Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang: Satu Ulasan

Oleh Sharifah Nursyahidah

Saat saya mengamati semula suasana sekolah yang telah saya tinggalkan lapan tahun yang lepas untuk membandingkan dengan apa yang ada sekarang, barangkali tidak ada bezanya kerana saya merasakan bahawa sekolah itu tetap sama, tidak lebih dari sebuah institusi yang memaksakan manusia.

Bahkan, saya kira loceng dan pagar yang mengelilingi kawasan sekolah adalah simbol kepada pemenjaraan, kerana ia begitu tekun mengatur pelajar-pelajar untuk akur kepada arahan. Mungkin kelainannya adalah apabila sebelum memasuki penjara yang sebenar, individu-individu tertentu awal-awal lagi sudah disabitkan bersalah, namun semasa di sekolah para pelajar telah dibentuk untuk menjadi pesalah kepada kehidupan mereka sendiri.

Saya tidak bermaksud untuk merendah-rendahkan mana-mana institusi sekolah, namun hal-hal tentang proses persekolahan yang tidak ada debat, kritik dan gugatan sehingga lebih mengarah kepada dehumanisasi jelas ketara sebagaimana yang dibahaskan dalam buku yang ditulis oleh Zul Fikri Zamir, Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang.

Isu sentral dalam Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang

Buku ini mengandungi pelbagai bahagian, satu himpunan tulisan beliau di bermacam-macam media seperti di The Malaysian Insider dan Projek Dialog. Kalau diperhatikan, tulisan-tulisan beliau ada yang usianya sudah dua tiga tahun yang lepas namun begitu isu-isunya masih segar kerana inilah hakikat yang sedang berlaku sekarang di negara kita, khususnya kepada anak-anak muda kita.

Saya tertarik apabila beliau memulakan buku ini dengan mengambil kata-kata daripada Praemodya Ananta Toer, “apalah guna sekolah-sekolah didirikan; kalau tak dapat mengajar mana yang benar, dan mana yang tidak…” dan memilih untuk mengakhiri buku ini pula dengan bab Kritik Teater. Mungkin ada yang tertanya-tertanya kenapa soal seni dan sastra diselitkan sekali dalam buku yang tajuknya cenderung kepada pendidikan. Maka telahan saya, tema sebenar buku ini tidaklah semata-mata kepada pendidikan yang mengongkong, tetapi dalam konteks yang lebih luas seputar permasalahan politik, ekonomi dan sosial melalui perkaitannya dengan persoalan kelas, budaya, etika dan macam-macam lagi.

Ringkasnya, beliau cuba untuk menerangkan tentang hegemoni, penindasan dan dominasi sebagaimana yang diketengahkan oleh Gramsci. Ini kerana saya perhatikan peraturan dan polisi yang ditekankan oleh State (negara) banyak mendasari tulisan beliau kerana beliau seolah-olah berpendapat bahawa ianya adalah satu bentuk ketidakadilan kepada masyarakat, khususnya AUKU dan HEP. Ia banyak kali diulang dalam tulisan beliau, kerana realitinya dasar-dasar ini yang melibatkan anak-anak muda telah menyebabkan mereka menjadi tidak luwes dan tidak ada daya untuk memainkan peranan dalam hal-hal masyarakat.

Dalam perkara ini, saya bersetuju dengan beliau. Ini kerana anak-anak muda adalah suara kepada rakyat, terutamanya mahasiswa kerana mereka adalah cerminan dan perwakilan kepada rakyat sebab ilmu yang mereka miliki seharusnya berupaya untuk menentang apa-apa penganiayaan oleh para penguasa. Satu kesia-siaan sekiranya mahasiswa hanya duduk dalam kelas belajar semata-mata untuk menjawab soalan peperiksaan tanpa mempraktikkan ilmu-ilmu tersebut di luar kampus. Maka, tidak akan ada proses perkembangan diri di sini. Mereka hanya menerima tanpa mengamal.

We don’t need no thought control

Melewati keseluruhan buku ini, saya berterusan teringat petikan lirik lagu Pink Floyd – Another Brick in the Wall, “We don’t need no education, We don’t need no thought control, No dark sarcasm in the classroom, Teachers leave them kids alone, Hey teacher leave them kids alone, All in all it’s just another brick in the wall, All in all you’re just another brick in the wall…”. Saya meyakini bahawa hakikat tujuan pendidikan adalah untuk membangun diri sendiri tanpa dikawal mahupun dikongkong oleh mana-mana pihak.

Adam Adli, Safwan Anang, Bawani dan lain-lain merupakan contoh-contoh individu yang berjaya melepaskan dan membebaskan diri dari sistem pendidikan yang membelenggu. Benar, mereka hanyalah sebuah sosok. Pandangan mereka mungkin tidak mewakili rata-rata segmen masyarakat kita yang masih lagi pada kebiasaan “apa” dan bukannya “kenapa”, namun begitu mereka berhasil untuk melontarkan sikap dan tindakan yang dipercayai benar dengan sendirinya tanpa menurut membabi buta.

