Temubual BFM Bersama Reza Aslan, bahagian 1: Islam, globalisasi dan pluralisme

Pada 21 Oktober 2013, Ezra Zaid dan Umapagan Ampikaipakan menemubual Reza Aslan untuk rancangan Evening edition di BFM Radio 89.9. Reza Aslan seorang penulis dan cendakiawan agama yang diiktiraf antarabangsa. Beliau merupakan pengarang buku paling laris dalam New York Times bertajuk Zealot: The Life and Times of Jesus of Nazareth.

Buku Pertama Reza Aslan juga merupakan buku paling laris antarabangsa bertajuk “No God But God: The Origins, Evolution, and Future of Islam” (Tiada Tuhan Melainkan Allah: Asal-Usul, Perkembangan dan Masa Depan Islam). Buku tersebut dinamakan salah satu buku yang paling penting dalam dekad ini. Ia juga telah diterjemahkan dalam 30 bahasa yang lain, termasuk dalam Bahasa Melayu, dan boleh didapati dalam kebanyakkan kedai buku.

Perbincangan mereka merangkumi hal-hal yang pelbagai, termasuk persoalan politik, sejarah, kebebasan dan juga penghayatan akidah. Berikut adalah transkrip perbualan mereka.

Islam: antara Barat dan dunia Islam 

Ezra Zaid; Untuk memulakan perbincangan, Reza, dalam dunia globalisasi yang saling berhubung kait bagaimanakah bezanya wacana tentang Islam dalam masyarakat Islam sendiri berbanding dengan persepsi Barat berkenaan Islam?

Reza Aslan: Perbezaan tersebut bagaikan malam dan siang. Jika kita bercakap dengan orang awam dari Barat yang berasal daripada Amerika Syarikat atau Eropah, mereka akan fikirkan bahawa Islam merupakan agama monolitik yang mempunyai hanya satu jenis; semua orang Islam mempercayai kepada perkara yang sama.

Sudah tentu, perkara yang anda dengari berulang-ulang kali dari kebanyakkan orang di Barat adalah orang Islam tidak mengutuk keganasan, dan ini adalah jauh daripada kebenaran. Bagi setiap aktiviti keganasan yang berlaku atas nama Islam, terdapat beribu-ribu kenyataan, pengumuman dan fatwa yang mengutuk aktiviti keganasan tersebut.

Tetapi hakikatnya adalah orang Islam hanya kerap menghabiskan masa berbincang antara satu sama lain wacana mereka tidak selalunya dimaklumkan ke masyarakat uang lain di serata dunia, dan ini adalah sesuatu masalah yang besar.

Umapagan Ampikaipakan: Dalam 12 tahun selepas kejadian 9/11, mungkinkah terdapat sedikit sebanyak peningkatan mutu dalam perbincangan-perbincangan berkaitan Islam tersebut?

Reza Aslan: Terdapat perkembangan yang amat besar dalam perbincangan-perbincangan diantara orang Islam; wujudnya pelbagai organisasi-organasasi dan pergerakan-pergerakan Islam seperti pergerakan Islam yang progresif, pergerakan Islam yang konservatif, pergerakan Islam gay dan lesbian, pergerakan Islam yang khusus untuk mempromosikan demokrasi, pergerakan Islam yang khusus untuk kembali kepada ajaran Al-Quran, iaitu prinsip-prinsip Al-Quran. Kebanyakkan pergerakan Islam tersebut terdapat di negara seperti Indonesia, dan juga Malaysia, mereka mempercayai bahawa orang Islam hanya perlu mengikut Al-Quran dan bukannya Sunnah.

Secara jujurnya, perkara-perkara ini tidak pernah wujud 12 tahun yang lalu, jikalau pun pergerakan-pergerakan tersebut wujud, ia tidak diketahui ramai. Apa yang terjadi apabila berlakunya kejadian 9/11 adalah, ia telah benar-benar membangkitkan suara-suara pergerakan Islam tersebut. Tetapi, adakah suara-suara tersebut didengari oleh orang bukan Islam? Saya tidak fikir sebegitu.

