Penyembelihan haiwan dan makna halal

Petikan ini diambil daripada laman ‘Islamic Voice’ (http://islamicvoice.com/february.2002/dialogue.htm). Diterjemahkan oleh Yana Rizal.

Pembuka kata penterjemah: Memandangkan Raya Korban yang baru sahaja berlalu, terdapat banyak persoalan tentang hakikat penyembelihan dalam Islam. Di sini kami ingin utarakan apakah sebenarnya etika penyembelihan dalam Islam, seperti yang termaktub dalam hadis dan kisah-kisah Nabi. Moga ini mampu memberi pencerahan tentang layanan terhadap haiwan mengikut ajaran Islam.

  1. Walaupun dengan teknologi sekarang, masih terdapat binatang yang dirantai dan diheret, atau disiram air panas ketika hidup untuk membuang bulu di sesetengah rumah penyembelihan. Operasi besar-besaran yang biasanya mengamalkan kaedah-kaedah tersebut membekalkan daging dalam pelbagai bentuk kepada banyak negara Islam. Boleh saya bertanya samaada layanan begitu terhadap haiwan yang akan menjadi makanan adalah dibenarkan dalam Islam. Dalam konteks yang sama, apakah pandangan Islam mengenai amalan membunuh ikan dan kehidupan lain yang tidak diingini ketika menangkap ikan?

Jawapan:

Manusia perlu sentiasa ingat bahawa ia hanya dengan rahmat Tuhan bahawa mereka dibenarkan untuk menyembelih haiwan seperti kambing, lembu dan ayam untuk makanan. Mereka juga dibenarkan untuk menangkap ikan. Oleh itu apabila mereka menyembelih binatang dan menangkap ikan, mereka perlulah menzahirkan kesyukuran kepada Allah untuk berkatNya dengan melaksanakan penyembelihan dengan rendah hati dan kesantunan. Mereka dituntut untuk memahami dan mematuhi ajaran Islam dalam penyembelihan.

Rasulullah pernah mengarahkan salah seorang sahabatnya yang hendak menyembelih seekeor kambing untuk menjauhkannya daripada kambing yang lain supaya mereka tidak dapat melihatnya. Rasulullah tidak mahu kambing yang lain untuk menyaksikan penyembelihan tersebut supaya mereka tidak kesedihan. Nabi juga menekankan supaya haiwan yang akan disembelih ditempatkan dalam keadaan yang paling selesa dan harus dibunuh dengan cepat dan dikurangkan kesakitannya. Baginda bersabda bahawa: “Allah sesungguhnya telah memerintahkan supaya semua perkara dilakukan dengan sempurna (ihsan). Oleh itu, apabila anda membunuh, bunuhlah dengan tertib dan apabila anda menyembelih, sembelihlah dengan baik. Biarlah setiap daripada kamu menajamkan mata pisaunya dan hendaklah dia mengurangkan penderitaan kepada haiwan akan disembelih. “(Sahih Muslim)

Jelaslah bahawa Rasulullah menganggap pembunuhan yang cepat sebagai sebahagian daripada cara penyembelihan yang betul. Baginda menekankan ini dalam beberapa peristiwa. Dalam hadith yang lain, Rasulullah mengatakan: “Apabila sesiapa di antara kamu menyembelih, maka hendaklah dia memastikan kematian haiwan tersebut.” Rasulullah pernah melihat seorang lelaki menajamkan bilah pisaunya setelah mengiringkan kambingnya. Baginda berkata kepadanya, “Apakah kamu mahu ianya mati berkali-kali? Bukankah kamu boleh mengasah dahulu pisaumu sebelum mengambilnya untuk disembelih. ”

Semua ini menunjukkan bahawa Islam mempunyai sikap jelas berkenaan layanan haiwan iaitu dengan perikemanusiaan, terutamanya yang dijadikan sebagai makanan. Apabila ianya diabaikan, ini menunjukkan sikap tidak endah terhadap ajaran Nabi. Semestinya Allah akan menyoal sikap kita tentang ajaran Nabi. Orang sebegitu tidak dapat memberikan alasan yang baik untuk kecuaiannya.

