Perpaduan menerusi baca cerpen

Menjelang Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) pada Oktober dan November 2013, pasti banyak pihak yang tiba-tiba akan mula bercakap mengenai kepentingan bahasa kebangsaan.

Tidak kurang juga kehadiran pelbagai pihak yang tiba-tiba berminat mengendalikan aktiviti berkaitan Bahasa Malaysia sebagai pengisian sambutan BBK dengan menggunakan dana khas yang diperuntukkan.

Politikus yang berpengaruh pula biasanya akan diundang khas untuk membacakan teks ucapan yang disediakan oleh orang lain berhubung pentingnya memartabatkan bahasa kebangsaan.

Perkara sama juga boleh diperhatikan pada setiap kali kempen galakan membaca diadakan. Walaupun data Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menampakkan peningkatan statistik minat membaca dalam kalangan masyarakat, politikus lebih suka mengatakan bahawa minat membaca rakyat Malaysia hanya sekitar dua halaman setahun.

Isu-isu seperti ini mungkin dianggap sensitif jika diperkatakan secara terbuka. Kalau salah hari bulan, kita pula akan dituduh memperlekehkan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan dan kempen galakan membaca. Lebih teruk lagi, mungkin disuruh oleh politikus tertentu supaya “Balik India!” atau “Balik China!”

Untuk rekod, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang diasaskan pada 22 Ogos 1999 sentiasa menyokong usaha mendaulatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan, bahasa komunikasi dan bahasa ilmu. Kavyan juga sering bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam usaha murni ini.

Kavyan turut terlibat secara langsung dalam pelbagai kempen galakan membaca di seluruh negara; termasuk dengan kerjasama PNM dan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Kementerian Pelajaran Malaysia.

Apa yang nyata, kempen Kavyan dengan kerjasama DBP, PNM, Kumpulan Media Karangkraf, Gemilang Publishing Sdn Bhd dan pelbagai pihak lain tidak bermusim. Hakikat ini sentiasa ditekankan oleh Kavyan kerana usaha memartabatkan Bahasa Malaysia dan kempen galakan membaca perlu digerakkan pada setiap masa tanpa menunggu “arahan, restu dan wahyu” daripada politikus.

Interaksi penting bagi memupuk perpaduan.
Interaksi penting bagi memupuk perpaduan.

Dari semasa ke semasa, Kavyan mendapat bantuan dana daripada DBP. Sumbangan bahan bacaan pula sering dihulurkan oleh PNM, Kumpulan Media Karangkraf dan Gemilang Publishing. Sokongan moral dan sumbangan tenaga diperoleh daripada pelbagai pihak yang sudah maklum akan aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya anjuran Kavyan sejak 1999.

Ramai yang membayangkan Kavyan sebagai sebuah organisasi besar dengan sumber kewangan yang lumayan. Andaian ini berdasarkan keaktifan kumpulan ini merancang, mengendalikan dan menjayakan pelbagai acara yang melibatkan penyertaan masyarakat pelbagai kaum di hampir seluruh negara.

Sebenarnya, Kavyan bergerak tanpa dana yang besar. Kekuatan utama entiti ini adalah penglibatan sekumpulan penulis dan peminat sastera pelbagai kaum yang menawarkan diri secara sukarela. Pasti sahaja tiada sebarang pulangan – atau habuan – material dan kewangan.

Dalam perkembangan terbaru, berlangsung “Lawatan Penulisan Kavyan” ke Ipoh, Taiping dan Permatang Pauh. Penyelaras projek, Kughan Nadarajah berjaya melaksanakan acara itu dengan kos yang paling minimum.

Aktiviti Kavyan secara sederhana tetapi berkesan.
Aktiviti Kavyan secara sederhana tetapi berkesan.

Program itu yang berlangsung pada 29-30 Jun 2013 turut diisi dengan acara persembahan cerpen di Restoran Nachi’s Indian Cuisine, Ipoh; taman permainan di Taman Tasik Taiping; dan Zammaz Nur Villa Homestay, Permatang Pauh.

