Reviu Bengkel Penyah-stabilan Perdebatan Hijab: Pilihan atau Paksaan

oleh Fazilah Majeed

Najeehah memulakan segmen beliau dengan mengajukan pertanyaan kepada peserta bengkel mengenai pemakaian tudung dalam kalangan wanita Muslim di negara ini, sama ada tindakan memakai atau menanggalkan tudung mempunyai impak sosial mahupun tidak.

Kebanyakan peserta bersetuju bahawa ianya mempunyai impak sosial lebih-lebih dalam konteks masyarakat Islam Malaysia, tudung dilihat sebagai sehelai kain yang melambangkan kesucian dan martabat seorang wanita.

Amalan pemakaian tudung sudah menjadi sinonim dengan wanita Muslim di Malaysia dan tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa ianya mempunyai elemen konstruk sosial.

Imej perempuan bertudung sinonim dengan imej perempuan yang mempunyai martabat diri tinggi sehinggakan tudung dan juga cara seorang wanita Islam berpakaian menjadi tanda ukur terutama dalam menilai kesucian, aklhlak dan moral seorang perempuan Islam.

Ketika ditebak mengenai ideal pemakaian tudung dalam kalangan wanita Islam, rata-rata peserta bersetuju dengan pandangan bahawa amalan pemakaian tudung mestilah seiring dengan elemen penutupan aurat yang lain seperti: tidak menunjukkan bentuk badan, material pakaian tidak jarang; dan seorang Muslimah yang memakai tudung seharusnya solat dan mencerminkan gaya hidup seorang Muslim.

Seorang wanita Iran memprotes pemaksaan pemakaian tudung

Walaupun pandangan arus utama ini tidak salah dalam meletakkan ciri-ciri seorang wanita Islam, ianya menjadi bermasalah tatkala ciri-ciri ini berubah menjadi ideal seorang wanita Muslim harus mempamerkan atau memanifestasikan diri, dan agama beliau.

Menurut Najeehah, pandangan serong segelintir masyarakat terhadap wanita Islam yang tidak memakai tudung mahupun menutup aurat merupakan sesuatu yang tidak seharusnya berlaku kerana hubungan seorang Muslim dengan Tuhannya itu adalah bersifat personal; masyarakat tiada kuasa menghukum mahupun mendesak seseorang untuk mengamal praktis-praktis agama.

Tudung Menjadi Perdebatan Awam

Senario lazim dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini apabila melibatkan isu tudung dan aurat, ianya seringkali merupakan isu yang sensitif dan membawa kepada perdebatan awam, lebih-lebih lagi apabila isu yang diketengahkan melanggar norma masyarakat seperti isu penanggalan tudung.

Apabila pelakon Uqasha Senrose mengambil keputusan untuk berhenti memakai tudung atas sebab-sebab peribadi, beliau menerima kecaman umum daripada pelbagai pihak.

Namun, beberapa tahun lepas apabila beliau mengambil keputusan untuk memakai tudung, keputusan beliau diraikan majoriti masyarakat.

Asas tohmahan yang dilemparkan kepada Uqasha dapat difahami; keputusan berhenti memakai tudung dianggap sebagai keputusan untuk berhenti menjadi seorang Muslim yang baik, sedangkan, tudung tidak seharusnya menjadi ukuran kepada tahap keimanan seseorang, lebih-lebih lagi apabila ianya sudah menjadi sebuah kelaziman untuk wanita Melayu beragama Islam untuk memakai tudung pada era ini.

Imej daripada artikel My Unveiling Ceremony https://www.nytimes.com/2015/04/11/opinion/mona-eltahawy-my-unveiling-ceremony.html?_r=0

Realitinya, pemakaian tudung tidak mencerminkan hubungan seorang wanita Islam dengan Tuhannya.

Kegagalan masyarakat untuk memahami bahawa amalan pemakaian tudung seharusnya menjadi pilihan, bukan paksaan, adalah amat mengecewakan.

Tudung, bukanlah sehelai kain yang menentukan syurga neraka seseorang. Tudung, tidak seharusnya menjadi konstruk sosial. Tudung, melambangkan hubungan personal dengan Tuhan tetapi bukan satu-satunya jambatan kepada hubungan terbabit.

Ketiadaan tudung di kepala seorang wanita Muslim tidak melambangkan kebejatan moral wanita terbabit; tidak juga ia melambangkan bahawa beliau bukanlah seorang Muslim yang baik.

Persepsi sebeginilah yang menjadi punca kepada perpecahan masyarakat Islam di Malaysia.

Jika Islam itu bersifat adil dan memahami, maka siapakah kita ahli masyarakat untuk menilai seorang Islam yang lain dari segi ritual amalan agamanya?

Bukankah elemen kasih sayang dan penerimaan itu lebih penting daripada penuduhan dan sifat judgmental sesama kita?

Bukankah Allah SWT itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang, tetapi, di manakah manifestasi rasa kasih dan sayang ini dalam kalangan Muslim apabila melibatkan isu aurat dan pemakaian tudung terutamanya?

