Saksikan kemusnahan Kampung Chetti

Pada kali terakhir wakil Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) melawat Kampung Chetti di Gajah Berang, Melaka semasa sambutan ponggal (pesta menuai), penduduk di perkampungan warisan itu meluahkan kesedihan kerana pihak berkuasa seolah-olah sudah meminggirkan mereka.

Perkara sama juga disaksikan pada 16 November 2014 sewaktu saya bersama-sama Kughan Nadarajah dan Preevinn Singh membuat tinjauan di kampung berkenaan yang dihuni sekumpulan masyarakat yang amat unik.

“Projek pembinaan di Lot 93 memang mereka terus jalankan. Kami, para penduduk di Kampung Chetti, memang tak puas hati. Kami masih membantah dan meminta Kerajaan Negeri Melaka, kalau boleh, batalkan terus projek ini,” kata K. Supramania Pillay selaku Yang Dipertua Persatuan Kebajikan dan Kebudayaan Kuam Chetti Melaka.

Beliau meluahkan rasa kecewa itu semasa kami sama-sama berjalan sekeliling perkampungan warisan itu serta meninjau kerja-kerja pembinaan bangunan pangsapuri 22 tingkat dan hotel 12 tingkat di tanah Lot 93.

Kaum Chetti hanya sebuah kumpulan minoriti yang kurang berada. Sekitar 300 orang daripada 30 keluarga tinggal di sekitar 20 buah rumah di perkampungan warisan ini.

Apa yang menarik, Lot 93 terletak di tengah-tengah dan berkongsi tiga sempadan dengan Kampung Chetti yang diisytiharkan sebagai tapak warisan oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).

Kali pertama kami mendapat tahu mengenai nasib malang yang melanda Kampung Chetti adalah apabila wakil Kavyan dan Projek Dialog membuat kunjungan muhibah ke Kampung Portugis (14 Disember 2013) dan Kampung Chetti (15 Disember 2013).

Hasil maklumat yang diterima selepas berkomunikasi dengan pihak Unesco, ternyata tidak boleh ada sebarang projek pembangunan dibuat pada jarak sekitar 100 meter daripada kawasan yang digazetkan sebagai tapak warisan.

Syarat dan peraturan Unesco juga menetapkan bahawa sebarang bangunan baru yang dibina berhampiran tapak warisan tidak boleh melebihi 4 tingkat. Hal-hal ini mungkin tidak disedari penduduk Kampung Chetti sendiri.

Sebagai tanda solidariti serta usaha membantu memperkasa penduduk tempatan memperjuangkan hak golongan minoriti, Kavyan mengadakan beberapa kunjungan, menganjurkan bengkel khas serta mengaturkan sidang media dan taklimat khas di Kampung Chetti.

Malangnya, sehingga makalah ini ditulis, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron; serta MIC Kebangsaan dan MIC Melaka berpura-pura bagaikan tidak ada sebarang masalah.

Pelbagai janji Idris dan pengerusi MIC Melaka, MS Mahadevan ada dihuraikan dalam makalah bertajuk “Sandiwara politik di Kampung Chetti” (Projek Dialog, 17 Januari 2014) yang ditulis selepas kunjungan terakhir sebelum ini. Janji Idris kononnya mahu mencari dalang yang meluluskan projek itu (The Star, 1 Januari 2014) ternyata hanya wayang di tabir.

Bukti nyata melanggar peraturan, syarat Unesco

PD 2Tamil
Berita tentang kemusnahan Kampung Chetti turut dilaporkan akhbar Tamil.

“Kerja-kerja pembinaan di sini bermula sekitar 7.00 pagi dan berjalan sehingga 5.00 petang. Kadang-kadang berlarutan sehingga lewat malam. Hari ini (Ahad) sepatutnya tidak boleh kerja, tetapi mereka masih kerja,” kata Supramania di tengah-tengah bunyi bising jentera di tapak projek semasa kami melakukan tinjauan.

