Pupuklah perpaduan sebagai pengorbanan

Bagi sesiapa yang memahami makna sebenar Hari Raya Korban (Aidil Adha), mereka pasti tahu bahawa “korban” di sini tidak membawa kerugian kepada diri. Sebaliknya “pengorbanan ikhlas (demi Allah)” yang dilakukan itu membawa kebaikan semata-mata.

Mungkin juga pemahaman erti sebenar “korban” wajar dijadikan asas untuk lebih memahami perlunya sikap “mengorbankan” ego dalam diri ke arah memupuk perpaduan yang merentas batas agama dan kaum.

Apabila saya menggunakan istilah “konvoi” pada tajuk makalah ini, mungkin ramai yang membayangkan kumpulan besar (sekurang-kurangnya 50 orang) berarak beramai-ramai sambil memegang sepanduk. Dan biasa pula disertai laungan yang bersikap mencabar orang lain.

Sesungguhnya “Konvoi Rumah Ibadat IV” anjuran bersama Projek Dialog dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada 12 Oktober 2013 hanya melibatkan sekitar 15 peserta. Dan tidak melibatkan cabaran terhadap mana-mana pihak lain!

Penganjur memang mengharapkan serta menjangkakan kumpulan kecil supaya motif tercapai. Apalah gunanya jika ratusan orang hadir tetapi hanya sebagai “penumpang” tanpa berpeluang terlibat secara langsung dalam acara yang diaturkan.

Kavyan mengadakan konvoi pertama seumpama ini pada 2 Oktober 2010. Enam rumah ibadat pelbagai agama di sekitar Jalan Ipoh dan Sentul dipilih sebagai lokasi kunjungan.

Konvoi kedua ke keenam-enam lokasi sama berlangsung pada 2 Mei 2011. Seterusnya, konvoi diadakan di Seremban, Negeri Sembilan pada 17 Februari 2013 dengan kerjasama Hidayah Centre.

Walaupun masyarakat pelbagai kaum, etnik, budaya, adat dan agama tinggal bersama di negara ini sejak berkurun-kurun lamanya, persefahaman dan perasaan saling menghormati dalam kalangan Bangsa Malaysia sering dipolitikkan pihak berkepentingan.

Sejak beberapa tahun lalu, pelbagai isu berbaur perkauman dan konflik agama disensasikan pelbagai pihak dan media. Gambaran negatif yang ditonjolkan ini tidak dipersetujui majoriti Bangsa Malaysia yang mengutamakan perpaduan dan integrasi.

Perkara itulah juga yang menjadi asas mengapa Kavyan mengusahakan konvoi ke rumah-rumah ibadat. Semasa konvoi sulung pada 2010, masyarakat masih bimbang berikutan insiden “serangan” ke atas beberapa gereja, insiden berarak membawa kepala lembu di Shah Alam serta insiden politikus tertentu tidak dibenarkan memasuki masjid bagi menyampaikan sumbangan kepada masyarakat.

Media antarabangsa turut berminat membuat liputan konvoi kali ini.
Media antarabangsa turut berminat membuat liputan konvoi kali ini.

Jennifer Pak dari BBC World News yang menyertai konvoi pada kali ini ternyata tertarik dengan usaha kami “melawan arus” menganjurkan acara yang menyatukan pelbagai kaum/agama di tengah-tengah keghairahan politikus serta puak ultra kiasu, fanatik dan rasis sanggup melakukan apa sahaja bagi memisahkan masyarakat.

Kunjungan ke rumah-rumah ibadat dilakukan sebagai usaha murni membantu meningkatkan persefahaman, perpaduan dan nilai persaudaraan dalam kalangan Bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik, budaya dan agama.

Parti-parti politik ternyata tidak mampu – dan tidak mahu – memikul tanggungjawab murni ini kerana tidak memberikan “pulangan” dan “keuntungan” politik kepada mereka. Politikus hanya dapat “hidup” dengan meneruskan tradisi “pecah dan perintah”.

Pihak rumah ibadat menerima dengan tangan terbuka

Pada 31 Ogos 2013, saya berpeluang mengambil bahagian dalam “interfaith walk” melibatkan masyarakat pelbagai kaum dan agama di taman tasik Kota Kemuning, Shah Alam. Walau pun hujan, sambutan diterima daripada ratusan peserta pelbagai agama – walaupun pemimpin daripada pertubuhan agama tertentu memutuskan untuk tidak hadir.

Di pihak Kavyan pula, seperti biasa, kami menumpukan pada kumpulan kecil supaya ada interaksi dan hubungan erat antara semua peserta sepanjang (dan selepas) program.

Pihak pengurusan kuil, gurdwara, masjid dan wat memberikan kerjasama dan reaksi positif apabila dihubungi untuk menyatakan niat kami mengatur satu lagi konvoi ke rumah-rumah ibadat berkenaan. (Gereja tidak sempat dikunjungi pada kali ini kerana tidak sempat mendapatkan balasan daripada pihak pengurusan.)

Peserta berkumpul di kuil sebelum memulakan konvoi.
Peserta berkumpul di kuil sebelum memulakan konvoi.

Di Kuil Subramaniam Chettiar, Jalan Ipoh, kami diberikan kebebasan melawat, merakamkan foto/video, bertanya soalan dan melihat secara dekat ritual yang dijalankan.

