Perkahwinan Tidak Sejenis

 

Kahwin

SEORANG pelajar bertanyakan kepadaku sesudah usai sebuah wacana di Universiti Kebangsaan Malaysia,

“Apakah hematmu mengenai perkahwinan sejenis kerana adanya gerakan agar ia disahkan menurut undang-undang di Malaysia ekoran pengiktirafannya di Amerika Syarikat.”

Aku ingin sekali menjelaskan sebelum aku melanjutkan perbicaraan ini bahawa sesuatu yang alamiah tidak semestinya bermoral (natural is not necessarily moral).

Misalan seorang yang kencing adalah alamiah (natural) tetapi jika ia dilakukan bersengaja di tengah-tengah pusat membeli belah dengan mendedahkan alat kemaluan maka ia dikira tidak bermoral.

Jadi apakah reaksiku kepada perkahwinan sejenis kerana adanya gerakan agar ia disahkan menurut undang-undang di Malaysia ekoran pengiktirafannya di Amerika Syarikat?

Aku membalas, “Pertamanya, saya tidak pernah mendengar adanya tuntutan rasmi untuk perkahwinan sejenis di negara ini seperti yang didakwa. Kedua, perkahwinan sejenis bukanlah atau belum satu masalah di Malaysia.

Tetapi yang merupakan satu masalah dan patut dilakukan sesuatu oleh awak adalah… perkahwinan lain jenis, lelaki dan perempuan, perkahwinan kelamin… ini jenis perkahwinan yang banyak mendatangkan masalah di negara kita.

Tak payah kita bincang hal negara lain…”

Apakah masalah yang aku maksudkan di atas? Terdapat paling kurang tiga masalah pada perkahwinan lain jenis yang mesti dilangsai dan diberi jalan penyelesaian oleh kita semua.

Masalah Pertama: Perkahwinan Bawah Umur

Pertama adalah perkahwinan bawah umur.

Ini kerana di Malaysia, undang-undang kita melarang kanak-kanak perempuan di bawah umur 16 tahun untuk memandu atau membeli rokok. Akan tetapi, kanak-kanak perempuan hanya tidak boleh menonton filem 18SX di pawagam.

Mereka boleh berkahwin dan boleh melakukan hubungan seks di bawah umur dengan itu.

Jadi, ada filem yang tidak dapat ditonton dengan alasan terdapatnya adegan seks atau erotis, tetapi di rumah mereka boleh misalnya melakukan seks oral (dengan suami). Dan, ia sah menurut undang-undang.

Statistik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) pada tahun  2012 sebagai contoh menunjukkan terdapat 1,165 permohonan untuk berkahwin, yang kebiasaannya bakal pengantin perempuan adalah lebih muda berbanding usia yang dibenarkan dalam undang-undang berkahwin.

Statistik itu juga menjelaskan bahawa Mahkamah Syariah meluluskan 1,022 daripada permohonan itu sedangkan rekod 2011 menunjukkan terdapat 900 perkahwinan yang diberi keizinan.

Sebagai contoh, Seksyen 8 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) menyatakan bahawa usia paling  minimum untuk berkahwin menurut undang-undang bagi kanak-kanak lelaki Islam adalah 18 tahun, dan bagi anak-anak gadis Islam 16 tahun[1].

Perkahwinan bawah umur adalah masalah yang sangat besar. Ini bukan ciptaan dan dongengan yang aku ciptakan.

Aku memberitahu pemuda yang rimas dan marah akan perkahwinan sejenis itu tentang Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106.

Para agamawan bersidang pada 21 – 22 Oktober 2014 untuk membincangkan ‘Isu Perkahwinan Kanak-kanak: Kajian Dari Aspek Agama, Kesihatan dan Psikologi’.

Hasilnya, Muzakarah membuat keputusan, ‘perkahwinan kanak-kanak  tidak lagi dilihat sebagai satu amalan yang ‘sihat’ pada masa ini’, dan ‘lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan terutama dari aspek kesihatan dan psikologi kanak-kanak terbabit’.

Selain itu Muzarakah memperakukan kebanyakan ‘perkahwinan kanak-kanak di Malaysia berlaku oleh kerana keterlanjuran dan keinginan menutup aib atau maruah keluarga yang tercemar’ kerana berlakunya penzinaan.

Yang paling penting Muzakarah juga memperakukan laporan ‘pakar-pakar kesihatan dan psikologi’ yang menjelaskan hasil kajian mereka  bahawa ‘masalah kesihatan fizikal dan mental yang dialami pada pasangan perempuan akibat perkahwinan kanak-kanak’ adalah besar[2].

Perkahwinan lain jenis yang kusebut di atas tidak dipungkiri sedang mendapat tempat di negara ini dengan alasan Rasulullah saw pernah memperisterikan Ummul Mukminin Aisyah dalam keadaan Aisyah masih kanak-kanak.

