Pembudayaan Dialog Antara Agama di Bali sejak Abad ke-10

Keindahan Bali

Kebanggaan Bali bukan hanya terletak kepada keindahan alam serta kecantikan bangunan-bangunannya, ia turut terletak pada kekuatan adat dan budaya. Bersama budaya lah datangnya kefahaman-kefahaman sosial yang memastikan keharmonian masyarakat.

Hikayat-hikayat Bali dari abad ke-10 yang menceritakan tentang padah bermusuhan kerana perbezaan interpretasi agama sebelum pertemuan di Pura Samuan Tiga contohnya, menjadi pengajaran sejak turun-temurun tentang pentingnya keterbukaan dalam wacana agama agar tidak menimbulkan perbalahan atau peperangan kerana perbezaan amalan beragama.

img20161009115539 Pintu Utama Pura Samuan Tiga (Kredit foto: Mrym Lee)

Dapat diperhatikan empat unsur kebudayaan Bali yang memainkan peranan penting kepada masyarakatnya ialah agama, kesenian, tata masyarakat dan sumber ekonomi atau mata pencarian.

Teringat kata-kata Pak Ismasidia apabila ditanya kenapa kebudayaan Bali sukar dihakis arus kemodenan, beliau menjawab kerana kesemua unsur budaya saling melengkapi dan tidak ada satu unsur yang dijalankan tanpa unsur yang lain.

Contohnya, tarian sudah pastinya akan diselingkan bersama alat musik gamelan, begitu juga kepentingan gamelan semasa upacara sembahyang. Maka kesemua aspek kehidupan masyarakat Bali (kegiatan ekonomi, doa, keraian, kematian, etc.) itu merangkumi kesemua unsur budaya (seni, agama, etc.) yang saling menghidupkan.

Budaya dapat memainkan dua peranan penting di sini. Pertama, ia membolehkan pengetahuan turun-termurun tentang tanah dan persekitaran adat untuk disampaikan kepada generasi-generasi seterusnya agar berkekalan.

Ilmu yang diturunkan itu semestinya berkait rapat dengan hal-hal penjagaan alam yang telah diduduki sejak sekian lama, ilmu yang diselitkan ke dalam seni serta ritual budaya tempatan. Kedua, ia memupuk di samping melindungi produksi ekonomi tempatan kerana kesebatian budaya itu dengan punca ekonomi masyarakat.

img20161012103622 Anak-anak Bali yang dilatih seawal umur 3-4 tahun (Kredit foto:Mrym Lee)

Melangkaui toleransi agama

Pengalaman di Bali mengajar ianya tidak cukup untuk hanya bertoleransi dengan penganut pelbagai agama lain. Kita juga mesti menerima mereka dalam keadaan mereka mempercayai kepercayaan mereka. Dengar macam sesuatu yang normal, bukan? Macam sesuatu yang memang sepatutnya berlaku? Tentunya memang inilah seharusnya, dan penerimaan ini harus berterusan.

Sepanjang di Bali, tidak ada sebarang sengketa tentang hal-hal terminologi. Tiada masalah untuk orang Muslim merapatkan dua tapak tangan dan memberi kata-kata selamat “Om Swastiyastu” kepada warga Bali. Tiada masalah juga untuk orang Bali yang majoriti Hindu untuk mengucapkan “Assalamualaikum” dalam pembuka bicara awam.

Tiada siapa mengambil pusing soal-soal remeh seperti itu. Tidak.

Yang sering menjadi topik perbualan adalah perkara-perkara kepimpinan yang menjadi ancaman kepada kemaslahatan ummah seperti rasuah, korupsi dan kelemahan ekonomi. Masalah-masalah ini sering menjadi punca ahli politik menjadikan isu-isu remeh untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada penyelewengan politik.

Namun secara asasnya, akan menjadi sebuah hipokrasi sekiranya kita hanya boleh menerima penganut agama lain apabila mereka mengamalkannya secara sembunyi, atau tidak mempunyai hak untuk berkongsi tentang agama dan kepercayaan mereka. Ia juga sebuah bentuk penindasan sekiranya pihak pemerintah membenarkan media arus perdana terus menabur fitnah kepada golongan minoriti agama, lebih-lebih lagi tentang agama mereka sendiri.

img20161011100356 Menyediakan barang-barang untuk upacara keagamaan (Kredit foto: Mrym Lee)

Budaya dalam Kelestarian Pembangunan

Selain pemeliharaan identiti, usaha pengekalkan kebudayaan penting untuk program pembangunan yang mampan. Tiada pembangunan bermakna yang boleh berlaku dalam masyarakat yang tidak dapat meletakkan dirinya ke dalam proses pembangunan tersebut, atau dalam erti kata lain, terkecuali (atau mengecualikan diri) daripada proses pembangunan.

Setiap kebudayaan yang unik itu, yang datang dengan bahasanya, lagunya, tariannya dan segala isi alamnya – memberi makna kepada kehidupan setiap warga dalam caranya yang tersendiri. Inilah yang dipanggil nilai intrinsik, budaya adalah sebuah nilai instrinsik yang wujud kerana ia sendiri adalah bermanfaat kepada masyarakat dan tidak memerlukan sebab atau pengaruh material.

Jika dalam pembacaan tentang pembangunan jenis ini, cendiakawan Indonesia mungkin lebih kenal akan Maeljarto Tjokrowinoto dengan konsep pembangunan yang berpusat pada manusia (people-centered development). Pembangunan ini lebih dari sekadar pertumbuhan ekonomi dan pendapatan nasional, ia meningkatkan kualiti hidup seorang manusia itu sendiri dengan meningkatkan kadar keaktifan dalam masyarakat.

Dari segi ekonomi, kadar keaktifan ini mendorong produktiviti dengan kegiatan-kegiatan yang berproduktif tinggi. Namun apa yang lebih penting mungkin kekuatan budaya itu yang mengekalkan keterbukaan orang Bali kepada dunia luar, kerana mereka tidak merasakan keterbukaan sebagai satu ancaman apabila cara hidup Bali dan segala isinya itu masih kuat diamalkan.

img20161011212742 Berjudi santai sambil menunggu upacara selesai (Kredit foto: Mrym Lee)

Sebenarnya tidak memerlukan banyak untuk melihat keterbukaan berdialog itu bukan permulaan untuk penghujung dunia. Pertemuan di Pura Samuan Tiga itu masih diceritakan dan dijadikan teladan sejak abad ke-10. Perkara seperti ini tidak mungkin berpanjangan sebegitu lama jika tidak melalui pengekalan tradisi. Lagipun, jika kesejahteraan Bali selama lebih 1,000 tahun boleh tercetus di atas dialog dan dipelihara di atas budaya, mengapa tidak keberadaban manusia?