Perlu dinyatakan bahawa walaupun kelima-lima rumah ibadat yang dikunjungi pada kali ini adalah sama  dengan lokasi dikunjungi pada 2010 dan 2011, para peserta (kecuali saya) adalah kumpulan yang berbeza.

Maka tidak muncul soal bosan melawat tempat sama. Malah saya sendiri tidak sedikit pun berasa jemu walaupun ini kali ketiga saya mengetuai konvoi ke lokasi sama.

Ketibaan kami di Gurdwara Sahib, Jalan Sentul disambut mesra oleh jawatankuasa rumah ibadat agama Sikh itu. Para peserta diberikan penerangan asas mengenai agama berkenaan serta pantang-larang dan peraturan.

Kami juga dibawa melihat bilik khas di mana kitab Guru Granth Sahib (teks suci) disimpan dengan penjagaan rapi pada setiap petang sebelum dibawa keluar pada setiap pagi.

Kemudian, para peserta dijamu dengan teh herba sambil berbual-bual dan bertukar-tukar pandangan. Tentu sahaja para peserta tidak melepaskan peluang merakamkan foto untuk dimuatkan segera ke Facebook bagi tatapan rakan-rakan yang terlepas peluang menyertai konvoi ini.

Konvoi bermula pukul 9:30 pagi dan kami hanya berpeluang meluangkan sekitar 45 minit di setiap rumah ibadat. Tentu sahaja masa ini terlalu singkat dan tidak cukup untuk memberikan gambaran penuh mengenai setiap agama dan ritual.

Apa-apa pun, kunjungan secara berkumpulan seperti ini pasti mampu membuka mata serta membuka peluang – selain memecahkan sebarang prejudis, jika ada – agar masyarakat pelbagai kaum/agama tidak ragu-ragu untuk berkunjung ke rumah-rumah ibadat pelbagai agama bagi mengeratkan silatulrahim.

Tiada niat menukar agama sesiapa!

Berkongsi maklumat bersama-sama rakan demi meningkatkan persefahaman.
Berkongsi maklumat bersama-sama rakan demi meningkatkan persefahaman.

Memanglah ada orang yang memberikan komentar “apa gunanya berkunjung ke masjid kalau peserta konvoi tidak tertarik untuk bertukar agama”.  Atau komen “kalau masuk gereja/kuil/tokong, tak takutkah akidah tergugat?”

Komen negatif seperti ini pasti sahaja datang daripada pihak yamg tidak memahami niat dan tujuan Konvoi Rumah Ibadat diadakan. Kavyan sedikit pun tidak berniat mempersoalkan pegangan agama sesiapa. Sebaliknya, Kavyan dan Projek Dialog mahu membuka ruang dan peluang mengeratkan hubungan.

Apabila kami berkunjung ke Tokong Dewa Pengawal di Jalan Sentul, tidak ada petugas di sana. Bagaimanapun perkara ini tidak menjadi masalah kerana pintu tokong Cina itu terbuka kepada umum.

Malah, beberapa wanita menawarkan diri untuk memberikan penjelasan berserta demonstrasi mengenai ritual sembanyang yang diamalkan. Ukiran serta patung-patung pelbagai warna pula sangat menarik perhatian para peserta konvoi.

Peluang mempelajari cara bersembahyang di tokong.
Peluang mempelajari cara bersembahyang di tokong.

Peserta termuda berumur 14 tahun manakala peserta tertua berumur 45 tahun. Rata-rata peserta pelbagai kaum dan agama ini belum pernah berpeluang berkunjung ke rumah-rumah ibadat pelbagai agama – apatah lagi ke lima rumah ibadat berbeza sekali harung.

Di Masjid Al-Hidayah, Sentul, peserta konvoi yang beragama Islam bertindak sebagai jurucakap yang memberikan penerangan. Peserta diterangkan dan ditunjukkan cara berwuduk yang betul. Malah, peserta pelbagai agama turut berwuduk sebelum memasuki masjid.

Memandangkan kami tiba di Wat Buddha Sri Lanka, Sentul sekitar 1:30 petang, kami dipersilakan makan tengah hari sebelum memulakan lawatan. Masakan nabati (vegetarian) yang disajikan adalah halal dan para peserta ternyata menikmatinya dengan penuh selera.

Selepas itu, seorang sami Buddha memberikan penjelasan serta menjawab pelbagai pertanyaan dan kemusykilan yang dikemukakan. Pertanyaan-pertanyaan ini sebenarnya membantu para peserta lebih memahami ajaran sebenar agama Buddha.

Kemudian, memandangkan hujan turun agak lebat, kami disajikan teh dan kopi. Semasa berbual-bual santai, para peserta berkongsi pandangan dan pengalaman.

Perkara paling asas yang diakui semua peserta adalah bahawa konvoi seperti ini amat positif dan perlu diadakan selalu. Walaupun dijalankan pada skala kecil dan tanpa publisiti, apa yang lebih penting adalah kesan positif yang dibawakannya.

Para peserta juga menyedari serta mengakui bahawa setiap agama menyeru kepada kebaikan. Ternyata Tuhan menciptakan kita berbeza-beza untuk kita saling mengenali; bukan untuk membenci atau saling menindas.

Foto-foto yang dirakamkan olah para peserta sudah tersebar luas menerusi laman rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter. Semoga semangat dan aura positif yang lahir menerusi Konvoi Rumah Ibadat masuk ke dalam jiwa orang ramai.