Masalah Kedua: Keganasan Rumahtangga

Bukan itu sahaja masalah dengan perkahwinan lain jenis , keduanya, perkahwinan lain jenis juga mencatatkan kes keganasan rumahtangga yang tinggi.

Pada tahun 2013, Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 1,259 kepada 4,123 kes dengan Johor, Selangor dan Negeri Sembilan merekodkan kes paling tinggi membabitkan keganasan rumah tangga.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Sisatan Jenayah (JSJ) Asisten Komisioner Hamidah Yunus, menjelaskan,

“kegagalan mengawal emosi adalah antara punca utama berlakunya keganasan dalam rumahtangga”.

Beliau juga menambah  “terdapat lima jenis kes keganasan rumahtangga iaitu dari segi fizikal, psikologi, seksual, sosial dan kewangan”[3].

Masalah keganasan rumah tangga ini amat kronik. Adalah dilaporkan hampir 10 orang wanita menjadi mangsa keganasan rumah tangga setiap hari. Wanita ini kebanyakannya adalah golongan muda yang berumur antara 26 hingga 35 tahun[4].

Selain itu, kes keganasan rumahtangga paling banyak dilakukan oleh mereka yang beragama Islam.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat dalam satu jawapan kepada Dewan Negara untuk Sesi Disember 2011 tentang perihal statistik keganasan rumah tangga memberitahu antara tempoh 2006 hingga bulan Julai 2011:

  1. Terdapat sebanyak 1,635 kes keganasan rumah tangga melibatkan kaum Melayu direkodkan
  2. Ia diikuti oleh 705 kes melibatkan pasangan India
  3. Kemudiannya 487 kes kaum Cina
  4. 79 kes peribumi Sabah, selain 47 kes peribumi Sarawak, 2 kes peribumi Semenanjung; dan
  5. 31 kes melibatkan kaum lain[5].

Sekali lagi isu kita di Malaysia bukanlah perkahwinan sama jenis. Isu kita di Malaysia ialah perkahwinan lain jenis yang gagal diurus dengan baik.

Ini merupakan masalah yang perlu diatasi segera. Para ulama tidak harus terbungkam membiarkan nasib wanita terus tertindas dalam kerangka agama ini.

Poligami

Masalah Ketiga: Eksploitasi Undang-undang Poligami

Masalah ketiga yang muncul dari perkahwinan lain jenis di Malaysia adalah eksplotasi dan manipulasi undang-undang berkaitan poligami di Malaysia.

Hal ini merupakan duri dalam daging buat kita yang mengamalkan perkahwinan kelamin. Ia merupakan masalah umat Islam.

Perhatikan sahaja ketidakseragaman Akta atau Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam mengenai poligami antara negeri-negeri di Malaysia.

Peruntukan mendapat izin atau tidak daripada isteri ada terkandung dalam Seksyen 23 Akta 303, Pulau Pinang 1985, Johor 1990, Negeri Sembilan 1984, Seksyen 17 dalam Undang-Undang Keluarga Islam Kedah 1979, Pahang, Selangor dan Melaka.

Akan tetapi,  Enakmen Keluarga Islam Negeri Kelantan, Terengganu dan Perak tidak memperuntukan bahawa pandangan isteri diperlukan bagi menentukan layak atau tidak seseorang suami itu berpoligami.

Ini kerana Enakmen Undang-Undang Keluarga di negeri Kelantan, Terengganu dan Perak menyatakan memadai untuk suami mendapat kebenaran bertulis daripada Qadi atau Hakim Syar’ie dan keputusan terletak pada kebijaksanaan Hakim sepenuhnya.

Dalam masa yang sama syarat-syarat seperti kemampuan suami dari segi kewangan, keizinan atau pandangan isteri pertama tidak diperuntukkan dalam prosedur poligami di tiga buah negeri ini.

Dalam makalah monumental beliau ‘Poligami di Malaysia’, Raihanah Abdullah, guruku ketika mengaji di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya menyatakan;

“Ketidak seragaman dari segi peraturan poligami ini menyebabkan masyarakat yang ingin berpoligami akan pergi ke negeri-negeri yang dirasakan peraturan poligaminya tidak akan menyekat hasratnya itu”[6].

Beliau seterusnya menyatakan, “Apa yang berlaku di Malaysia, pengamal poligami kebanyakannya tidak mematuhi samada yang ditetapkan oleh al-Quran dan al-Hadith juga sebagaimana yang diperuntukkan dalam Undang-undang Keluarga Islam”[7].

Kezaliman dan ketidakadilan yang berlaku ekoran kecelaruan perkahwinan lain jenis seperti poligami ini ternyata juga menerbitkan masalah sosial yang lain.

Justeru perkahwinan lain jenis juga berpotensi menyebabkan kehuru-haraan dalam masyarakat.

