Menjelaskan kekeliruan dalam isu Kalimah Allah

Penulis sebenarnya sangat keberatan untuk menulis mengenai perkara ini kerana ia sudah pun menjadi polemik di antara kerajaan dengan pihak geraja Katolik semenjak 2007, sehingga melibatkan kesemua umat Islam dan Kristian ke kancah pertelingkahan.

Namun, atas dasar prihatin dan kemanusiaan penulis ingin menjelaskan banyak salah faham mengenai isu ini agar dapat memperbaiki kerosakan yang telah terjadi.

Salah tanggapan oleh Muslim

Rata-rata banyak penganut Islam di Malaysia terutama di Semenanjung Malaysia dan berbangsa Melayu tidak mengetahui bahawa perkataan “Allah” telah lama digunakan secara aman semenjak dari dulu lagi.

Sebenarnya perkataan “Allah”  terdapat di dalam Alkitab Kristian sebelum isu itu di jadikan polemik. Malah ia digunakan sebelum kewujudan Islam lagi oleh umat Kristian Arab dan umat Arab Jahiliyah yang lain.

Tambahan pula, kebimbangan penganut Islam di Malaysia juga di jadikan sentimen kebencian ke atas Kristian dengan anggapan bahawa kalimah atau perkataan “Allah” digunakan dengan tujuan untuk memurtadkan orang Islam sebagai satu agenda mubaligh. Ada juga dakwaan dengan hanya membaca Alkitab Kristian sesorang boleh jatuh murtad dan kafir.

Pembacaan Alkitab Kristian dalam bahasa Malaysia (Melayu) belum tentu dapat memurtadkan orang Islam. Bahkan adakah pendakwah dan pendebat seperti Syeikh Ahmad Deedat dan Dr Zakir Naik itu murtad kerana membaca dan menghafal Alkitab (Bible). Sudah tentu tidak!

Bagaimana pula perkajian antara agama boleh dijalankan jika sentimen-sentimen tidak berasas dimomokan sedemikan rupa.

Sekatan penyebaran agama

Walaupun Kristian merupakan merupakan agama “missionary”, namun kegiatan dakyah oleh golongan mubaligh yang tidak peka ini adalah sangat terpencil.

Perlu diingatkan bahawa bukan mudah untuk sesorang itu menganut agama Kristian jika dia tidak melalui proses pembaptisan dan proses pengenalan. Lafaz doa iman sahaja itu tidak cukup untuk menjadikan sesorang itu Kristian.

Jika dakwaan tersebut benar maka sudah tentu ianya kelihatan menimbulkan ketegangan ke atas umat Islam di Malaysia. Lebih hairan, adakah wujudnya bukti atau rekod apa, siapa, bagaimana dan di mana Kristianisasi berlaku kerana penggunaan kalimah Allah semata-mata?

Kes perundangan

Menjelang akhir-akhir 1980an, terdapat beberapa pihak cuba untuk menyekat penganut bukan Islam daripada menggunakan perkataan-perkataan yang disifat Islamik melalui undang-undang dan majlis fatwa negeri dengan sebab untuk melindungi umat Islam daripada murtad.

Perlaksanaannya langsung tidak dirunding secara bersama oleh pihak agamawan ataupun majlis-majlis agama bukan Islam. Walaupun tidak begitu popular ketika itu, beberapa kes pun sudah ke mahkamah seperti kes pernerbitan bahan cetakan yang mengandungi perkataan “Allah” oleh gereja Sidang Injil Borneo di Sabah.

Perbezaan teologi yang besar

Memandangkan jurang besar antara perbezaan konsep ketuhanan antara Kristian dan Islam. Banyak pertubuhan dan badan-badan NGO Muslim tampil memperjuangkan soal hak penggunaan perkataan “Allah” sama ada berasaskan ilmiah untuk mempertahankan konteks penggunaannya.

Antara alasannya, “Allah” itu esa dan “Allah” itu bukan dua atau tiga mahupun konsep trinitas. Sehubungan dengan itu, penggunaan perkataan “Allah” itu oleh Kristian adalah menghina Islam dan harus dilarang.

Jika diamati, ketiga-tiga agama besar seperti Yahudi, Kristian dan Islam merupakan agama wahyu. Mana mungkin wahyu itu diberikan oleh Tuhan yang berlainan antara satu sama lain.

Tentu dalam ajaran Islam sendiri melalui Al-Quran dan hadis pun tidak melarang Sang Pencipta itu digelar “Allah”.

Penulis sebenarnya terkilan, kerana Kristian merupakan agama monotheistik yang mengajar konsep ketuhanan yang esa. Konsep trinitas (Trinity) di salah anggap sebagai konsep poleistik.

Bagi Kristian, untuk memahami konsep trinitas ini memang diperlukan keterbukaan hati untuk memandang Sang Pencipta dari sudut pandang yang mengatasi pola berpikir manusia. Ianya hanya mampu difahami atas dasar iman yang berlandaskan cinta kasih.

