Supra mazhab ke sektarianisme: Maju mundurnya PAS

Dalam muktamar PAS terdahulu, perwakilan PAS dari Teluk Intan telah mengusulkan supaya pimpinan atas PAS memastikan kepimpinan parti tersebut bersih dari pendokong dan penganut mazhab Syiah. Usul ini kemudian disambut oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan bahawa tiada pemimpin PAS yang menganut mazhab Syiah.

Apakah maknanya usul daripada perwakilan Teluk Intan itu?

Pada tanggal 2 Oktober 1960, ketika berucap di pembukaan Kongres Ahli-Ahli Tarikat As-Sufiah Seluruh Malaya yang bertempat di Dewan Bandaran Kuala Lumpur, Dr Burhanuddin al-Helmi telah memetik pandangan Syed Jamaluddin al-Afghani, seorang tokoh besar Islam. Al-Afghani telah ditanya orang, apakah makna kepada ‘benih pembaharuan Islam’ yang beliau gagaskan (dalam bahasa mutakhir ‘reformasi’, dalam bahasa alMarhum Ustaz Fadzil Noor ia berbunyi tajdid); al-Afghani dikatakan membalas pertanyaan itu dengan jawapan yang panjang, sebahagiannya berbunyi: “Hendaklah kita pulihkan kembali kepada kebenaran perbalahan antara ahli sunnah dan ahli syiah. Sesungguhnya perpecahan itu ialah rekaan raja-raja yang tamak…”

Meskipun ucapan tersebut tidak ditujukan kepada perwakilan atau ahli PAS, mengambil kira kapasiti beliau yang ketika itu menjawat kedudukan sebagai Yang Dipertua Agung Parti Islam Semalaysia, dan mewakili parlimen Besut, beliau telah secara terbuka meletakkan parti tersebut di atas apa jua mazhab.

Secara ringkas, tokoh PAS tersebut menegaskan jalan penyatuan adalah jalan supra mazhab sementara jalan perpecahan diterokai oleh orang-orang yang tamak. Merenung seluruh isi ucapan beliau tersebut, jelaslah Dr Burhanuddin al-Helmi tidak sahaja mengecilkan kecamannya kepada raja-raja tetapi termasuklah ahli politik, termasuklah ulama yang tamak. Bukan itu sahaja, raja-raja yang tamak itu kelihatannya ditujukan kepada kumpulan Salafi-Wahabi yang menyalakan api sektarianisme, atau apa yang beliau sebutkan, sebagai ‘perbalahan’ atau ‘perpecahan rekaan’.

Apakah yang membuatkan Dr Burhanuddin al-Helmi seorang tokoh supra mazhab? Almarhum pernah menuntut di Anglo Indian College di Aligarh, India. Dr Burhanuddin al-Helmi mendapat sepenuhnya semangat supra mazhab yang dipupuk di madrasah yang ditubuhkan oleh Sayyid Ahmad Khan. Salah satu sumbangan besar Sayyid Ahmad Khan adalah penubuhan Fakulti Usuluddin di kolej yang kemudian dikenal sebagai Aligarh MuslimUniversity pada tahun 1920.

Fakulti ini dianggap unik kerana menawarkan pengajian Islam yang mengajarkan mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah dan Syiah. Beliau mengundang sarjana Sunni mahupun Jafari menjadi tenaga pengajar. Usaha Sayyid Ahmad Khan tidak lepas dari kritikan, kecaman dan kontroversi tentunya. Maulana Qasim Nanotvi, pengasas Darul Uloom Deoband pernah menjawat kedudukan Dekan di Fakulti Usuluddin ini buat seketika tetapi kemudiannya Maulana Qasim Nanotvi dan Maulana Yaqoob Deoband memilih jalan sektarian.

Bukan itu sahaja, mereka membuat inisiatif untuk menghimpunkan 60 orang ulama bagi mengeluarkan fatwa bagi menghalalkan darah Sayyid Ahmad Khan. Sejarah membuktikan kumpulan penganut sektarianisme tumpas, dan institut pengajian tinggi yang menyepadukan pelbagai ilmu dunia dan akhirat, ilmu agama yang mengatasi sekian mazhab, serta ilmu-ilmu alternatif termasuk perubatan homopati diperkenalkan. Di sinilah Dr Burhanuddin al-Helmi pernah belajar. Di persekitaran inilah alMarhum pernah tumbuh.

