Satu Kisah dan Tiga Hadis Palsu Tentang Peranan Wanita di Ruang Awam

Jika kita tahu betapa banyaknya hadis palsu yang berlegar di wacana awam, kita tahu betapa mudahnya untuk berdusta atas nama Nabi Muhammad saw. Selain hadis palsu, pelbagai alasan agama untuk menolak kesetaraan gender juga dilakukan atas nama Tuhan dan Nabi.

Namun, apa yang kurang diperkatakan tentang perkara ini adalah bagaimana ianya mensasarkan wanita sebagai golongan yang lebih rendah status sosialnya berbanding lelaki.

Tidak cukup untuk kita hanya mengetahui senarai hadis-hadis palsu ini, kita juga perlu peka dengan fungsi mereka dalam masyarakat kerana mereka sememangnya memberi kesan sosial yang hebat. Berikut merupakan 4 contoh naratif yang memberi kesan untuk merendahkan wanita dari aspek intelektual, politik dan sosial:

1. Wanita hanya ada 1 akal
Pengsosialan wanita sebagai golongan yang lebih rendah bermula dengan mengesensikan biologinya. Dengan mengesensikan (essentialising) sesiapa sahaja yang lahir sebagai perempuan kepada berakal satu berbanding berakal sembilan, ia dapat memberi justifikasi kepada penghalangan partisipasi wanita dalam hal-hal polisi dan pentadbiran masyarakat.

Asal pegangan ‘perempuan berakal satu dan bernafsu sembilan’ ini adalah sebuah dialog antara Rabi’ah al-Adawiyah dengan Hasan al-Basri yang ingin meminangnya. Rabi’ah bertanya kepada Hasan, “Berapa banyakkan nafsu lelaki dan berapa pula nafsu perempuan?” Hasan menjawab, “Nafsu lelaki hanya satu, manakala nafsu perempuan hanya sembilan.”

Sungguhpun Rabi’ah membidas jawapan Hasan itu sehingga Hasan dikatakan berlalu pergi sambil menangis*, jawapan itu telah dikeluarkan dari konteksnya sehingga sering digunakan untuk merendahkan kontribusi wanita di ruang awam dalam konteks-konteks lain seperti bidang ilmu agama dan kehakiman.

Sambungan natijahnya, pegangan ini tentang wanita turut mengurangkan penerimaan sosial terhadap pandangan-pandangan yang datang dari wanita dalam hal-hal berkaitan ilmu, terutamanya ilmu agama. Walaupun peranan wanita diangkat sebegitu tinggi sekali dalam Islam, namun secara praktisnya pandangan wanita sering direndahkan dan dikatakan tidak berlandaskan Islam.

men_women_similar Imej dari LifeAfterPhD

Adapun variasi kepada perbuatan merendahkan kapasiti intelektual wanita adalah tentang status saksi wanita. Wanita dikatakan kurang akalnya dan kurang ingatannya, maka memerlukan dua orang saksi wanita untuk sama dengan penyaksian seorang lelaki.

*Rabi’ah membalas jawapan Hasan, “Sekiranya benar demikian, mengapa kamu yang bernafsu satu tidak mampu menahannya, sedangkan aku yang bernafsu sembilan sanggup berbuat demikian?”

2.Wanita dijadikan dari tulang rusuk lelaki
Pengesensian biologi tampaknya bermula sejak sebelum perempuan dilahirkan lagi.

Hadis popular diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang terdapat dalam himpunan Sahih Bukhari (Bab 7, no. 114) mengatakan, “Dari Abu Hurairah kepada Nabi saw bersabda: Sesiapa yang percayakan Allah dan hari kiamat tidak boleh menyakiti jirannya. Dan Aku menasihatkan agar kau menjaga orang perempuan, kerana mereka dicipta dari tulang rusuk dan bahagian yang paling bengkok adalah di bahagian atasnya.”

Percanggahan hadis ini dengan firman Allah dalam al-Quran, surah an-Nisa’ ayat 1, “Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepaa Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (Hawa), dan juga membiakkan dari keduanya zuriat ketutunan lelaki dan perempuan yang ramai.”

Pendapat mengatakan hadis ini mungkin dipengaruhi oleh agama Kristian kerana hadis ini hampir sama dengan ayat Genesis 21-23 dalam Bible, “…dan tulang rusuk yang diambil oleh Tuhan dari badan lelaki ke dalam perempuan dan dibawanya perempuan itu kepada lelaki itu. Kemudian lelaki itu berkata, ‘Akhirnya ini adalah tulang dari tulangku dan darging dari dangingku; dia akan dipanggil perempuan kerana dia telah dikeluarkan dari seorang lelaki.'”

adam-dan-hawa-d_20151230_183930 Imej dari Tribun Medan

Namun, perkara yang lebih penting di sini adalah bagaimana pegangan ini mengukuhkan ketergantungan perempuan kepada kewujudan lelaki, sekaligus memberi tanggapan bahawa kewujudan wanita kurang/tidak bermakna tanpa lelaki.

