Pendidikan Merawat Sikap Kediktatoran (Bahagian 2)

Oppression

Diktator, Masyarakat Diktator & Ketakutan Kolektif

Sebagaimana ditulis pada bahagian pertama, kewujudan pemerintahan diktator (atau separa diktator) sangat berkait rapat dengan wujudnya masyarakat yang diktator.

Sementara masyarakat tersebut terbentuk daripada individu-individu yang hidup dalam suasana ‘pendidikan kediktatoran’.

Antaranya, mereka merupakan masyarakat yang menyerahkan tanggungjawab mereka kepada “pihak yang bertanggungjawab” semata-mata.

Tanggungjawab selaku manusia dan warga terhad sekadar untuk diri (dan ahli keluarga terdekat), tidak lebih daripada itu. Mereka juga sebuah masyarakat yang punya sikap takut secara kolektif.

Ketakutan secara kolektif menyebabkan mereka takut membantah sebarang ketidakadilan, takut melapor kesalahan pihak berkedudukan, lebih rela berdiam diri dibungkam suara dan kebebasan dan seumpamanya.

Sifat takut secara kolektif itu hakikatnya berasal daripada sifat takut yang ada dalam individu-individu, lalu tergabung dan menjadi lebih besar.

Media Propaganda

Media Propaganda & Ketakutan Kolektif di Negara-negara Demokrasi

Sifat takut secara kolektif itu turut dibentuk oleh propaganda sebahagian media.

Rakyat dialih fokus supaya takut dengan bangsa dan kumpulan tertentu, sambil diajar untuk “berani” menerima bahawa rasuah, penipuan dan sebagainya “tidak mengapa” demi kepentingan mereka, dan supaya “orang lain” tidak merampasnya.

Justeru ketakutan asalnya sebuah sikap sesetengah individu, berubah menjadi kolektif.

Suasana persekitaran seperti alat kekuasaan yang mengambil kesempatan melakukan pendidikan kediktatoran menerusi penyebaran sifat ketakutan.

Selain itu, sebahagian penguasa kadang-kadang mencipta “musuh” dalam negara dan luar negara, demi menghalalkan proses penyahdemokrasian.

Rakyat ditakutkan dengan “musuh” tertentu, media lalu menyebarkannya. Kadang-kadang musuh yang diciptakan ada dalam negara; seperti para pemimpin politik atau pemimpin gerakan sosial yang tidak sehaluan dengan pemerintah.

Kadang-kadang musuh yang diciptakan itu ada di luar negara; seperti badan dan kumpulan tertentu.

Apabila telah tersebar kewujudan musuh, maka beberapa undang-undang dan akta baharu diperkenalkan, walaupun peraturan-peraturan itu bertentangan dengan prinsip-prinsip demokrasi, tetapi ia menjadi halal demi keselamatan negara!

Kita boleh melihat realiti ini dalam dunia antarabangsa, termasuk oleh negara yang mengaku paling demokratik dan jaguh hak-hak asasi manusia.

Amerika melancarkan “perang terhadap keganasan” (war on terrorism), secara terangnya ia dituju kepada Islam dan para penganutnya. Atas slogan tersebut, mereka mula mendemonisasi badan, pertubuhan dan tokoh-tokoh tertentu yang beragama Islam.

Media-media ternama pula menyampaikannya dengan berkesan. Istilah-istilah tertentu seperti “jihad”, “hijab” dan “Islamis” ditafsirkan dengan tafsiran tertentu, disebarkan media-media antarabangsa dan ia akhirnya menjadi tafsiran popular dalam kalangan sesetengah pihak.

Sesetengah masyarakat dunia yang “demokratik” pula merelakannya, demi keselamatan “kami” dan “kita”!

Seperti konteks ketakutan kolektif dalam perbincangan kita di atas, ia turut terpakai dalam dunia antarabangsa; ketakutan secara individual oleh sesetengah negara akhirnya membentuk ketakutan kolektif, dan akhirnya negara-negara “kuasa besar” membuli masyarakat antarabangsa dengan pelbagai slogan muluk atas nama “kebaikan kita”.

Tanpa disedari, akhirnya semua pihak bercakap tentang jaminan keselamatan, ancaman, ketakutan, musuh dan sebagainya, lalu emosi menguasai minda; khasnya dalam pelaksanaan dasar dan interaksi antara manusia yang berlainan identiti (kaum, agama, jantina, kecenderungan politik dan sebagainya).

Dek kerana ketakutan sebegitu; “kita tidak lagi boleh berfikir dengan tenang, rasional dan dengan erti sebagai manusia.”

Your Place

Hukum Alam: Rahsia Perubahan Sosial 

Sebagaimana kertas tidak akan basah selagi tidak dicurahkan air, demikian juga sekalian perubahan tidak akan berjaya selagi tidak dijalankan usaha mengubahnya . Fethullah Gulen telah menyatakan:

“Islam menganggap sesuatu masyarakat terdiri daripada manusia berkesedaran yang dipersiapkan dengan pilihan sendiri dan mempunyai tanggungjawab terhadap diri dan orang lain.

Islam melangkah setapak lagi dengan menambahkan dimensi kosmik.

Ia melihat kemanusiaan sebagai “motor” yang menggerakkan sejarah, bertentangan dengan pendekatan fatalistik sesetengah falsafah sejarah Barat abad ke-19 seperti materialisme dialektik dan historisisme.

Sepertimana kehendak dan kelakuan individu menatijahkan hasil kehidupannya di dunia mahupun di hari akhirat, kemajuan dan kemunduran sesuatu masyarakat ditentukan oleh kehendak, pandangan sarwa dan gaya hidup umat itu sendiri.

Al Qur’an [13: 11] menyebutkan: “Sesungguhnya Tuhan tidak akan merubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu sendiri merubah dirinya [berkenaan keyakinan, pandangan dunia dan gaya hidup]”

Inilah rahsia perubahan sosial zaman-berzaman, segala perjuangan dan perubahan yang besar pasti bermula dengan perubahan yang datang dari dalam diri manusia.

Jika ketakutan meninggalkan kesan besar dalam cara berfikir manusia; di dalam negara dan di peringkat antarabangsa, maka menanganinya merupakan suatu tanggungjawab.

Hitler

Pendidikan Membentuk Struktur Sosial, Melawan Ketaksuban & Korupsi

Keberanian datang dari dalam diri manusia, jalan terbaik untuk membentuknya sudah tentu menerusi pendidikan.

Mengulang kembali pandangan al-Kawakibi berkenaan pertembungan antara sang diktator dan ilmuan dalam menarik masyarakat, jelas bahawa ilmu menjadi tulang belakang kepada kewujudan kediktatoran dalam pemerintahan.

Masyarakat pula menjadi penentu sama ada kekalnya kediktatoran sesuatu pemerintahan ataupun robohnya kediktatoran tersebut.

Sekiranya masyarakat jahil, maka mereka akan takut, kemudian setelah takut mereka akan menyerah kepada kekuasaan.

Sebaliknya jika masyarakat berpengetahuan, mereka akan berkata-kata, kemudian setelah berkata-kata mereka akan melaksanakannya.

Dalam mengkritik sistem pendidikan dunia Arab yang bermasalah dalam membentuk masyarakat yang sedar dan berperanan, Prof Dr Louay Safi menjelaskan:

“Kita bercakap tentang kekayaan namun kita tidak bercakap tentang tanggungjawab mencipta peluang pekerjaan untuk orang lain.

Apabila kita bercakap tentang kekuasaan, kita tidak mengaitkannya dengan tugas sosial untuk meningkatkan struktur sosial, ia sentiasa dikaitkan dengan kehebatan seseorang.

Masyarakat Arab kita mesti menyelesaikan masalah ini.

Sudah tentu ini merupakan asas korupsi dalam politik, hubungan kuat antara kehebatan seorang manusia dengan kekuasaannya – idea meluas tentang kepahlawanan, bagaimana untuk menyembah mereka, inilah masalahnya, dan ini juga yang membawa kepada korupsi.”

Mencipta Keberanian & Pendidikan Demokratik

Menerusi perbincangan ini juga, kita akan melihat kepentingan kaum intelektual dan berilmu dalam menggerakkan masyarakat menuju kesedaran dan tanggungjawab.

Jika para ilmuan juga bersifat individualistik, maka sudah pasti masyarakat diktator akan terus wujud dan perubahan sosial dan projek pembangunan manusia dan negara akan tergendala.

Pendidikan (menerusi apa medium sekalipun) haruslah mengajar keberanian; berani untuk memberi pandangan, mempertahankan hak, membuat laporan atas sebarang ketidakadilan dan sebagainya.

Bagi masyarakat Muslim – pada pandangan saya – antara medium yang baik untuk mendidik keberanian ialah menerusi proses pengajaran keagamaan yang berlangsung di pelbagai tempat.

Selain berkait dengan sistem kepercayaan dan psikologi, pendidikan berkaitan undang-undang juga sangat penting dalam mencipta keberanian.

Manusia akan bertambah berani dan yakin apabila mereka tahu akan hak-hak mereka yang terjamin dalam perlembagaan, selain setelah mereka tahu saluran dan prosedur yang sepatutnya.

Masyarakat mesti turut dididik dengan persoalan kedaulatan undang-undang, hak-hak kewarganegaraan dan kesamarataannya, dialog antara kaum dan agama, kebebasan berkeyakinan dan menghormati kaum minoriti.

Tanggungjawab pendidikan ini sudah tentu tidak akan berjaya dipikul oleh sebuah pemerintahan yang diktator, justeru para pendidik, ilmuan dan organisasi sosial patut memainkan peranan dalam membentuk masyarakat sivil sama ada menerusi forum, seminar, teater jalanan, filem atau apa-apa sahaja mekanisme yang relevan.

No Racism

Pentingnya Persaudaraan Sejagat

Melahirkan masyarakat yang berani, demokratik, bertanggungjawab dan ada misi kemanusiaan haruslah turut disertai dengan penerapan nilai-nilai sejagat yang dikongsi semua pihak.

Salah satunya ialah nilai persaudaraan. Nilai persaudaraan sangat penting dalam membendung suasana ketakutan dan pembulian oleh kekuasaan.

Atas nama persaudaraan kemanusiaan, maka kita membela hak golongan yang tersisih dan dinafikan hak mereka.

Ia asasnya bermula dari dalam diri, menerusi latihan dan didikan oleh keluarga, sekolah, komuniti masyarakat dan sebagainya.

Persaudaraan kemanusiaan dan kenegaraan akan menyebabkan kita mendahulukan perbincangan dalam kebanyakan perkara, menghindari permusuhan, kritikal terhadap media dan kekuasaan, serta berwaspada dengan cubaan-cubaan penyebaran sikap ketakutan membuta tuli (sudah tentu ketakutan dalam keadaan tertentu, ada relevannya) dalam masyarakat.

Dalam sesebuah negara, kita ibarat berada dalam sebuah bahtera yang sedang berada di tengah-tengah lautan luas. Demi kebaikan dan kepentingan bersama, sebarang tindakan dan langkah yang diambil haruslah dianggap penting.

Demikian juga dalam konteks antarabangsa, kita semua adalah warga dunia yang satu, ibarat dalam sebuah bahtera yang besar dan memerlukan kita sentiasa cuba memastikan peranan kita dalam memelihara kebaikan dan menolak kejahatan.

Disebabkan latar belakang yang berbeza (sosial, agama, bangsa, negara dan lain-lain), menjadi suatu yang amat rumit untuk kita mencapai kata sepakat dalam setiap perkara.

Oleh itu ia menjadi suatu kemestian untuk kita bersetuju untuk tidak bersetuju namun bersepakat dalam hal-hal asas yang bersifat kenilaian sejagat.

Dialog & Tawaduk

Dialog juga tidak semestinya akan menyebabkan kedua-duanya mencapai persetujuan dalam setiap perkara, tetapi setidak-tidaknya dialog akan mengurangkan kebencian tanpa asas antara dua (atau lebih) pihak yang berbeza.

