PREVIU: Tuhan yang Hijau

Tak kenal maka tak cinta. Apatah pula bagi kita yang hidup dalam sebuah masyarakat majmuk yang berbilang kaum, kepercayaan dan agama.

Sekali pandang, agama Islam dan Kristian boleh dianggap sebagai dua sistem kepercayaan yang terasing dan berbeza.

Malah, kita di Malaysia sering kali diingatkan bahawa kenyataan di atas adalah hakikat sebenar melalui tajuk-tajuk akhbar yang dibaca. Dari isu kalimah Allah sehinggalah ke soal cetakan Kitab Injil dalam bahasa ibunda. Apakah memang benar tiada titik persamaan antara mereka yang bernabikan Muhammad dengan yang bernabikan Isa?

Atas semangat ingin menggiatkan lagi usaha dialog antara agama di Malaysia, Projek Dialog kali ini membawakan kepada anda sebuah forum yang menonjolkan persamaan antara Islam dan Kristian dalam soal alam sekitar.

Kedua-dua ajaran Islam dan Kristian mengandungi perintah dan mesej memelihara alam sekitar yang meluas bagi umatnya. Namun, ia bukanlah suatu perkara yang umum diketahui oleh khalayak akibat kurang diperjuangkan atau dibahaskan oleh para agamawan dalam negara. Rata-rata mengherot Islam dan Kristian menjadi kepercayaan yang dilihat tidak mempedulikan alam sekitar langsung. Lebih buruk lagi, Bumi dan segala hidupan yang menghuninya kini semakin hari semakin tenat dek aktiviti manusia yang membinasakan alam sekitar.

Bagaimanakah Islam dan Kristian melihat hubungan antara manusia dan alam sekitarnya? Apakah idea-idea alam sekitar dalam agama masing-masing yang boleh dijadikan sebagai panduan buat kita semua? Apakah Tuhan di mata Islam dan Kristian saling berkongsi warna hijau yang sama?

Mari sertai Projek Dialog untuk bersama-sama menyingkap jawapan bagi soalan-soalan di atas dan moga dengan mengetahuinya, kita akan menjadi sebuah masyarakat Malaysia yang lebih harmonis.