Katakan, kerja-kerja di Lot 93 masih menyebabkan keretakan kecil pada bangunan Kuil Sri Muthu Mariamman yang bersempadan dengan kawasan pembinaan. Aduan sudah dilakukan sejak lebih setahun lalu tetapi tidak ada apa-apa tindakan positif daripada pihak berwajib, termasuk Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Seperti dinyatakan dalam makalah “Mengenali minoriti Kampung Chetti” (Projek Dialog, 29 Disember 2013), Kuil Sri Poyatha Venayagar Moorthi di Kampung Chetti yang dibina pada 1781 dipercayai kuil Hindu tertua di Kepulauan Melayu (Nusantara).

Tinjauan mendapati beberapa kuil lama yang dibina menggunakan batu kapur (limestone) berdepan masalah besar berikutan projek pembinaan ini. Misalnya, Kuil Sri Anggala Parameswari yang digazetkan sebagai Warisan Negara terletak sekitar 300 meter dari tapak pembinaan; Kuil Sri Kailasanar (sekitar 400 meter) dan Kuil Sri Muthu Mariamman (100 meter).

Kampung Chetti seluas lima ekar sebenarnya sudah digazetkan sebagai perkampungan warisan pada tahun 2002. Menurut peraturan, undang-undang dan enekmen sedia ada, perlu ada buffer zone di sekililing (sempadan) perkampungan warisan ini.

PD 2Supramania
Supramania mengakui bahawa pihka berkuasa belum membantu menyelamatkan Kampung Chetti.

Malangnya, entah bagaimana projek diluluskan dan diteruskan di tapak Lot 93 yang secara terang-terangan melanggar enekmen sedia ada. Pihak berwajib – dalam hal ini, kerajaan pusat dan kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) – terang-terangan membiarkan sahaja kezaliman, ketidakadilan, pencabulan, kemusnahan dan kepupusan berlaku.

Apa yang aneh dan menghairankan adalah bahawa wakil BN (termasuk MIC dan Nazri) beriya-iya mahu muncul sebagai wira dalam menggazetkan bagunan Vivekananda Ashram sebagai tapak warisan.

Memang amat menghairankan, mendukacitakan dan menimbulkan seribu pertanyaan kerana pihak yang sama juga menutup mata sedangkan Kampung Chetti semakin terhapus di depan mata!

Pelbagai bahan, makalah dan rujukan didokumentasikan oleh Kavyan di laman www.kampungchetti.blogspot.com sebagai rujukan dan perjuangan menuntut hak penduduk minoriti di Kampung Chetti.

Banjir kilat paras pinggang musnahkan harta pusaka

Supramania mengakui bahawa sejak kunjungan terakhir kami (15 Januari 2014) dan siri makalah di media alternatif, wakil MIC, Umno dan MBMB telah datang melakukan tinjauan di sekitar kawasan ini.

“MBMB datang selepas kami buat aduan. Air dari kawasan pembinaan lari masuk ke dalam parit besar di kampung kami. Tanah yang masuk sekali menyebabkan parit tersumbat. Sebab itu, setiap kali hujan lebat, Kampung Chetti banjir kilat.

“Setiap kali banjir lumpur yang boleh mencapai paras pinggang, penduduk terpaksa mengangkat barang. Pada tahun ini sahaja, sudah lima kali banjir kilat,” ketua kampung itu menceritakan dengan nada sedih kerana beliau sendiri tidak mampu melakukan apa-apa untuk menolak bala yang menimpa.

Kerajaan negeri menghulurkan bantuan RM200 kepada setiap keluarga terjejas untuk menampung kos makanan, tetapi jumlah kerugian yang ditanggung setiap kali banjir tentulah tidak ternilai.

PD 2Lawatan
Kughan (tengah) dan Preevinn mendengar penerangan Supramania.

Tambahan pula, setiap rumah di kampung ini adalah bahan bersejarah yang boleh rosak akibat banjir kerana dibina menggunakan kayu. Setiap rumah pula menyimpan barangan lama yang merupakan bahan sejarah yang tidak ternilai. Sayangnya, kerajaan tidak tahu; atau buat-buat tidak tahu.

Semasa berbual-bual dengan Supramania, saya bertanya secara khusus apakah wakil kerajaan negeri, Umno dan MIC yang datang melawat ada menghulurkan sebarang bantuan atau menjanjikan apa-apa.

