Ramah Mesra Cucu Cicit Nabi Ibrahim A.S.

Oleh Luqman Tarmizi

Catatan ini ditulis sempena lawatan mahabbah ke Gereja Katolik St Theresa di Nilai, Negeri Sembilan anjuran Siswa Progresif (SISPRO) yang melibatkan kurang lebih 40 peserta (majoriti nya merupakan mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia) pada 3 April 2016 yang lalu. Penulis dipertanggungjawabkan untuk memberi ucapan kepada mewakili pihak penganjur. Catatan ini sengaja tidak ditulis dalam bentuk sekuen yang teratur supaya penulis dapat menyampaikan mesej-mesej dibawah tema tertentu.

NABI KITA DI DALAM AL-QURAN

Sebelum saya mulakan pembentangan ketika sesi dialog, ada fakta penting yang saya lontarkan iaitu: nama Nabi Muhammad s.a.w disebut sebanyak 4 kali dalam Quran. Tapi Nabi Isa? 25 kali. Bahkan Maryam lebih hebat, 34 kali namanya diulang sebut di dalam Quran.

Maka tidak ada alasan lagi bagi para Muslim untuk kita kesampingkan pelajaran mengenai kedua-dua tokoh ini dengan alasan mereka berdua tidak penting. Quran telah mengisyaratkan bahawa mereka berdua penting!

Secara umumnya, ada 3 perkara paling bermakna dalam tempoh kurang lebih 4 jam setengah lawatan kami itu (menyertai upacara Sunday Morning Prayer, makan pagi, sesi dialog dua hala dan makan tengahari) pada pandangan peribadi saya iaitu:

  1. Peluang berucap dalam gereja, meski hanya untuk kurang lebih 10 minit, merupakan kesempatan yang akan saya hargai sepanjang hayat saya. Peluang membina jambatan persaudaraan dan mengikat tali persahabatan sebegini tidak selalu datang. Dalam dunia yang penuh kebencian dan permusuhan, para penyebar kasih sayang dan perdamaian merupakan aset penting, dan saya bangga menjadi sebahagian darinya.
  2. Dan sebagai seorang Muslim, saya boleh berkata dengan bangga, bahawa alunan suci ayat Quran mengenai kewajipan kita berkenal-kenalan sesama bangsa dan agama, dan mukaddimah surah Maryam, dialunkan dan diperdengarkan di dalam gereja.
  3. Diminta oleh Father Eugene, ketua paderi gereja tersebut di akhir majlis, untuk membacakan doa yang diaminkan oleh sekalian hadirin, Muslim dan Kristian. Saya sempat mendoakan agar kami diberikan kekuatan untuk terus menyalakan obor perpaduan, dan semoga hubungan antara agama ini semakin erat dan dipelihara Allah s.w.t.  Semoga Allah mengabulkan doa dan permintaan kami.

Saya mendapat respon yang cukup positif daripada rakan-rakan, samada ketika sesi soal jawab mahupun setelah program berakhir.

‘Hymn’ yang didendangkan kumpulan ‘koir’ gereja begitu menenangkan hati yang mendengar; meskipun kami selaku Muslim tidak berkongsi kepercayaan dan keyakinan yang sama dengan saudara-saudara Kristian kami.

Fakta bahawa Kristian adalah suatu agama yang sangat menekankan konsep kasih sayang dan rahmat (love and compassion), benar-benar tercermin dan terzahir ketika upacara.

Father Eugene meyampaikan khutbah yang saya kira cukup santai dalam erti kata tiada formaliti yang berlebih-lebihan dan seakan-akan sedang bersembang, tapi cukup padat dengan mesej yang bermakna dan prinsip yang jelas.

Father Eugene terasa begitu dekat dekat para audien, berceloteh dalam keseriusan perkara yang disentuh.

Beliau yang telah saya temui beberapa bulan sebelum lawatan itu, memang dikenali sangat mesra dan mudah diajak berbicara.

Respon seorang audien, khutbah beliau itu benar-benar menjiwai semangat ‘preaching’ iaitu mendakwahkan apa yang kita percaya dan yakin, bukan sekadar membawa teks panjang lebar yang disediakan orang lain.