Semangat supra mazhab yang dianuti Dr Burhanuddin al-Helmi tersebut semakin hari semakin kecil di dalam parti yang dipimpinnya. PAS ternyata terheret sama dalam ‘perbalahan’ dan ‘perpecahan rekaan’ (meminjam terma Dr Burhanuddin al-Helmi) yang dinyalai oleh ‘raja-raja yang tamak’.

PAS ikut serta dalam pesta tari menari sektarianisme yang canggung sehinggakan Timbalan Pesuruhjaya III Pas Negeri Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyatakan sesuatu yang menyalahi semangat progresif Dr Burhanuddin al-Helmi tersebut; “Mana-mana ahli Pas yang terlibat dengan Syiah, haruslah keluar daripada Pas sebab kita tidak terima selain daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jemaah”.

Sudah tentu pandangan progresif Dr Burhanuddin al Helmi tersebut akan berdepan dengan seteru seperti mana yang dihadapi oleh Sayyid Ahmad Khan. Kenyataan yang menyokong sektarianisme dan menolak idea supra mazhab adalah keras dan menguntungkan musuh. Malah ia nampak tidak selari dengan komitmen Presiden Parti Islam Semalaysia, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang nekad meneruskan semangat supra mazhab yang diwarisinya dari pimpinan terdahulu, seawal Dr Buhanuddin al Helmi.

PAS harus mengambil jalan yang diambil oleh AK Parti pimpinan Recep Tayyip Erdogan dalam hal meraikan kebebasan beragama dan mengkayakan pandangan jamaah.

Presiden Turki, Abdullah Gul, yang merupakan bekas pimpinan AKP ketika mengunjungi komuniti Alawi di Erzincan sempena ashura baru-baru ini menegaskan: “Negeri ini kita semua yang punya. Datuk nenek kita, seperti mana mereka pernah hidup bersama. Kita hanya dapat maju ke depan asalkan kita meraikan setiap kita dengan hormat, kasih sayang dan siap untuk berdialog”.

Ini bukanlah kali pertama sikap supra mazhab sebegini ditunjukkan. Recep Tayyip Erdogan pada 16 Disember 2010 ketika hadir dalam acara ashura anjuran komuniti Syiah di Istanbul menegaskan tanggal 10 Muharam adalah asas penyatuan kerana ia merupakan tarikh terkorbannya pemimpin besar Islam iaitu Saidina Husin, kesan dari menentang kuasa zalim, despotik, autoritarian, yang sebenarnya dapat dihubungkan dengan mana-mana kuasa jahat sekalipun.

PAS harus kembali kepada semangat Dr Burhanuddin al-Helmi. Kalaupun tidak dapat kembali sejauh itu, PAS harus menyelak kembali hubungannya dengan Hizbullah, sebuah gerakan Islam Syiah yang berpengaruh di Timur Tengah pada tahun 2006. Ketika melawat ibu pejabat Hizbullah di Lubnan pada tahun tersebut, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengatakan kekagumannya terhadap perpaduan puak Sunni, Syiah dan bukan Islam seperti Kristian yang menjadi faktor kekuatan Hizbullah dan kegagalan Israel menawan Lubnan.

Ahli PAS harus menghindar penyakit sektarianisme, berhenti menari mengikut gendang musuh dan akur dengan anjuran Dr Burhanuddin al-Helmi dan Presiden PAS sekarang,

Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengatakan; “Sekarang kita (umat Islam) menghadapi zaman kebangkitan Islam. Kumpulan Islam menang di rata-rata dunia, bangkit sama ada secara sedar tapi bodoh atau pun jahil isu-isu lama ini ditimbulkan semula. Sehingga orang Islam lupa masalah kebangkitan Islam yang patut mereka tangani dan mereka lupa sepatutnya mereka (umat Islam) hadapi Israel dan kuasa-kuasa besar dunia. Asyik sibuk dengan masalah-masalah mazhab yang ditimbulkan.”

Apakah maknanya usul daripada perwakilan Teluk Intan itu? Apakah semangat supra mazhab yang kaya dan alamiah satu masa dahulu telah terkorban menuju kejumudan dan sektarianisme? Jika benar PAS ingin menjadi jaguh dalam memperjuangkan umat Islam, ahli-ahli PAS tidak wajar tergelincir dan terjerumus dalam kancah persengketaan mazhab yang hanya memudahkan kumpulan tamak dan rakus terus bermaharajalela.

Inilah jalan yang sepadan dengan PAS.

 

 

 

unnamed