Rogol dalam Perkahwinan Perlu Dikategorikan Jenayah

oleh Ahmad Salami

Artikel ini telah telah disiarkan di laman Free Malaysia Today pada 11 Julai 2016.

Latar belakang Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 

Pada awal 1990-an wujud usaha kumpulan pertubuhan wanita melobi kerajaan untuk menggubal Akta Parlimen bagi menentang keganasan rumah tangga.

Sebahagian masalah ketika rundingan bagi akta keganasan rumah tangga pada awal 1990-an ialah wujud percubaan golongan tertentu mengecualikan orang Islam daripada bidang kuasa akta tersebut atas alasan lelaki Islam berhak memukul isteri mereka.

Lantaran pertubuhan sivil terpaksa melobi kerajaan dengan aktif selama beberapa tahun agar keganasan rumah tangga dikategorikan sebagai jenayah. Untuk rekod tambahan, walaupun akta itu lulus pada tahun 1994 namun advokasi terpaksa diteruskan beberapa tahun kemudian agar ia dilaksanakan.

Akhirnya Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) diluluskan serta dikuatkuasakan di seluruh Malaysia pada 1 Jun 1996.

Akta ini memperuntukkan beberapa cara penyelesaian bagi kes berkenaan.

Mereka yang tertakluk kepada akta ini untuk membuat aduan berkaitan sesuatu keganasan rumah tangga terdiri daripada (1) Suami/Isteri, (2) Bekas suami/isteri, (3) Anak lelaki atau anak perempuan, (4) Ibu atau bapa, abang, kakak, adik atau, (5) Mana-mana saudara lain yang pada pendapat mahkamah adalah ahli keluarga tersebut seperti dinyatakan pada bahagian ‘Tafsiran’ di Bahagian 1(2) Akta tersebut.

Namun Bahagian 2(3) meletakkan Akta ini harus dibaca bersama dengan Kanun Keseksaan.

Bagi kuasa negeri pula, ada undang-undang yang diperuntukkan jika suami berlaku zalim seperti menyebabkan kecederaan fizikal serta tekanan mental dan emosi, maka isteri boleh mengambil solusi terakhir seperti fasakh. Misalnya peruntukan bawah Seksyen 127 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Akta Keganasan Rumah Tangga ini ada beberapa kelemahan dalam pelaksananya yang masih belum sempurna. Walaupun akta ini memberi takrifan keganasan rumah tangga, namun jika tuduhan itu hendaklah dibawa ke mahkamah perbuatan keganasan rumah tangga itu mesti satu jenayah yang sedia wujud dalam peruntukan Kanun Keseksaan.

Misalnya jika si suami memukul di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga dia akan dituduh sebagai “sengaja mencederakan” di bawah seksyen 323 Kanun Keseksaan. Keganasan rumah tangga ialah jenayah unik kerana cirinya yang berulang-ulang – seorang wanita mungkin dipukul berkali-kali oleh suaminya selama beberapa tahun.

Tetapi Kanun Keseksaan hanya mengambil kira suatu kesalahan keganasan saja dan tidak mengambil kira ciri ini. Namun syukur sekurang-kurangnya ia merupakan langkah pertama ke arah masyarakat yang bebas daripada keganasan rumah tangga.

Marital rape: Rogol dalam perkahwinan

Pada umumnya, rogol ditakrifkan sebagai hubungan seks yang dilakukan ke atas wanita secara paksa sehingga terdapat kesan luka, lebam atau calar pada tubuh wanita berkenaan (Rahman Hashim, 1993).

Ia juga dikira satu bentuk diskriminasi yang melibatkan dominasi seseorang atas seseorang yang lain.
‘Marital rape’ atau perkosaan dalam pernikahan pula salah satu bentuk ‘domestic violence’ yang lebih teruk apabila ia gabungan keganasan fizikal dan seksual dalam sesebuah perkahwinan (Hayley Fox, 2014).

Ia tidak dikategorikan sebagai jenayah di 38 negara dunia termasuk Malaysia, Brunei, Myanmar dan Singapura di rantau ini. Walaupun sesetengah negara yang mengundang-undangkannya sebagai jenayah sekalipun tetapi pelaksanaannya tidak jelas dan tidak diamalkan.

Dapatan World Health Organization (WHO) 2007 juga mengenal pasti punca ketempangan pelaksanaan ini hasil kurang sokongan daripada badan pelaksana sendiri, di samping mentaliti komuniti sendiri yang lazim menyalahkan mangsa berbanding pelaku jenayah ini.

Teknikalnya, undang-undang Malaysia mempunyai pentakrifan sempit terhadap rogol iaitu melibatkan perbuatan memasukkan zakar ke dalam faraj wanita tanpa kerelaan.

Bagaimanapun dilaporkan ada usaha Kementerian Kemajuan Wanita dan Keluarga untuk mengkaji Seksyen 375 Kanun Keseksaan.

Ini sekali gus memindanya untuk meluaskan definisi rogol agar meliputi perbuatan memasukkan sebarang objek atau bahagian tubuh selain zakar ke dalam faraj ekoran kes kontroversi yang mendapat perhatian ramai berkaitan rogol ke atas kanak-kanak di Sibu pada 2015 sehingga melahirkan anak.

Namun sejauh mana perkembangannya di peringkat berkaitan setakat artikel ini ditulis, penulis kurang pasti.

Di Malaysia, ‘marital rape’ tidak termasuk dalam jenayah. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri dilaporkan berkata seks tanpa kerelaan dalam perkahwinan atau diistilahkan sebagai pemerkosaan dalam perkahwinan ini bukan jenayah dan tidak termasuk definisi rogol dalam Seksyen 375 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan tidak bercadang untuk memindanya.