Tudung bukan Ukuran Moral

Sudah menjadi sesuatu yang lazim dalam kalangan masyarakat kita untuk mengaitkan pemakaian tudung dengan nilai kesucian diri seorang wanita Islam.

Bukan sahaja itu, sedari kecil lagi, kanak-kanak perempuan dimomokkan dengan pandangan bahawa amalan pemakaian tudung adalah amat penting untuk mengelakkan inci tubuh badan mereka menjadi santapan mata kaum Adam – sebuah premis hujah yang bermasalah dalam menuntut seorang anak perempuan untuk memakai tudung.

Pada pendapat Najeehah yang juga sedang melakukan kajian pada peringkat sarjana mengenai pandangan bahawa pemakaian tudung dan penutupan aurat akan mencegah tatapan mata bernafsu daripada lelaki, perkara ini tidak seharusnya menjadi asas hujah utama dalam usaha mempromosikan amalan pemakaian tudung dan penutupan aurat.

Sebaliknya, ianya harus dikaitkan dengan hubungan interpersonal seorang wanita Islam dengan Tuhan.

Menurut Najeehah lagi, penghuraian hikmah pemakaian tudung semata-mata daripada aspek mengekang nafsu lelaki hanya akan merendahkan martabat wanita, dan mengobjektifikasikan wanita sebagai alat pembangkit nafsu lelaki semata-mata.

Seorang wanita Islam itu harus dihormati dan diberikan hak-hak sebagai seorang manusia tanpa mengambil kira bahawa beliau memakai tudung atau menutup aurat mahupun tidak.

Premis hujah bahawa seorang wanita haruslah menutup aurat sebelum dihormati dan dipandang tinggi adalah sebuah pandangan yang salah, dan tiada dalam ajaran agama Islam.

“Pernahkah anda mendengar analogi lolipop dan wanita yang tidak menutup aurat?” Soalan ditebak kepada peserta bengkel.

“Ya.” Sahut majoriti peserta kembali.

Lantas Najeehah menerangkan mengenai analogi lolipop dengan wanita yang tidak menutup aurat kepada peserta yang tidak pernah mendengar analogi terbabit.

Perempuan tanpa tudung, perempuan yang tidak menutup aurat sering disamakan dengan lolipop atau gula-gula tanpa pembalut yang terjatuh ke tanah – tercemar, dan kotor.

Jika lolipop atau gula-gula itu dibalut dengan kemas, maka, lemparlah ia ke tanah hatta seribu kali jua, tidak akan peduli dengan debu dan kotoran kerana ianya dilindungi kemas dalam pembalut itu.

Perempuan yang menutup aurat disamakan dengan lolipop berpembalut; perempuan yang tidak menutup aurat disamakan dengan lolipop tanpa pembalut.

Imej perbandingan wanita bertudung dengan wanita bertudung dalam bentuk lolipop yang berpembalut dengan tidak berpembalut

Martabat perempuan Islam direndahkan ke taraf perbandingan dengan lolipop yang dicemari kotoran – hanya kerana kegagalan untuk menutup kepala.

Pada ketika ini, pemakaian tudung bukan lagi sebuah tuntutan agama, tetapi ianya telah terjelopok menjadi sebuah tuntutan masyarakat.

Konstruk Sosial Rentas Pengalaman

Cara seorang wanita Islam berpakaian tidak seharusnya dihakimi; dan tudung, tidak seharusnya menjadi sebuah konstruk sosial.

Adalah amat penting untuk memahami bahawa konteks hujah Najeehah adalah bersandarkan kepada pengalaman segelintir wanita beragama Islam di negara-negara majoriti Muslim, dan ianya berbeza daripada pengalaman wanita Islam di tempat lain. Dalam menghujahkan pemerhatian dan analisis beliau, beliau ada menyebut mengenai pengalaman berbeza wanita Muslim Malaysia juga.

Perbezaan faktor demografik, taraf pendidikan, dan taraf sosial menjadikan pengalaman seorang wanita Muslim itu mungkin sahaja berbeza daripada pengalaman wanita Muslim yang lain.

Namun demikian, hakikatnya, hujah mengenai isu pemakaian tudung dan penutupan aurat sebagaimana yang telah diketengahkan oleh Najeehah mempunyai asas yang ampuh, lebih-lebih lagi apabila isu ini ditilik dengan lebih mendalam dalam konteks masyarakat Islam Malaysia.

Ekspresi kepercayaan agama melalui pakaian, menurut Najeehah, merupakan aspek lahiriah, bukannya rohaniah.

Ekspresi kepercayaan itu adalah sesuatu yang peribadi; dan tudung dan aurat itu bukanlah kayu pengukur ulung dalam hubungan indah antara seorang hamba dengan Tuhannya.

Fazilah Majeed merupakan pelajar tahun akhir Pengajian Antarabangsa dan Strategik di Universiti Malaya. Beliau seorang koordinator di Sekolah Feminisme Malaya, sebuah pergerakan pelajar feminis yang menjalankan aktiviti-aktiviti pembacaan dan aktivisme feminis di kampus.