Reviu: Masa Depan Kebangsaan Melayu

Perkembangan ke arah sebuah negara moden ataupun nation-state, dengan jentera pentadbiran moden dan perbatasan tempat yang khusus telah mengubah konsep kerajaan yang difahami oleh orang melayu. Dari pemahaman bahawa identiti terletak di bawah kerangka komuniti yang dinaung seorang raja sesuatu tempat, sehingga beralih kepada tumpuan identiti yang berpusatkan konsep kebangsaan ataupun bangsa. Kepentingan sistem beraja berubah ke pergantungan kepada perintah Melayu-isme, idea mengutamakan monarki telah beralih ke etnik.

Jika kita mengambil kira kewujudan beberapa konsep dari sudut pandang perkembangan sejarah, maka tidak dapat kita nafikan bahawa idea ataupun konsep yang kita fahami pada waktu ini, berubah dari suatu masa ke masa yang lain justeru turut mempengaruhi konsep kebangsaan. Sebagai contoh, pada jangka masa 30-an sehingga 50-an konsep kebangsaan yang diperjuangkan oleh golongan elit tradisional berteraskan lebih kepada solidariti di antara komuniti manakala konsep kebangsaan menurut tafsiran golongan progresif lebih meluas, sebagaimana mana istilah Melayu yang digunakan oleh Burhanuddin tidak terhad kepada golongan penutur bahasa Melayu dan beragama Islam tetapi meliputi seluruh kumpulan etno-linguistik Malayo-Polinesia; ini berbeza dengan konsep raceness yang eksklusif kepada etnik. Rujukan ini dilihat sebagai salah satu cubaan untuk memikirkan suatu konsep yang jelas bagi pembinaan negara bangsa.

Kini setelah hampir 60 tahun, persoalan kebangsaan dan pembinaan negara-bangsa masih belum di bincangkan secara tuntas. Seperti apa yang dinyatakan oleh pemikir Melayu saudara Rustam Sani mengenai hal ini, “Persoalan-persoalan tersebut, selain akan mempersulit kompromi politik yang sedang berlangsung, dianggap sebagai persoalan yang tidak sepenting persoalan pembentukan dan pemantapan kelas atasan dan golongan pemodal Melayu.” Persoalan kebangsaan Melayu hanya digunakan secara oportunistik seperti bumiputeraisme (yang cuma bersifat ekonomi) dan ketuanan Melayu (yang cuma bersifat hukum).

Begitulah secara umumnya latar belakang dan konteks perbincangan forum yang telah berlangsung pada 9hb September yang lepas. Barangkali harus diakui terlebih dahulu, walau sebesar mana pun cita-cita kami untuk membawa perbincangan ini ke khalayak ramai – tetapi tidak dapat dinafikan bahawa persoalan ini terlalu berat bagi menjadikan ia sebagai suatu topik yang dapat menarik perhatian ramai. Kami telah menjemput dua panelis yang berbeza pandangan tentang topik forum yang telah dibincangkan. Kedua-duanya mempunyai sudut pandang yang berbeza dari segi dasar. Di satu pihak, saudara Zaidel Baharuddin selaku wakil Persatuan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) lebih menekankan aspek pragmatisme manakala saudari Syahidatul Munirah lebih menekankan aspek sejarah sebagai sumber utama bagi komuniti Melayu untuk meningkatkan kualiti jati diri dan keyakinan mereka sendiri.

Saudari Syahidatul Munirah sedang menerangkan mengenai konsep kebangsaan Melayu pra imperialisme dan hubung kaitannya dengan keadaan Malaysia.

Forum dimulakan dengan persoalan mengenai hal kebangsaan itu sendiri, adakah ianya merupakan suatu hal yang bersifat statik ataupun dinamik? Syahidatul yang mempunyai latar belakang selaku pengkaji sastera melayu klasik. Beliau cuba menerangkan konsep kebangsaan dari sudut pandang pra imperialisme dan sebelum wujudnya konteks negara moden yang kita ketahui sekarang. Jadi sekaligus memberi suatu gambaran yang berbeza dari apa yang diperjelaskan melalui pengenalan forum di atas. Baginya konsep kebangsaan pra imperialisme sudah wujud dan menjadi kukuh melalui kewujudan empayar Melayu yang besar sewaktu dahulu. Ini dibuktikan dengan kewujudan hikayat-hikayat yang dijadikan sebagai sumber rujukan dan sumber sejarah bagi keseluruhan rantau Nusantara pada suatu ketika. Jadi saudari Syahidatul berhujah bahawa ianya memang bersifat dinamik dan berubah-ubah tetapi hal ini jarang diterokai kerana realiti di mana komuniti Melayu itu sendiri tidak mempunyai akses kepada sejarah mereka sendiri, maka secara tidak langsung konsep kebangsaan hanya dapat difahami pada jangka masa terwujudnya negara-negara moden yang merupakan kesinambungan kerangka penjajah itu sendiri.

