Surat Terbuka Kepada Kaum Muda: Di Antara Politik Perkauman, Politik Kelas dan Politik Ideologi

Saudara-Saudari ‘Kaum Muda’ Sekalian.

Izinkan saya dengan rendah diri menulis kepada saudara sekalian berkenaan dengan titik tolak permulaan negara dan bangsa kita yang baharu pasca 5 Mei 2013 ini.

ALI SHARIATI, seperti dibincangkan oleh Jalaludin Rahmat ketika berbicara mengenai Habil mengungkapkan:

Kelompok yang diwakili Habil adalah kelompok taklukan dan tertindas; yakni, rakyat yang sepanjang sejarah dibantai dan diperbudak oleh sistem Qabil, sistem hak milik individu yang memperoleh kemenangan dalam masyarakat. Peperangan antara Habil dan Qabil adalah pertempuran sejarah abadi yang telah berlangsung pada setiap generasi. Panji-panji Qabil senantiasa dikibarkan oleh penguasa, dan hasrat untuk menebus darah Habil telah diwarisi oleh generasi keturunannya – rakyat tertindas yang telah berjuang untuk keadilan, kemerdekaan dan kepercayaan teguh pada suatu perjuangan yang terus berlanjut pada setiap zaman.

Menurut Jalaludin Rahmat lagi, Shariati melihat para Nabi Ibrahimiyah, yang dibezakan dengan Nabi non-Ibrahimiyah seperti Confucius, Budha, Zarasthura adalah pelanjut perjuangan Habil. Nabi Ibrahim misalnya berdiri menentang Namrud. Nabi Musa membela Bani Israil yang lemah melawan Firaun yang perkasa. Nabi Isa pula hadir menggembirakan kaum ‘fuqara’ dengan melecehkan Kaisar manakala Nabi Muhammad SAW duduk di samping orang miskin dan hamba abdi untuk membebaskan mereka.

Di Malaysia, tanggal 5 Mei 2013 ini akan jadi titik paling penting buat ‘Kaum Muda’ iaitu saudara-saudari sekalian. Kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui Timbalan Pengerusi-nya pada 3 April 2013 yang lalu; penambahan 2.37 juta atau 21.69 peratus jika dibandingkan dengan jumlah pemilih pada pilihan raya umum ke-12 pada 2008 menjadikan jumlah keseluruhan pengundi adalah seramai 13,291,385 orang layak mengundi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Menurutnya lagi, SPR akan menggunapakai Daftar Pemilih (DP) sehingga suku 4/2012 yang diwartakan pada 22 Februari 2013 memandangkan daftar pemilih bagi suku pertama 2013 belum sempat untuk diwartakan. Berdasarkan Daftar Pemilih yang diwartakan suku keempat 2012, seramai 5,564,131 atau hampir 42 peratus daripadanya pengundi yang layak memilih merupakan pengundi muda berusia di bawah 40 tahun.

42 peratus atau hampir separuh dari pengundi berdaftar ini terdiri dari ‘Kaum Muda’ – menjadikan saudara semua golongan paling signifikan kesannya terhadap keputusan pilihanraya ke-13 kali ini.

Politik Perkauman

Jika diperhatikan dari 3,024, 909 keseluruhan 42 peratus pengundi ‘Kaum Muda’ ini, 22.76 peratus pengundi yang berumur antara 30 hingga 39 tahun lahir seawal 1974 manakala 19.1 peratus pula pengundi berumur 21 hingga 29 tahun yang lahir seawal 1984.

Oleh yang demikian tidak hairanlah jika masih ada sebahagian besar dari ‘Kaum Muda’ yang masih melanggan idea ‘Politik Perkauman’ kerana ketika mereka lahir sekitar 1974, televisyen di Malaysia masih hitam putih. Segmen-segmen di dalam kepala, otak dan fikiran mereka masih terbahagi kepada sistem pengasingan parti berasaskan kaum dan dogma murahan berbentuk politik merengek seperti hak keistimewaan dan eksklusiviti sesuatu kaum.

Malangnya wacana politik sempit seperti ini tidak membincangkan perihal letak duduknya kaum Melayu walaupun kaum Melayu telah berkuasa sepenuhnya selama 55 tahun. Saya cuma teringat satu pepatah pemimpin ultra-nasionalis Melayu tidak lama dahulu iaitu; “Melayu mudah lupa’.

Melayu mudah lupa betapa setelah 55 tahun berkuasa, pegangan ekuiti Bumiputera masih di takuk 19%. Melayu mudah lupa sehingga 2009, Bumiputera membentuk sehingga 80% dari pendapatan isi rumah yang berpendapatan kurang dari RM 1000 sebulan sementara sehingga 57.9% Bumiputera masih berpendapatan di bawah RM 3000 sebulan.

Melayu juga mudah lupa setelah 55 tahun, dari 219,868 isi rumah yang berada di bawah paras kemiskinan, 189,165 darinya adalah Bumiputera berbanding 12,212 adalah India, 10,370 Cina dan 8,121 adalah lain-lain. Malah Melayu juga mudah lupa, Data juga menunjukkan dari 15% penduduk Malaysia yang mempunyai ‘zero wealth’, 72% adalah Bumiputera, 17% adalah Cina dan 10.7% adalah India.

Melayu juga mudah lupa, Bumiputera membentuk sehingga 72% ‘unskilled workforce’, 67% sebagai operator mesin dan sehingga 60% pekerja am. Malah statistik pemilikan bangunan komersil juga menunjukkan Bumiputera hanya memiliki 13% bangunan, 12% kompleks perniagaan, 15% premis industri dan 14% hotel.