MEMBUNUH KECURIGAAN

Saya senang sekali memetik sajak Sasterawan Negara Pak Usman Awang yang bertajuk ‘Pemuda dan Gadis Tionghua’ dalam ucapan ringkas saya:

“Bukankah kecurigaan telah terbunuh ketika kita bersapa?”

Kalam ini cukup tepat sekali. Apakah suu’ zhon itu masih bersarang di minda ketika kita saling melontarkan senyuman?

Bukankah segala syak wasangka telah terhapus tatkala kita bertegur dan bersalam-salaman?

Tidakkah segala stereotaip dan persepsi negatif yang tidak berasas telah musnah setelah kita bertukar pendapat dan fikiran?

Tatkala kami sampai ke gereja tersebut, kami disambut dengan cukup mesra, menghilangkan segala perasaan gementar dan debar yang bersarang di dada.

Saya menekankan dalam ucapan saya bahawa umat Islam harus menghapuskan stereotaip dalam fikiran kita (jika ada), bahawa umat Kristian itu kerjanya hanya mahu memurtadkan orang Melayu dan Islam dari agamanya.

Manakala umat Kristian dipihak yang lain, perlu membuang persepsi (jika ada) bahawa umat Islam itu kerjanya hanya mahu mengebom manusia dan meruntuhkan bangunan-bangunan yang ada.

BAPA KITA SATU: IBRAHIM

Kita merupakan anak dan cucu cicit kepada Nabi Ibrahim ‘alahissalam (peace be upon him). We are the sons and grandchildren of Prophet Abraham (pbuh).

Dari Nabi Ibrahim lahirnya Nabi Ishak, dari Nabi Ishak lahirnya Bani Israel dan dari Bani Israel lahirnya Nabi Isa yang akhirnya menjadi tokoh yang begitu sentral dalam dalam agama Kristian.

Begitu juga dari Nabi Ibrahim lahirnya Nabi Ismail, dari Nabi Ismail lahirnya bangsa Arab dan dari bangsa Arab lahirnya Nabi Muhammad s.a.w sebagai rahmat untuk sekalian alam.

Maka secara asasnya ‘Abrahamic traditions’ (termasuk agama Yahudi) ini lahir dari rumpun yang sama, meski dengan segala macam perbezaan yang wujud.

Perbezaan dan kepelbagaian itu merupakan satu sunnatullah (peraturan alam) yang qath’ie (tetap dan tidak berubah).

Cara kita menanggapi perbezaan dan kepelbagaian itulah yang akan menentukan hala tuju kehidupan kita.

Di sebalik segala perbezaan yang ada, saya lebih suka untuk menekankan persamaan yang dikongsi secara bersama, ‘common universal values’ yang dikongsi seluruh umat manusia- seperti menegakkan keadilan, membanteras kezaliman, mendirikan ketatasusilaan, menyebarkan kasih sayang dan mengekalkan keamanan – dan saya percaya sebenarnya kita punya lebih banyak persamaan berbanding perbezaan.

Dan seperti kelazimannya, apabila perbezaan itu diperbesar-besarkan, dan persamaan itu dikecil-kecilkan, akhirnya lahirlah pelbagai konflik yang tidak berkesudahan.

Umat Islam dan Kristian harus bersatu dalam menghadapi segala percubaan untuk memecahbelahkan kesatuan kita, serta berusaha menangani usaha-usaha untuk menyucuk jarum perkauman dan meniup sentimen keagamaan sempit dalam kalangan kita.

MELANGKAUI TOLERANSI

Kami dijamu dengan makanan halal, dan Father Eugene telah memberi jaminan bahawa makanan tersebut adalah halal dan pembekalnya adalah Muslim, tanpa kami soal terlebih dahulu. Tanda persefahaman yang utuh dan sensitiviti seseorang yang berpengetahuan tinggi dalam soal agama.