Seksyen 375 menyatakan hubungan seks antara seorang lelaki dengan wanita yang menjadi isterinya yang sah bawah mana-mana undang-undang yang diakui sah, dan isteri berumur tidak kurang daripada 13 tahun, tidak dianggap sebagai rogol.

Kesamaran dalam Seksyen ini mengecualikan banyak kes tersebut dan menjadi masalah serta perbahasan utama di sini.

Kegagalan sistem syariah untuk bertindak

Pengecualian ini menunjukkan kurangnya kesedaran kalangan pembuat dasar berkaitan kepelbagaian atau dinamik rogol itu sendiri khususnya kesan rogol dalam perkahwinan.

Ini juga menunjukkan kegagalan legislatif umumnya dan eksekutif khususnya berkaitan tanggungjawab untuk mematuhi peruntukan dalam Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) oleh PBB yang mana Malaysia merupakan negara ahli.

Artikel 2 CEDAW menggariskan perbuatan suami merogol isteri sebagai perbuatan ganas yang menafikan hak asasi dan kebebasan asas wanita.

Tambahan pula, Artikel 16(1)(c) CEDAW, setiap pasangan mempunyai hak yang sama dalam sesebuah perkahwinan (Suhakam, 2004).

Menteri yang bertanggungjawab dalam bidang undang-undang pada 2015, Nancy bagaimanapun menambah: “Di dalam istilah, ia tidak dipanggil sebagai pemerkosaan dalam perkahwinan.

Sekiranya ia menyakitkan dan wanita itu dipaksa sehingga menyebabkan kesakitan atau luka, anda mempunyai hak di bawah undang-undang Kanun Keseksaan, Seksyen 375 (A).”

Seksyen 375 (A) yang dimaksudkan menyebut: “Any man who during the subsistence of a valid marriage causes hurt or fear of death or hurt to his wife or any other person in order to have sexual intercourse with his wife shall be punished with imprisonment for a term which may extend to five years.”

Malangnya Seksyen 375 (A) gagal menyatakan realiti semasa dalam banyak kes yang seks tanpa kerelaan daripada isteri bukan saja memberi kesan kepada fizikal (ataupun bukan fizikal) tetapi juga lebih utama kesan jangka masa panjang mental dan emosi.

Rape culture: budaya yang membenarkan rogol

Takrifnya samar bagi kes perkosaan perkahwinan ini.

Statistik dikumpulkan jabatan agama di Selangor beberapa tahun lepas menunjukkan ‘seks ganas’ merupakan antara punca utama kes perceraian di negeri itu meningkat saban tahun.

Budaya keganasan seksual juga diterjemahkan dalam statistik polis pada 2013 yang menunjukkan 31% mangsa yang menghadapi keganasan seksual ini adalah daripada pasangannya sendiri.

Ingin ditegaskan, walaupun Seksyen 375 Kanun Keseksaan berkaitan jenayah rogol, namun terdapat pengecualian di mana persetubuhan seseorang lelaki dengan isterinya dalam perkahwinan yang sah di bawah mana-mana undang-undang bertulis pada masa ia berkuat kuasa atau diiktiraf dalam persekutuan sebagai sah dan tidak dianggap sebagai rogol.

Kenyataan Nancy mendapat kritikan pelbagai pihak antaranya Ahli Parlimen Batu Kawan dengan menyebut: “Menyedihkan apabila Seksyen 375 dan 375A akhirnya digunakan untuk melindungi individu kejam dan ganas terhadap isteri mereka, bukannya melindungi wanita yang menjadi mangsa”.

Mungkin akan ada yang timbulkan persoalan: Wanita saja yang termasuk dalam kempen ini? Semestinya tidak. Semua gender adalah tertakluk dalam usaha ini tanpa pengecualian dan kompromi.

Dalam setiap jenayah perlu dibuktikan elemen mens rea (niat) dan actus rea (perbuatan).

Mens rea dalam perlakuan rogol ialah seseorang itu berniat untuk merogol mangsa dengan sengaja.

Actus reus pula, berlaku perlakuan seksual tanpa kerelaan pasangan.

Dalam kes suami paksa isteri mengadakan hubungan seks, kedua-dua elemen penting jenayah iaitu mens rea dan actus reus wujud. Jadi tiada sebab untuk tidak mendakwa mana-mana pasangan perkahwinan yang memaksa pasangannya untuk melakukan seks atau dengan nama lain rogol dalam nikah ini.

Penulis menaruh harapan tinggi agar matlamat ini dapat dicapai melalui kerjasama yang aktif bersama pertubuhan masyarakat sivil, melalui pendidikan dan kesedaran awam terhadap hak wanita khususnya di semua peringkat masyarakat.

Kita tidak mahu lagi ada cubaan untuk mengecualikan mana-mana pihak daripada hukuman bagi jenayah sama seperti cubaan sesetengah kelompok suatu ketika dahulu sebelum Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 diluluskan.

Pasangan yang menjadi mangsa kes rogol ini harus lebih berani untuk melaporkan kes tersebut kepada pihak berkaitan melalui peruntukan sedia ada.

Sehubungan itu, penulis menggesa penggubal undang-undang legislatif serta penggubal polisi eksekutif supaya Kanun Keseksaan ini dikaji semula bagi mentakrifkan pemerkosaan rumah tangga sebagai jenayah.

Badan kehakiman seterusnya mentafsirnya selaras yang dimaksudkan di atas.

Tujuannya jelas bagi membendung dan menghentikan kes keganasan domestik seperti ini bagi menjamin keharmonian institusi keluarga sebagai institusi asas bagi pembinaan sebuah negara madani yang bebas daripada segala bentuk keganasan, dominasi dan diskriminasi secara mampan.

Ahmad Salami ialah aktivis sosial dan penganalisis kajian organisasi sivil.