Solidariti bersama masyarakat Kristian

Projek Dialog bersolidariti dengan Gereja Katolik dan masyarakat Kristian yang lain dalam hak mereka untuk mengguna kalimah “Allah”

Projek Dialog amat kecewa dengan tidakan puak ekstremis yang mengancam keselamatan Father Lawrence Andrew dan masyarakat Kristian di Malaysia.

Di sini kami bersolidariti dengan memberi sepenuh sokongan kepada pihak Gereja Katolik dan masyarakat Kristian agar tidak gentar dengan tindakan puak-puak ekstremis ini. Perbuatan mereka tidak mewakili pendirian majoriti rakyat Malaysia yang mencintai kedamaian dan harmoni antara agama.

Menurut laporan Free Malaysia Today, puak-puak ekstremis ini adalah daripada golongan minoriti etnosentrik-nasionalis  yang terdiri daripada Majlis Belia Daerah, Kelab Persatuan Anak Muda Malaysia (MAYC), Pekida, Jawatankuasa Kebajikan Kampung (JKKP) sekitar Kuala Langat, Perkasa, Belia 4B, termasuk Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Kuala Langat, Jalur Tiga Malaysia (Jati), Perkasa Selangor, Klang Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), dan Pertubuhan Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor (IKDDAS).

Tindakan mereka yang penuh dengan kemarahan, membakar patung yang mempunyai foto muka Father Lawrence Andrew adalah perbuatan yang keji dan mengaibkan Islam.

Puak ekstremis tersebut bertindak berdasarkan kepentingan politik pihak tertentu. Malah kami mempersoalkan akidah mereka yang jauh terpesong daripada pesanan kasih sayang, belas kasihan dan nilai kemanusiaan yang dibawa oleh Nabi Muhamad. Islam mengajar umatnya agar saling hormat-menghormati terhadap masyarakat berlainan agama bagaikan saudara dalam kemanusiaan.

Malaysia adalah satu-satunya negara dimana kalimah “Allah” adalah daerah eksklusif bagi orang Islam. Ini adalah dasar yang tidak munasabah, kerana di negara-negara bermajoritikan Islam di Timur Tengah seperti Mesir, Syria, Lubnan, Palestin dan sebagainya, kalimah “Allah” digunakan oleh orang Islam, Kristian, Yahudi, Sikh dan lain-lain untuk merujuk kepada Tuhan. Malah, kalimah “Allah” juga digunakan dengan bebasnya oleh masyarakat Kristian di Indonesia, negara yang mempunyai  bilangan Muslim yang terbesar di dunia.

Projek Dialog sebelum ini pernah menemuramah Father Lawrence Andrew berkenaan dengan isu kalimah “Allah”. Terdapat bukti bahawa kalimah “Allah” tersebut telahpun digunakan di Tanah Melayu sebelum kedatangan penjajah Inggeris.

Malah kitab Bible dalam bahasa Melayu tulen digunakan oleh pihak gereja Katolik sejak abad ke-16 lagi. Jadi penggunaan kalimah “Allah” dalam kitab Bible adalah sebahagian daripada amalan warisan sejarah yang sudah lama terserap dalam upacara sembahyang dan Misa mereka.

Kami juga membantah tidakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang merampas kitab-kitab Bible di kawasan Persatuan Bible secara haram sambil mengancam pihak gereja-gereja Kristian daripada menggunakan kalimah “Allah”. Ini bukan sahaja akan memberi kesan yang buruk terhadap hak kebebasan beragama yang tertera dalam Perlembagaan Negara, ia juga akan memecah-belah masyarakat majmuk yang sebelum ini hidup dengan aman dan harmoni.

Kami ingin menyeru semua masyarakat Malaysia – tidak kiralah Islam, Kristian, Buddha, Hindu, Sikh, Baha’I, Taoisme, Ateis, Animisme, dan sebagainya agar kita bersolidariti dengan pihak Gereja Katolik dan komuniti Kristian yang lain dalam memelihara hak mereka untuk menggunakan kalimah “Allah”.