Sokongan padu pelbagai pihak

Selain daripada melawat Kampung Kacang Puteh di Buntong, menikmati suasana nyaman di Taman Tasik Taiping dan turun ke sawah yang menghijau di Permatang Pauh, peserta turut mengambil bahagian dalam bengkel penulisan dan bengkel membaca cerpen.

Seperti biasa, suasana harmoni dan persaudaraan begitu nyata dalam kalangan para peserta pelbagai kaum dan agama. Berlaku juga dialog secara santai berkaitan bahasa, sastera, budaya, agama dan pelbagai topik lain yang mungkin dianggap terlalu sensitif untuk dibincangkan dalam persatuan penulis lain.

Bagi meneruskan kempen galakan membaca, majalah-majalah sumbangan Kumpulan Media Karangkraf diberikan sebagai cenderamata kepada penonton yang hadir menyaksikan acara “Baca Cerpen Kavyan” di ketiga-tiga lokasi.

Acara ini juga boleh dianggap sebagai kesinambungan kepada “Baca Cerpen Kavyan” yang berlangsung dari 29 Ogos hingga 2 September 2003 di Galeri Shah Alam. Malah, acara baca cerpen dan baca novel yang dipelopori oleh Kavyan sudah menjadi acara bulanan dalam skala kecil dan sederhana.

Memandangkan Kavyan tidak bernaung di bawah mana-mana parti politik – serta tidak mengharapkan sumbangan dana daripada mana-mana politikus yang berkepentingan – maka segala aktiviti dapat dirancang dan dilaksanakan secara bebas tanpa perlu terikat pada “restu” politikus. Mungkin inilah kelebihan Kavyan berbanding beberapa pihak lain.

Acara “baca cerpen” sudah sinonim dengan Kavyan.
Acara “baca cerpen” sudah sinonim dengan Kavyan.

Selepas kejayaan “Lawatan Penulisan Kavyan”, aktiviti bulanan yang dirancang adalah “Jerayawara Kavyan” (Kavyan’s Roadshow) di mana wakil kumpulan ini akan membuat persembahan cerpen dan puisi di tempat-tempat awam.

Dua lokasi yang menjadi pilihan awal bagi jerayawara adalah Dataran Shah Alam di Persiaran Sultan, Shah Alam dan Porta de Santiago iaitu tinggalan Kota A Famosa di Melaka. Tempat-tempat lain akan dipilih mengikut cadangan dan permintaan.

Seperti biasa, Kavyan memastikan bahawa keseluruhan acara dikendalikan dalam Bahasa Malaysia dan karya-karya yang dipersembahkan semasa jerayawara adalah Sastera Kavyan, iaitu cerpen/puisi Bahasa Malaysia yang dihasilkan oleh penulis kaum India.

Perlu dinyatakan bahawa idea bagi “Jerayawara Kavyan” dicetuskan oleh Shahrulnizam Abd Hamid yang menyelaraskan sesi persembahan cerpen semasa “Lawatan Penulisan Kavyan”. Usaha yang dilakukan oleh sekumpulan anak muda menerusi “Buku Jalanan” di seluruh negara juga menjadi perangsang.

Seterusnya, pada 1 September 2013 akan berlangsung acara “Baca Cerpen Kavyan: Sedekad Kemudian” di Galeri Shah Alam sebagai mengimbas kenangan kejayaan acara yang diadakan sepuluh tahun dahulu.

Pasti sahaja tidak akan ada rekod 384 cerpen dibacakan oleh 166 peserta pelbagai kaum dalam masa 96 jam 32 minit. Sebaliknya acara pada kali ini bertujuan meneruskan usaha memasyarakatkan sastera, mendaulatkan Bahasa Malaysia dan memupuk minat membaca secara berterusan dalam kalangan masyarakat.

Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said yang Penasihat Agung Kavyan sudah mengesahkan penyertaan. Orang ramai boleh melayari www.kavyan.blogspot.com untuk mendapatkan maklumat “Baca Cerpen Kavyan” dan pelbagai acara lain yang dianjurkan bagi memupuk perpaduan dan meningkatkan persefahaman menerusi aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya.