Reviu: Tuhan Yang Hijau

Projek Dialog kali ini membawakan forum yang lebih fokus kepada persamaan dalam sesebuah agama berbanding perbezaan yang sering menjadi perbincangan masyarakat. Persamaan yang dicari kali ini adalah dalam perihal alam sekitar. Jarang sekali kita mendengar agama menyentuh hal ehwal alam sekitar jauh sekali perbincangan yang teliti berkenaan isu ini. Antara faktor yang telah membawa kepada idea forum ini adalah berkenaan isu pencemaran sampah sarap, perubahan iklim dan kepupusan haiwan terancam yang semakin membimbangkan.

Persoalan utama di sini adalah sekiranya agama menjadi garis panduan hidup seseorang manusia, kenapakah alam sekitar kita masih diratah sepertinya manusia ini tiada agama? Apakah agama mereka tidak mengajar untuk menjaga bumi pinjaman Tuhan ini? Menurut Jabatan Statistik Malaysia, lebih dari 96% individu di Malaysia menganuti sesebuah agama. Bayangkan sekiranya semua agama menuntut penganutnya untuk sentiasa menjaga alam sekitar dan bersikap penuh hormat kepada alam sekitar, pasti impaknya sangat signifikan dan berbeza pada geografi Malaysia kini!

Oleh itu forum Tuhan Yang Hijau pada 14 Disember yang lalu adalah bertujuan untuk merungkai persoalan ini dan berkongsi idea-idea alam sekitar dalam agama. Seorang panelis dari agama Islam dan Kristianiti telah dijemput untuk membincangkan perkara ini. Cik Fatin Nur Majdina Nordin yang mewakili GRASS Malaysia dan Dr. Hermen Shastri dari Council of Churches Malaysia. Forum telah dimulakan dengan soalan, apakah pespektif Islam dan Kristianiti mengenai hubungan manusia dan alam sekelilingnya?

 

 

Dari sudut pandang Islam, konsep hubungan yang ada pada seseorang manusia itu adalah secara vertical dan horizontal. Konsep hubungan secara vertical atau menegak ini adalah hubungan antara manusia dengan penciptanya. Manakala secara horizontal atau mendatar membawa maksud hubungan antara manusia sesama manusia dan alam sekelilingnya. Kedua-dua jenis hubungan ini adalah amat penting untuk dijaga oleh seorang manusia yang bergelar muslim. Turut dihuraikan oleh panelis, Islam mengajar bahawa manusia ini telah diutuskan ke bumi untuk menjadi khalifah(1) dan ini secara langsung membawa makna seseorang muslim itu  bertanggungjawab untuk menjaga dan menguruskan alam sekitar dengan sebaiknya kerana ia juga merupakan amanah dari Tuhan. Amanah menurut Islam jika ia tidak dijaga, muslim tersebut akan dipertanggungjawabkan dihadapan Tuhan pada hari perhitungan (Judgement Day) nanti. Ini termasuk sekali dalam konteks alam sekitar. Islam membenarkan penganutnya untuk meneroka alam dengan sebaiknya dan secara terhad yang hanya cukup untuk keperluan penting sahaja dan bukan mengikut nafsu yang tamak. Islam amat melarang umatnya berlebihan dalam sesuatu perkara termasuklah dalam penggunaan sumber alam kerana dikhuatiri mengganggu kestabilan alam yang telah Tuhan telah sediakan. Hatta dalam peperangan sekalipun, Nabi Muhammad s.a.w telah memberi amaran untuk tidak membunuh wanita, kanak-kanak dan alam sekeliling seperti menebang pokok. Melalui huraian ringkas ini, kita dapat lihat bahawa Islam amat menitik beratkan etika penjagaan alam sekitar ini, dan menjadi tanggungjawab para agamawan juga untuk mengingatkan masyarakat betapa  pentingnya penjagaan alam ciptaan Tuhan ini.

Perspektif Kristian terhadap perkara ini juga tidak lari dari apa yang agama Islam tuntut dari penganutnya. Tanggungjwab dalam menjaga alam sekitar kekal sama. Semuanya ciptaan Tuhan dan kita perlu menjaganya dengan baik. Namun begitu, apakah kapitalisme juga ciptaan dan rancangan Tuhan? Pastinya tidak. Ia adalah hasil dari kerakusan manusia yang berterusan meneroka alam untuk kepentingan peribadi. Panelis meneruskan penerangan bagaimana penciptaan Adam berkait rapat dengan alam. Dan ini menunjukkan bahawa hidupnya manusia mestilah sepakat dengan alam sekeliling. Agama Kristian juga menekankan umatnya untuk tidak makan berlebihan dan mempunyai etika-etika tertentu sebagai pengguna sumber alam. Untuk memanggil seseorang itu suci, cara hidupnya juga memainkan peranan. Adakah dia mencari damai dengan alam atau membinasa? Mentaliti orang beragama haruslah sentiasa mementingkan alam daripada nafsu mereka sendiri. Pembelian barang-barang juga harus sentiasa bersifat ‘hijau’ dengan mengambil kira dari apa ia dibuat, adakah pengeluarnya mengamalkan eksploitasi terhadap alam dan manusia, dan sebagainya. Perkara-perkara ini mungkin kelihatan remeh tetapi ia sebenarnya memberi kesan kepada alam.

