Sang Pencinta di #halalspeeddating

Love

“Ada PhD pun, tak ada orang nak. Buat apa?”

Sebagai wanita bujang yang telah mencecah abad ketiga kehidupan, soal tentang perkahwinan sudah mual diajukan kepada saya. Ibu dan keluarga seakan-akan hilang harapan melihat saya ke jinjang pelamin, dan saya sendiri sudah akur dengan ketentuan bahawa perkahwinan mungkin bukan untuk saya.

Bukannya tidak mahu mengenali cinta, namun sebagai seorang wanita yang tidak memenuhi kriteria wanita Melayu terakhir dari semua segi, agak sukar untuk mencari pasangan yang benar-benar mampu menerima diri dengan seadanya.

Tambahan pula, apabila seringkali dilempar komen seperti di atas, tersinggung saya untuk membuka hati dan minda bagi mengenali kaum Adam di Malaysia. Namun, sebagai seorang yang optimis, saya telah mengisi borang dan menghadiri acara #halalspeeddating anjuran saudara Syed Azmi, Puan Hayati Ismail dan Encik Zuhri Yuhyi beberapa minggu lalu.

Ingin saya jelaskan bahawa sebenarnya, saya menghadiri acara tersebut sebagai tanda sokongan kepada usaha murni tiga sekawan ini. Membaca kisah disebalik penganjuran acara #halalspeeddating ini, saya pasti niat mereka mulia dan mahu membantu kaum bujang untuk mencari pasangan hidup berdasarkan prinsip taaruf, lunas-lunas Islam dan adab yang sopan.

Pada saya sendiri, apa salahnya mencuba membuka minda untuk mengalami sesuatu pengalaman yang baru.

Borang yang diisi bertanyakan soalan-soalan lazim berkenaan latarbelakang diri dan harapan tentang bakal suami/isteri dan perkahwinan. Juga perlu memaklumkan wali tentang keinginan menyertai acara ini.

Untuk diri saya yang baru kehilangan ayah, saya memaklumkan kepada pihak penganjur bahawa saya mengosongkan petak jawapan ini. Walaupun pada dasarnya kuasa wali jatuh kepada adik lelaki ataupun salah seorang bapa saudara saya, saya berpendapat bahawa kaum wanita patut diberi kemandirian untuk menentukan hala tuju sendiri.

Selain itu, soalan-soalannya agak lazim dalam membantu mencari pasangan. Namun, terdapat soalan yang berbaur mempromosikan poligami, dan sebagai seorang wanita yang belum pernah melihat bukti kesetiaan dan keadilan lelaki, saya keraguan dalam hal tersebut. Saya utarakan pendapat saya di bahagian maklumbalas.

Cinta Halal

#halalspeeddating

Setelah proses penelitian, pihak penganjur kemudiannya menghantar jemputan kepada para peserta yang lebih berkemungkinan mendapat pasangan dari kumpulan tersebut. Menurut penganjur, lebih kurang 500 borang penyertaan diterima keseluruhannya.

Daripada ini, pihak penganjur memilih dan menghantar jemputan kepada 50 wanita dan 50 lelaki. Namun, pada hari tersebut, peserta yang hadir adalah 60 orang wanita dan 20 orang lelaki. Peserta juga digalakkan untuk hadir bersama mahram ataupun rakan yang dipercayai.

Setelah mendaftar dan diberi nombor, peserta diingatkan supaya tidak bergaul antara jantina di luar acara yang dianjurkan, termasuk mencari di media sosial ataupun bertukar nombor telefon. Peserta juga tidak digalakkan memperkenalkan diri antara satu sama lain, sebaliknya hanya menggunakan nombor yang diberikan untuk berkomunikasi. Peserta wanita meneliti profil-profil peserta lelaki untuk meletakkan nombor mereka di petak slot temubual peserta lelaki; dan sebaliknya.

Acara dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan dari pihak penganjur yang menceritakan latarbelakang disebalik idea untuk acara ini. Puan Hayati dan Encik Zuhri menceritakan kisah mereka berkenalan dengan pasangan masing-masing melalui laman sesawang dan perkenalan dari pihak ketiga; maka acara #halalspeeddating bertujuan sebagai platform perkenalan pasangan melalui perantara atas talian dan acara tersebut.

Seterusnya syarahan mengenai perkahwinan Islam oleh Encik Shazly Khan, penganjur iMuslim. Beliau menggunakan sirah dan kisah Khalifah Umar Al-Khattab dalam memilih menantu dan menguruskan perkahwinan anak lelaki beliau sebagai contoh utama. Beliau juga mengingatkan para hadirin bahawa mencari perkahwinan itu dirahmati Allah dan perlu adanya hormat-menghormati antara suami isteri.

Beliau juga secara sinis menyatakan bahawa kos perkahwinan yang tinggi beserta harapan dan jangkaan yang terlalu tinggi oleh pasangan dan keluarga mereka merupakan faktor-faktor yang menghalang pasangan muda untuk berkahwin, dan ini mengakibatkan gejala sosial dan seks rambang di kalangan anak muda masa kini.

Encik Zuhri kemudiannya menerangkan peraturan acara hari itu. Kaum Adam menduduki meja-meja yang disediakan dan nombor mereka dipaparkan di atas meja. Pihak wanita yang telah meneliti profil peserta lelaki kemudiannya akan membawa diri ke meja di mana peserta lelaki tersebut berada.

Pada pendapat saya, ini merupakan satu kemajuan kepada hak wanita, dan saya memuji penganjur atas kesedaran ini. Kedua-dua pihak mempunyai masa 5 minit untuk bertaaruf, diiringi oleh mahram masing-masing. Oleh kerana wanita melebihi lelaki, pihak penganjur kemudiannya membenarkan taaruf antara seorang lelaki dengan beberapa wanita sekali pada pusingan-pusingan seterusnya.

Pihak lelaki kemudiannya berpeluang menemubual kaum wanita pilihan mereka berdasarkan profil. Setelah semua pusingan selesai, setiap peserta dikehendaki memilih 3 profil yang dirasakan berpotensi menjadi pasangan hidup dan mengajukan pilihan ini kepada penganjur. Pihak penganjur kemudiannya akan mengaturkan pasangan dan memaklumkan kepada peserta melalui e-mel seminggu setelah acara berlangsung.

Love World

Cinta, Perkahwinan & Jodoh

Walaupun saya pada mulanya agak skeptikal, namun keseluruhannya acara ini merupakan pengalaman baik. Setelah membuka bicara dengan soalan lazim, saya banyak mengajukan soalan yang bersifat falsafah hidup; termasuk pendapat kaum Adam tentang isu rogol dalam perkahwinan serta hak wanita dalam perkahwinan.

Soalan paling sukar yang diterima adalah “berapa anak yang kamu inginkan?” Sebagai seorang yang telah berkeputusan untuk tidak mempunyai zuriat, jawapan saya mungkin agak mengejutkan mereka.

Jawapan yang paling sensitif pada saya adalah pendapat bahawa perkahwinan adalah seperti pentadbiran, yakni lelaki mentadbir atas wanita, dan wanita harus menerima seadanya. Ini bercanggah dengan prinsip hidup saya.

Seminggu selepas acara berlangsung, saya menerima e-mel dari pihak penganjur bahawa saya tidak mempunyai jodoh dari acara tersebut. Saya telah menjangkakannya.

Namun, saya rasakan, mungkin jodoh yang ditentukan Tuhan untuk saya bukanlah seorang Adam sebagai pasangan hidup, namun cinta yang membanting tenaga menambahbaik komuniti dan persekitaran melalui usaha sukarelawan yang saya lakukan.

Article 19