Reviu: Agama Hindu 101 – Pengenalan Sesi Kedua

Projek Dialog telah bersetuju untuk menjemput semula saudara Uthaya Sankar SB, seorang kolumnis dan juga penulis esei bagi membentangkan semula mengenai asas ajaran Hinduisme. Lalu pada 26hb April yang lepas, sebuah perbincangan yang diberi tajuk Agama Hindu 101 dilangsungkan bagi menerangkan dengan lebih jelas mengenai asas Hinduisme dan juga berharap agar lebih ramai pihak yang akan datang untuk mengenali Hinduisme dengan lebih lanjut. Sesi yang sama pernah diadakan pada 26hb Oktober 2016, juga dengan nama acara yang sama. Walaubagaimanapun, sesi kali ini sedikit berbeza dengan sesi yang lepas di mana kali ini, saudara Uthaya lebih membicarakan aspek sejarah perkembangan Hinduisme. Harus diingatkan bahawa artikel reviu ini merujuk kepada dua benda: urutan pengenalan Hinduisme yang berlangsung pada malam itu dan juga dua buku yang ditulis oleh saudara Uthaya sendiri: Malaur Manikam dan juga Mandala Bicara.

Pada permulaan sesi, Uthaya menekankan bahawa ini merupakan sesi perkongsian ilmu demi memupuk pemahaman dan bukannya sebaliknya. Uthaya menerangkan asas-asas teologi Hinduisme, iaitu konsep “Tuhan” yang wujud di Lembah Indus sekitar 5,000 tahun yang dahulu. Seperti sesi yang lepas, dia menekankan bahawa Hinduisme adalah agama ‘mencari Tuhan’ dan bukannya agama yang diwahyukan. Walaupun begitu, penganut agama Hindu tidak menafikan bahawa Hinduisme merupakan agama yang bersumberkan Tuhan.

Kemudian ditekankan istilah Eka Aneka sebagai justifikasi bahawa Hinduisme adalah agama Tauhid terawal di dunia. Ianya merupakan istilah sanskrit yang diterjemahkan dan turut dipergunakan di dalam Bahasa Malaysia iaitu Tuhan yang berciri “Eka” (Tunggal/Satu/Esa) juga bersifat “Aneka” iaitu dikenali dengan pelbagai nama mengikut sifat-Nya. Kemudiannya, persoalan mengenai jumlah 330 juta Tuhan di dalam agama Hindu dan konsep penyembahan berhala di jelaskan. Uthaya menerangkan, berbeza dengan agama Tauhid yang lain, Hinduisme membenarkan sifat-sifat Tuhan digambarkan secara visual. Walaubagaimanapun, tetap ditegaskan beliau bahawa ajaran Hinduisme itu sendiri menegaskan bahawa Tuhan itu tunggal tetapi manifestasi sifatnya yang tidak terkira jumlahnya. Seperti yang dinyatakan dalam kitab Chandogya Upanishad tentang konsep Ekam Evad Vitiyam yang membawa makna “Dia hanya Satu dan bukan dua” manakala dalam Rigveda ditekankan “Tuhan hanya Satu, sembah Tuhan yang Satu”. Hal ini juga diakui oleh Pengarah Unit Dakwah, Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia iaitu Muhammad Fitri Abdullah pada tahun 2009.

Setelah itu, konsep Dharma sebagai kod etika masyarakat kaum India tidak dilihat sebagai tuntutan agama Hindu semata-mata, tetapi merupakan suatu bimbingan manusia ke arah kebenaran. Ajaran agama Hindu digelar sebagai Sanatana Dharma iaitu “agama yang abadi” atau “agama yang tiada permulaan dan tiada kesudahan” atau “kebenaran abadi”. Tidak lupa juga dengan gelaran lain iaitu Vaidika Dharma iaitu “agama menurut kitab-kitab veda”.

Pihak hadirin dan hadirat yang hadir dan berinteraksi dengan saudara Uthaya dalam perbincangan mengenai asas Hinduisme.

