REVIU: PESTA PUISI KOTA

Pesta Puisi Kota berjaya berlangsung pada tarikh 7hb Oktober yang lepas. Disertai acara yang pelbagai seperti sesi pembacaan puisi, syarahan dan sebagainya telah berjaya menggabungkan pelbagai bentuk kesusasteraan – dari yang tradisional ke bentuk yang lebih kontemporari. Dengan kerjasama ThinkCity dan juga komuniti SpeakCity, Pesta Puisi Kota berjaya dengan kehadiran sebanyak 200 orang yang bermula dari pukul 1 tengah hari sehingga pukul 7 petang.

Acara ini berjaya menyemarakkan lagi budaya berpuisi di tengah kota, dengan harapan agar aturan kata-kata yang molek dapat menyatakan citra kehidupan Kuala Lumpur dengan lebih jelas. Seluruh ruang diasingkan mengikut acara yang disediakan dan pada suatu sudut, sebuah ruang pantun disediakan bagi siapa yang hadir untuk turut serta menyambung pantun-pantun yang dimulakan.

Acara bermula dengan sesi bengkel puisi kontemporari, di mana saudari Afi Noor dan juga Lily Jamaluddin selaku pelatih mengajar beberapa teknik susunan kota yang mengambil elemen-elemen kota di sini. Kebanyakan peserta yang hadir secara aktif turut terlibat dan berbincang mengenai apakah ciri-ciri kota yang boleh dijadikan sebagai elemen utama, dan kemudiannya bagaimana kesemua ini dapat disusunkan secara jelas dan berjaya menggambarkan sebuah gerak-geri kota yang sering sibuk dan sesak, tanpa mengaburkan esensi sebenar kota sebagai sebuah puncak ketamadunan sesuatu masyarakat.

Diberi nama Pertemuan Dua Lumpuran, bengkel ini dijalankan dalam bentuk dwi-bahasa, di mana komuniti SpeakCity yang sering menganjurkan If These Walls Could Talk menjalankan sesi ‘Spoken Word Poetry’ di dalam Bahasa Inggeris dan juga Bahasa Malaysia yang secara tidak langsung menggambarkan realiti lapisan masyarakat pasca kolonial di negara kita. Spoken Word Poetry ataupun Slam Poetry secara asasnya dapat dilihat sebagai sebuah fenomena global dan menarik diperhatikan bahawa komuniti di Malaysia telah berjaya menyatakan kehadiran dan kehebatan mereka di luar batas negara kita. Seharusnya bengkel ini diawali dengan sebuah sesi jalan-jalan di beberapa bahagian di kota, sebagai rujukan utama bagi para peserta yang sertai bengkel tersebut. Walaubagaimanapun, disebabkan oleh batas masa dan juga beberapa kelemahan teknikal – sesi jalan-jalan di sekeliling kota tidak dapat dilaksanakan. Sungguhpun begitu, bengkel tetap berjaya dijalankan kerana lokasi acara tersebut benar-benar terletak di tengah kota Kuala Lumpur itu sendiri. Para peserta yang hadir sudah mempunyai pengalaman yang cukup banyak dengan hanya mengambil kira elemen-elemen ataupun ciri-ciri kota yang wujud sewaktu mereka berjalan ke kawasan acara.

Kemudian syarahan oleh Siti Zainon Ismail yang bertajuk ‘Puisi dan Wajah Kota Raya Kita’ menyerikan keseluruhan ruang tersebut. Hadiran dan hadirat yang hadir terpegun mendengar penerangan beliau mengenai sejarah asal-usul Kuala Lumpur yang sedikit sebanyak dikaitkan dengan keterlibatan para seniman, penyair dan bagaimana mereka begitu aktif menghasilkan karya-karya yang berhubung rapat dengan kota. Hal yang dibicarakan oleh beliau merupakan isu yang penting di mana ia memberi inspirasi kepada para pendengar dan berjaya meyakinkan kepentingan dan signifikan memahami dan mempelajari esensi dan sejarah Kuala Lumpur.

Beliau menerangkan bagaimana Batu Hampar itu merupakan nama yang dirujuk oleh anak-anak Melayu Gombak pada waktu dahulu, yang merujuk kepada elemen-elemen setempat yang ada pada zaman itu. Beliau menekankan bagaimana bahasa yang membentuk kota-kota yang kita kenali pada waktu ini. Melalui sastera dan susunan bahasa yang puitis, pelbagai seniman menggambarkan citra kota seperti mana buku Hujan Pagi yang ditulis oleh A. Samad Said menerangkan mengenai Jalan Bangsar. Secara umumnya beliau menjelaskan bagaimana dengan mengenali sejarah dan impak kebudayaan terhadap imej yang dibentuk dapat memupuk keharmonian di kalangan masyarakat sekarang. Namun malangnya, imej kota seperti apa yang kita ketahui pada waktu ini telah hilang intinya kerana ceteknya ilmu dan pemahaman kita mengenai bahasa dan budaya yang ada. Lalu ditegaskan beliau bagaimana budaya dapat diperbetulkan dengan memahami sejarah dan mengenal pasti istilah yang telah lama dipesongkan oleh pihak yang mengejar kepentingan mereka yang tersendiri.

Setelah itu, acara sesi pembacaan puisi atas kerjasama komuniti SpeakCity yang seringkali menganjurkan If Walls Could Talk dilangsungkan dengan pembacaan puisi oleh 12 penyair. Setiap penyair membaca puisi mereka dalam sudut pandang yang begitu unik, adunan di antara perspektif peribadi dan juga elemen-elemen kota yang mempengaruhi sudut pandang dan realiti mereka. Kota Kuala Lumpur pada akhirnya menyajikan asam garam kehidupan kesemua penyair yang terlibat, samada membangkitkan rasa kecewa ataupun rasa kegembiraan yang terlekat pada ritma dan denyutan nafas kota tersebut.

Kemudian sesi terakhir pada hari tersebut diakhiri dengan sesi pertandingan pantun. Sebanyak beberapa penyair berjaya membaca pantun mereka dan masing-masing membawa perspektif akan kota dengan cara-cara yang benar-benar unik. Ada yang menerangkan mengenai kehidupan budaya urban dan ada pula menerangkan mengenai kepelbagaian ragam pelbagai penduduk kota. Salah satu inisiatif pihak kami untuk menghidupkan budaya berpantun, sebagai salah satu bentuk penyampaian yang telah lama hilang dan tidak lagi dipraktikkan lagi oleh penduduk tempatan. Seperti apa yang dinyatakan oleh saudari Zainon Siti Ismail, rakyat tempatan menyatakan sesuatu dengan penuh saduran yang puitis dan dinyatakan dalam pelbagai bentuk seperti gurindam dan sebagainya.

Secara keseluruhan, Pesta Puisi Kota merupakan inisiatif pertama pihak Projek Dialog untuk merapatkan kehidupan dan elemen kota dengan bentuk-bentuk puisi. Jarang benar puisi yang bertemakan kota kita dihidupi oleh rakyat tempatan, malah ianya hampir langsung tidak diingati. Dengan itu, semoga acara seperti ini merupakan titik permulaan bagi segala acara yang mempunyai tema yang sama.