Reviu – Kapitalisme dan Aktivisme: Kontradiksi ataupun Tolak Ansur?

 

Persoalan seperti ini penting bagi kita untuk sering mempersoalkannya, termasuk juga pihak awam yang mengambil kira keadilan sosial sebagai salah satu tunggak utama kekuatan struktur masyarakat itu sendiri. Walaupun benar, sedikit sebanyak tajuk di atas merupakan suatu tajuk yang masih kurang jelas dan terlalu luas untuk dipersoalkan. Tetapi pihak kami berharap agar perbincangan ini dapat dilanjutkan lagi dan semoga persoalan yang lebih jelas dapat diperbualkan dan diadakan pada masa yang akan datang.

Forum ini diadakan sewaktu keluarnya iklan yang dibintangi oleh selebriti dari Amerika iaitu Kendall Jenner, iklan Pepsi yang menggunakan produknya bagi ‘menyelamatkan’ segala masalah yang diperjuangkan para aktivis. Boleh katakan sewaktu berlangsung protes ataupun tentangan oleh golongan aktivis dengan wujudnya gerakan Anti-Trump, Black Lives Matter dan juga Fight for 15$, iklan ini dilihat seakan tamparan yang hebat bagi perjuangan mereka. Maka hinaan seperti ini tidak diambil enteng oleh para aktivis, dan begitu juga para aktivis di seluruh pelusuk dunia yang menolak iklan ini sebagai salah satu contoh eksploitasi yang vulgar oleh pihak syarikat korporat bagi mengaut keuntungan mereka semata-mata.

Pihak kami menjemput empat panelis iaitu saudara Azrul dari IDEAS, Syerleena Rashid dari DAP, Michelle Yesudas dari Amnesty Internasional dan juga Yuva Balan dari Sosialis Alternatif.

Sesi pertama bermula dengan definisi mengenai kapitalisme itu sendiri menurut setiap panelis. Saudara Azrul menyatakan bahawa kapitalisme menyediakan ruang bagi setiap individu untuk bekerja keras dan menerima balasan gaji ataupun wang yang setimpal mengikut keupayaan mereka manakala saudara Yuva pula memberi definisi bahawa kapitalisme merupakan sistem ekonomi yang mempergunakan pekerja di dalam proses pengeluaran bagi mengaut keuntungan yang maksimum bagi si pemodal.

Kemudian Victoria Cheng, selaku moderator bagi forum ini mengajukan soalan yang spesifik iaitu program pekerja pekak yang dijalankan oleh syarikat Starbucks, bukankah ini merupakan salah satu inisiatif untuk meningkatkan kesedaran terhadap orang awam? Bukankah ini salah satu inisiatif yang perlu diambil contoh dan diambil kira, menunjukkan bahawa syarikat besar mampu mengambil kira keadilan sosial sebagai salah satu pendekatan yang mampu memberi impak?

Saudari Michelle bersetuju dengan inisiatif seperti ini, dirasakannya bahawa pendekatan ini penting bagi meningkatkan kesedaran pihak awam. Walaubagaimanapun, dia menekankan bahawa program ataupun tanggungjawab sosial korporat seperti ini tidak sepatutnya digerakkan berdasarkan prospek keuntungan, tetapi sebaliknya berteraskan keperluan manusia secara umum. Kemudian saudari Syerleena Rashid berpendapat, dengan keuntungan maksimum yang dikaut oleh syarikat korporat, sudah tiba masanya pihak awam memberi tekanan dan berorganisasi, meminta mereka untuk turut menyumbang sebahagian besar daripada keuntungan tersebut kepada masyarakat sebagai suatu tanggungjawab asas. Dia menjelaskan lagi, momentum untuk meningkatkan kesedaran itu perlu dijalankan secara konsisten; kita perlu menggunakannya untuk kelebihan kita, agar setiap syarikat korporat akan melaksanakannya sehingga memberi impak yang positif kepada masyarakat.

Panelis yang ketiga pula, saudara Azrul Khalib bersetuju bahawa contoh program Starbucks ini dapat dilihat sebagai penyediaan ruang kepada komuniti yang seringkali dipinggirkan dan ini dapat dilihat sebagai salah satu usaha bagi memperkasakan mereka. Kemudian tiba giliran saudara Yuva Balan dari Sosialis Alternatif yang menerangkan bahawa para kapitalis seringkali menggunakan ruang pasar sebagai justifikasi kekuatan dan relevannya sistem ekonomi kapitalisme. Malah kritikan yang jelas terhadap sistem tersebut berlangsung di bahagian pengeluaran, di mana proses mengaut keuntungan dijanakan melalui eksploitasi para pekerja melalui pelbagai cara. Di dalam kes Starbucks, masih terdapat pelbagai bentuk eksploitasi berlaku di ruang produksi, pengeluaran biji kopi bagi penggunaan mereka yang berbeza dengan program inisiatif yang berlangsung di bahagian servis dan penjualan.