Secara umumnya, veda membawa maksud “ilmu” atau “pengetahuan” dan kitab-kitab veda merupakan panduan ke arah kehidupan yang menyeluruh bagi membimbing masyarakat. Lalu empat kitab Veda dalam Hinduisme iaitu Rigveda, Yajurveda, Samaveda dan juga Atharvaveda merangkumi segala maklumat yang bersifat universal dan datang daripada Tuhan, serta ditujukan kepada semua manusia di seluruh dunia. (Artikel lanjut boleh dirujuk di sini.)

Saudara Uthaya kemudiannya menekankan aspek sejarah dan perkembangan agama Hinduisme secara lebih lanjut. Dia membahagikan perkembangan ajaran Hinduisme kepada lima bahagian iaitu Sangam 1 (sekitar 9000 tahun SM), Sangam 2 (sekitar 4600 tahun SM), Vedik (sekitar 1500 tahun SM) dan juga Sangam 3 (sekitar 900 tahun SM).

Sangakalam ataupun Sangam adalah istilah Buddha yang meliputi kawasan Tamil Nadu, Kerala, Andra Pradesh, Karnataka, Sri Lanka dan lain-lain kawasan di bahagian selatan. Kemudiannya diterangkannya mengenai perkembangan Hinduisme melalui setiap zaman, bagaimana Sangam 1 yang bertanggungjawab mengembangkan bahasa dan sastera Tamil telah musnah akibat banjir besar dan juga Sangam 2 yang menghasilkan kitab purba Tolkappiyam, manakala yang lain juga telah musnah akibat banjir besar. Sangam 3 yang bermula di Madurai sekitar 1850 tahun yang lalu menghasilkan karya-karya Sangam yang menjadi rujukan pada masa kini.

Turut diterangkan pada sesi tersebut mengenai kewujudan mazhab sebelum kedatangan Arya iaitu Saivam (Siva), Vaishnavam (Vishnu), Sauram (Suria), Saktham (Sakthi), Kaumaram (Murugan), Ganapatiyam (Ganesha) tetapi tidak menjadi masalah. Ini membawa maksud ajaran Hinduisme diselaraskan pada waktu kemudiannya dan ianya bermula sebagai ajaran pelbagai mazhab yang pelbagai dan rencam sifatnya, pada masa yang bersatu merujuk kepada Tuhan yang Esa dan berteraskan konsep Tauhid.

Kemudian munculnya zaman Vedik yang mulai menggunakan bahasa Sanskrit dan berpandukan kitab-kitab Veda. Turut ditekankan pada waktu ini mulai implementasi konsep kasta sebagai alat politikal dan pengawalan sesebuah empayar. Ini dilihat sebagai hujah utama yang menyanggah bahawa konsep kasta adalah inheren di dalam ajaran Hinduisme.

Begitulah secara asasnya pengenalan yang diterangkan oleh saudara Uthaya pada sesi tersebut. Kemudiannya perbincangan lebih berteraskan dua hala di antara hadirin/hadirat yang hadir bagi menanyakan lebih mengenai apa yang mereka fahami mengenai ajaran Hinduisme dan juga hubung kaitan ajaran ini dengan konteks rantau Nusantara. Menarik diperhatikan bahawa masih banyak hal yang tidak diketahui oleh kita secara umum mengenai ajaran Hinduisme dan konteks yang relevan di kawasan sini. Wujudkah harapan tentang suatu pemahaman yang mampu mengubah naratif yang selama ini wujud? Ini ditunjukkan melalui rasa ingin tahu yang tidak pernah kurang oleh orang yang datang menyertai sesi pengenalan ajaran Hinduisme.

 

Pihak Projek Dialog dengan kerjasama saudara Uthaya Sankar SB berharap agar inisiatif pengenalan terhadap agama-agama yang wujud di negara ini dapat difahami tanpa sebarang prejudis dan dikenali dengan niat untuk hidup secara harmoni dan bukannya dengan niat untuk menyanggah bagi berbangga dan berasa gah terhadap agama sendiri.