Lebih lagi Islam mengharamkan sebarang pengambilan atau pembuangan bahagian tubuh haiwan yang menyakitkan. Orang-orang Arab dahulu biasanya memotong bonggol unta atau bahagian lemak kambing ketika ianya masih hidup. Rasulullah sedar bahawa tindakan tersebut menyeksa haiwan lalu menghentikannya dan menjadikannya haram sebagai makanan. Baginda bersabda: “Apa yang dipotong daripada haiwan ketika ianya hidup adalah bangkai.” Lazim diketahui bahawa bangkai iaitu haiwan yang mati secara semula jadi adalah haram untuk dimakan.

Ini menunjukkan bahawa Islam melarang mana-mana amalan yang menyebabkan penderitaan yang tidak perlu untuk haiwan. Memotong leher haiwan kemudian menyiram air mendidih ke atasnya apabila ia masih boleh merasakan kesakitan sudah pasti tidak dapat diterima. Orang yang berbuat demikian sudah tentu akan diadili pada hari kiamat.

Begitu juga apabila menangkap ikan. Jika hasil tangkapannya termasuk ikan yang tidak diingini, sepatutnya ia dilepaskan kembali ke dalam air supaya ianya boleh hidup. Begitu juga dengan mana-mana makhluk lain yang dikaut sekali dengan ikan. Apa yang tidak diperlukan harus dibiarkan hidup, melainkan ianya berbahaya. Jika begitu, ianya harus dibunuh secara perikemanusiaan

Kaedah-kaedah Penyembelihan

  1. Adakah semua haiwan disembelih dengan cara yang sama dalam Islam?

Dua kaedah penyembelihan yang digunakan menurut Syariah ialah:

  • Zabh – Memotong urat leher. Ini disarankan untuk penyembelihan biri-biri, kambing, lembu dan burung, dan dibenarkan untuk semua haiwan lain.
  • Nahr – Menikam bahagian bawah leher. Ini disarankan untuk menyembelih unta dan dibenarkan untuk penyembelihan lembu.
  • Aqr juga boleh digunakan – Memotong mana-mana bahagian haiwan yang sukar ditangkap ketika memburu atau menggunakan haiwan liar yang dijinakkan. Pemburu seharusnya menggunakan kaedah zabh atau nahr jika haiwan yang ditangkap tersebut masih lagi hidup.
  1. Bolehkah penyembelihan dilakukan oleh sesiapa sahaja? Jika tidak, apakah syaratnya?

Penyembelihan dianggap sah jika orang yang menyembelih adalah dewasa, waras dan seorang Muslim atau ahli kitab (Yahudi atau Kristian). Haiwan yang disembelih oleh orang musyrikin, ateis, Majusi, murtad atau kafir tidak dibenarkan untuk dimakan.

  1. Apakah alat patut digunakan untuk penyembelihan?

Penyembelihan harus menggunakan alat tajam yang memotong secara memanjang dengan mata pisau. Ianya boleh dibuat daripada besi atau apa-apa bahan lain, tetapi bukannya kuku atau taring dan harus menyebabkan pengaliran darah.

  1. Apakah haiwan yang dilarang untuk dimakan oleh umat Islam jika kaedah selain penyembelihan digunakan untuk membunuh haiwan tersebut?

Haiwan-haiwan yang dilarang untuk dimakan adalah seperti berikut:

  • Haiwan dibunuh dengan ganas melalui hentakan alat berat seperti batu atau pemukul
  • Haiwan yang terbunuh disebabkan kejatuhan
  • Haiwan yang ditikam, ditusuk atau dirobek sampai mati
  • Haiwan yang telah dimakan sebahagiannya oleh binatang liar. Akan tetapi ianya boleh dimakan jika ditangkap hidup-hidup dan kemudiannya disembelih.
  1. Adakah menyebut nama Allah itu satu kemestian? Bagaimana jika terlupa?

Nama Allah perlu disebut ketika penyembelihan. Menggunakan alat perakam untuk tujuan tersebut tidak mencukupi. Penyembelihan dianggap sah jika penyembelih terlupa menyebut nama Allah.

