Pendidikan merawat sikap kediktatoran (bahagian 1)

Kedikdatoran: mengenali suatu masalah

Apabila menyebut tentang kediktatoran dan sifat-sifatnya, antara yang terawal muncul dalam minda sesetengah orang ialah gambaran sebuah pemerintahan mutlak yang berlandaskan pandangan seseorang individu, ataupun beberapa individu tertentu dan tidak terikat dengan perlembagaan mahupun peraturan.

Pemerintah diktator lazimnya akan menuju ke arah kezaliman kerana sesebuah kuasa dan pemerintahan mutlak seringkali akan menjadi korup dengan mutlak.

Namun demikian perbincangan mengenai kediktatoran sentiasa terhenti sekadar sifat “pemimpin diktator” sambil dilupakan perihal kediktatoran yang wujud dalam diri sesetengah masyarakat dan individu. Saya melihat, kewujudan pemimpin diktator dan zalim tidak sunyi daripada kewujudan awal sebuah masyarakat yang diktator.

Justeru, sebuah pemerintahan diktator hanya bisa dijatuhkan sekiranya dijalankan aktiviti merawat masyarakat yang diktator.

Masyarakat diktator

Masyarakat diktator yang saya maksudkan ialah sebuah masyarakat individualistik, tamak dan beragama serta berideologi demi kepentingan.

Mereka hidup dalam keadaan senang, justeru tiada apa yang perlu diperjuangkan sekalipun pemerintahan di hadapannya mencanggahi demokrasi dan mencabuli hak-hak rakyat sendiri. Respon mereka terhadap sesebuah pemerintahan despotik ialah “asalkan bukan aku dan keluargaku”.

Sekiranya sesebuah pemerintahan diktator mahu menentukan cara pemerintahan, undang-undang dan sebagainya menurut kepala mereka semata-mata, masyarakat diktator juga berkongsi sikap sedemikian.

Sekiranya mereka majoriti, mereka mahu menentukan cara berpakaian, mazhab dan agama golongan lain dengan kekuasaan ataupun kekuatan yang dimiliki. Pokoknya, masyarakat diktator ingin menentukan semua perkara.

Menurut masyarakat diktator, kelompok minoriti ataupun the other mestilah mengikuti apa yang mereka yakini sekalipun dalam masa yang sama, mereka sendiri tidak gemar jika kehidupan mereka dikawal dan ditentukan oleh orang lain.

Justeru dalam hubungan antara kaum dan agama, ruang publik tidak digunakan untuk menyelesaikan perselisihan dan perbezaan, sebaliknya pengharaman buku, serbuan dan undang-undang dianggap sebagai solusi.

Anggapan mereka, gunung yang tinggi hanya boleh didaki menerusi laluan yang diambil kelompoknya, adapun laluan lain tidak diizinkan sedangkan tiada sesiapa bisa memaksa apa yang ada dalam nurani manusia. Lantas, demokrasi yang asalnya mahu menjatuhkan kezaliman dan kediktatoran, telah mencetuskan tirani majoriti ke atas kaum minoriti.

Kalaupun masyarakat diktator melaungkan slogan kebebasan bersuara, syaratnya suara itu menyebelahi mereka. Jika tidak, orang yang bersuara itu akan dilabel sebagai jumud, tradisional, sesat, “liberal” ataupun kafir. Mereka mahu berkata-kata tetapi enggan mendengar, mereka mahu bebas tetapi enggan membebaskan.

Justeru, individualistik menjadi sangat cocok dengan kewujudan masyarakat diktator, sikap individualistik itu menyebabkan kewujudan masyarakat pluralistik langsung tidak diendahkan, apatah lagi dihargai. Barangkali inilah yang dinamakan sebagai dogmatic mind sebagaimana dinyatakan oleh Prof Dr Tariq Ramadan dalam bukunya The Quest for Meaning:

“The dogmatic mind displays, moreover, one further characteristic. It would be a mistake to think that it accepts the existence of only one point of view: the dogmatic mind is a binary mind. Whilst it states that its truth is the only truth, that its Way is exclusive and that its universal is the only universal, that is because it stipulates – at the same time – that anything that does not partake of that truth, that path and that universal is, at best, absolutely ‘other’ and, at worst, culpably mistaken.