“Mereka hanya datang, tengok kampung dan kawasan projek (Lot 93), kemudian balik,” katanya tanpa menghuraikan lebih lanjut; mungkin kerana tidak mahu mendedahkan aib dan kelemahan pihak terbabit kepada umum.

Pengerusi MIC Melaka, Mahadevan dalam kenyataannya kepada Bernama (8 Januari 2014) yang turut disiarkan di akhbar Kosmo! (9 Januari 2014) memberi jaminan bahawa parti komponen BN itu akan memastikan Kampung Chetti terus terpelihara sebagai warisan sejarah negara.

Janji-janji manis politikus itu juga dilaporkan di akhbar The Star (10 Januari 2014) dan memberikan gambaran seolah-olah MIC sudah pun tampil membela nasib kaum Chetti. Tetapi sehingga kini, habuk pun tiada.

Undangan terbuka ke majlis perkahwinan “terakhir”

“Datuk Mahadevan ada datang tengok tetapi tidak ada apa-apa yang dilakukan setakat ini. Semangat para penduduk pun sudah semakin luntur. Kami memang tidak puas hati.

“Apa yang pasti, kami tidak akan menyerah kalah. Sasaran kami adalah untuk meminta kerajaan negeri membatalkan projek pembinaan di Lot 93 dengan mengambil kira kedudukan Kampung Chetti sebagai tapak warisan yang diiktiraf Unesco,” Supramania masih optimis.

Sambil mendengar penjelasan dan luahan perasaan beliau, saya memandang ke arah kawasan pembinaan yang kelihatan sudah hampir 50 peratus siap. Apakah mungkin kerajaan pusat dan kerajaan negeri masih mampu melakukan sesuatu untuk membatalkan projek itu?

Buat masa ini, ketua kampung itu berasa lega kerana rancangan pembinaan jalan khas yang menghubungkan bangunan pencakar langit di Lot 93 dan jalan raya utama sudah dibatalkan. Jaminan lisan khabarnya diberikan oleh seseorang berjawatan “setiausaha” di pejabat ketua menteri.

PD 2Projek
Pembinaan di Lot 93 terus berjalan seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.

Apabila ditanya, Supramania mengakui bahawa sebenarnya tiada sebarang jaminan juga dalam hal itu kerana tidak ada apa-apa surat atau dokumen rasmi diberikan berkenaan pembatalan itu.

“Kalau jalan masih dibuat, kami akan bantah sekeras-kerasnya. Kami tak akan kasi masuk. Kalau jalan itu sudah masuk (dibina), kaum Chetti sudah hilang. Ke mana kami boleh pergi? Kalau kami sudah diarah berpindah, Kampung Chetti akan hilang,” katanya.

Dahulu, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13, ketua menteri waktu itu, Datuk Seri Mohd Ali Rustam memberikan jaminan projek dibatalkan. Selepas pilihan raya dan selepas BN menang, janji itu menjadi “janji dicapati”. Rayuan dan aduan penduduk Kampung Chetti tidak dihiraukan ketua menteri baru.

Menurut laporan Malaysia Gazette (2 Januari 2014), “Kampung Chetti dilihat antara agenda utama Idris untuk mengembalikan semula kepercayaan masyarakat India terhadap kepimpinan BN di negeri tersebut.”

Realiti yang pahit untuk ditelan adalah bahawa perkampungan warisan ini akan pupus dalam masa terdekat kerana sikap dan ketamakan yang ditunjukkan oleh pihak berkuasa pada peringkat kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

Pada 22 November 2014, bermula jam 7.00 malam, suatu majlis perkahwinan tradisional masyarakat Chetti akan berlangsung di Kuil Sri Muthu Mariamman. Orang ramai dijemput hadir untuk menyaksikan serta memeriahkan majlis.

Selain daripada tanda solidariti terhadap perjuangan penduduk Kampung Chetti, orang ramai juga boleh hadir supaya tidak terlepas peluang menyaksikan suatu upacara perkahwinan (terakhir?) penuh tradisi sebelum kerajaan “membunuh” kampung ini.

unnamed