Ada beberapa konsep dalam pengamalan hidup bermasyarakat iaitu: Toleransi (tolerance) yang bermaksud kurang lebih: ‘Aku tak suka apa yang kamu lakukan, tapi aku akan diam dan biarkan kamu dengan perbuatan kamu itu’.

Penerimaan (acceptance) pula bermaksud: ‘Aku tak kenal siapa kamu, dan aku tak faham apa yang kamu lakukan itu, tapi aku boleh terima kamu sebagai sebahagian daripada aku’.

Kedua-dua konsep ini sudah tentu tidak mencukupi sama sekali dalam konteks hidup berbilang agama dan bangsa. We must go beyond tolerance and acceptance!

Maka apakah tahap yang perlu dicapai itu? Ia adalah saling memahami dan menghormati antara satu sama lain (mutual understanding and mutual respect).

Toleransi, penerimaan, saling memahami dan saling menghormati satu sama lain; ini merupakan prasyarat kepada kewujudan bersama (coexistence) antara agama. Saling wujud dan berkembang dalam keadaan harmoni dan damai.

MELABUHKAN TIRAI

Secara tuntasnya, ada dua pengajaran penting yang saya dapat simpulkan daripada kisah Nabi Isa dan Maryam di dalam al-Quran:

  1. Ketaatan dan ketundukan kepada Tuhan ketika zaman fitnah yang mencengkam, dan kesusahan menghadapi dugaan yang mendesak. Tidak akan ada kemenangan di alam fizikal (nyata) tanpa kekuatan di alam spiritual.  Sebagai umat yang beragama, keyakinan akan bantuan dari alam spiritual itu merupakan tonik penting dalam menjana kekuatan.
  2. Semangat untuk membawa perubahan kepada masyarakat, membawa gerakan reformasi dalam memberi sinar keadilan dan meruntuhkan tembok kezaliman. Membaca buku berjudul Zealot: Jesus of Nazareth hasil karya sarjana perbandingan agama dari Iran, Reza Aslan setelah lawatan ke gereja ini berlangsung, memperkenalkan saya wajah sebenar Nabi Isa a.s. Jika dalam agama Kristian Nabi Isa digambarkan sebagai seorang ‘pacifier’ (pencinta kedamaian) dan penyebar kasih sayang, maka buku ini memberi perspektif baharu menurut kacamata sejarah (historical Jesus) yang bebas dari tafsiran sejarah menurut ‘pengasas’ agama Kristian seperti St Paul dan St Peter; bahawa Isa itu merupakan seorang revolusioner yang disalib oleh pemerintah Rom atas tuduhan menghasut rakyat.

Sebelum menutup bicara beliau, Father Eugene sempat berpesan kepada semua: ‘We have to bear in mind, that after this dialogue, I should become a better Muslim/Christian’. Pesanan ini cukup menginsafkan saya.

Agama itu hadir untuk mengislah urusan manusia, menjadikan manusia itu berakhlak, bermoral dan bermanfaat kepada dunia; maka apa guna kamu beragama jika agamamu itu tidak menjadikan kamu seorang manusia yang lebih baik?

Saya sudahi bingkisan ini dengan memetik hadis Baginda Nabi s.a.w yang pastinya wajar ditekuni seluruh pemegang panji pencerahan dan pencerdasan ummat, dalam mendepani segala rintangan dan kesusahan yang mendatang, khasnya kami warga Siswa Progresif (SISPRO).

Daripada al-Awza’ie beliau berkata: “Telah sampai kepadaku bahawa pada suatu ketika ‘Isa Bin Maryam a.s telah ditanya; Wahai Ruh Allah, benarkah sesungguhnya engkau pernah menghidupkan seorang yang telah mati? Baginda menjawab “benar, dengan izin Allah”. Baginda ditanya lagi, dan engkau pernah menyembuhkan mata si buta? Jawab Baginda “Benar, dengan izin Allah”. Baginda disoal lagi, bagaimana pula dengan ubat kepada kebodohan? Jawab Baginda, “inilah yang melelahkan aku!”

*Muhammad Luqman Bin Ahmad Tarmizi, Pengerusi SISPRO sesi 2015/2016