 

 

Begitu juga dari sudut pembinaan rumah-rumah ibadat di Malaysia. Rumah ibadat yang didirikan seringkali bersaiz besar dan struktur landskapnya memerlukan banyak sumber tenaga dan servis penyeleggaraannya berada pada tahap yang menakutkan dan tidak mesra alam. Baik masjid-masjid, begitu juga dengan gereja. Betapa ironinya jika dilihat tempat yang mendidik umatnya untuk menyayangi alam sekitar, dalam masa yang sama menyakiti alam juga. Pembinaan rumah ibadat mega di Malaysia boleh dikatakan melampau dan ini jelas bertentangan dengan tuntutan kedua-dua agama yang mahukan penganutnya bersifat sederhana, tidak berlebih-lebihan, ketercukupan dan anti pembaziran. Idea membina rumah ibadat mega ini tidak lagi bermanfaat untuk manusia kerana ia merosakkan alam, justeru memberi efek negatif kepada manusia juga. Paradoks. Bagaimana ia merosakkan? Semestinya tapak binaan tersebut memerlukan pokok-pokok ditebang dan hidupan liar hilang habitat mereka. Dan pastinya kedua-dua agama percaya bahawa Tuhan tidak menyuruh kita menindas hidupan lain untuk ‘keselesaan’ kita bukan? Moderator berpendapat, sekiranya kita biarkan perkara ini terus berlaku, jangan marah jika babi hutan datang melepak di ruangan ibadah anda atau di halaman-halaman rumah anda, monyet-monyet menyelongkar barangan anda, dan ular-ular bersarang di longkang rumah anda. Kerana anda sendiri telah merampas tempat tinggal mereka.

Para panelis turut menzahirkan pandangan bahawa kedua-dua agama amat memandang serius isu-isu terkini alam sekitar seperti perubahan iklim dan kepupusan haiwan terancam. Mereka menggesa agar pihak-pihak berkuasa untuk mengambil tindakan berkenaan isu ini. Pihak kerajaan utamanya harus menekankan dasar-dasar yang menjaga alam sekitar dan tidak memandang ringan akan perkara ini. Begitu juga dengan institusi agama di Malaysia. Mereka harus lebih giat mencari cara dan usaha dalam mendidik masyarakat untuk mencintai alam seperti lebih kerap menyampaikan khutbah atau ceramah mengenai alam sekitar dan menambahkan lagi aktiviti-aktiviti mesra alam di rumah-rumah ibadat.

Begitu juga apabila tiba musim-musim perayaan. Contoh pertama yang dikongsikan adalah Hari Raya Aidiladha (Kurban) di Malaysia. Kita dapat lihat apabila tibanya hari mulia ini, para muslim berkejaran untuk beribadah dengan menghulurkan seekor dua haiwan ternakan untuk ibadah kurban. Namun begitu, tindakan yang mereka kira ‘ibadah’ ini telah menjadi satu pembaziran yang amat dahsyat. Daging-daging kurban tidak diagihkan dengan baik dan yang kelaparan kekal lapar. Contoh yang kedua adalah perayaan Hari Natal atau Krismas. Pokok Krismas yang pada asalnya hanyalah satu budaya, bukan tuntutan agama, telah menjadi keperluan bagi majoriti panganut agama Kristian. Permasalahan yang berlaku adalah cara mereka memperoleh pokok tersebut, baik dari alam semulajadi mahupun pokok tiruan yang diperbuat daripada plastik. Terdapat beberapa diskusi terperinci mengenai perkara ini. Ada yang mengatakan bahawa membeli yang plastik adalah lebih baik kerana ia boleh digunakan berpuluh malah beratus tahun lamanya, tetapi proses produksinya teruk mencemarkan alam. Ada pula yang mengatakan bahawa menebang pokok hidup adalah cara yang lebih lestari. Perkara sebegini bergantung kepada apa sebenarnya yang disuruh Tuhan dalam agama. Jangan membazir dan jangan menghancurkan alam untuk keseronokan peribadi.

Forum ini telah membuka ruang kepada ramai individu untuk bertanya dan berkongsi pendapat mereka sendiri. Sebuah penulisan mengenai forum ini dan input dari salah seorang tetamu yang hadir, Syah Redza Hussein, oleh Free Malaysia Today telah menghuraikan sedikit sebanyak info  mengenai alam sekitar dari perspektif agama Islam. Secara kesuluruhan forum ini telah menggapai objektifnya dan merupakan perkongsian yang amat penting untuk membuka mata ramai pihak. Pihak Projek Dialog amat berterima kasih kepada semua yang telah menjayakan forum ini, bagi yang hadir dan juga para netizen di media sosial. Kami berharap agar forum seperti ini dapat dilaksanakan lagi dan terus berkongsi dalam diskusi seperti ini untuk kepentingan dan keharmonian bersama.

 

 

Kunjungi instagram atau facebook kami untuk lebih gambar dan video dari forum Tuhan Yang Hijau.

 

Nota kaki:

  1. Setiap manusia yang diamanahkan atau dipertanggungjawabkan oleh Allah utk mengurus dan mentadbirkan dunia ini mengikut syariat Allah