Ramadan dan budaya Malaysia: Suatu renungan Kritis

Sempena Ramadan kali ini, Projek Dialog menganjurkan suatu majlis berbuka puasa yang diselitkan dengan diskusi ilmiah berkenaan amalan berpuasa dari pelbagai perspektif agama dan juga kaitannya dengan konsumerisme yang dilihat di Malaysia. Panel yang dibawakan terdiri daripada warga-warga Projek Dialog, iaitu Yana Rizal, Kelvin, dan juga Nor Arlene Tan.

Muslim berpuasa

Jika dilihat dari perspektif seorang muslim, yang rata-ratanya berpuasa pada hari ini adalah kerana ianya merupakan salah satu suruhan tuhan.

Latihan berpuasa ini dilakukan sejak dari kecil lagi oleh kedua ibu bapa yang selalunya dijanjikan dengan pelbagai ganjaran sebagai suatu galakan untuk memenuhi tuntutan berpuasa tersebut. Namun, sudah semestinya penghayatan terhadap amalan berpuasa akan berkembang selari dengan usia seseorang. Setelah dewasa, muslim mula sedar berpuasa merupakan salah satu tuntutan agama.

Antara lainnya, berpuasa juga mengajar kita untuk menghayati kehidupan masyarakat sekeliling yang berada dalam kesusahan dan keperitan hidup. Semangat yang tersirat ini dapat dihayati apabila seseorang itu berpuasa kerana ianya membuahkan perasaan yang lapar dan dahaga, mengawal keinginan nafsu syahwat, nafsu untuk berbelanja lebih, makan secara berlebihan dan pelbagai lagi.

Ada juga yang mempercayai bahawa puasa menjadi salah satu cara dalam mengawal diri daripada melakukan kemaksiatan serta sebagai langkah untuk berubah kearah yang lebih baik.

Katolik Kristian berpuasa

Amalan berpuasa juga tidak asing bagi umat Kristian. Khususnya bagi seorang pengganut Katolik, puasa bagi mereka tidak jauh bezanya daripada amalan puasa seorang muslim dan yahudi yang didefinisikan dengan unsur menahan diri. Namun menariknya, dari perspektif pengganut Katolik puasa tersebut tidak terhad kepada penahanan diri daripada makanan sahaja.

Penghayatan berpuasa lebih kepada pengurangan dalam pengambilan dan perlakuan sesuatu yang digemarinya.

Pengalaman puasa dari perspektif Kristian dikongsi oleh saudara Calvin Ohsey, antara kolumnis Projek Dialog (kiri). Yana Rizal (tengah) dan Ehsan Shahwahid (kanan) juga berkongsi pandangan.
Pengalaman puasa dari perspektif Katolik dikongsi oleh saudara Calvin Ohsey (kiri). Yana Rizal (tengah) dan Ehsan Shahwahid (kanan) juga berkongsi pandangan.

Amalan berpuasa bagi pengganut Kristian, dilakukan secara khas dalam bulan Prapaskah (Lent) selama 40 hari. Paskah yang ditakrifkan sebagai pembebasan. Jadi, umat Kristian berpuasa dengan tujuan untuk menanti hari pembebasan. Dalam Kristian, Paskah merujuk kepada kebangkitan Jesus Kristus iaitu Sang Penyelamat yang dianggap sebagai tuhan dan manusia pada masa yang sama.

Dalam menghayati amalan berpuasa bagi seorang Kristian, elemen penting yang ditekankan bukan sahaja mengawal pemakanan, mereka juga ditekankan untuk melakukan amalan kebaikan dan yang paling penting dan ini merupakan pelengkap dalam amalan berpuasa adalah memperbanyakkan doa. Doa ini bukan sahaja untuk diri sendiri, malahan ianya juga ditujukan untuk masyarakat dan seluruh dunia.

Menariknya amalan berpuasa bagi pengganut Kristian, ia tidak terhad kepada satu stuktur yang ditetapkan secara rigid. Umat Kristian boleh memilih untuk mengisi 40 hari yang diberikan dengan pengisian rohani yang tersendiri. Namun, elemen penting tersebut mestilah menjadi syarat dan perlu disertakan dalam amalan berpuasa yang dilakukan.

Contohnya, si A berpuasa daripada menonton televisyen selama 24 jam pada hari pertama: hari kedua- berpuasa makan dan minum: hari ketiga- menanam pokok dengan niat untuk menjaga alam sekitar: dan seterusnya.