[Minda dogmatik memperlihatkan satu lagi ciri. Adalah suatu kesalahan untuk mengandaikan bahawa ia hanya menerima kewujudan hanya satu pandang arah: minda dogmatik itu adalah satu minda binari. Manakala ia menyatakan bahawa kebenarannya itu adalah satu-satunya kebenaran, jalannya pula begitu ekslusif dan universalnya hanyalah ia satu-satunya, kerana ia mengandaikan – pada masa yang sama – sesuatu yang tidak mengikuti kebenaran tersebut, jalan itu dan universal itu, paling tidak, sesuatu yang sama sekali “lain’ dan lebih parah, sesuatu yang salah].

Al-Kawakibi, kediktatoran dan ilmu

Seorang tokoh intelektual Muslim terkenal khasnya pada era kolonial, Abdul Rahman al-Kawakibi (1849-1902) semasa mengulas perihal kediktatoran telah memetik beberapa kata-kata, antaranya ialah:

“Kediktatoran merupakan musuh kebenaran, musuh kebebasan dan merupakan pembunuh kedua-duanya. Kebenaran merupakan bapa kepada manusia, sementara kebebasan pula ibu mereka. Rakyat merupakan anak-anak yatim yang tidur dan tidak mengetahui apa-apa, sementara para ilmuan pula merupakan saudara mereka yang bijaksana. Sekiranya mereka (golongan berilmu) mengejutkan rakyat, pasti rakyat akan bergerak aktif. Adapun jika para ilmuan meninggalkan mereka, mereka akan kekal sebagaimana sebelumnya, lantas akan bersambung tidur mereka (rakyat) dengan kematian.”

Kenyataan tersebut wujud dalam buku terkenalnya berjudul Tobai’ al-Istibdad wa Masori’ al-Isti’bad. Menurutnya lagi, antara kediktatoran yang paling hodoh ialah kediktatoran kejahilan ke atas ilmu dan kediktatoran nafsu ke atas akal (rasional).

Al-Kawakibi mengulang-ulang hubungan antara ilmu dan akal dalam menangani kediktatoran, membayangkan betapa sesebuah masyarakat yang diperintah oleh kuasa yang diktator sebenarnya disebabkan sikap mereka menyerahkan akal kepada pihak pemerintah sehingga diperbodohkan, selain ketidak upayaan mereka bertindak ke atas projek pembodohan yang sedang ditimpakan ke atas mereka.

Selain itu, al-Kawakibi menegaskan:

“Para ilmuan menggesa kepada pencerahan akal, sementara golongan diktator gigih berusaha memadamkan cahaya pencerahan itu. Dua golongan ini (para ilmuan dan pemerintah diktator) saling menarik orang ramai, siapakah orang ramai itu? Mereka merupakan golongan yang apabila jahil, mereka menjadi takut, apabila takut, mereka menyerah (kepada diktator). Sebagaimana mereka merupakan golongan yang apabila berpengetahuan, mereka berkata-kata, dan apabila mereka berkata-kata, mereka melaksana.”

Kaum yang jahil pasti akan memberi keuntungan kepada pemerintah yang diktator. Justeru sekalipun sesebuah pemerintah diktator memberi ruang demokrasi menerusi pilihanraya yang diadakan beberapa tahun sekali, ruang kebebasan memilih itu ibarat debu-debu yang berterbangan kerana masyarakat terus bodoh dan diperbodohkan.

Apa guna kaum yang dibutakan diberi pilihan membuat penghakiman terhadap perkara yang memerlukan penglihatan yang tajam?

Apa yang boleh dibanggakan jika kaum yang dipekakkan diberi pilihan membuat penghakiman terhadap sesuatu yang memerlukan pendengaran yang teliti?

Oleh yang demikian, kediktatoran pemerintahan sememangnya berasal dari sifat-sifat kediktatoran yang wujud pada sesebuah masyarakat. Adapun antara penawar kepada kediktatoran itu ialah rawatan terhadap masyarakat, salah satunya yang penting ialah menerusi medan pendidikan.

Ketakutan:  Individual dan kolektif

Justeru dalam konteks perbincangan kita, apabila berbicara soal kediktatoran, wajar kita timbulkan persoalan; kalau mahu menentang kediktatoran, apa dan siapa yang terlebih dahulu mesti dibetulkan?

Saya melihat, jawapannya ialah manusia; iaitu kita semua…..

(bersambung ke bahagian dua)

(Sila email editor di projekdialog@yahoo.com untuk bibliografi lengkap)

 

 

 

 

unnamed