Asia Tenggara dan masa depan Islam

Ezra Zaid: Bagaimanakah pengalaman Islam tersebut berbeza diantara orang-orang dari Timur Tengah dan orang-orang dari Barat? Dan kepada orang-orang Islam di sini, dimana pula letaknya Asia Tenggara di dalam wacana Islam yang lebih besar?

Reza Aslan: Secara jujurnya, Asia Tenggara bukan sahaja merupakan masa depan Islam, ia juga merupakan model Islam. Apa yang menarik berkenaan perkara yang berlaku di Asia Tenggara, adalah percubaan dalam pengembangan kemodenan Islam – terpulanglah bagaimana anda mahu mendefinasikan maksudnya – sedang berlaku di dalam masyarakat yang sangat pluralistik.

Cuba kita lihat negara seperti Mesir, negara Arab yang terbesar di dalam dunia yang mempunyai 88-89% orang Islam – dimana wacana penting berkenaan topik seperti demokrasi Islam, kemodenan Islam, dan politik Islam – didapati 9 daripada 10 orang yang terlibat dalam perbincangan tersebut adalah orang Islam.

Situasi tersebut tidak akan berlaku di Asia Tenggara kerana kepelbagaian masyarakatnya seperti kelompok masyarakat Buddha, Hindu, Kristen dan Yahudi, dan situasi sebegini menyebabkan berlaku kemajmukan perbincangan berkaitan agama berbanding dengan perbincangan yang berlaku di Timur Tengah.

Islam dan pluralisme

Umapagan Ampikaipakan: Bagaimanakah Islam berfungsi di dalam sebuah masyarakat yang bercirikan pluralisme, dimana kebebasan dalam agama dianggap sebagai salah satu rukun agama?

Reza Aslan: Jika kita kembali kepada prinsip-prinsip Islam yang diseru oleh Nabi Muhamad dan masyarakat awal Islam, ia adalah berdasarkan konsep pluralisme dan kebebasan agama. Apa yang mengagumkan mengenai zaman Al-Quran diturunkan, ia adalah zaman dimana agama dikawal ketat oleh kerajaan. Konsep pluralisme langsung tidak wujud di zaman Kristian Eropah atau di zaman Empayar Sassanid (Parsi) yang beragama Zoroastrian semasa kedatangan Nabi Muhamad.

Jadi, Al-Quran menyampaikan mesej berkenaan ahli-ahli Al-Kitab dan memberikan mereka hak dan keistimewaan dibawah pemerintahan Islam. 1500 tahun kemudian, ia mungkin dilihat sebagai sesuatu yang anakronistik. Malah, kita akan melihatkan kembali dan berkata, idea yang memaksa orang bukan Islam untuk membayar cukai yang lebih menunjukkan Islam adalah agama yang tidak bertoleransi.

Tetapi jika diletakkan di dalam konteks, ia adalah zaman dimana jika anda merupakan seorang Yahudi di dalam masyarakat Kristen Eropah, anda akan dibakarkan hidup-hidup. Sebaliknya jika anda merupakan seorang Yahudi di dalam Empayar Islam, anda cuma perlu membayar cukai yang lebih. Anda boleh hidup dengan cara hidup anda sendiri. Ini adalah asas kepada Islam sebagai agama, dan sesuatu yang malangnya telah dilupai oleh kebanyakkan orang Islam.

Timur tengah: pusat Islam? 

Umapagan Ampikaipakan: Terdapat tanggapan dimana Islam wujud bukan untuk fungsi sedemikian; terdapat persepsi yang Islam berkembang di Timur Tengah, dimana ia adalah tapak bagi monumen-monumen Islam yang termasyhur, maka tempat-tempat lain yang berkembangnya Islam dianggap sebagai pengikut kepada islam.

Seperti yang anda jelaskan Asia Tenggara merupakan model bagi Islam moden, mungkinkah Muslim-Muslim di Timur Tengah boleh mempelajari sesuatu berkenaan Islam di Asia Tenggara?