Kemudian tiba giliran saudara Zaidel Baharuddin bagi menyampaikan pendapat dan sudut pandang beliau. Secara umumnya beliau menjelaskan bahawa kesedaran kebangsaan Melayu yang wujud sewaktu menjelangnya ambang kemerdekaan lebih berteraskan pemahaman bahawa komuniti Melayu itu secara umumnya terkebelakang dan tertinggal. Dari situ, persoalan kebangsaan dan komuniti itu merupakan suatu hal yang relevan. Walaubagaimanapun, beliau tidak bersetuju dengan pendapat moderator yang merujuk kepada hujah Rustam Sani yang mengatakan bahawa konsep kebangsaan golongan konservatif lebih berpaksikan etnik dan eksklusif. Ini kemudiannya dijelaskan dengan lebih lanjut melalui konsep perlembagaan negara Malaysia, di mana Melayu itu dilonggarkan kepada tiga ciri utama: Islam, berbahasa dan berbudaya Melayu. Malah beliau meneruskan dengan menekankan bagaimana sejak tertubuhnya negara Malaysia, konsep kebangsaan Melayu itu telah berpindah kepada konsep identiti komuniti yang lebih pragmatik. Jadi hujah beliau lebih kepada persoalan bagaimana konsep kebangsaan itu tidak sepenuhnya berdasarkan idea yang murni sahaja tetapi lebih kepada persoalan yang lebih pragmatik iaitu jurang kekayaan yang wujud pada waktu itu.

Kemudian persoalan diteruskan kepada isu bagaimana konsep kebangsaan yang pada waktu dahulunya dilihat sebagai gerakan yang progresif mulai berubah wajah dan menjadi hal yang lain pada waktu sekarang. Kedua-dua panelis mempunyai sudut pandang yang hampir serupa di mana mereka tetap merasakan bahawa konsep kebangsaan yang berkait rapat dengan nasionalisme itu tetap mempunyai fungsinya yang tersendiri. Bagi saudari Syahidatul, ia penting bagi meningkatkan kesedaran komuniti Melayu tentang sejarah dan naratif yang dipinggirkan, iaitu masih terdapat banyak lagi idea-idea di sebalik falsafah kebangsaan Melayu yang masih belum diterokai sepenuhnya oleh rakyat sendiri. Makanya kebangsaan dan perasaan nasionalisme merupakan pemacu utama bagi tergeraknya rakyat untuk mengetahui asal usul mereka.

Manakala bagi saudara Zaidel persoalan kepentingan kebangsaan Melayu itu masih relevan selagi ianya berfungsi untuk menumpukan kepada persoalan jurang ekonomi dan juga persoalan hal-hal yang lain. Jadi ianya perlu berubah mengikut konteks dan mungkin pada masa hadapan, konsep kebangsaan Melayu perlu bersifat dinamik dan berubah mengikut kesesuaian zamannya.

Perbincangan forum yang telah berlangsung memberi ruang kepada pihak yang hadir dan juga kepada pihak kami untuk turut mengambil kira pelbagai sudut pandang yang berbeza dengan masa depan kebangsaan Melayu. Walaupun kedua-dua para panelis bersetuju bahawa konsep kebangsaan itu semestinya relevan, tidak dinafikan bahawa ianya mesti berfungsi dalam lingkungan yang terbatas dan berdasarkan konteks yang spesifik. Saudara Zaidel mengambil pendekatan yang pragmatik dengan menyimpulkan bahawa masa depan kebangsaan Melayu perlu mengambil kira konsep masyarakat majmuk jika ia ingin kekal relevan, begitu juga saudari Syahidatul yang tetap mengambil sejarah sebagai rujukan utama bagi konteks kebangsaan Melayu, iaitu kekal relevan selagi sejarah tidak diambil serius oleh para pemimpin.

Bagi pihak Projek Dialog, kami berhujah bahawa konsep kebangsaan Melayu merupakan persoalan yang masih belum diartikulasikan dan dilibatkan secara penuh oleh kesemua rakyat negara Malaysia. Ianya masih mempunyai batas yang tersendiri dan masih perlu dibicarakan dan dibincangkan secara ilmiah mahupun secara santai oleh rakyat negara tersendiri. Ini bagi menjadikan persoalan ini sebagai suatu hal yang benar-benar inklusif dan berfungsi sebagai landasan yang benar-benar relevan dan dekat benar dengan realiti yang ada pada waktu sekarang.