Jadi, perkahwinan sejenis yang bukan merupakan masalah kita di Malaysia usahlah difikirkan sangat. Kita perlu menyelesaikan isu-isu yang muncul dari perkahwinan lain jenis atau perkahwinan kelamin.

Demokrasi, Bukan Jamuan Bufet

Islam LGBTKita hidup dan menerima demokrasi sebagai gaya hidup dan sistem politik kita. Di dalam sistem demokrasi satu ajaran yang pasti adalah,

“Kita memperjuangkan hak semua orang, atau anda tidak akan beroleh apa-apa pun untuk diri sendiri’.

Demokrasi bukanlah satu jamuan bufet di hotel yang mana kita boleh memilih mana yang ingin diambil dan meninggalkan pula hak sivil yang terpakai untuk orang lain.

Hak sivil dalam ajaran demokrasi mengajarkan kita semua setara.  Justeru, bayangkan kesukaran saudara-saudara seumat Islam di Amerika Syarikat, atau di Barat yang mestilah berjuang untuk semua golongan marjinal.

Mereka tidak boleh berjuang untuk mengenakan hijab dan merungut stigma yang mereka hadapi jika dalam masa yang sama mereka tidak menghormati hak kaum yang ingin mengamalkan perkahwinan sama jenis.

Kaum LGBTIQA2-S merasakan stigma yang sama sebagai golongam marjinal[8].

Adakah ini sesuatu yang liberal?

Kalian boleh namakan apa sahaja. Aku menamakannya mengutamakan apa yang perlu diutamakan.

Benar, sesuatu yang alamiah tidak semestinya bermoral (natural not necessarily moral). Itu adalah sikapku dari awal lagi.

Aku percaya kepada kebebasan ekspresi, maka aku akan menyatakan dengan lantang dan jelas jika aku tidak berkenan.

Cumanya aku akan melakukan dengan sopan, bukan dengan biadab dan kurang ajar. Aku tidak percaya kepada abuse terhadap mereka yang mengamalkan seks sama jenis. Aku tidak akan menyatakan ia benar, tetapi ia tidak semudah mengatakan ia haram.

Perkahwinan sejenis bukan merupakan masalah meruncing buat kita di Malaysia. Kita belum ada masalah besar dengan perkahwinan sama jenis.

Tetapi kita memang ada masalah dengan perkahwinan lain jenis atau pernikahan kelamin. Fokus kita semua, umat Islam haruslah ke situ.

Kita mesti menyelesaikan masalah sedia ada sebelum menjadi kronik, dari memikirkan masalah lain yang belum pun jelas buat kita.

Dan kita mesti akur, kita telah memilih sistem demokrasi dan bukannya teokrasi pada tahun 1957 iaitu ketika Malaya merdeka dan mengiktiraf pelbagai bangsa dan agama, justeru kita telah mengiktiraf rencam cara hidup.

 

[1] Hariati Azizan. 2013. Perkahwinan Bawah Umur Semakin Meningkat. 6 Oktober. Mstar. http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2013/10/06/perkahwinan-bawah-umur-semakin-meningkat/. Kedah sebagai contoh turut membenarkan perkahwinan bawah umur menerusi Seksyen 18 (1) (a) Enakmen Undang Undang Keluarga Islam Kedah 2008.

[2] Portal Rasmi Fatwa Malaysia. 2014. Isu Perkahwinan Kanak-kanak: Kajian Dari Aspek Agama, Kesihatan dan Psikologi. E-Fatwa. http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/isu-perkahwinan-kanak-kanak-kajian-dari-aspek-agama-kesihatan-dan-psikologi.

[3] Suryati Mohd Nor. 2014. Keganasan Rumahtangga: Kes Meningkat 1,259  Pada 2013. 7 Oktober. Mstar. http://www.mstar.com.my/berita/berita-jenayah/2014/10/07/keganasan-rumahtangga/

[4] Utusan Malaysia. 2013. Hampir 10 wanita jadi mangsa keganasan rumah tangga setiap hari – Rohani. 19 November. Utusan Online. http://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131119/dn_12/Hampir-10-wanita-jadi-mangsa-keganasan-rumah-tangga-setiap-hari—Rohani.

[5] Blog Dr. S. Ramakrishnan. 2011. Dewan Negara Sesi Disember 2011 – Statistik keganasan rumah tangga. 8 Disember. Blog Rama 4Change.  https://rama4change.wordpress.com/2011/12/08/dewan-negara-sesi-disember-2011-statistik-keganasan-rumah-tangga/

[6]Raihanah Haji Abdullah. 2007. Poligami di Malaysia. Jurnal Syariah 5 (2). 167-186. Hlm. 174.

[7] Ibid. Hlm. 180.

[8]  Reza Aslan dan Hasan Minhaj. 2015. An Open Letter To American Muslims on Same-Sex Marriage. 7 Julai. Religion Dispatches. http://religiondispatches.org/an-open-letter-to-american-muslims-on-same-sex-marriage/