Projek Dialog membantah penahanan Syiah di Perak

Projek Dialog melihat penguatkuasaan operasi membanteras ajaran Syiah oleh Jabatan Agama Islam Negeri Perak sebagai amat menghampakan.

Perkembangan terbaru yang dilaporkan kebanyakan saluran media utama tempatan berkenaan penangkapan 114 orang di Selama, Perak pada malam 8 Mac 2014 atas dakwaan melanggar fatwa berkaitan pengharaman Syiah di bawah Seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Perak 1992. Operasi kali ini menyusul selepas 4 orang telah ditahan di Bagan Serai atas dakwaan yang sama pada September 2013.

Malah lebih menyedihkan, penahanan kali ini turut membabitkan 32 orang kanak-kanak yang tentu sekali merupakan suatu penganiayaan terhadap mereka dan tidak sepatutnya dihukum atas apa-apa kesalahan jenayah.

Kanak-kanak bawah umur tersebut, termasuk juga bayi berusia sekecil 4 bulan di biarkan meringkup dalam penjara lebih daripada 24 jam tanpa sebarang penjelasan yang munasabah daripada pihak berkuasa. Kami amat kesali atas tindakan yang tidak berperikemanusiaan ini kerana ia mengancam hak asasi dan psikologi kanak-kanak tersebut.

Harus diingatkan tindakan penangkapan ini bukan sahaja bertentangan dengan prinsip kebebasan beragama seperti yang telah dimeterai dalam Deklarasi Sejagat Hak-hak Asasi Manusia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, malah turut melanggar persepakatan toleransi “Amman Message” pada 2005 sebagai komitmen penerimaan akan kepelbagaian mazhab dalam Islam yang dipersetujui kebanyakan Negara-negara umat Islam, termasuk Malaysia, diwakili Perdana Menteri Malaysia waktu itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Kami menyeru pihak berwajib, khususnya Jabatan Agama Islam Negeri Perak untuk menilai semula secara keseluruhan tindakan penguatkuasaan ini, serta mencari pendekatan dan penyelesaian yang lebih matang dan berperikemanusiaan dalam berhadapan dengan perbezaan kefahaman dalam beragama yang sememangnya merupakan satu realiti di seluruh dunia pada masa ini.

Kami juga memanggil para pemimpin masyarakat, tokoh-tokoh agamawan dan semua rakyat Malaysia, khususnya umat Islam untuk menolak tindakan penganiayaan terhadap golongan minoriti.

Kita seharusnya memahami sejarah serta keadaan semasa di beberapa Negara umat Islam yang telah terjebak dengan konflik intra-agama, khususnya antara kedua-dua masyarakat Islam, Sunni dan Syiah, tindakan seperti ini hanya akan menyemarakkan rasa kebencian dan permusuhan yang telah zaman-berzaman membawa kerugian dan kezaliman dibuat atas nama Agama yang sebenarnya menyeru kepada keamanan.

Kita sepatutnya lebih peka bahawa keutamaan seharusnya diberikan kepada usaha pendamaian dan keamanan. Negara membangun seperti Malaysia selayaknya memberi contoh terbaik dan mengepalai usaha murni ini, dengan menggalakkan usaha dialog dan bukannya mengenakan hukuman terhadap golongan yang berbeza kefahaman agama.