Reza Aslan: Saya fikir kebanyakkan orang di luar Timur Tengah akan mengatakan: Ya.

Sebaliknya, kebanyakkan orang di dalam Timur Tengah akan mengatakan: Tidak.

Terdapat sebuah idea yang muncul entah dari mana mengatakan bahawa Timur Tengah, dan khususnya dunia Arab adalah sinonim dengan Islam. Secara jujurnya, orang Arab hanya meliputi 15% daripada populasi 1.5 billion masyarakat Islam sedunia. Diantara 10 negara Islam yang mempunyai rakyat Islam yang terbanyak, hanya 3 buah negara adalah negara Arab. Selebihnya adalah negara bukan Arab.

Zaman dimana Timur Tengah merupakan titik pertembungan dan perkembangan Islam telah lama berlalu. Islam kini berkembang secara khususnya di luar Timur Tengah, bukan sahaja di Asia Tenggara, tetapi juga di Barat. Peratusan orang Islam di Amerika Syarikat masih kecil iaitu 1%, di Eropah bilangannya dalam 4-7%.

Namun begitu, orang Islam yang menetap di dalam masyarakat ini didedahkan dan diterapkan dengan nilai-nilai individualisme, yang bereksperimen dengan kepelbagaian agama dan ideologi politik; yang paling pentingnya mereka mempunyai kelebihan akses kerana menetap di negara-negara kaya dan maju.

Mereka mempunyai akses kepada teknologi komunikasi dan mampu menyebarkan idea-idea mereka di televisyen, radio dan internet. Walaupun di Barat populasi orang Islamnya adalah kecil, mereka sebenarnya adalah lebih berpengaruh berbanding dengan orang Islam di Timur Tengah. Dan ini termasuk juga Asia Selatan dan Asia Tenggara dimana sebahagian besar masyarakat Islam dunia menetap, dan mempunyai pengaruh yang amat besar dalam intepretasi dan perkembangan agama Islam berbanding dengan masyarakat di Timur Tengah.

Malangnya, konflik politik, ekonomi dan sosial dalam Islam sering berlaku secara khususnya di Timur Tengah, dan kebiasaannya ia menjadi fokus dan perhatian kepada orang ramai. Mesir merupakan sebuah negara Arab yang paling besar dan penting di dunia, ia hanya mempunyai bilangan orang Islam yang kurang daripada 80 juta orang. Ia merupakan bilangan yang kecil jika kita lihat jumlah bilangan penduduk Islam di Indonesia, Malaysia, India, Pakistan dan Turkey.

Kepentingan budaya

Ezra Zaid: Dalam perbincangan kita berkenaan Timur Tengah, apakah peranan aslanmedia.com? Seperti yang diketahui ia merupakan platform jurnal maya dan media sosial untuk wacana bagi isu-isu berkaitan.

Reza Aslan: Betul. Aslanmedia.com ditubuhkan selepas Pergerakan Hijau (Green Movement) di Iran. Secara umumnya ia adalah untuk memberi peluang kepada orang muda menyertai perbincangan berkenaan agama, politik, budaya, seni, filem, muzik – bahkan kemungkinan besar kami mempunyai ulasan muzik yang terbaik mengenai muzik dari Timur Tengah dan dunia Islam, yang anda tidak dapat jumpai dimana-mana tempat lain.

Ia merupakan peluang bagi orang muda untuk memahami bahawa terdapat banyak lagi perkara menarik yang berlaku di Timur Tengah dan dunia Islam, selain daripada isu konflik agama dan politik identiti sahaja. Sekali lagi, dari perspektif dunia luar anda mungkin fikir bahawa perkara itu sahaja yang sering dibincangkan berkenaan Timur Tengah, seolah-olah mereka duduk sepanjang hari menghisap Shisha dan berborak berkenaan politik dan agama. Ia tidak sama sekali begitu; mereka juga berborak berkenaan seni, buku dan muzik.

Umapagan Ampikaipakan: Anda sememangnya betul. Ini merupakan kaedah lama untuk menyebarkan ‘soft culture’.

