Reviu: Kebebasan Bersuara Dalam Konteks Malaysia

oleh Fazilah Majeed

Perkara 19 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat menggariskan bahawa setiap orang berhak untuk mempunyai kebebasan pendapat dan mengutarakan buah fikiran; hak ini meliputi hak untuk memegang pendapat tanpa gangguan dan hak kepada penerimaan dan penyebaran pendapat melalui sebarang medium, tanpa mengira sempadan.

Deklarasi yang mengikat negara-bangsa moden secara moral ini mengiktiraf bahawa kebebasan bersuara adalah salah satu komponen penting dalam usaha penegakan hak asasi manusia.

Kebebasan bersuara juga merupakan tunjang penting dalam sistem demokrasi.

Sistem demokrasi memberi kuasa kepada rakyat untuk bersuara dan menjadi sebahagian daripada jentera penting pentadbiran negara melalui praktis demokrasi perwakilan.

Kebanyakan negara yang mengamalkan sistem demokrasi lazimnya menjamin hak kebebasan bersuara rakyatnya dalam bentuk bertulis yang diterjemahkan dalam bentuk perlembagaan negara masing-masing.

Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen juga tidak ketinggalan dalam menjamin kebebasan bersuara rakyatnya.

Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukkan kebebasan kepada semua warganegara Malaysia untuk menyuarakan pendapat, berhimpun secara aman dan menubuhkan persatuan.

Perkara 10 ini dilihat sebagai komitmen negara Malaysia untuk memberikan hak kebebasan bersuara kepada rakyatnya.

Namun demikian, kebebasan bersuara sebagaimana yang diperuntukkan di dalam perlembagaan adalah terhad dan tidak bersifat mutlak. Kebebasan bersuara sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 10 (1) adalah tertakluk kepada Fasal (2), (3), dan (4).

Parlimen diberikan kuasa untuk mengenakan sekatan terhadap kebebasan bersuara bagi menjamin keselamatan negara dan memastikan bahawa ketenteraman awam tidak diganggu-gugat oleh individu yang gagal menggunakan kebebasan bersuara yang diberikan kepadanya secara berhemah.

Adalah menjadi satu kesalahan dari segi undang-undang untuk menyuarakan mengenai perkara-perkara sensitif yang dikira boleh mencetuskan ketidaktenteraman awam.

Kedudukan istimewa kaum Melayu juga dilindungi daripada dipersoalkan atas keresahan bahawa ianya jika dipersoalkan, akan membawa kepada konflik antara kaum di negara ini.

Kebebasan Bersuara di Malaysia

Slot bengkel bersama Masjaliza Hamzah mengupas dengan lebih mendalam mengenai teori dan praktik kebebasan bersuara di Malaysia.

Masjaliza merupakan seorang bekas wartawan yang berkecimpung aktif dalam aktivisme sosial.

Beliau memberikan mukadimah kepada topik kebebasan bersuara dalam konteks Malaysia dengan mengupas sejarah hak asasi manusia berkaitan kebebasan bersuara pasca Perang Dunia Kedua.

Mengaitkan demokrasi dengan kebebasan bersuara, Masjaliza menyatakan bahawa kebebasan bersuara adalah hak yang harus wujud dan ditegakkan dalam sebuah negara demokratik.

Dalam konteks Malaysia, sepertimana yang telah dinyatakan sebelum ini, kebebasan bersuara secara bersyarat diperuntukkan dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Malaysia mempunyai pelbagai mekanisme undang-undang yang mengawal kebebasan bersuara di negara ini seperti Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1988, Akta Media Cetak dan Penerbitan 1948 – sekadar memberikan beberapa contoh.

Kewujudan undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara ini dijustifikasi atas nama keselamatan dan ketenteraman awam dan masih digunapakai sehingga ke hari ini.

Jelas Masjaliza, limitasi ke atas kebebasan bersuara mempunyai rasional: masyarakat perlu tahu bahawa wujudnya larangan tertentu dalam mengekspresikan diri agar tidak melakukan perkara-perkara yang dianggap sebagai melanggar undang-undang. Namun demikian, sekatan atau limitasi perlulah ditentukan oleh badan yang mewakili masyarakat dan tidak dimanipulasi untuk kepentingan pihak-pihak tertentu.