Politik Kelas

Saudara-Saudari ‘Kaum Muda’ Sekalian,

Kerana itu saya fikir ini masa paling kritikal untuk saudara-saudari semua membuat analisis terhadap perkembangan budaya politik pasca-merdeka yang terhasil dengan fragmen perkauman yang tebal ini.

Dasar Ekonomi Baru, MARA, sistem meritokrasi, kuota pengajian tinggi, sistem sekolah berasrama penuh dan seribu satu projek kroni lagi dibantu dan didukung oleh partai politik perkauman paling besar di negara ini – masih gagal meningkatkan ekuiti kaum Melayu. Lebih menyedihkan, kedudukan ekonomi Melayu dan Bumiputera dalam pelbagai lapangan masih corot.

Yang perlu diberi perhatian kini adalah situasi ekonomi yang semakin menghimpit. Jurang pendapatan semakin melebar. 4.5% isi rumah memperoleh pendapatan secara purata kurang dari RM 800 sebulan, 52.8% isi rumah memperoleh kurang dari RM 3000 sebulan, 75.9% memperoleh kurang dari RM 5000 sebulan dan 96% rakyat Malaysia memperoleh pendapat kurang dari RM 10,000 sebulan sementara hampir tiada pertumbuhan terhadap 40% golongan berpendapatan rendah semenjak 1990 (14.5%), 2000 (14%) dan 2009 (14.5%).

Ini bukan masanya untuk kita melihat Malaysia menggunapakai kerangka perkauman kerana golongan berpendapatan rendah, kaum miskin dan golongan pekerja ini terdiri dari pelbagai jenis kaum dan berbangsa 1Malaysia!

Oleh yang demikian, kita perlu segera beransur bergerak ke arah perjuangan politik berasaskan kelas untuk membantu masyarakat kelas bawah dan pertengahan menikmati hidup yang lebih baik. Malaysia sebuah negara yang kaya dan kekayaan hasil bumi ini harus ditadbir secara adil untuk dikongsi bersama oleh rakyat, bukannya keluarga atau kroni. Bayangkan sehingga 2009, 52.8% rakyat Malaysia masih tidak mampu memiliki rumah yang berharga RM 150,000 ke atas dan 75.9% rakyat masih tidak mampu memiliki rumah yang berharga RM 250,000 ke atas?

Politik Ideologi

Saudara-Saudari ‘Kaum Muda’ Sekalian.

Perjalanan politik negara kita untuk keluar dari ‘politik perkauman’ dan ‘politik kelas’ menuju ‘politik ideologi’ masih jauh jika kita masih tersangkut dengan perihal tetek-bengek seperti ‘Singapura akan menakluki Malaysia’, ‘Lim Guang Eng akan menjadi seperti Lee Kuan Yew’ ataupun ‘Mat Taib adalah mudarat kecil berbanding mudarat besar terhadap agama’.

Saya menyeru saudara-saudari sekalian untuk keluar dari kepompong politik tradisional yang melihat isu perkauman dan menggunakan agama untuk mengekalkan status quo masing-masing. Di Eropah dan negara Scandinavian, politik ideologilah yang akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat dan meningkatkan taraf hidup masyarakat. Bukannya politik perkauman. Jika Umno-BN selama 55 tahun tidak dapat meningkatkan ekuiti Melayu melepasi paras 20%, apakah yang akan memastikan 8 calon Muslim berwibawa melakukannya?

Menurut Jalaludin Rahmat lagi, Shariati merumuskan para Nabi adalah orang-orang yang lahir di tengah massa (ummi) lalu memperoleh tingkat kesedaran (hikmah) yang sanggup ‘mengubah satu masyarakat yang korup dan beku menjadi kekuatan yang bergejolak dan kreatif, yang pada gilirannya melahirkan peradaban, kebudayaan dan pahlawan’. Menurut Shariati lagi, para Nabi bukan sekadar mengajarkan zikir dan doa, tetapi dengan ideologi pembebasan.

Empat manusia yang disebut di dalam al-Quran menurut Shariati dilambangkan dengan Firaun, Haman, Qarun dan Bal’am. Firaun dikatakan sebagai penguasa yang korup, penindas yang selalu merasa benar sendiri, toggak sistem kezaliman dan kemusyrikan. Haman pula mewakili kelompok teknokrat, ilmuan yang menyokong tirani dengan melacurkan ilmu. Qarun mewakili kaum kapitalis, pemilik sumber kekayaan yang menghisap seluruh jerih penat massa. Manakala Bal’am melambangkan kaum ‘ruhaniyun’ iaitu tokoh agama yang menggunakan agama untuk melgitimasikan kekuasaan yang korup untuk menindas masyarakat.

Untuk 5,564,131 saudara-saudari ‘Kaum Muda’ yang bakal mengundi 5 Mei ini, pada setiap zaman, keempat-empat jenis manusia ini akan selalu tampil sebagai pendukung status-quo dan juga penentang perubahan sosial. Untuk Malaysia 30 tahun ke-hadapan; inilah persimpangan kita antara mengekalkan kezaliman pemerintahan sedia ada yang telah 55 tahun berkuasa – atau memiliki keberanian untuk melawan penindasan dan membebaskan diri.

Saudara-saudari ‘Kaum Muda’ sekalian; buat permulaan marilah kita bersama menentang kezaliman dan penindasan untuk membebaskan diri dan masyarakat dari belenggu jahiliyah ini!

 

 

*Data dan statistik diperoleh dari EPU, DOSM, HIS 2009, HDR 2011, World Databank dan BNM. Untuk maklumat lebih lanjut rujuk Blindspot; www.facebook.com/blindspot.msia