Mereka juga tidak lari daripada dugaan dalam amalan berpuasa ini dan bagaimana untuk menguatkan diri adalah melalui doa dan amal kebaikan.

Walau bagaimanapun, mengikut kod undang-undang canon yang telah ditetapkan oleh pihak gereja Katolik bagi puasa wajib ini, umat Kristian masih terikat untuk wajib berpuasa makan pada hari Jumaat yang dikenali sebagai Good Friday (hari kematian Jesus Kristus) dan dilarang untuk berpuasa makan pada hari Ahad dalam tempoh sepanjang 40 hari tersebut.

Mereka disyaratkan untuk berpuasa daripada mengambil sebarang daging (simbolik kepada hawa nafsu) dan juga tidak dibenarkan makan sehingga kenyang.

Hari Ahad pula tidak dibenarkan untuk berpuasa makan adalah kerana ianya dikenali sebagai Hari Kebangkitan. Mereka boleh mengantikan dengan amalan yang lain. Amalan ini adalah wajib dilakukan bagi yang berumur 18 hingga 65 tahun. Berbeza dengan amalan penahanan diri daripada pengambilan daging adalah bermula dari umur 14 tahun sehingga akhir hayat.

“Dan apabila kamu berpuasa, janganlah muram mukamu seperti orang munafik. Mereka mengubah air mukanya, supaya orang melihat bahawa mereka sedang berpuasa. Aku berkata kepadamu: Sesungguhnya mereka sudah mendapat upahnya. Tetapi apabila engkau berpuasa, minyakilah kepalamu dan cucilah mukamu, supaya jangan dilihat oleh orang bahawa engkau sedang berpuasa, melainkan hanya oleh Bapamu yang ada di tempat tersembunyi. Maka Bapamu yang melihat yang tersembunyi akan membalasnya kepadamu.” (Met 6:16-18)

Petikan ini menyarankan umat Kristian untuk tidak menunjuk-nunjuk ketika berpuasa. Adalah lebih baik jika orang lain tidak mengetahui yang sebenarnya mereka sedang berpuasa. Hal ini adalah selari dengan saranan gereja yang mengecam tindakan menghakimi orang lain.

Puasa dan konsumerisme

Puasa bukanlah dilihat sebagai sebuah ritual agama sahaja, tanpa kita sedari setiap manusia berpuasa setiap hari dalam tidurnya, dan ada juga yang berpuasa untuk tujuan kesihatan termasuklah persediaan sebelum pembedahan dijalankan. Perlu dijelaskan bahawa amalan konsumerisme dan berpuasa adalah tidak berkaitan antara satu sama lain.

Setiap orang yang merasakan dirinya tidak mahu membeli atau ingin berbelanja secara berlebihan itu adalah bergantung kepada habitnya tersendiri.

Budaya konsumerisme adalah berkait rapat dengan kelas sosial. Sejak dari tahun 80-an masyarakat Malaysia secara amnya dilihat menjadi semakin konsumeristik. Ianya adalah sebahagian besarnya disebabkan oleh adanya dasar ekonomi baru, perindustrian dan banyak lagi yang menyebabkan banyaknya penghijrahan orang luar bandar ke bandar besar.

Forum disertai rakyat Malaysia dari pelbagai latarbelakang. Perbincangan yang terhasil kaya dengan perspektif-perspektif kritis yang berbeza.

Ini juga melahirkan banyak budaya baru termasuklah majlis rumah terbuka yang dilakukan sebagai langkah untuk mengeratkan hubungan sesame masyarakat daripda pelbagai latar belakang budaya.

Dilema kelas pertengahan dilihat bukan sahaja berlaku di Malaysia namun pada peringkat antarabangsa, telah menjadi faktor utama dalam budaya konsumerime ini.

Contohnya, di Shang Hai, dalam masa 10 tahun mengalami perubahan daripada kawasan yang lapang menjadi sebuah tempat yang membangun disebabkan oleh penghijrahan yang berlaku oleh golongan kelas pertengahan untuk mencapai kehidupan yang lebih baik di kawasan Bandar.

Hal ini juga berlaku kepada budaya di Malaysia, di mana perkembangan moden telah menekan kita untuk menjadi lebih konsumeristik. Jika ditanyakan kepada zaman ibu bapa kita dahulu, mereka hanya dapat menikmati makanan yang istimewa terutamanya daging pada majlis-majlis keramaian, festival tertentu sahaja.