Kasih tidak mungkin berdiri sendiri, namun melibatkan dua belah pihak seperti kasih suami istri, melibatkan kedua belah pihak, maka disebut sebagai “saling” mengasihi.

Kalau Tuhan adalah kasih yang paling sempurna, maka tidak mungkin Tuhan tidak melibatkan pihak lain yang dapat menjadi saluran kasih-Nya dan juga dapat membalas kasih-Nya dengan darjat yang sama. Jadi Tuhan itu harus satu, namun bukan Tuhan betul-betul sendirian. Jika tidak, maka Tuhan tidak tentu dapat menyalurkan dan menerima kasih yang sejati.

Bahasa dan Terjemahan

Berdasarkan sejarah kedatangan penjajahan Portugis di Melaka, para mubaligh Katolik datang dengan misi memberitakan ajaran Kristian. Ya, memang diperakui dalam usaha menyebarkan agama Kristian, pembumian teologi dan istilah diguna pakai bagi mencapai matlamat tersebut.

Bahasa Latin dan Portugis digunakan pada mulanya namun untuk melakukan dakyah, penguasaan bahasa tempatan adalah merupakan cabaran mereka.

Di sini pihak Kristian sering ditanya: mengapa menggunakan bahasa Arab untuk terjemahan nama  Latin bagi “Deus” kepada “Allah” dan menggunakan bahasa Melayu untuk nama Latin bagi “Dominus” kepada “Tuhan”?

Penulis berpendapat penggunaan tersebut selaras dengan maksud teologi dan semantik menurut bahasa asal Alkitab iaitu bahasa Ibrani bagi Perjanjian Lama dan bahasa Yunani bagi perjanjian baru.  Kedua-dua istilah Allah dan Tuhan digunakan di dalam Alkitab bahasa Melayu.

Dengan mengikut apa yang dilakukan oleh orang Kristian Arab sebelumnya, “Allah” digunakan oleh para mubaligh untuk menterjemahkan el/elohim. Tuhan (atau TUHAN huruf besar) pula digunakan untuk menterjemah Yahweh (YHWH).

Kadang-kadang dua perkataan itu dipasangkan sebagai Yahweh-Elohim dalam 372 kekerapan dalam Perjanjian Lama (14 kali dalam Kejadian 2-3; 4 kali dalam Keluaran; 8 kali dalam Yosua; 7 kali dalam 2 Samuel; 22 kali dalam Tawarikh; 12 kali dalam Mazmur; 32 kalidalam Yesaya; 16 kali dalam Yeremia dan 210 kali dalam Yehezkiel dan sebagainya).

Perkara yang lebih penting adalah firman Tuhan diterapkan juga kepada Yesus Kristus dalam Perjanjian Baru. Oleh itu TUHAN Yesus dibaca sebagai Tuhan Yesus (Firman TUHAN digunakan untuk menterjemahkan perkataan kurios 8400 kali dalam Alkitab Septuaginta, versi Yunani Perjanjian Lama).

Ia hanya merujuk kepada manusia sebanyak 400 kali dan merujuk kepada Allah sebanyak 8000 kali. Dalam 8000 kali, 6700 adalah pengganti perkataan YHWH). Penerapan gelaran kurios TUHAN/YHWH kepada Yesus Kristus adalah kesaksian tentang kepercayaan dalam ketuhanan Kristus sejak permulaan agama Kristian.

Kesimpulan

Oleh itu, diharap penulisan kali ini sedikit sebanyak merungkai salah faham mengenai polemik isu perkataan “Allah”.

Orang Muslim di Malaysia harus berusaha untuk mengerti dan merasa empati dengan amalan bersejarah orang Kristian untuk menterjemahkan Kitab Suci mereka ke dalam vernakular (tempatan) dan bukan menuduh yang bukan-bukan, ini termasuk menggunakan panggilan tempatan bagi “Allah” pencipta yang esa.

Ketidak puas hatian ini ini timbul disebabkan segelintir orang Muslim mengandaikan bahawa agama mesti bersandarkan pada bahasa Arab yang suci dan unggul, dan terbungkam dalam desakan mereka tentang doktrin Kitab Suci yang tidak boleh diterjemahkan.

Sebaliknya, berdasarkan fahaman Kristian, semua bahasa layak dan tuntas menjadi medium dalam penyampaian mesej ilahi. Dengan erti kat lain, agama Kristian dianggap sebagai agama yang mempromosikan ciri khas budaya tempatang masing-masing.

Dalam semangat yang sama, terjemahan tempatan bagi Alkitab mengikut amalan selama berabad-abad oleh masyarakat/suku tempatan yang merujuk pencipta sebagai “Allah” adalah wajar kerana “Allah” itu memang Tuhan sekalian alam.

 

 

 

 

unnamed