3.Wanita tidak boleh menjadi imam kepada lelaki
Akibat daripada pengesensian biologi yang dibenamkan dalam psikologi masyarakat, selain merendahkan kapasiti intelektual, ia memudahkan sekatan aktiviti sosial wanita di ruang awam.

Ulama fiqh secara umumnya berpendapat bahawa wanita tidak boleh menjadi imam sembahyang jika ada walau seorang lelaki di dalam jemaah. Namun, Abu Thaur, Ibnu Jarir at-Tabari dan Imam al-Muzanni tidak berpandangan sedemikian.

Diriwayatkan oleh Abu Daud dari Abdul Rahman ibu Khallad mengatakan bahawa, “…Rasulullah pergi ke rumahnya Ummu Waraqah dan memberikannya seorang muazzin, dan melantik beliau (Ummu Waraqah) sebagai imam bagi seisi rumahnya. Abdul Rahman berkata: “aku lihat muazzin tersebut adalah seorang lelaki tua.”

Status imam yang dikatakan hanya ekslusif kepada lelaki memberi tanggapan bahawa wanita sentiasa perlu mengambil saf belakang tanpa mengira keadaan. Dari hal-hal keluarga sehingga hal kepimpinan negara, hadis ini berfungsi untuk menyekat partisipasi wanita di ruang awam ke garisan yang tertentu sahaja, yang sudah tentunya tidak boleh melebihi lelaki.

SANGPO, CHINA - JULY 11: Hui Muslim female Imam Yonghua Zheng sits in front of worshippers as she prepares to lead prayer at the women's only Qingzhenshang Mosque on July 11, 2014 in Sangpo, Henan Province, China. As part of a tradition dating back to the late 19th century and unique to China's 10 million Hui Muslims, Zheng is one of hundreds of female Imams leading all female congregations in the women's only mosques of northwest China. Though able to teach and lead prayers for women, they are forbidden from overseeing funeral rituals or washing male corpses before burial. (Photo by Kevin Frayer/Getty Images)
SANGPO, CHINA – JULY 11: Hui Muslim female Imam Yonghua Zheng sits in front of worshippers as she prepares to lead prayer at the women’s only Qingzhenshang Mosque on July 11, 2014 in Sangpo, Henan Province, China. As part of a tradition dating back to the late 19th century and unique to China’s 10 million Hui Muslims, Zheng is one of hundreds of female Imams leading all female congregations in the women’s only mosques of northwest China. Though able to teach and lead prayers for women, they are forbidden from overseeing funeral rituals or washing male corpses before burial. (Photo by Kevin Frayer/Getty Images)

4.Wanita tidak boleh memimpin negara
Pada zaman yang melihat ramai wanita berkualifikasi dari segi pendidikan dan luas pengalaman bekerja, partisipasi wanita dalam ruang awam seharusnya dibuka sepenuhnya. Ini termasuk pembukaan peluang kepada wanita menjadi pemimpin negara.

Hadis yang sering kita dengar tentang respons Nabi saw terhadap pertabalan putri Kisra sebagai pemimpin Persia, Nabi dikatakan berkata “tidak beruntung suatu kaum yang menyerahkan urusan (pemerintahan) kepada seorang wanita.”

Pelbagai sabda lagi yang dilakukan atas nama Nabi saw yang memberi tanggapan kehancuran masyarakat sekiranya ditadbir wanita, di samping diperkukuhkan dengan surh an-Nisa tentang lelaki adalah pemimpin (ayat ini tidak menghalang wanita menjadi pemimpin walaupun tidak menyatakan wanita adalah pemimpin).

Namun begitu, terdapat ayat lain di dalam al-Quran yang mengiktiraf kepimpinan wanita seperti ayat tentang Ratu Balqis yang memerintah kerajaan Saba (al-Naml: 32-34), selain partisipasi wanita yang tinggi dalam perjuangan Nabi saw dalam menyebarkan risalah Islam di Mekah dan Madinah. Hadis-hadis popular di atas bercanggah dengan amalan Nabi saw sendiri, ternyata sekali daripada layanan Nabi saw terhadap wanita semasa hidupnya tidak memulaukan wanita daripada suaka politik.

salma-yaqoob-001 Imej dari Student Respect

Bagaimana untuk Berubah
Tidak mudah untuk kita mengajak masyarakat untuk berubah ke arah yang lebih rasional sekiranya dogma agama diperlukan untuk menegakkan status quo.

Pertama sekali, kita perlu mengetahui latar belakang setiap perkara yang diberitahu kepada kita. Kepercayaan membuta tuli tanpa periksa akan menjadikan kita sasaran mudah untuk manipulasi pihak berkuasa.

Keduanya, kita harus peka dengan kesan-kesan kepercayaan sosial kepada orang lain, terutamanya sekali kepada golongan minoriti agama, gender, seksual dan politik. Kita perlu buangkan ego dan dengar masalah mereka agar kita boleh lebih memahami dan tidak hanya menghukum.

Sebagai manusia yang dikurniakan akal untuk berfikir, hendaklah kita menggunakannya untuk berbakti dengan lebih baik kepada masyarakat, dan memberi penentangan kepada penindasan atas nama apa pun, termasuk penindasan yang dilakukan atas nama agama.