Pesta Rakyat dan Demokrasi Radikal

Aku bermimpi main seruling,
hadapan bunga di tepi kolam.
Biarkan nasib aku terguling,
asalkan bangsa tidak tenggelam.

Barisan Nasional merupakan satu-satunya parti yang sentiasa menang dalam setiap pilihan raya umum sejak 1950-an. Sebagai parti yang memerintah selama lebih 50 tahun di Malaysia, perlaksanaan sistem demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan ternyata memberi kelebihan kepada orang Melayu umumnya dan UMNO khususnya.

Sistem pemerintahan begini telah berjaya memelihara “kemakmuran dan keamanan” sejak merdeka lagi dalam arti kita masih punya hak untuk bernafas. Menurut mereka, sebagai manusia, kita hanya perlu hak itu dan bukan yang lain – hak berhimpun, hak bersuara, semuanya hanya setakat formaliti dalam Perlembagaan Persekutuan (yang juga menjadi instrumen kepada penguasa).

Tidak cukup dengan itu, dengan memakai nama demokrasi, disekatnya kemerdekaan akhbar dan menyuburkan surat layang yang luar biasa banyaknya dalam PRU-PRU lepas.

Namun, sama ada demokrasi yang dilaksanakan di negara ini berjaya memilih wakil rakyat yang selayaknya itu hal kedua menurut mereka, janji ia menurut semangat demokrasi yang kelihatannya mementingkan “means” berbanding “ends”.

Sehinggalah baru-baru ini, “demokrasi peti undi” tidak lagi mampu menjamin keadilan dan kesejahteraan hidup bermasyarakat. Lalu, dibuatlah perhimpunan sebagai satu lagi alternatif untuk meluahkan rasa hati (dipanggillah sebagai “perhimpunan aman” mungkin kerana tidak mahu menyinggung susila masyarakat Timur).

Perhimpunan yang dibawa ke serata negeri kali ini berhujung dengan Pesta Rakyat di Amcorp Mall Petaling Jaya pada hari Sabtu dan Ahad. Berlainan dengan perhimpunan-perhimpunan yang lepas, ia tidak disertai dengan kehadiran FRU yang serba lengkap dengan gas canister.

Maka tidak kedapatanlah gerai-gerai yang mengalami kerugian mencecah ribuan ringgit maupun kerosakan harta benda awam – menurut Buletin Utama TV3.

Pesta Rakyat kali ini dapatlah kiranya diumpamakan seperti perayaan – mungkin merayakan undi popular. Sudah pasti pesta ini berbeza sekali dengan perhimpunan Belia di Putrajaya anjuran kerajaan BN. Perhimpunan itu dirasmikan DS Najib Razak pada hari yang sama.

Anak muda sekali lagi diberi gula-gula getah untuk terus bersikap apati dalam urus tadbir negara. Ini membezakannya dengan Pesta Rakyat yang bukan dipaksakan dan dihadiri kurang lebih 50 ribu rakyat.

Hal ini amat bertepatan dengan apa yang dikata Douglas Lummis: “Democracy doesn’t mean feeling powerful. It means holding real power. Radical democracy describes the adventure of human beings creating with their own hands, the conditions for their freedom. It is not a kind of government, but an end of government; not a historically existing institution but a historical project.”

Beliau menekankan bahawa demokrasi bukanlah setakat procedural – yang membezakannya dengan diktum terkenal Abraham Lincoln. “Kerajaan” bagi Lincoln ialah struktur yang dibentuk untuk memperkasa rakyat sedangkan demokrasi seharusnya menjadikan rakyat itu sendiri harus berkuasa.

Ini jelas menunjukkan melaung dan memahami demokrasi adalah dua perkara berbeza.

Demokrasi sesuai dengan namanya mesti mahu dipraktikkan bermula dari rakyat bukan dari penguasa. Jika sebaliknya berlaku, iaitu aliran kuasa atas-bawah, maka mungkin hanya beberapa orang Malaysia sahaja yang berhasil membebaskan diri daripada segala macam belenggu yang dipasung pada dada dan pemikiran mereka sejak setengah abad ini.

Demokrasi tidak harus mengikut jejak feudalisme dan tirani penguasa. Jadi cita-cita besar kita bukanlah mengembalikan kerajaan yang dirampas daripada kita tetapi mengembalikan akar demokratia.