  1. Islam adalah agama rahmat. Bolehkah anda meneragkan etika Islam apabila menyembelih haiwan?

Peraturan etika khusus telah ditetapkan dalam Syariah untuk penyembelihan, yang mempertimbangkan ihsan terhadap haiwan sebelum, semasa dan selepas penyembelihan:

  • Alat penyembelihan (pisau) tidak patut ditajamkan di hadapan haiwan.
  • Seekor haiwan tidak boleh dibunuh di hadapan haiwan lain.
  • Ia tidak boleh disembelih menggunkan alat tumpul, dan tidak boleh diseksa.
  • Ketika ianya masih hidup, anggota badannya tidak boleh dipotong, kulitnya ditanggalkan, direndam dalam air panas, atau dicabut bulunya sebelum memastikan kematiannya.
  • Haiwan tersebut hendaklah bebas daripada penyakit yang boleh membuatkan dagingnya berbahaya kepada si pemakan. Kesihatan haiwan perlu dipastikan sebelum ianya dibeli untuk penyembelihan.
  1. Haiwan biasanya direbahkan dengan hentakan atau kejutan elektrik di Barat. Adakah kita dibenarkan untuk memakan daging haiwan yang telah dilakukan sebegitu?

Menyembelih tanpa menggunakan kaedah tersebut adalah prinsip asas dalam Syariah. Inilah yang terbaik dalam menunjukkan ihsan terhadap haiwan dan mengurangkan penderitaannya. Pihak yang bertanggungjawab untuk penyembelihan hendaklah memastikan cara-cara penyembelihan selari dengan prinsip ini. Daging haiwan yang disembelih selepas direbahkan begitu boleh dimakan jika kaedahnya ditelitikan.

Syarat-syarat berikut harus diperhatikan oleh pakar:

  • Menghubungkan kedua-dua elektrod di bahagian depan kepala, voltan mestilah antara 100-400 volt, arus antara 0.75-1.0 ampere untuk kambing dan biri-biri dan 2-2.5 ampere untuk lembu, dilakukan hanya dalam 3-6 saat
  • Tidak menggunakan senapang batang besi, kapak, mahupun tukul
  • Kejutan elektrik tidak boleh digunakan terhadap ayam kerana ianya terbukti membunuh sejumlah besar ayam sebelum sempat disembelih

Haiwan itu tidak dianggap haram jika direbahkan dengan menggunakan gas atau senapang bola dengan cara yang tidak membunuhnya sebelum disembelih.

  1. Apakah nasihat anda kepada umat Islam di Barat tentang memakan daging tempatan?

Umat ​​Islam di negara bukan Islam seharusnya berusaha untuk mendapatkan kebenaran undang-undang untuk menyembelih haiwan mengikut Syariah tanpa perlu menggunakan kaedah pengejutan di atas.

  1. Bolehkah pelawat ke negara-negara bukan Islam memakan daging yang mungkin tidak disembelih mengikut Syariah?

Umat Islam melawat atau menetap di negara bukan Islam boleh memakan haiwan yang disembelih oleh Ahli Kitab setelah berusaha untuk memastikan bahawa penyembelihan tersebut tidak melanggar Syariah.

  1. Bolehkah umat Islam memakan daging yang diimport daripada negara-negara bukan Islam?

Daging adalah halal jika ianya diimport dari negara-negara di mana majoriti adalah Ahli Kitab dan haiwannya disembelih di rumah penyembelihan moden yang menggunakan kaedah penyembelihan Syariah seperti yang dinyatakan di atas. Ayat Al-Quran berikut adalah bukti bahawa daging tersebut boleh dimakan: “Makanan Ahli Kitab adalah halal bagi kamu” (Surah Al-Ma’idah). Namun, daging yang diimport dari negara-negara yang majoritinya bukan Ahli Kitab adalah dilarang kerana kemungkinan besar bahawa haiwan tersebut dibunuh dengan cara yang tidak menepati agama. Daging yang diimport dari negara-negara bukan Islam tersebut adalah halal sekiranya haiwan tersebut disembelih mengikut Syariah di bawah penyeliaan sebuah badan Islam yang diiktiraf dan jika penyembelih adalah seorang Muslim atau Ahli Kitab.