Menurut perspektif Islam, mengutamakan dialog dan kerjasama dalam hal-hal berbentuk nilai sejagat menjadi antara sifat asasnya, sambil bersedia untuk bertegas dalam hal-hal yang menjadi asas keyakinan (bersetuju untuk tidak bersetuju).

Asasnya ialah rasa sifat tawaduk dan tidak meninggi diri.

Tawaduk sekalipun sangat ditekankan dalam pemikiran Islam, namun ia tetap sebuah nilai sejagat yang mesti disebarkan.

Tawaduk bukan sebuah “kerendahan hati” lalu menyebabkan kita menyerahkan diri kepada sebarang penyalahgunaan kekuasaan.

Tapi tawaduk ialah sebuah nilai yang mengajar kita merendah diri, mendengar, meluaskan bacaan dan menambah persahabatan.

Tawaduk menyebabkan kita sentiasa mahu belajar dan berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan dan tindakan.

Dalam dialog (dan bahkan seluruh kehidupan kita), nilai tawaduk sangat penting dan merupakan sebuah perhiasan ketamadunan.

Paulo Freire turut menekankan kerendahan diri dalam bukunya Pedagogy of the Oppressed sewaktu membincangkan tentang dialog dan hubungannya dengan pembebasan. Katanya:

“Bagaimanakah saya mengambil bahagian dalam sesuatu dialog jika saya sentiasa melemparkan kejahilan terhadap orang lain dan tidak melihat diri sendiri?”

Freedom

Kebebasan, Kemanusiaan & Moraliti 

Kebebasan merupakan antara syarat dalam merawat masyarakat diktator, sementara pendidikan merupakan asas rawatannya.

Masyarakat mestilah bebas daripada tekanan, paksaan dan campur tangan pihak lain dalam membuat pilihan dan keputusan.

Walaupun keputusan dan pilihan yang baik belum tentu diperoleh jika kebebasan dikurniakan, namun keputusan dan pilihan yang tidak baik pasti akan diperoleh jika kebebasan tidak dikurniakan.

Tokoh revolusi Perancis, Jean-Jacques Rosseau (1712-1778) yang dikenali sebagai salah seorang intelektual yang berperanan besar dalam masyarakat pada zamannya menulis dalam bukunya bertajuk The Social Contract:

“Menolak kebebasan bererti menolak kemanusiaan, menyerahkan hak-hak dan tanggungjawab kemanusiaan.

Untuk mereka yang menolak segalanya, tiada penebusan yang mungkin.

Penolakan sebegitu tidak selari dengan fitrah manusia; membuang segala kebebasan dari kemahuannya beerti membuang segala moraliti daripada tindakannya.”

Renungan & Kesimpulan

Al-Kawakibi sewaktu ditanya mengapakah Allah menguji hamba-hamba-Nya dengan para diktator? Beliau menjawab:

“Sesungguhnya Allah Maha Adil tidak menzalimi seorang pun. Maka seseorang diktator tidak akan menguasai kecuali ke atas golongan diktator.

Sekiranya orang yang bertanya itu memandang dengan pandangan orang bijaksana dan mendalam, setiap individu dari kalangan tawanan kediktatoran merupakan diktator terhadap dirinya.

Sekiranya dia mampu, dia akan menjadikan isterinya, keluarganya, kabilahnya, kaumnya dan setiap orang, sehinggalah Tuhan yang menciptakannya, pengikut kepada pandangan dan tindakannya.”

Masyarakat merupakan himpunan pelbagai jenis manusia, oleh yang demikian jika kita ingin mengubah masyarakat, manusia haruslah menjadi individu pertama yang wajib diubah.

Sifat individualistik mestilah digantikan dengan sifat saling cakna dan sedar sementara sifat redha dengan kesusahan dan kezaliman mesti diubah dengan kesungguhan dalam “mengubah takdir”.

Ketakutan mesti ditukar menjadi keberanian dan tawaduk mesti menggantikan sikap keangkuhan.

Segala-galanya bermula dengan diri manusia dalam menjadi manusia yang bernilai dan seterusnya ahli masyarakat sivil dan warganegara yang bertanggungjawab serta demokratik.

[Ulangsiar makalah yang telah diterbitkan pada 5 Mei 2014]