Jadi mulalah ada pihak yang menggunakan agama sebagai salah satu cara untuk menjustifikasikan amalam konsumerisme. Disebabkan mereka sudah seharian berpuasa, maka pada waktu berbuka mereka merasakan bahawa mereka mempunyai hak sewenang-wenangnya untuk berbelanja dan makan sesuka hati.

Bulan puasa yang disinonimkan dengan amalan menahan diri dan bersederhana berserta tujuan untuk menghayati bagaimana kehidupan orang susah ini seolah-olah telah kehilangan semangat dan tujuan utamanya.

Sesuatu yang sangat paradoks apabila pada bulan puasa ini kita dibanjiri dengan isu gelandangan yang semakin hangat diperkatakan baru-baru ini dan juga dapat dilihat pola perkembangan tentang promosi juadah berbuka puasa di hotel-hotel yang bernilai ratusan ringgit.

Bukan itu sahaja, bagi orang yang berkemampuan, ramai antara mereka yang menganjurkan majlis berbuka puasa dan pemberian sumbangan sehinggakan pembaziran yang tidak terkawal. Ironinya, jika mahu berbuat baik seolah-olah hanya pada bulan ini sahaja amalan kebaikan itu diterima. Habisnya bulan Ramadan ini, sumbangan-sumbangan ini sepertinya tidak kelihatan lagi.

Campur tangan pemerintah dalam ruangan Individu

Pandangan lain melihat bahawasanya masalah pada asasnya berpunca daripada campur tangan pemerintah dalam ruang lingkup peribadi manusia. Ianya menjadi masalah apabila agama itu diinstitusikan dan mempunyai kuasa. Ini akan melahirkan suatu pimpinan yang diktator yang menyekat kebebasan ruangan individu tersebut dan akhirnya akan menyebabkan ramai orang bersifat hipokrit.

Penstukturan yang sangat efektif dan pemahaman dalam agama oleh institusi keagamaan negara membawa suatu natijah yang lebih buruk apabila perkara dalam agama yang sepatutnya dalam lingkungan kebebasan individu ini diseratakan dan dilaksanakan secara selari kepada semua masyarakat.

Perbincangan menyentuk isu puasa dari aspek budaya, ekonomi, falsafah, agama dan politik!
Perbincangan menyentuk isu puasa dari aspek budaya, ekonomi, falsafah, agama dan politik!

Contohnya, apabila waktu berpuasa, semua kedai hanya boleh beroperasi bermula jam 3 petang, denda terhadap orang-orang yang tidak berpuasa atau makan diruangan awam, sedangkan amalan ibadat setiap individu ini adalah urusan dia dengan tuhannya, sama sekali tidak melibatkan pemimpin yang ingin menjadi orang tengah.

Ianya juga menjadi masalah apabila institusi ini mempunyai kuasa untuk menghakimi orang lain tentang urusan ibadatnya. Cuba kita lihat, seorang pegawai pentadbiran yang kerjanya di dalam kawasan yang berhawa dingin berpuasa dan dibandingkan dengan seorang pekerja kontraktor yang bekerja di bawah panas terik matahari dengan memikul bebanan yang berat dan berpeluh-peluh.

Adakah nilai puasa mereka sama? Dan jika ini di pukul rata, akhirnya akan kelihatanlah pekerja-pekerja kontraktor yang terpaksa makan di dalam tandas kerana bebanan kerja yang berat, kerana dikhuatiri tertangkap oleh pihak yang berkuasa kerana mereka tidak berpuasa di bulan Ramadan.

Secara kesimpulan berpuasa memerlukan penghayatan yang mendalam. Kita perlu menjadi seorang yang jujur dalam segala amalan seharian kita. Sekalipun ianya adalah urusan ritual agama yang menghubungkan kita dengan tuhan. Namun, diri kita sendiri sahaja yang mengetahui sejauh mana penghayatan yang diberikan.

Tiada gunanya jika kita berpuasa hanya untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain dan juga perlu diingat bahawa ianya bukan berhenti sekadar sebulan sahaja. Amalan berpuasa seharusnya dihayati setiap hari dan bersikap bersederhana dalam kehidupan seharian.

 

 

 

 

unnamed