Ini kerana pendidikan seharusnya bersifat membebaskan. Ia berperanan besar untuk membentuk peribadi, pemikiran dan perilaku manusia supaya mereka memahami dan dapat bertindak balas terhadap isu-isu sekitar nilai-nilai sejati kemanusiaan yang harus dipelihara. Walau bagaimanapun, sebaliknya pula yang berlaku kerana ia cuma melahirkan produk-produk yang menjadi ‘pengikut buta’ ataupun ‘pak turut’, lebih-lebih lagi dengan campur tangan politik para penguasa di sekolah serta universiti yang mengganggu keharmonian dan makna sebenar pendidikan.

Sekiranya dibuat kajian, pasti ramai yang menyatakan tentang perasaan tidak menyenangkan tentang institusi pendidikan yang telah merenggut kebebasan berfikir mereka. Namun berbalik kepada soal AUKU tadi, saya juga percaya bahawa sebahagian besar mahasiswa kita langsung tidak pernah membaca keseluruhan isi undang-undang tersebut, sama ada mereka menyokong mahupun menentangnya.

Sastera: Kelas kedua?

Dalam bab Pendidikan Nasional, penulis turut ada menyatakan tentang ‘keanehan’ pengasingan murid kepada sistem berdasarkan sains dan sastera di sekolah apabila kelas SAINS terhad kepada murid-murid yang pandai sahaja, sementara kelas sastera khusus kepada mereka yang bukan dalam kategori tersebut. Maka secara tidak langsung, mereka telah diletakkan dalam kelas kedua (second-class) ketika layanan yang lebih baik diberikan kepada pelajar-pelajar sains. Ini kerana mereka dilihat eksklusif berbanding para pelajar yang mengambil sastera.

Pernyataan Zul Fikri Zamir ini bukan omong-omong kosong. Saya teringat pengalaman saya dahulu seusainya keputusan peperiksaan PMR. Saya ingin memohon kelas sastera kerana minat saya yang amat dalam bidang itu. Walau bagaimanapun, ada guru di sekolah saya yang menegur dan menyuruh saya untuk memohon kelas sains, dengan alasan bahawa tidak ada apa-apa yang boleh diperoleh di kelas kedua itu. Saya hairan, bukankah sastera juga ilmu? Apakah sekolah memang didirikan untuk tujuan peperiksaan dan industri kerja semata-mata, bukannya makna ilmu itu sendiri yang bermatlamat untuk memberikan pencerahan? Lantaran saya yang ketika itu lurus sangat, saya akur kepada keputusan guru saya, bukannya saya.

Sejarah dan kebenaran

Sejarah ditulis oleh mereka yang menang‘. Kata-kata sinis ini menggambarkan keadaan sejarah yang ditulis cuma dari satu perspektif sahaja, tanpa menimbang keseluruhan cerita ataupun peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu lampau. Lebih-lebih lagi apabila penulisan tersebut menyebelahi semata-mata golongan yang memiliki kuasa. Mereka hanya akan menceritakan hal yang baik-baik sahaja tentang mereka mahupun memanipulasi fakta-fakta yang ada supaya rakyat terus mempercayai pada kemegahan yang dibuat-buat oleh mereka. Nah, perkara ini saya kesan dalam tulisan penulis apabila beberapa kali beliau menulis tentang ’55 tahun Malaysia merdeka’.

Zul Fikri Zamir menulis tentang institusi pendidikan yang tenat namun dalam tidak sedar, beliau turut masih terperangkap dalam sejarah yang tidak jujur ini. Pernyataan ini tidak betul sebenarnya kerana kemerdekaan 31 Ogos 1957 hanya untuk Tanah Melayu sahaja, manakala Sabah atau Borneo Utara ketika itu mendapat kemerdekaan dari British pada 31 Ogos 1963. Hanya selama 2 minggu Sabah berdiri sebagai sebuah negara kerana penyatuan bersama Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura pada 16 September 1963 telah membentuk sebuah negara yang baru, yakni Malaysia.

Seusainya saya meneliti buku ini, saya rasa puas kerana ia membuatkan saya rasa terkesan. Saya kira buku ini harus dibaca oleh semua, khususnya bakal pendidik dan pendidik. Saya begitu kagum dengan gerakan Teach For the Needs yang dipelopori oleh penulis sendiri dan rakan-rakannya. Saya percaya bahawa ia satu-satunya gerakan di negara ini yang dekat dengan saranan pedagogi kaum tertindas yang dibawa oleh Freire.

Saya berharap supaya ia dapat diluaskan lagi kepada lingkungan anak-anak gelandangan, petani, nelayan atau siapa sahaja yang tidak mempunyai ruang dan peluang untuk menghadiri sekolah. Ia tidak harus dibataskan untuk para murid yang kurang berkemampuan menghadiri kelas tuisyen sahaja kerana ‘needs’ yang sebenar harus dapat dimaknai dengan sebetul-betulnya. Inilah kebenaran pendidikan. Untuk semua. Bak kata John F. Kennedy, ‘the goal of education is the advancement of knowledge and the dissemination of truth’.

Dan ya, kalau Zul Fikri menyambung kiasan Buya Hamka ‘Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup, Kalau bekerja sekadar bekerja, kera di hutan juga bekerja’ dengan;

‘Kalau mahasiswa setakat belajar,
lembu di padang juga belajar’

Izinkan saya pula untuk menambah;

‘Kalau guru cuma mengajar,
Ketam di darat juga mengajar’

(Selain mengajar untuk berjalan, ketam juga mengajar untuk bekerjasama!)