Reza Aslan: Sememangnya. Ia masih lagi relevan sehingga kini. Lihatlah pada kebangkitan ‘Arab Spring’, apa yang kurang dilaporkan oleh media adalah peranan dimainkan oleh seni, muzik dan sajak dalam revolusi tersebut. Masyarakat yang keluar ke jalan membantah bukannya melaungkan ayat-ayat Al-Quran, sebaliknya melaungkan ayat-ayat sajak atau syair. Terdapat pemuzik-pemuzik terkenal Rock stars) dan artis-artis Hip Hop yang sebenarnya menyemarakan pergerakan ini, dan mereka masih berbuat demikian, malah merupakan pengkritik budaya utama.

Pergerakan sebegini telahpun hilang di Barat. Muzik, terutamanya muzik alternative seperti Hip Hop, Punk Rock atau Heavy Metal kini hanya merupakan sebuah saluran untuk mendapat keuntungan kewangan dan menjual rekod. Pada suatu masa dahulu muzik merupakan sebuah mesej politik dan sosial, tetapi kini muzik di Eropah dan Amerika Syarikat bukan lagi berfungsi sedemikian.

Sebaliknya di Timur Tengah, muzik masih merupakan mesej bagi politik dan sosial untuk masyarakat. Seseorang yang hanya menulis sajak boleh disabit hukuman mati, seseorang yang menulis lagu Hip Hop boleh disabit hukuman penjara: Secara tiba-tiba, seni menjadi sesuatu yang amat penting. Ia bukan lagi bertujuan untuk menjual rekod, sebaliknya ia adalah bertujuan untuk mengubah dunia menjadi lebih baik.

Islam dan kebebasan

Ezra Zaid:Saya ingin bercakap mengenai kebebasan bersuara dan kepentingannya di dalam Islam. Menurut Al-Quran atau tradisi Nabi atau hadis, bila agaknya kebebasan bersuara boleh disekat secara sah dalam Islam?

Reza Aslan: Ini adalah sesuatu yang perlu dikefahami oleh masyarakat, hal ini kerana kebebasan bersuara adalah sesuatu yang dicipta manusia sendiri. Malah di Amerika Syarikat, kita mungkin menganggap bahawa kita mempunyai kebebasan mutlak untuk bersuara apa sahaja yang kita inginkan – perkara ini tidak berlaku kerana terdapat undang-undang libel yang perlu diikuti, anda berisiko didakwa di makamah atas dasar menyebarkan fitnah (defamation), terutamanya jika perbuatan anda menyebabkan bahaya atau kerosakan langsung terhadap seseorang, atau difahami sebagai menyebarkan keganasan terhadap seseorang, kita tidak membenarkan perkara tersebut berlaku. Terdapat had dan batas terhadap perkara yang boleh dan tidak boleh disuarakan.

Bahkan dalam masyarakat yang amat terbuka, sebagai contoh di United Kingdom, anda mempunyai kebebasan bersuara yang mutlak, melainkan jika anda bersifat perkauman dalam bersuara. Maka semangat perkauman atau ekspresi rasis di United Kingdom adalah menyalahi undang-undang, sebaliknya di Amerika Syarikat anda boleh menjadi seseorang yang amat rasis, mungkin orang ramai akan melihatkannya sebagai jijik dan keji, tetapi anda tidak akan dihukum penjara disebabkan perbuatan tersebut.

Semua ini adalah berdasarkan budaya.

Adalah penting untuk difahami bahawa lagi bebasnya sesebuah budaya tersebut, lagi berkuasa budayanya. Saya fikir terdapat sebuah idea yang menganggap jika anda menyekat kebebasan bersuara, anda sebenarnya mengawal orang ramai, atau menganggap ia merupakan sebuah simbol negara yang berkuasa. Ironinya, sebaliknya adalah benar.