Kebimbangan tercetus apabila keputusan untuk menyekat kebebasan bersuara diambil secara semberono tanpa perbincangan mendalam terlebih dahulu.

Kewujudan undang-undang yang mengehadkan kebebasan bersuara tanpa limitasi yang jelas atau samar-samar pula membuka ruang bagi pemanipulasian undang-undang untuk berlaku.

Iklim Ketakutan Memberi Impak kepada Kebebasan Bersuara

Di Malaysia, bilangan individu yang disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 meningkat secara drastik pada tahun 2015 dengan 220 individu disiasat di bawah akta terbabit – peningkatan sebanyak 500 peratus berbanding tahun 2014 di mana hanya 44 individu disiasat di bawah akta yang sama.

Menurut Masjaliza, daripada 220 individu yang disiasat tersebut, 11 didakwa dan hanya 3 individu disabitkan bersalah oleh mahkamah.

Peningkatan mendadak dalam bilangan individu yang disiasat di bawah akta hasutan walaupun hanya sebilangan kecil yang didakwa membawa kepada persoalan sama ada akta terbabit digunakan dengan adil dan telus oleh pihak berkuasa, atau digunakan untuk menimbulkan iklim ketakutan sehinggakan masyarakat takut untuk bersuara?

Apakah motif yang digunapakai oleh kerajaan untuk menyekat kebebasan bersuara adalah untuk melindungi demokrasi dan keselamatan awam, ataupun untuk merencat kritikan terhadap urus tadbir negara?

Motif untuk menggunakan akta hasutan mahupun mekanisme undang-undang lain yang menyekat kebebasan bersuara haruslah absah (legitimate) dari aspek tujuan dan juga impak.

Jika undang-undang yang membatasi kebebasan bersuara ini dimanipulasi oleh pihak berkuasa atau pentadbir untuk kekal berkuasa dengan mengehadkan kritikan rakyat, tindakan sebegini adalah tindakan tidak demokratik yang jelas merupakan sebuah bentuk penyalahgunaan kuasa.

Kebebasan Media

Berdekad lamanya berkecimpung dalam bidang kewartawanan telah mendedahkan Masjaliza kepada selok-belok dunia kewartawanan dan kesukaran yang dihadapi oleh wartawan untuk melaporkan sesuatu peristiwa secara tepat berserta analisis kritis mengenai peristiwa terbabit.

Menurut Masjaliza, media di Malaysia tidak bebas dan dikawal ketat oleh undang-undang seperti Akta Media Cetak dan Penerbitan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Sukar bagi media untuk melaporkan berita dan juga analisis kritikal mengenai sesuatu perkara lebih-lebih lagi peristiwa politik yang tidak menyebelahi pentadbiran atau pemerintah negara.

Namun demikian, kewujudan internet dan portal media memaksa media cetak untuk melaporkan peristiwa sebenar dengan telus.

Masyarakat tidak lagi disuap dengan maklumat bersifat berat sebelah. Media sosial, walaupun tidak terlepas daripada mengimpak dunia kewartawanan secara negatif, memberikan alternatif kepada informasi yang diterima oleh umum.

Dengan memberikan contoh gerakan Bersih, Masjaliza menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai percanggahan laporan media cetak dan arus perdana dengan berita yang bertebaran di laman sosial dan internet.

Gerakan Bersih yang sering menjadi mangsa liputan berat sebelah oleh media arus perdana mendapat liputan media alternatif yang cuba untuk memberikan laporan yang lebih telus.

Kebebasan Bersuara Tidak Perlu Ditakuti

Seorang rakyat yang rasional dan bertanggungjawab tidak akan menyalahgunakan kebebasan bersuara yang diberikan kepadanya untuk menyebarkan ujaran kebencian, sebaliknya kebebasan sedemikian akan digunakan untuk membantu negara bangsa Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang lebih baik dengan memberikan pandangan dan kritikan yang membangun.

Pentadbiran yang telus dan bersifat terbuka seharusnya tidak gentar untuk menerima kritikan.

Pemanipulasian sekatan undang-undang terhadap kebebasan bersuara untuk kekal berpengaruh adalah tidak beretika.

Suara rakyat tidak harus direnggut hanya kerana ianya mampu mencabar elit-elit politik yang tamak kuasa. Tuntasnya, hak kebebasan bersuara perlu dikembalikan semula kepada rakyat.