawaian itu?

Bukankah tiada siapa selain orang-penting-tertentu-pakar-ekonomi-yang-bijaksana sahaja yang pernah melihat dokumen-dokumen perjanjian?

Dan juga, bukankah perlindungan syarikat-syarikat itu sesuatu yang amat bercanggah dengan prinsip perdagangan bebas? Jika benar bebas, mengapa TPPA diperlukan untuk melindungi syarikat daripada kerugian? Anehnya!

Pada ketika mursyidul am pasaran bebas bermati-matian ingin melaksanakan perdagangan bebas yang bercirikan pengawalan minima daripada kerajaan, mereka amat memerlukan penguatkuasaan kerajaan untuk melaksanakan dasar-dasar mereka.

Pasaran bebas, ironinya, tidak pernah dan tidak akan bebas. Ianya tidak wujud dalam vakum sejarah, vakum sosial, dan vakum politik – sudut pandang yang sering diketepikan dalam perbincangan pro-pasaran bebas.

Ideologi perdagangan bebas tidak terhasil secara magis atau semula jadi, ia adalah hasil pemikiran manusia yang ingin mencapai kehendak mereka.

Sebab itulah perdagangan bebas juga mempunyai ciri-ciri atau syarat-syarat sepertimana ideologi yang lain, pemikiran yang kemudiannya dijadikan asas untuk menjana langkah-langkah tertentu bagi mencapai sesebuah matlamat.

Perjanjian TPPA adalah salah satu contoh yang mengembangkan ideologi penjajahan ekonomi bertopengkan ideologi kebebasan.

Ia tidak seharusnya bebas kritikan atas nama liberalisme, lebih-lebih lagi apabila Obama sendiri yang menggambarkan TPPA sebagai sebuah bentuk penjajahan era baru.

Corporations TPP

Kesimpulan

Semestinya kita amat memerlukan penambahbaikan dalam dasar pembangunan ekonomi, namun pemberatnya di sini ialah pembangungan sosial akibat daripada dasar ekonomi apa pun tidak patut menjadi mangsa.

Perjanjian perdagangan bebas hanya suka untuk melihat pada sudut kekayaan negara sahaja, sudut pergerakan sosial yang terkesan daripada dasar ekonomi seringkali dilupakan.

Dengan wujudnya perjanjian sebesar ini, TPPA akan memberi impak kepada migrasi pekerjaan dan ini akan memberi cabaran kepada adaptasi sosio-ekonomi, pendidikan dan budaya di peringkat antarabangsa.

Wahai ahli ekonomi liberal sekalian, tanggapilah bacaan TPPA dengan sejarah dan kos sosial, bukan hanya kekayaan ekonomi semata-mata. Banyak lagi cara untuk mencapai ekuiti ekonomi, TPPA bukan satu-satunya jalan.