Moderator Victoria Cheng kemudiannya mengajukan persoalan mengenai kekuatan akar umbi di kalangan komuniti bagi meningkatkan kesedaran sesuatu isu. Ini dipersetujui oleh kesemua panelis dan dijelaskan oleh saudari Michelle di mana dia memberi contoh gerakan kesedaran mengenai ALS dan bagaimana gerakan akar umbi memainkan peranan untuk menyebarkan info dan kesedaran mengenai masalah ini. Para syarikat korporat yang mempunyai tanggungjawab sosial mereka, tidak perlu berdiri di barisan hadapan bagi mengedepankan sesuatu isu, sebaliknya ia perlu digerakkan oleh kesedaran komuniti yang berorganisasi, bersama ataupun tanpa sumbangan mana-mana syarikat korporat ataupun kapitalis. Ini dapat dilihat sebagai jaminan bahawa ianya isu ataupun perjuangan tidak akan diambil kesempatan oleh para kapitalis yang bergerak ke arah keuntungan semata-mata.

Persoalan di atas berkait rapat dengan isu dana: apakah bentuk kedinamikan kuasa yang terbentuk jika syarikat korporat ataupun para kapitalis yang terlibat di dalam sesuatu isu? Ini juga dapat dikaitkan dengan beberapa parti politik ataupun NGO yang bergerak berdasarkan dana yang diberi oleh sesebuah institusi. Apakah integriti bisa dibela? Apakah perjuangan sebenar dapat dikawal sepenuhnya oleh pihak yang menerima dana itu sendiri?

Persoalan ini dijawab oleh saudara Syarleeena dengan nada positif dengan menjelaskan bahawa dana bisa digunakan bagi kelebihan sesuatu parti ataupun mana-mana gerakan. Kerjasama pemberi dana dan juga mana-mana gerakan politik adalah sesuatu hal yang tidak boleh dielakkan tetapi perlu ditekankan bahawa sesuatu isu ataupun arah tuju bisa dikawal melalui aktiviti dialog dan perbincangan yang konsisten, baginya kerjasama ataupun pemberian dana tidak semestinya dilihat sebagai sesuatu hal yang negatif.

Pada akhir sesi, forum berlangsung dengan perbincangan mengenai persoalan bagaimana kapitalisme dan aktivisme boleh bekerjasama. Ini disertai dengan pendapat daripada pelbagai pihak awam yang turut hadir sewaktu forum itu berlangsung. Bagi pihak Projek Dialog, persoalan seperti ini adalah sesuatu hal yang masih terus diperbincangkan. Adakah sesuatu isu itu bisa dibela secara telus jika sumber dana itu sendiri merupakan hal yang ditentang oleh pejuang itu sendiri? Apakah percanggahan yang jelas boleh difahami melaluinya?

Walaubagaimanapun, kesemua panelis bersetuju mengenai suatu hal: iaitu kekuatan akar umbi dan komuniti dalam menentukan hala tuju sesuatu perjuangan dan penekanan agar ianya tidak diambil kesempatan oleh para syarikat korporat.

Ada sahaja dikalangan panelis yang bersetuju bahawa masyarakat mempunyai kuasa untuk mengawal pasar dan juga bahagian produksi dengan tindakan memboikot sebagainya, dan ada juga yang tidak bersetuju dengan hal itu, di mana selama sistem kapitalisme berlangsung, eksploitasi masih wujud di bahagian produksi dan ini dibantu dengan aparatus kelas penguasa dan kerajaan yang masih aktif membela kepentingan para pemodal. Ini adalah polemik yang masih berterusan di kalangan para aktivis yang terdiri daripada paksi kiri ke kanan. Persoalan sama ada kapitalisme tidak bercanggah dengan perjuangan rakyat ataupun tidak. Dan para pejuang keadilan sosial dan rakyat secara umum perlu secara aktif membincangkannya, agar ianya tergerak ke arah perubahan impak yang jelas dan konkrit.