Jika anda [pihak berkuasa] terlalu khuatir perkara yang mungkin diperkatakan oleh orang lain, jika anda fikir ia mungkin akan membahayakan atau merosakan masyarakat atau negara, dan anda rasa perlu bertindak untuk menyekatkan kebebasan bersuara, ini hanya membuktikan bahawa negara [state] yang anda kononya kawal adalah lemah. Negara [state] itu sungguh lemah sehingga ia tidak boleh menyambut suara rakyatnya sendiri.

Saya bukanlah seseorang yang akan berdiri di sini dan berkata perlunya kebebasan bersuara di setiap pelusok dunia, supaya anda boleh berkata apa-apa yang anda inginkan tanpa kira dimana jua, ini bukanlah maksud sebenar kebebasan bersuara yang saya fahami.

Akan tetapi jangan kita lupa bahawa kebolehan untuk membenarkan rakyat bersuara dan berfikir apa yang mereka inginkan adalah tanda kekuatan sesuatu masyarakat, bukan tanda kelemahannya.

Umapagan Ampikaipakan: Bukankah agama pada dasarnya merupakan sesuatu yang mengawal masyarakat – ia tidak membenarkan tafsiran agama secara rawak dan terbuka?

Reza Aslan:Agama sememangnya merupakan institusi ciptaan manusia – saya menggunakan terma ini secara literal, kerana kesemua agama adalah institusi ciptaan manusia – sememangnya ia adalah tentang kawalan dan kuasa. Anda benar-benar betul.

Tetapi bukan akidah. Akidah bukan berkenaan kawalan ataupun kuasa. Terdapat perbezaan diantara agama dan akidah. Akidah adalah sesuatu yang tidak dapat dijelaskan, ia adalah sesuatu yang teramat peribadi. Agama pula hanya merupakan bahasa yang digunakan mengekspresikan keimanan ketuhanan seseorang. Maka, bahasa keagamaan tersebut merupakan simbol dan metafora ciptaan sejarah (historical construct). Ia wujud dalam masa dan tempat tertentu. Maka, simbol-simbol tersebut boleh berkembang dan mempunyai makna berbeza bagi orang yang berbeza dalam zaman yang berbeza. Tetapi janganlah kelirukan simbol dan metafora tersebut dengan institusi agama.

Jika kepercayaan anda adalah berdasarkan pada institusi agama, anda sebenarnya adalah salah.

Ezra Zaid: Bagaimanakah kita boleh mendamaikan kebebasan bersuara dengan Islam?

Reza Aslan: Kembali kepada perkara yang telah saya katakana: tidak akan wujudnya agama tanpa budaya dan masyarakat.

Islam dluahn dan difahami dalam beribu-ribu cara yang berbeza di serata dunia, bergantung kepada budaya tempatan tersebut. Saya asyik mengembalikan perbincangan ini kepada budaya kerana hal ini adalah bukan berkaitan dengan apa yang Islam benarkan atau tidak benarkan; Islam membenarkan apa yang anda fikir ia benarkan. Ia bergantung kepada anda sebagai individu untuk menterjemahkan Al-Quran berdasarkan kehendak dan kemahuan anda.

Jika anda merupakan seseorang yang memerlukan seorang Imam untuk menterjemahkan maksud Al-Quran bagi anda, tiada salahnya. Tetapi anda perlu menerima hakikatnya bahawa Imam anda mempunyai perbezaan fikiran dengan Imam saya, dan juga Imam orang lain. Bezanya Islam dengan agama Katolik adalah kita tidak mempunyai sebuah penguasa yang mengawal; kita tidak mempunyai Paus (Pope) yang berhak mengatakan atau menterjemahkan maksud seperti apa yang dibenarkan Islam atau siapa yang merupakan orang Islam. Perkara tersebut tidak pernah berlaku sejak kematian Nabi Muhamad, dan ia sama sekali tidak sepatutnya berlaku.

Maka demikian, idea dimana Islam mengatakan X atau Islam mengatakan Y, saya tahu, ia membuat orang Islam berasa bagus, tetapi ia sebenarnya mengarut.

Akan bersambung…..

– Diterjemahkan oleh Nor Arlene Tan